Warga Yang Dilupakan
oleh Nik Nazmi Nik Ahmad
19 Januari, 2010, 03:17 pm | kategori Esei | CetakNik Nazmi Nik Ahmad
Sejak akhir-akhir ini, kita–warga Malaysia–seolah-olah hanya memikirkan tentang isu-isu berkaitan bangsa dan agama. Kita terlalu khuatir dengan ancaman bangsa lain dan merasa gelisah tentang masa depan bangsa kita sendiri. Sememangnya keresahan tersebut berasas, namun obsesi seringkali menyebabkan kita lupa bahawa masih ada perkara-perkara yang akan tetap memberikan kesan terhadap kita, tak kira siapa yang memegang tampuk kuasa.
Kita lupa bahawa kebanyakan dari masalah yang kita hadapi tidak mengenal warna kulit dan bukan hanya tertumpu kepada kumpulan etnik tertentu sahaja. Manakala kita mengambil pendekatan bersifat perkauman dan menafikan pemahaman, maka rakyat secara keseluruhannya merana. Sebetulnya wujud dua kelompok yang bergelut dalam kebingungan ini: satu kelompok bakal menanggung kerugian terbesar, dan satu kelompok lagi merupakan kumpulan yang tiada peluang untuk menyumbang kepada negara.
Kelompok pertama merupakan warga Malaysia kelas pertengahan atau ‘Masyarakat Pertengahan’ sebagaimana yang disebut oleh penulis Karim Raslan. Warga kelas pertengahan ini sewajarnya menjadi tulang belakang negara, nadi kepada nilai-nilai yang kita pegang juga wadah kemakmuran–di samping kumpulan miskin tegar yang merupakan kelompok paling merana dalam kesukaran.
Mereka sepatutnya hidup bersama-sama dengan impian Malaysia: menikmati pendidikan tinggi, kediaman yang selesa dan kereta untuk kemudahan pengangkutan. Mereka telah dijanjikan dengan peluang sama ada untuk terlibat dalam lapangan perniagaan atau berkecimpung dalam kerjaya sebagai penjawat awam atau swasta. Sebagai balasan terhadap peluang yang dijanjikan, mereka bertanggungjawab untuk memenuhi tuntutan cukai oleh kerajaan dan mendukung dasar pembangunan negara. Masyarakat Melayu khususnya telah dijanjikan semua ini dan selebihnya menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Namun sehingga hari ini, kebanyakan dari kita merasakan bahawa “Impian Malaysia” ini hanyalah sekadar ejek-ejekan. Nilai gaji masih pada tahap asal sedangkan kos sara hidup melonjak pantas. Pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan para graduan semakin sukar dicari. Masyarakat kita semakin bergantung kepada bantuan pinjaman peribadi dan kad kredit dalam memenuhi keperluan kehidupan. Hal ini kemudiannya mengakibatkan mereka berdepan dengan risiko menanggung beban gadaian ke atas kediaman dan pinjaman kenderaan mereka. Dan para demagog pula terus giat menyebar keresahan dan kekhuatiran atas nama Tuhan, atas nama bangsa.
Tahap piawaian sekolah-sekolah kebangsaan di negara ini juga kian merosot sehingga memaksa ramai ibu bapa mengeluarkan belanja lebih untuk mendaftar anak-anak mereka di sekolah aliran lain. Hatta kemudahan rawatan perubatan juga bermasalah–bagi yang berkemampuan, mereka akan mendapatkan rawatan di pusat-pusat perubatan swasta namun untuk yang lain, yang ditimpa kecelakaan parah kebanyakannya menggunakan wang simpanan yang dikumpul selama mereka hidup untuk membiayai rawatan ahli keluarga masing-masing.
Inilah masalah sebenar yang dihadapi oleh rakyat Malaysia. Maka apakah menghairankan sekiranya mereka bersifat sinis dan marah terhadap percubaan pihak pemerintah untuk menenang dan memujuk mereka? Semestinya rakyat tidak akan mampu bersabar dengan penipuan sebegini.
