JalanTelawi » Mark Lilla

Godaan Sirakusa
Simposium Plato oleh Anselm Feuerbach

Tatkala berlayar ke Sirakusa sekitar tahun 368 SM sesungguhnya fikiran Plato dalam kebingungan. Dia pernah sekali berkunjung ke kota itu dahulu kalamana ia masih diperintah oleh seorang pemerintah zalim yang amat digeruni, bernama Dionisius Bapa, dan kehidupan Sicilia yang menggiurkan itu tidak menarik hatinya. Bagaimana, fikirnya, seorang anak muda dapat belajar menjadi sederhana dan adil di sebuah tempat yang menganggap “mabuk dua kali sehari dan tidur malam tidak pernah kesunyian” sebagai kehidupan yang berbahagia? Jangan haraplah kota sebegini dapat terlepas dari despotisme dan revolusi yang bersilih-ganti tiada kunjung berakhir.

Jadi kenapa kini dia kembali lagi? Kebetulan pula Plato mempunyai seorang pengikut di Sicilia, justeru negeri ini tidaklah begitu terkutuk sebagaimana yang disangkanya. Seorang bangsawan bernama Dion, yang sebagai anak muda telah mengabdikan dirinya buat Plato dan perkembangan falsafah, baru sahaja mengutus sepucuk surat kepadanya menerangkan bahawa Dionisius Bapa sudah mati dan anak lelakinya, Dionisius Anak, kini mewarisi tampuk pemerintahan. Dion adalah teman juga abang ipar kepada Dionisius Anak, dan percaya bahawa sang pemerintah yang baru itu terbuka kepada falsafah dan ingin menjadi adil. Segala yang beliau perlukan, pada pandangan Dion, adalah tunjuk-ajar yang baik, yang harus datang dari mulut Plato sendiri. Beliau merayu kepada guru tuanya itu agar berkunjung dan Plato, yang dilanda keraguan besar, akhirnya berlayar.

Ada satu mitos usang tentang Plato yang mengatakan bahawa dia menyokong satu rancangan gila untuk mendirikan pemerintahan “raja-filasuf” di kota-kota Yunani, dan sesungguhnya “pelayaran ke Sicilia” itu merupakan langkah pertama untuk menjayakan cita-citanya itu. Apakala Martin Heidegger kembali mengajar pada tahun 1934 setelah melepaskan jawatan yang sangat memalukan sebagai rektor Nazi di Universiti Freiburg, seorang teman sekerja yang kini telah dilupai menyindir, dengan niat untuk memalukan lagi muka beliau, “Pulang dari Sirakusa?” Kata-kata yang indah kedengaran ini tidak mungkin membawa apa-apa kebaikan. Namun, matlamat Plato tidaklah jauh berbeza daripada Heidegger. Sebagaimana yang Plato ceritakan dalam Seventh Letter-nya, dia pernah menyimpan angan-angan hendak terjun ke dunia politik namun dia telah tawar hati akibat pemerintahan zalim oleh Tigapuluh Pemerintah Zalim di Athena (404-403 SM). Kemudian dia menolak politik sepenuhnya setelah rejim demokrasi yang mengambil-alih pemerintahan Tigapuluh Pemerintah Zalim itu menghukum mati teman dan juga gurunya Sokrates. Dia mengambil kesimpulan, sebagaimana watak Sokrates dalam karyanya Republic, bahawa sekiranya rejim politik menjadi korup maka tak seorang pun yang dapat memulihkannya tanpa “teman dan sekutu”—yakni, tanpa teman-teman falsafi yang menginginkan keadilan dan teman-teman yang setia kepada kota. Selain daripada keajaiban, di mana para filasuf menjadi raja atau para raja berfikiran falsafah, apa yang terbaik dapat diharapkan dalam politik adalah mendirikan sebuah kerajaan yang sederhana di bawah kedaulatan undang-undang yang stabil.

Dion, bagaimanapun, sangat bersemangat hendak menyaksikan berlakunya keajaiban. Dia meyakinkan dirinya sendiri, lalu dia memujuk Plato, bahawa Dionisius boleh menjadi barang yang sangat jarang ditemui itu, yakni pemerintah yang berfikiran falsafah. Mulanya Plato ragu-ragu; meskipun dia percaya pada keperibadian Dion namun dia juga tahu bahawa “orang muda sering bersikap hangat-hangat tahi ayam.” Akan tetapi dia juga terfikir—atau mungkin cuba mewajarkan tindakannya—bahawa jikalau dia tidak merebut peluang yang jarang-jarang muncul sebegini dan berdayausaha untuk mengubah seorang pemerintah zalim menjadi adil nescaya kelak dia akan dituduh sebagai pengecut dan mengkhianati falsafah. Justeru itu, dia pun bersetuju untuk pergi.

