Penulis di Pentas Kongres
oleh Hasmi bin Hashim
4 Januari, 2010, 10:42 pm | kategori Kolum | CetakHasmi bin Hashim
“Kerja?”
“Penulis,” kata saya.
“Kerja apa?” dia bertanya lagi.
“Penulis,” jawab saya sekali lagi.
Lalu diumumkan dari sudut paling tinggi di belakang pentas, “OK… seorang peguam, ya saya hendak beritahu; seorang peguam lawan seorang… emmm apa tadi?”
“Penulis!” kali ini cukup keras.
“…Ya, lawan seorang penulis!” lakonnya.
Saya tidak fikir, dia tidak tahu. Tapi saya senyum, dan sebenarnya tertawa dalam hati dek ’senda-gurau’ yang sampai sebegitu rupa.
Tapi, apakah ada kesal? Atau apologetik? Apakah saya khianati janji di saat ada yang tercecer walaupun sudah sepakat untuk bersama? Apakah saya tidak memelihara perpaduan parti kerana mengambil keputusan untuk tidak menarik diri; untuk terus ‘berdegil’ sampai ke akhir-akhirnya.
Tidak.
“Jangan kenalkan diri kau sebagai penulis!” kata seorang yang kuat berkempen untuk saya.
“Kenapa?”
“Dia nak rendah-rendahkan team kita!” jelasnya yang separuh menasihat, separuh marah tak berpuas hati.
“Kenapa?” saya tanya lagi.
“Siapa yang hormat ‘kerja’ sebagai penulis?” jelasnya. Bukan bertanya.
Saya diam, tetapi apakah saya tidak tahu itu semua? Demi sebuah kesedaranlah maka saya menjawab tiga kali dengan tegas apabila ditanya Pengerusi Kongres.
Ini sebahagian fragmen dan dialog yang cukup lama saya simpan; secebis kisah ketika saya bertanding ke jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, hampir 3 tahun lalu. Memang, Parti Keadilan dan pemimpin tertinggi sendiri ada semacam trauma tatkala wujudnya pertandingan apabila beberapa kali sebelum itu, perebutan jawatan menyebabkan parti jadi lemah.
Di Sungai Petani, di Kuala Terengganu, di Ipoh sebelum di Seremban, perpecahan berlaku. Tapi… langsung tak adakah sisi dan keperluan lebih matang apabila kita membicarakan soal politik-kekuasaan?
Ada kalanya pertandingan adalah kesempatan untuk melontarkan sesuatu agenda yang diyakini mustahak dan utama. Dan, yang mendesak untuk dibawa selepas “kemarau 7 tahun” adalah apa yang disebut sebagai Gagasan Pencerahan ~ sebuah kesedaran bahawa antara lain bangsa kita perlu keluar daripada “politik-intrik” dan api emosi yang membakar dada sejak sekian lama.
Anak-anak muda khususnya harus mendepani perjuangan dengan kesedaran baru; dengan kekuatan akal dan bukan lagi mainan sentimen atau emosi.
Kerana yakin akan kepentingan itulah saya bertegas tidak tarik diri di saat akhir selain patuh dengan persetujuan awal. Kepada pimpinan dinyatakan bahawa saya akan pastikan sedaya upaya agar pertandingan tersebut tak akan memecahbelahkan AMK, kerana selain kemenangan di kotak undi–yang dijumlah sehingga jam 2 pagi!–tak ada yang lebih besar selepas cetusan Reformasi 1998 kecuali agenda dan gagasan Pencerahan: formula mengeluarkan bangsa daripada kegelapan pembodohan.
Agenda Reformasi itu sendiri tidak akan ke mana, tak akan banyak membawa makna, tanpa perubahan fikrah; sedar untuk membuang faham lapuk yang bersarang dalam diri termasuk kalangan orang politik itu sendiri. Baik yang di seberang sana, atau di sebelah sini.
“Patutnya kau perkenalkan diri sebagai businessman ke… asalkan jangan penulis,” dia memberi nasihat. Saya dengar.
“Jadi, sebagai apa? Penipu!?” tanya saya.
Tidak.
Saya kata, saya penulis dan saya memperkenalkan diri sebagai seorang penulis.