Kelompok kelas pertengahan sememangnya lebih terdedah kepada dunia luar ketimbang generasi sebelum mereka. Menerusi teknologi internet, mereka kini dibekalkan dengan pelbagai perspektif yang berbeza. Kewujudan perkhidmatan penerbangan tambang murah telah memungkinkan mereka untuk melawat negara-negara asing kerana kos yang lebih rendah, berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Maka impak terhadap kelesuan dan pengabaian peluang yang sedang digeluti oleh rakyat Malaysia semakin terserlah.
Kesan daripada keseluruhan faktor di atas serta ketidakmampuan kita untuk menambahbaiknya, kebanyakan rakyat Malaysia hari ini bekerja dan kemudiannya bermastautin di luar negara. Mereka hilang harapan kerana tidak berpeluang untuk menyumbang kepada negara dan kemudiannya kehilangan identiti mereka. Negara kehilangan idea dan tenaga mereka serta kelihatan tidak mampu menjaga dan mengekalkan rakyat sendiri.
Tahun lalu saya melawat Singapura dan diundang untuk menemui sekumpulan profesional tempatan, penjawat awam dan usahawan. Cukup mengejutkan kerana hampir separuh daripada mereka merupakan warga Malaysia!
Saya juga pernah melawat pelajar Malaysia yang menuntut di Amerika dan kebanyakan daripada mereka menyatakan bahawa mereka merancang untuk membina karier di sana. Seorang pemastautin Melayu yang saya temui menceritakan kepada saya bahawa kebanyakan ahli keluarganya telah memutuskan untuk menetap di California. Seringkali kita bertanya apakah punca yang menyebabkan mereka ini tidak mahu kembali ke tanah air–dan kadang-kala mungkin disebabkan mereka memang tidak mahu kembali.
Seorang juruprogram yang merupakan penduduk di kawasan yang saya wakili menyatakan bahawa adalah cukup sukar untuk membina kehidupan di Malaysia, sehingga memaksa beliau meninggalkan isterinya di Petaling Jaya semata-mata untuk beliau bekerja di Singapura. Untuk menjimatkan kos sara hidup, beliau tinggal di Johor Bahru dan berulang setiap hari seperti mana ribuan warga Malaysia lainnya. Seorang lagi juruprogram yang menetap di Petaling Jaya gagal untuk mendapatkan pekerjaan dan akhirnya menjadi seorang jurutol!
Namun bukan semua mahu meninggalkan tanah air. Kebanyakan daripada teman saya yang sama-sama menuntut di UK – Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan – kini bekerja di sana tetapi merancang untuk kembali ke tanah air dalam beberapa tahun akan datang demi mengumpul pendapatan lumayan dan menambah pengalaman untuk menyediakan diri mereka terhadap prospek yang lebih baik di sini kelak.
Bagaimana sekali pun, Malaysia tetap tanah air bak kata pepatah ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri…lebih baik negeri sendiri’. Saya sering menggalakkan mereka supaya kembali pulang memandangkan Malaysia mampu untuk terus bergerak ke hadapan sekiranya ia memiliki warga terbaik yang berbakat dan berkebolehan. Saya akui bahawa menimba pengalaman di luar negara sememangnya sangat bermanfaat namun demikian, pada akhirnya, Malaysia sangat memerlukan mereka untuk kembali pulang kerana identiti Malaysia mereka menawarkan perspektif unik yang boleh dikongsi bersama dan dipasarkan ke peringkat global.
Saya mengingatkan mereka bahawa manakala kita berpeluang bekerja di mana-mana saja di serata dunia, masih terdapat ramai warga Malaysia yang tidak punya ruang mengecap peluang yang sama. Namun demikian, kembali ke tanah air tidaklah semudah yang disangka. Semakin lama tempoh seseorang itu menetap di luar negara, maka semakin cerah peluang mereka untuk ditawar dengan status Penduduk Tetap, dan lantaran kemudahan serta kualiti hidup yang lebih terjamin di sana–ditambah pula dengan pelbagai masalah yang berlaku di tanah air–maka kebanyakan daripada mereka memutuskan untuk menetap terus di luar.