Namun hasil daripada kunjungan kedua ini tidak menggembirakan hatinya. Jelas sekali bahawa Dionisius cuma ingin dipandang berilmu namun tiada disiplin dan tekad yang diperlukan untuk menundukkan akal-fikirannya pada caragaya hujah jadali (dialectical argument) dan hidup menuturi kesimpulannya. (Plato mengibaratkan dia seperti seorang yang ingin mencapai matahari namun cuma mendapat selaran cahayanya sahaja.) Sebagaimana seorang doktor yang tidak dapat mengubati seorang pesakit bertentangan dengan kemahuannya, maka begitulah ternyata mustahil untuk menuntun Dionisius yang degil itu kepada falsafah dan keadilan. Bahkan dalam percakapan-percakapan mereka Plato dan Dion membantah cita-cita politik pemerintah zalim yang muda itu, dan menegaskan kepadanya sebagai seorang filasuf dia harus belajar untuk menggubal undang-undang yang baik buat kota-kota yang ditaklukinya, justeru itu dapat memenangi persahabatan mereka, lalu dapat dia manfaatkan pula untuk meluaskan lagi jajahan-takluknya. Itu semua sia-sia belaka. Sebaliknya Dionisius termakan fitnah dan semakin mengesyaki Dion menaruh cita-cita politik tersendiri dan akhirnya mengusir dia dari Sirakusa. Setelah Plato gagal mendamaikan kedua-dua teman tersebut, maka dia pun mengambil keputusan untuk pulang ke tanah airnya.

Akan tetapi dia kembali lagi setelah enam atau tujuh tahun kemudiannya, dan sekali lagi atas desakan Dion. Walaupun Dion masih dalam buangan namun dia terdengar cerita bahawa Dionisius kembali belajar falsafah, lalu melaporkan hal ini kepada Plato. Pada mulanya Plato tidak tergerak, kerana maklum bahawa “falsafah sering memberi pengaruh sebegini kepada anak-anak muda” dan mengesyaki bahawa Dionisius hanya ingin membendung khabar angin bahawa Plato menganggap dia seorang yang tidak berguna. Tetapi Plato, yang menurut bisikan fikiran yang telah membuatkan dia berlayar buat kali kedua dahulu, mengambil keputusan untuk pergi buat kali yang ketiga, kali yang terakhir. Apa yang dia dapati sebaik sahaja menjejak kaki ke sana adalah seorang yang jauh lebih angkuh yang menganggap dirinya seorang filasuf dan diceritakan telah mengarang sebuah buku, dan perbuatan ini tidak mungkin dilakukan oleh Plato sebagai seorang ahli jadali. Dia kalah dalam perjuangannya itu, namun dia tidak menyalahkan sesiapa melainkan dirinya sendiri: “Tiada sebab langsung untuk aku marahkan Dionisius melainkan diriku sendiri dan pada orang yang menghalangku dari ke mari.” Dion pula tidak begitu optimis dalam hal ini. Tiga tahun setelah Plato berangkat pulang buat kali terakhir Dion menyerang Sirakusa dengan bala tentera upahannya dan membebaskan kota itu, lalu menghalau Dionisius, namun dia telah dikhianati dan dibunuh tiga tahun kemudiannya. Setelah beberapa kali melancarkan kudeta yang ganas Dionisius akhirnya berjaya merampas kembali takhta, namun digulingkan pula oleh tentera Korinthos, ibu kota Sirakusa. Dionisius terselamat lalu kembali ke Korinthos, di mana dia dikatakan menghabiskan saki-baki hayatnya dengan membuka sebuah sekolah, mengajarkan doktrin-doktrinnya.

Dionisius hidup sezaman dengan kita. Sejak sekurun lalu dia muncul dengan bermacam nama: Lenin dan Stalin, Hitler dan Mussolini, Mao dan Ho, Castro dan Trujillo, Amin dan Bokassa, Saddam dan Khomeini, Ceausescu dan Milosevic—dan keringlah dakwat jika hendak disebutkan kesemuanya. Pada kurun kesembilanbelas banyak jiwa yang optimis percaya bahawa kezaliman sudah berlalu. Akhirnya, Eropah melangkah masuk ke zaman moden dan segenap orang sedar bahawa masyarakat moden yang rencam, dan terjalin erat dengan nilai-nilai sekular dan demokratik, tidak dapat diperintah dengan caragaya pemerintahan despotik usang. Masyarakat-masyarakat moden mungkin masih bersifat autoritarian, dengan birokrasi mereka yang dingin dan suasana kerja mereka yang jerih, namun mereka tidaklah bersifat zalim dalam ertikata apa yang telah berlaku dalam sejarah Sirakusa. Pemodenan menjadikan faham klasik mengenai kezaliman sesuatu yang lapuk, dan justeru kerana bangsa-bangsa yang hidup di luar Eropah juga mengalami pemodenan maka mereka juga akan melangkah ke masa hadapan pasca-kezaliman. Kini kita maklum betapa silapnya pandangan sebegini. Rumah-rumah gundik dan para penguji makanan zaman bahari itu telah lama ditelan waktu akan tetapi tempat mereka itu diambil-alih oleh para menteri propaganda dan para pengawal revolusi, raja-raja dadah dan para pemilik bank berbangsa Swiss, dan penzalim masih terselamat.