Pernahkah diketahui dan insafi bahawa pejuang kemerdekaan dan pemimpin ulung bangsa Nusantara seperti Muhammad Hatta, Muhammad Natsir, Burhanuddin al-Helmy, Ahmad Boestaman bahkan Seokarno itu sendiripun tak lekang dengan kerja tulis-menulis? Mereka bukan sahaja dikenali sebagai ‘politikus biasa’ yang melambak sepertimana yang ada sekarang, tetapi juga sebagai penulis, kerana menulis itu adalah secebis petanda seseorang itu berfikir dalam setiap langkahnya. Termasuk keputusan politik.
Apakah mereka tahu hubungan intim penulis-dengan-pemikiran dan pemikiran-dengan-politik? Apakah selepas sekian tahun tohmahan, cacian jadi bahasa politik yang bermaharajalela, yang binasa kini bukan sahaja parti pemerintah, tetapi turut rosak adalah keseluruhannya lapangan politik itu sendiri?
Lebur dan compang-campingnya bangsa kita hari ini bukan semata kerana dipimpin oleh manusia yang zalim, tetapi juga yang tak dipandu kuat oleh kesedaran akal-budi sebagai insan. Pemimpin yang malas atau tak menulis adalah manusia yang berkemungkinan besar tak menjadikan kesedaran sebagai panduannya. Perkiraan mereka barangkali adalah nafsu politik yang membuak-buak.
Lebih mendukacitakan apabila seolah-olah diabaikan maksud ayat pertama yang diturunkan Tuhan kepada Nabi Muhammad SAW, “bacalah olehmu wahai Muhammad…” Dengan yang demikian, Tuhan telah meletakkan kedudukan yang tinggi kepada kalam sebagai medium mencapai keadilan dan kebenaran.
Perlembagaan Amerika Syarikat, difikir dan dijaya bukan oleh seorang ‘pekerja teknikal’ atau dalam istilah lain dipanggil “craftsman“; tetapi digubah oleh pemikir yang juga bapa kemerdekaan Amerika, Thomas Jefferson. Antara jasa besar manusia penulis itu adalah dengan meletakkan konsep Federalisme yang jelas ke dalam perlembagaan negaranya. Berbanding politikus biasa yang memerlukan “ghost writer“, Jefferson adalah antara pemimpin di dunia yang menulis sendiri ucapannya dan dikatakan sebagai antara nashkah yang terbaik di dalam sejarah Amerika.
Kalau Jefferson yang juga Presiden Amerika ke-3 itu tokoh yang terlalu jauh dan lama, yang meninggalkan kita 150 tahun lalu–yang tak sempat ditelaah oleh Pengerusi Kongres–mungkin boleh disegerakan kefahaman apabila mendengar nama Václav Havel. Siapa Havel?
Ya, siapa dia kalau bukan antara kenalan kepada Penasihat Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kita bicara bukan hanya kerana Havel itu orang politik dalam pengertian yang sering difahami oleh orang Malaysia khususnya di kalangan politikus daripada parti mana sekalipun.
Havel adalah mantan presiden Czechoslovakia selama tiga tahun dari 1989. Kemudian beliau diangkat sebagai presiden pertama Republik Czech selepas berlakunya “Revolusi Velvet” pada 1992 yang memisahkan kedua negara itu. Darjat Havel bukan sebagai craftsman, sebagai “tukang” dan ahli politik biasa. Tokoh pejuang kebebasan dan demokrasi itu adalah seorang penulis naskhah teater, filem dan novel; seorang seniman; seorang artist; juga kemudiannya seorang presiden. Kerana itu, Havel dibanggakan oleh rakyatnya!
Sewaktu keluar dewan, Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail melambai dari arah kereta. Saya mendekat. Dia menurunkan cermin tingkap.
“Tahniah kerana bertanding dengan bersih,” ucapnya.
Saya jawab, “sama-sama,” selain kata hati saya, “saya sudah berjanji.”
Ternyata kedudukan tidak kekal dan Tim Pencerahan tidak sepenuhnya kalah. Ada kemenangan moral dan misi lebih besar yang dapat dijadikan bekalan. Sampai ke akhir-akhirnya.