Sebagaimana yang telah saya nyatakan, kita boleh menghukum mereka menurut kemahuan kita. Namun, seperti mana kita, mereka juga memutuskan apa yang terbaik untuk diri mereka dan keluarga. Tanggungjawab tersebut seharusnya dibebankan kepada pihak pemerintah, iaitu dalam memupuk kecintaan rakyat terhadap tanah air dan bukannya melalui pemaksaan agar satu-satu pihak “membuktikan kesetiaan mereka”.
Seandainya mereka merasakan bahawa mereka tidak diperlukan oleh tanah air sendiri di mana banyak halangan yang membataskan perkembangan mereka, maka mengapa tidak tinggal di negara lain yang menilai seseorang itu berdasarkan kepada merit? Sekiranya mereka berpandangan bahawa satu-satunya cara untuk mereka menjalankan perniagaan di tanah air ialah dengan cara membina jaringan dengan individu-individu tertentu, maka mengapa tidak terus pergi ke negara yang menilai mereka berdasarkan ukuran kesungguhan dan kerajinan?
“Diaspora Malaysia” kita juga, seperti mana kelas menengah, seringkali diabaikan. Kekurangan ini memerangkap negara kita dalam kitaran dahsyat: ketaksaksamaan telah menyisihkan mereka, namun kita tidak boleh berharap untuk menutup jurang ini tanpa bakat mereka yang saling melengkapi dengan apa yang kita miliki di sini.
Ini juga merupakan sesuatu yang harus ditangani oleh pihak pemerintah berbanding dengan slogan-slogan muluk yang hanya sedap didengar. Tanggungjawab berat yang seharusnya kita laksanakan ialah dengan memperkukuh kumpulan kelas menengah dan memperbetulkan kecelaruan pemikiran kita demi menjadikan Malaysia kembali berdaya-saing.
Ketika tahun-tahun awal selepas mengecap kemerdekaan, Malaysia merupakan saingan yang setara di samping negara Korea, Singapura dan Taiwan. Namun pada hari ini, negara-negara tersebut meraih pendapatan jauh lebih tinggi berbanding negara kita. Negara-negara ‘gergasi’ seperti China dan India yang ‘tidur’ sebelum ini kini mulai bangkit dan membangun dengan pesat. Jiran terdekat kita, Vietnam dan Indonesia juga berkembang dengan pantas. Jika hari ini kedua-dua negara tersebut membekalkan tenaga kerja pembantu rumah ke negara kita, adalah tidak mustahil–menurut seorang penganalisis–seandainya suatu ketika nanti kita pula yang terpaksa mengeksport tenaga kerja kita ke sana!
Negara-negara yang berwawasan menyedari bahawa bakat yang berpotensi harus dibentuk tidak kira samada ianya warga tempatan atau pun warga luar demi membangunkan ekonomi negara. Ini akan membolehkan mereka mencapai penilaian yang terbaik. Malaysia pula sebaliknya meminggirkan bakat dan potensi tempatan menyebabkan golongan yang berkebolehan ini menyumbang dan membangunkan ekonomi negara lain.
Maka adalah tidak menghairankan tatkala pihak kerajaan mendedahkan baru-baru ini, bahawa bilangan warga Malaysia yang membatalkan kerakyatan mereka telah meningkat dua kali ganda dalam tahun 2009 menjadikan jumlah keseluruhan seramai 3,800 orang. Seramai hampir 300 ribu warga Malaysia mengungsi antara tempoh Mac 2008 sehingga Disember 2008. Terdapat juga laporan yang menyatakan bahawa berlakunya peningkatan penghijrahan di kalangan rakyat berbangsa Melayu. Persoalannya, bagaimana kita harus menangani trend ini?
Kita perlu merangka dasar yang memperkasa kumpulan kelas menengah. Pemfokusan kepada perkhidmatan setempat masih belum memadai. Sebaliknya, kita harus memastikan bahawa rakyat Malaysia kembali merasai pemilikan mereka ke atas negara ini. Penyelewengan dana dan aset negara mesti didedahkan dan dalang-dalang terlibat harus dihukum.
