Macam-Macam Puasa dan ‘Aidul Fitri.

oleh Amin Ahmad
18 September, 2009, 03:57 pm | kategori Kolum | Cetak

Amin Ahmad Hari Raya ‘Aidul Fitri akan datang lagi. ‘Aidul Fitri nanti akan kedengaran khatib mengulang khutbah Raya tentang keperluan umat kembali kepada fitrah yang suci dengan menginsafi dosa lalu serta berusaha memperbaiki diri.

Seperti mana selalunya, Ramadhan dan Syawal adalah dua bulan dalam kalendar Hijrah umat Islam yang disambut secara istimewa kerana adanya tuntutan Rukun Islam yang ketiga iaitu berpuasa dan juga adanya sambutan Hari Raya ‘Aidul Fitri serta kewajipan zakat fitrah.

Dalam menyambut Ramadhan serta Syawal tidak lama lagi, saya sentiasa terkenangkan bagaimana perubahan corak budaya sambutannya berlaku dari tahun ke tahun.

Puasa

Seingat saya, saya mula berpuasa ketika berusia 4 tahun dan berpuasa penuh semasa darjah 3. Waktu emak dan ayah menyuruh saya mula belajar berpuasa, keghairahan meluap. Namun, bila masuk tengah hari, saya mula terasa lapar. Mungkin sebab itu dulu ada kata popular “puasa yang yuk, tengah hari buka periuk!”. Bila masuk darjah 3, rasa malu jika tidak berpuasa datang sendiri apatah lagi bila ada awek cun yang sama satu kelas telah mula berpuasa penuh sejak tadika! Namun, sementelahan saya telah dewasa, saya tertanya apa alasan bagi mereka yang sengaja memilih untuk tidak berpuasa.

Kuih Raya

Ada masanya ketika tidak berpuasa, saya akan menjadi ‘tukang rasa kuih’ yang emak buat untuk Hari Raya. Selalunya saya makan berlebihan sehinggakan emak terpaksa menghadkan bilangan kuih yang saya boleh rasa. Saya tidak tahu berapa ramai orang yang masih menyediakan sendiri kuih raya untuk tetamu. Dulu, rakan saya pernah mengatakan yang dia hanya sedia ‘kuih tunjuk’. Oleh kerana saya pertama kali mendengarnya, maka saya bertanya “bagaimanakah rupa bentuk kuih tersebut?”. Jawabnya kuih tunjuk itu bermaksud tunjuk saja di kedai! Apa yang berbeza pada hari ini ialah kerana kuih-kuih moden lebih banyak mengambil tempat kuih-kuih tradisional.

Pasar Ramadhan

Kemeriahan pasar ramadhan masih sama seperti dulu. Orang ramai berpusu-pusu mendapatkan juadah berbuka yang sebahagiannya sukar ditemukan di luar bulan Ramadhan. Waktu ini tumbuh bagai cendawan usahawan segera dan sebahagiannya anak muda yang mencari upah buat bekal membeli pakaian untuk menyambut hari raya. Waktu ini, kita boleh melihat pelbagai menu masakan budaya Melayu.

Buka Puasa

Emak selalu mengatakan jika saya tidak berpuasa, maka saya tidak boleh berbuka bersama mereka yang berpuasa. Kata-kata emak ini bertujuan untuk menggalakkan saya berpuasa. Waktu berbuka selalunya adalah waktu penting yang diambil kebanyakan untuk mengeratkan tali silaturrahim. Ada rakan-rakan sewaktu bersekolah berpakat untuk berbuka bersama, ahli keluarga yang dekat juga berhimpun dan sebagainya. Semasa di kampus, saya dan rakan-rakan sering menganjurkan majlis berbuka puasa bersama di surau dengan makan di dalam dulang.