Masalah Dionisius itu setua penciptaan. Cuma para penyokong intelektualnya sahaja yang baru. Oleh kerana benua Eropah telah melahirkan dua sistem zalim yang hebat pada kurun keduapuluh, iaitu komunisme dan fasisme, maka ia juga telah melahirkan sejenis masyarakat baru, yang perlu kita berikan nama baru: para intelektual yang cintakan kezaliman (philotyranny). Sebilangan para pemikir dari masa itu yang karya-karya mereka masih bermakna buat kita pada hari ini mungkin membantu Dionisius moden secara terbuka baik dengan kata-kata mahupun perbuatan, dan antara kalangan mereka yang paling terkenal: Martin Heidegger dan Carl Schmitt di Jerman semasa di bawah pemerintah Nazi, Georg Lukács di Hungaria, dan mungkin beberapa orang lain lagi. Terlalu ramai pula yang menyertai parti-parti Fasis dan Komunis di kedua-dua belah Tirai Besi itu, baik didorong oleh lantikan berdasarkan semangat setiakawan mahupun untuk mencapai cita-cita kerjaya, tanpa perlu mengambil risiko besar; dan ada sebilangan yang menjadi askar buat seketika dalam hutan dan padang pasir di dunia ketiga. Terdapat juga para penziarah dalam jumlah yang amat mengejutkan berkunjung ke kota-kota Sirakusa baru yang dibina di Moscow, Berlin, Hanoi dan Havana. Mereka semua adalah para pemerhati politik yang ghairah. Lawatan mereka ke daerah kekuasaan seorang pemerintah zalim itu telah dirancang dengan rapi sekali bersama dengan tiket pergi-balik di tangan. Mereka mengagumi projek-projek pertanian bersama, kilang-kilang mesin bajak, ladang-ladang tebu, sekolah-sekolah, namun entah kenapa mereka tidak pernah berkunjung ke mana-mana penjara.

Walaupun sebahagian besar para intelektual Eropah hanya duduk di meja tulis, dan berkunjung ke Sirakusa cuma dalam khayalan mereka sahaja, mengembangkan idea-idea menarik dan kadangkala cerdas sekali untuk menerangkan tentang penderitaan orang-orang yang tidak pernah mereka temui walau sekali pun dalam hidup. Para profesor terhormat, para penyair berbakat, dan para wartawan berpengaruh mengerah segala bakat mereka untuk meyakinkan semua orang yang memang ingin mendengar bahawa para pemerintah zalim moden sebenarnya adalah para pembebas dan perbuatan-perbuatan jenayah mereka yang tak berhati perut itu adalah mulia, jika dilihat dari sudut pandang yang betul. Barangsiapa yang mengambil tugas menulis sejarah intelektual Eropah kurun keduapuluh secara jujur akan memerlukan tahap kesabaran yang tinggi.

Bahkan dia memerlukan lebih daripada itu. Dia perlu menangani perasaan jijik dalam masa yang cukup lama demi merenung akar-punca fenomena yang aneh lagi membingungkan ini. Apa kena dengan minda manusia sehingga memungkinkan kezaliman dipertahankan secara rasional pada kurun keduapuluh? Bagaimana tradisi pemikiran politik Barat, yang bermula dengan kritikan Plato terhadap kezaliman dalam Republic dan perlayaran-perlayaran beliau ke Sirakusa yang berakhir dengan kegagalan itu, boleh sampai ke tahap di mana berhujah bahawa kezaliman adalah baik, dan bahkan sesuatu yang indah, boleh mendapat penghormatan. Sejarawan kita nanti perlu mengajukan persoalan-persoalan yang lebih besar ini, kerana dia akan mendapati dirinya bergelut dengan suatu fenomena yang meluas, dan bukan dengan beberapa contoh sikap melampaui batas yang terpencil sifatnya. Apa yang berlaku pada Heidegger sekadar contoh paling dramatik pada kurun keduapuluh yang kekal dalam ingatan kita betapa falsafah, atau rasa cintakan kebijaksanaan, telah merosot menjadi kecintaan pada kezaliman.

Kiriman Berkaitan

None Found

Tulisan Berkaitan

Kant dalam Konteks Masyarakat dan Budaya Malaysia

IKD Diserang Todak?

Model China: Zhang vs Yang

Sosok Sang Pencerah

Negara dan Representasi Politik

No related posts.