Kita perlu menerima hakikat bahawa kelemahan urus tadbir bererti hakmilik, maruah bahkan nyawa rakyat Malaysia sememangnya sudah tidak terjamin. Perkembangan terbaru yang melanda negara membuktikan bahawa satu-satu dakwaan boleh saja dibatalkan sekiranya ia menjejaskan pihak berkuasa. Usaha mengubah Malaysia seharusnya ditumpukan kepada tindakan memerangi penyelewengan semacam ini agar ianya tidak berulang lagi.
Pendidikan seharusnya menjadi keutamaan. Kita perlu melabur untuk sekolah-sekolah dan kolej-kolej yang cemerlang dan membebaskan mereka dari manipulasi politik. Syarikat-syarikat swasta memerlukan insentif untuk membangunkan tenaga sumber manusia dalam memastikan pencapaian yang lebih baik. Kita semua tahu bagaimana Singapura menarik bakat-bakat dan potensi yang kita miliki dengan menawarkan mereka peluang pembangunan dalam lapangan pendidikan dan profesional – maka tindakan kita seharusnya dimulai dari sini.
Namun demikian, perubahan paling asas harus dimulai dengan perubahan sosio-politik. Kita sering mendengar ejekan “jika anda tidak suka Malaysia, sila kemas barang dan berambus.” Angkuh dan teramat biadab.
Pihak kerajaan juga telah mengumumkan banyak inisiatif untuk menarik warga Malaysia yang berada di luar negara agar kembali ke tanah air namun ianya tidak mungkin berhasil tanpa perubahan dalam struktur tatanegara kita. Kita sewajarnya mulai menghormati warga Malaysia lainnya dengan lebih baik pada ketika ini dan berhenti daripada terus mempersoalkan siapa yang harus “bersyukur”.
Kita mampu menongkah arus seandainya kita bersedia untuk membuat keputusan sukar terutamanya dalam membenarkan semua rakyat Malaysia untuk berjaya dan membantu mereka yang ketinggalan jauh dalam hierarki masyarakat dengan menggabungkan kaedah meritokrasi dan dasar afirmatif. Adalah sesuatu yang menyedihkan kerana perkataan ‘meritokrasi’ dilihat sebagai perkataan yang membawa konotasi negatif–namun demikian ianya merupakan satu-satunya cara terutamanya untuk menjadikan bangsa Melayu bangsa yang berjaya.
Tidak ada sesiapa yang waras akalnya mampu secara serius untuk menghalang kami daripada terus menyusuri jalan ini. Waktunya telah tiba untuk kita mulai memikirkan kaedah meningkatkan keupayaan ekonomi negara, dan bukannya bergelut untuk merebut potongan terbesar daripada sebiji pai yang semakin mengecil.
Apa yang saya lontarkan barangkali bukanlah penawar terbaik terhadap permasalahan ini, namun saya peka bahawa masih banyak yang perlu dilakukan untuk “Warga yang Dilupakan” – kelompok kelas pertengahan dan teman-teman kita yang berada di luar negara.
Saya menaruh harapan agar teman-teman di Putrajaya dan di ibu-ibu negeri lainnya akan mulai memikirkan sesuatu untuk mereka–warga yang dilupakan–bersempena tahun baru ini.
*Artikel ini telah diterjemah oleh Najwan Halimi daripada artikel asal bertajuk “The Forgotten Malaysians” yang disiarkan dalam laman web The Malaysian Insider pada 31 Disember 2009.
Nik Nazmi Nik Ahmad adalah setiausaha politik Mentri Besar Selangor dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia. Beliau adalah wakil paling muda yang menang pada pilihanraya umum 2008. Bukunya, ‘Mendepani Zaman: Melayu untuk Abad ke-21’ yang diterbitkan oleh Marshall Cavendish boleh didapati di semua kedai buku utama.
Similar Posts:
- Kebangkitan yang Lain (I) admin
- Krisis Perak: Yang Terampas dan Yang Terputus Amin Ahmad
- Dari Auschwitz ke Palestina admin
- Mardika, Merdeheka, Merdeka! Amin Ahmad
- Cinta Corrie Amin Ahmad
- Dialog Antara Agama Di Malaysia: Satu Pertimbangan Osman Bakar