Mercun

Dulu semasa kecil, bunga api itu dikira gah. Dewasa sedikit kami mula bermain mercun. Saya tidak pernah mencuba bermain meriam buluh atau meriam tanah. Tapi tangan pernah kebas apabila mercun papan meletup di jari. Baju arwah kakak juga pernah terbakar kerana terkena percikan bunga api saya. Perang mercun satu taman menjadikan kami anak-anak remaja rapat. Kami akan ketawa besar mengenangkan lintang pukang dikejar polis yang masuk ke taman selepas mendapat aduan sebilangan penduduk. Kini, hampir tidak kedengaran kemeriahan anak muda menikmati mercun dan kisah remaja hilang jari. Kadangkala tidak berbaloi melihat adanya tangkapan dibuat oleh kastam dan polis hanya kerana adanya ‘usaha’ pihak tertentu menyeludup masuk mercun dan bunga api. Anehnya semasa kecil, saya pernah diajak bermain bunga api dan mercun oleh anak polis yang mendakwa bekalan bunga api dan mercun tersebut adalah dari rampasan polis yang dibawa balik ayahnya!

Tarawikh

Ketika orang ramai bertarawikh, kami anak-anak muda juga turut sama. Dulu di surau kampung, saya dan rakan-rakan selalu berebut untuk mengalunkan azan. Tapi ada masanya kami akan berhenti tarawikh separuh jalan kerana telah berpakat untuk bermain mercun atau ‘police sentry’. Saya tidak tahu sama ada anak muda dan remaja sekarang masih menikmati malam-malam Ramadhan dengan kegiatan sosial yang bersifat nakal seperti kami. Mungkin lebih ramai yang hanya menghabiskan masa bermain mercun dan permainan yang mirip ‘police sentry’ di peti kaca televisyen atau komputer. Di kampung, tarawikh biasanya akan diselang setiap empat rakaat dengan satu tazkirah ringkas.

Perhiasan Diri dan Rumah

Menjelang ‘Eidul Fitri, rumah biasanya akan dipastikan cantik dan kemas kerana ramai tetamu yang akan berkunjung semasa Hari Raya. Sebahagian keluarga akan membeli-belah menukar perhiasan rumah yang baru. Dari langsir, permaidani, sofa dan balang kuih, juga pakaian raya yang baru dari songkok sampai ke kasut. Untuk menghidupkan suasana Raya, pelita dan lampu berkelip dipasang di sekitar rumah. Indahnya. ‘Eidul Fitri menjadi medan manusia berbelanja. Gedung membeli belah pula sibuk dengan tawaran harga diskaun untuk pelbagai barangan. Bagi mereka yang tidak menghayati semangat Ramadhan untuk ‘mengawal nafsu’, mereka akan terjebak dengan pelbagai tawaran harga ini. Bukanlah salah untuk berbelanja, namun tentu saja wang berlebihan boleh diterjemah menjadi sebahagian amal di bulan Ramadhan.

Ucap Selamat Hari Raya

Dulu, di awal Ramadhan, ramai yang bergegas menyiapkan kad raya yang mesti dihantar selewat-lewatnya dua minggu pertama. Dalam berita sering dimaklumkan bahawa sebahagian kad raya hanya akan tiba selepas raya kerana kuantitinya yang banyak dan dihantar lewat. Kini, ucapan Selamat Hari Raya biasa dihantar melalui e-mel, pesanan ringkas (sms) atau laman sosial yang semakin bercambah. Ia mudah namun seakan tidak punya jiwa lagi. Ucapan maaf zahir batin juga telah menjadi budaya tanpa pengertian.

Perantau

Saya dan adik dulu sangat suka menatap gambar-gambar mahasiswa Malaysia di luar negara melalui ruangan Salam Perantauan di dalam akhbar tempatan. Selain daripada itu, kami tidak melepaskan peluang menonton kejayaan anak bangsa Malaysia melanjutkan pelajaran ke luar negara. Semasa tahun 80-an dan awal 90-an, bilangan mahasiswa ke luar negara tidaklah seramai hari ini, justeru saya sangat terasa bagaimana perasaan seorang mahasiswa yang berjauhan daripada keluarga tatkala sanak saudara akan berkumpul. Tatkala pulang ke Perlis berhari-raya, saya berasa sangat gembira kerana sepanjang perjalanan, saya berpeluang menikmati suasana kampung dengan sawah padi dan rumah papan terutama di Kedah dan di Perlis. Pernah saya sampai ke kampung di pagi raya kerana tiket bas telah habis ditempah sebulan lebih awal!