Similar Posts:
- Politik Tukar Kulit Hasmi bin Hashim
- Obama Ulang Sejarah Al-Gore? admin
- Langkah Kanan Politik Islam ke Abad 21 Saifullah Zulkifli
- Mahu Jadi Yang Biasa-Biasa Sahaja? Amin Ahmad
- Quo Vadis PAS? Amin Ahmad
- Feminisme Islam di Maghribi admin

Hasmi, kau memang nampak konsisten. Tapi, apapun gagasan yang kau bawa, memerlukan dukungan bawahan. Gagasan yang chantek belum tentu orang bawahan siap menerimanya. Jadi, apa jalan pintasnya? Jalanya, adalah mecalunkankan diri berkali-kali. Kalah, dan kalah, dan tak tahu bila menang. Hanya itu jalan pintas untuk kesedaran. Ingat, Promethues? Itulah anda jika mahu.
Saya siapkan jawapan lanjut mengenai kaum Promethean, namun terasa benar saudara memahami bukan sekadar “strategi”, malah hati-budi saya lebih daripada apa yang saya tuliskan. Itupun sudah cukup membahagiakan. — HH
kadangkala upaya pencerahan memang sukar. mediumnya perlukan perencanaan rapi. saya tidak tahu sejauh mana usaha yg sdr sudah jalankan. namun jangan berpatah arang dengan sekali mencuba. jika sdr menang, ia memerlukan lebih usaha dan kerja keras sebenarnya.
stand up n fight again n again bro…
Salam Brother Huzaifah dan “Vivaloveyou”.
Terima kaseh sebab ‘mengejar’ saya sampai ke Telawi. Upaya membebaskan bangsa daripada pembodohan tampak ada harapan andai ada komitmen dan dukungan yang mulai terasa bersama. RAM adalah antara lain yang direncana beserta program yang konsistan.
HH
Boleh gua tau siapa yang jadi Pengerusi Kongres waktu itu?
Amin… Biarlah ‘rahsia’!
Gagasan Pencerahan yang sedara cetuskan tak mati begitu sahaja. Benihnya sudah tertanam di setiap yang hadir semasa Kongres. Hanya menunggu untuk dijentik lagi dan lagi dan lagi. Dan ini memerlukan kegigihan Pasukan Gagasan Pencerahan untuk terus bercerita sambil memasukkan agenda dalam perbualan santai dengan teman-teman se-Parti.
Walaupun jawatan itu penting agar 3 tekad dalam Gagasan Pencerahan itu dapat terlaksana, penerangan yang gigih jugak perlu bagi memahamkan pemilih. Bagi saya, biar hujah itu sampai dulu, diterima dulu, sampai teman-teman se-Parti yang meminta-minta Gagasan Pencerahan. Namun membanding kerjaya sudah menjadi budaya pekat dalam masyarakat kita. Kerjaya teknikal nampak lebih gah berbanding kerjaya menulis. Ada yang lupa, DSAI yang mereka kagumi itu, jugak seorang penulis.
Tuan Hasmi,
“Roma itu tidak dibangunkan dalam masa sehari”…
Saya cuma rakyat marhean yang mengikuti perkembangan parti-parti politik di Malaysia. Dalam sistem yang kita diami sekarang, keperluan kepada agenda pencerahan yang digagaskan tidak sedikitpun dinafikan – untuk rakyat marhean dan parti-parti politik – lebih memerlukan.
Tuan Hasmi – don’t give up the fight.
Di bawah ini bait-bait lirik kumpulan MUSE – invincible. Ada harapan dan semangat dalam lirik ini yang membuat saya juga tidak mahu mengalah menghadapi kehidupan.
Moga begitu juga dengan Tuan:
Follow through
Make your dreams come true
Don’t give up the fight
You will be alright
‘Cause there’s no one like you in the universe
Don’t be afraid
What your mind conceives
You should make a stand
Stand up for what you believe
And tonight
We can truly say
Together we’re invincible
During the struggle
They will pull us down
But please, please
Let’s use this chance
To turn things around
And tonight
We can truly say
Together we’re invincible
Do it on your own
It makes no difference to me
What you leave behind
What you choose to be
And whatever they say
Your souls unbreakable!
Sapere aude!
Azeera yang baik. Terima kaseh dengan kata semangat, dan lirik lagu yang bagus. Insafi betapa tak mampu lakukan seorang diri. Mahukan lebih ramai, lagi…