Cabaran Bah Muzik Indonesia
oleh admin
14 Januari, 2007, 08:53 pm | kategori Esei | CetakOleh: Zulfikar Samsuri
Mungkin kebanjiran muzik Indonesia punyai pengaruh besar di Malaysia — kebanjiran kumpulan dan artis solo dari Indonesia menjadi sesuatu yang menghimpit bagi karyawan muzik Malaysia.
Silang ganti artis-artis Indonesia-Malaysia bukan baru, suatu ketika dalam zaman 70-an hingga awal 80-an anak-anak muda kita mula mengenal siapa D’lloyd, Hettykoes Endang, Endang Austarina, Emilia Contessa, Broery Marantika, Bob Tutupoli dan lain-lain. Muzik dan nyanyian mereka jadi siulan anak muda pada ketika itu.
Tidak lama selepas itu pada dekad 80-an hingga 90-an, giliran kumpulan-kumpulan rock dari Malaysia mula mengukir nama di sana. Di ketuai oleh Search, bersama dengan kumpulan-kumpulan gitar rancak lain seperti Iklim, Exist, Wings dan lain-lain berjaya menerobos pasaran Indonesia. Turut serta rombongan penyanyi seperti Ella dan Sheila Majid sehingga sekarang diingati pernah menguasai negara ‘bhineka tunggal ika (kesatuan dalam perbezaan)’ itu.
Seolah-olah ‘nostalgia romantis masa silam’ karyawan Indonesia bangkit ‘membalas dendam.’ Ternyata dendam mereka terbalas. Menurut kata penyampai Radio yang popular dengan Carta Baik Bangat (CBB), KC Ismail, “[l] agu – lagu dari Indonesia best, fresh, tidak seperti majoriti lagu-lagu kita di sini, lembik, kurang variasi !”
Pada ketika ini juga dua siaran hampir semua radio Swasta berbahasa melayu popular seperti Era.fm dan hot.fm telah mempunyai carta khusus untuk lagu-lagu Indonesia.
Ungkapan penyampai radio itu serta situasi tersebut membuktikan bahawa kerana ‘dendam’ Indonesia bangkit kembali dari lamunan yang yang lama.
Kejayaan kumpulan – kumpulan serta penyanyi solo Malaysia di Indonesia suatu ketika dahulul telah memberikan satu saingan sihat bagi kumpulan-kumpulan serta penyanyi-penyanyi Indonesia.
Mereka seperti menilai diri dan memperbanyakkan usaha untuk menandinggi artis-artis jiran yang menerobos pasaran mereka.
Kumpulan-Kumpulan terutamanya, dari Indonesia, berjaya memperlihatkan mutu peningkatan kemahiran yang tinggi. Sususanan muzikl, komposisi sesebuah lagu menampakkan kualiti yang baik.
Kali ini kumpulan-kumpulan serta penyanyi solo dari Indonesia membariskan nama-nama besar yang menggugah. Dewa, Sheila On 7, Padi, Radja, Melly Goeslow, Shanti, Marcell, Slank, Samson dan banyak lagi. Muzik mereka kali ini lebih mempunyai kualiti yang baik jika mahu dibandingkan dengan pada ketika ‘penjajahan’ pertama dulu.
Dewa, contohnya memaparkan gubahan yang menarik. Di samping liriknya yang serba ketuhanan dan penuh kedamaian. Ahmad Dhani mahukan persefahaman antara agama disebarluaskan. Tulis seorang wartawan dari mSTAR Online, “[p]enghargaan terhadap agama lain adalah penting. Lagu seperti Laskar Cinta mahu menggerakkan generasi muda untuk belajar menghargai agama yang lain. Selain itu juga Ahmad Dhani (ketua grup Dewa) turut berhujah bahawa sikap terlampau menyanjung agama sendiri boleh mengakibatkan permusuhan serta konflik.”
Begitu juga dengan lain-lain kumpulan. Slank membawakan panji ‘peace’ mereka. Dan ia turut disahut oleh kumpulan-kumpulan seperti Dewa, Padi dan S07. Juga slogan anti dadah – grup mereka pernah mengharungi waktu di langit tinggi.
Rata-rata karyawan yang ditanya mengenai masalah kebanjiran-artis-band-Indonesia, menyalahkan orang-orang tengah, “tidak adil bagi artis-artis Malaysia – artis Indonesia senang nak masuk sini, tapi artis-artis Malaysia susah nak masuk sana.”kata mereka.
Malah ada yang menuding sesama sendiri, tidak membantu antara satu sama lain untuk memajukan dan meyokong artis tempatan. Sebahagian pula meminta agar kerajaan membantu menyekat kemasukan artis-artis luar terutama dari Indonesia.