Lagu Raya

Saya fikir lagu Sudirman “Dari Jauh Ku Pohon Maaf”, P. Ramlee dengan “Dendang Perantau”,  M. Nasir melalui “Satu Hari di Hari Raya” serta duet Anuar Zain dan Elina “Suasana Hari Raya” (sekadar menamakan sebahagian) akan kekal menjadi lagu yang menghimbau nostalgia Hari Raya. Banyak lagu raya baru dicipta namun tidak banyak yang benar-benar mengusik perasaan. Tidak lengkap rasanya menikmati Raya tanpa lagu-lagu ini selain takbir Hari Raya.

Malam Raya

Ketika Mohor Besar Raja-Raja Melayu mengumumkan tarikh Hari Raya, ramai yang menyambutnya dengan bunyi mercun dan malam sebelum Raya akan disambut dengan takbir. Ada yang bertungkus-lumus menghidupkan api bagi membakar lemang dan ada yang mula menyiapkan ketupat. Cukup mudah menemukan wajah berseri-seri saat menyambut malam Raya. Kini, jangan terkejut jika ada anak muda menghabiskan waktu bermain futsal pada malam Raya!

Hiburan Ramadhan

Sejak pertengahan 1990-an, ada satu keghairahan baru untuk masyarakat menonton iklan raya yang berkualiti sebagai mesej Hari Raya. Sudah tentu sukar untuk mencari pengganti arwah Yasmin Ahmad di dalam bidang ini. Ramai juga yang menikmati sitkom Rumah Kedai, dokumentari Jejak Rasul dan drama Diari Ramadhan Rafique (sekadar menamakan sebahagian). Kualiti hiburan boleh ditonton sepanjang Ramadhan dan pada Hari Raya.

Solat Raya, Ziarah Kubur serta Kunjung dan Maaf

Di awal pagi raya, semua segak berhias untuk solat ‘Aidul Fitri. Selepas menjamah ketupat dan rendang, ahli keluarga akan berkumpul dan saling bermaafan. Ayah selalu mahu lekas ke masjid untuk sama-sama bertakbir. Usai solat, umat Islam bermaafan dan kemudian menziarahi kubur bagi menghadiahkan sepotong doa kepada mereka yang telah kembali ke rahmatullah. Selepas itu bermulalah perhimpunan atau ziarah saudara mara terdekat. Dulu semasa saya kecil, ziarah dari rumah ke rumah selain menikmati aneka juadah, kami mendapat duit raya sekitar 20 sen dan jumlah RM1 itu dikira besar. Emak dan ayah akan menyediakan RM10-RM30 kepada kami sebagai ‘ganjaran’ berpuasa, bergantung kepada berapa hari kami berpuasa.

Saya masih ingat ketika darjah 3, jumlah kutipan duit raya saya sekitar RM100! Entah berapa ratus rumah yang saya kunjungi bersama rakan-rakan. Namun, amat menyedihkan dewasa ini apabila kanak-kanak datang berkunjung ke rumah hanya mahu berada di pintu rumah dan meminta duit raya tanpa mahu masuk menjamah juadah dan berkenalan dengan tuan rumah.

Selain daripada rumah saudara-mara, rumah bekas-bekas guru dan rakan-rakan juga menjadi agenda dalam jadual untuk dikunjungi. Jika cuti singkat, ada rumah-rumah yang terpaksa dikecualikan. Ada juga yang menggunakan kesempatan raya untuk memperkenalkan calon menantu kepada keluarga!

Tatkala ramai yang sibuk berkunjung antara satu sama lain, ada pula anak muda yang selesa duduk di depan televisyen menikmati tayangan filem, drama dan hiburan sempena ‘Eidul Fitri. Juga tidak dilupa, ada yang tidak mendapat cuti di pagi 1 Syawal!

Puasa dan Hari Raya pada penganut agama Islam, macam-macam pengertian ‘fitrah’ selain apa yang dikhutbahkan khatib.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Berpuasa, Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin kepada semua. Selamat memandu ketika berhari-raya!

Amin Ahmad, 27, akan pulang berhari raya di Perlis selama satu minggu untuk Raya tahun ini.


Similar Posts:

Tags: , ,

Satu komen
Tinggalkan komen »

  1. Mengimbau kembali jarak ’sosial’ masa lampau.
    Puasa tidak bermakna jika tanpa mercun. Tidak bermakna juga jika tanpa ‘murtabak’.
    Puasa itu penuh dengan makna-makna.

Tinggalkan Komen