Cadangan tersebut sekali lalu nampak bijak tetapi sebenarnya menampakkan ketidak mampuan dan kegagalan bersaing. Kalau artis-artis negara ini bermutu apa yang ditakutkan dengan saingan dari Indonesia. Masuklah seberapa banyak artis dari seberang pun. Kalau kita betul-betul bermutu, album dan lagu yang mereka akan jadi pilihan.
Karenah dan budaya fikir artis tempatan menunjukkan sebahagian karyawan tempatan tidak sedar globalisasi — dunia tanpa sempadan. Kita sudah memeterai perjanjian dengan Asian Free Trade Agreement (AFTA). Jika kita komited dengan AFTA kita tidak perlu menolak globalisasi.
Globalisasi digerakkan oleh kapitalisme dan pasaran bebas, kapitalisme sememangnya mementingkan untung kerana mereka berniaga — manusia yang tidak mahu memperoleh keuntungan. Orang-orang tengah, kaum pemodal tidak akan mengambil artis yang menghasilkan kerugian perasaan juga harta.
Ambil contoh X. X seorang penyanyi solo dan kadang2 berkumpulan. Menyanyikan lagu tangkap lentok dan tangkap leleh. X popular di Malaysia. Sekarang, kalau letak X yang popular di Malaysia, di Indonesia, belum pastinya X akan terus popular. Mungkin orang Indonesia tidak mendengar lagu-lagu yang tangkap lentok dan tangkap leleh. X mungkin memberikan kaum pemodal di Malaysia keuntungan tetapi keadaan itu belum tentu di Indonesia.
Pasaran Indonesia luas. Amat luas. Orang-orang tengah dan kaum pemodal di Indonesia tidak berani untuk mengambil risiko berniaga di negara itu. Berbeda dengan di Malaysia, pasarannya kecil. Amat kecil. Jadinya orang-orang tengah dan kaum pemodal, berani untuk mengambil risiko membanjirkan Malaysia dengan artis-artis solo dan kumpulan-kumpulan dari negara Indonesia.
Kalau pada zaman kegemilangan rock dahulu orang-orang tengah dan kaum pemodal melihat artis-artis Malaysia sebagai anak emas, kali ini giliran artis Indonesia pula.
Globalisasi juga digerakkan oleh pasaran bebas, acapkali tudingan kepada globalisasi dan pasaran bebas adalah hegemoni seperti kebanjiran artis-artis Indonesia dan mengabaikan yang tidak bernasib baik seperti yang berlaku kepada artis-artis tempatan. Tidak lupa juga teori konspirasi, konspirasi yahudi, konspirasi bangsa asing dan macam-macam lagi.
Tanpa menyedari sebenarnya pasaran bebas mementingkan keterbukaan pilihan. Semakin banyak pilihan semakin terbuka ruang untuk manusia dan pengguna memilih produk yang disediakan. Orang-orang tengah, kaum pemodal tidak akan menyekat artis-artis untuk muncul bersama menghasil keuntungan. Sebaliknya jika mereka mampu berusaha dan mengilap bakat dan kemampuan mereka, hasilnya mungkin lebih baik dari pulangan populariti mahupun material kepada peminat dan diri artis terbabit.
Salah satu daripada tiang bagi industri ialah kapitalisme dan pasaran bebas. Matlamatnya adalah keuntungan dengan bersendikan terbukanya ruang pilihan. Nyata, dengan kualiti yang kurang dari artis Malaysia, pemodal pasti tidak nampak sebarang keuntungan untuk melabur di negara ini. Dan peminat muzik di Malaysia pun sedar kualiti lagu aman yang sedap didengari dan dinikmati.
Karyawan muzik tempatan kita harus mula menukar corak fikirannya sekarang, dari menyalah dan merasakan diri tidak dibela , ke arah membaiki mutu dan kualiti serta memahami kehendak manusia. Kalau tak pandai menari jangan di salah lantai berjongkat jongket.
Similar Posts:
- SEYTA: Dari Sisi Latar Mazir Ibrahim
- Sore: Ports of Lima Hafiz Hamzah
- DNA Muzik Mazir Ibrahim
- Tanda-Tanda Sebuah Revolusi Mazir Ibrahim
- Meor: Dari Rakyat Untuk Rakyat Mazir Ibrahim
- Sabil Mazir Ibrahim

mantap bang………..
pemikiran yang sangat logis…..
daripada terus mengeluh……
lebih baik terus berkarya terus….. dan terus…….
Indonesia is the best.