Beberapa minggu lepas, sahabat saya Wan Azriq dan Ainunl Muaiyanah membawa saya untuk makan malam di sebuah gerai sajian Barat di pinggir kota. Tempatnya terletak agak ceruk daripada tumpuan, hiasan sederhana, dan ia bukanlah gerai makanan yang cocok untuk kau sertakan ke dalam instagram sebagai tanda kekinian.

Binaan gerai tersebut ringkas – dengan kayu, bata, dan kontena yang dipakai semula. Gerai ini berhadapan sebuah jalan yang sedang disiapkan laluan LRT. Beberapa buruh berjalan di bawah jambatan sambil membimbit topi keledar mereka. Gerai ini, menurut Ainunl, telah dikendalikan oleh Mak Teh selama tiga puluh tahun. Resipi chicken chop ini adalah air tangan beliau. Kau harus memesan chicken chop masakan beliau, Johan. Ainunl tahu saya memang kaki makan.

Semestinya, aku akan cuba. Apabila kami duduk di kerusi plastik, pelayan mengambil pesan. Kami menyatakan hasrat masing-masing dan pelayan pun beredar ke dapur. Dari anjung kaunter saya mendengar Saloma bersenandung. Saya tidak ingat judulnya sekarang tetapi saya tahu itu suara biduanita tersebut.

Sesekali Mak Teh muncul dari jendela kecil dapur, meletakkan pinggan sajian yang baru dimasak. Beliau kelihatan berumur betul. Dengan tudung biru nipis yang berlilit di kepala, beliau menyapa kami mesra sebagai pelanggan pertama senja itu sebelum beliau kembali semula ke dapur kecil di belakang. 

Sajian tiba. Di hadapan saya adalah sepinggan chicken chop rangup dengan saiz besar. Saya mememotong secebis daging dan merendamkannya ke dalam kuah lada hitam yang pekat. Isinya pejal, rangupnya tampak menawan. Seperti keemas-emasan. Dengan harga bawah RM15 saya kira ini pembelian berbaloi. Malahan lagi lazat daripada gerai-gerai yang menjamu sajian Barat dengan harga yang lebih mahal. Kemudian saya menyuakan ke mulut dan mengunyahnya. Enak. Betul-betul sedap. Saya mencuba mengunyahnya sekali lagi, dan saya masih tidak hampa. Ainunl memandang saya: kami temui gerai ini ketika kami mencari-cari gerai makan yang tersedap di bahagian kota ini menerusi blogspot. Hantaran itu akhirnya mengirimi kami ke sini. Kali pertama kami mencuba, kami tidak kecewa. Kami berikrar untuk mampir ke sini lagi.

Saya memerhatikan keliling: tidak ramai ya. Dan mereka pula menjawab: kerana gerai ini masih tidak viral. Ini permata yang masih belum dinodai kebanyakan orang. Tersenyum.

Ya, viral. Itu juga satu isyarat kekinian. Jika di zaman pramedsos dahulu, masyarakat Malaysia bergantung kepada program Jalan-Jalan Cari Makan di TV3 untuk mendapatkan sajian yang terlazat. Ia rancangan travelog kulinari yang terpopular pernah disaksikan di negara ini. Jika hos mereka lawati sesebuah restoran, dan jika restoran tersebut dianugerahi pingat rancangan tersebut, restoran tersebut pasti akan diserbu banyak pelanggan pada keesokan harinya.

Pingat tersebut adalah simbol mutu dan keyakinan. Anda sudah tidak perlu mengupah bomoh siam untuk menyiapkan anda azimat untuk menarik pelanggan. Zaman moden menghasilkan azimat-azimat baru. Anda hanya perlu pandai mencuri perhatian televisyen dan voila, restoran anda pasti akan meniti di bibir-bibir masyarakat.

Tetapi kemudian, terbit suara-suara sumbang lain. Kononnya, restoran-restoran yang disiarkan di Jalan-Jalan Cari Makan tersebut tidak menepati piawaian. Beberapa gerai dan restoran yang menggantungkan pingat tersebut didapati tidaklah begitu enak seperti yang digembur-gemburkan. Ada juga yang memalitkan program tersebut dengan amalan korupsi – terdapat pertukaran wang di bawah meja untuk membeli promosi, meskipun ini langsung tidak pernah dibuktikan. Tetapi khabar angin tetap berleluasa dan kepercayaan rakyat terhadap televisyen semakin meluntur.  Meskipun begitu, program ini tetap diikuti oleh banyak orang.

Tetapi kemunculan internetlah yang betul-betul menyisihkan program ini. Medsos-medsos seperti Facebook, Twitter, Instagram, dan Whatsapp menjadi medan sebaran baru yang menggantikan wahana komunikasi tradisional seperti televisyen – termasuk juga Jalan-Jalan Cari Makan. Jika televisyen berfungsi sehala, medsos menawarkan keupayaan untuk kita berbual dua hala di antara individu dan kumpulan.

Maka di sinilah sajian-sajian baru mula menjadi viral; melalui saranan sahabat di Facebook, atau keluarga di Whatsapp, atau twitfemes di Twitter, atau selebriti-selebriti di Instagram. Ia lebih demokratik. Daripada rakyat kepada rakyat. Bahkan, mereka juga kelihatan seperti kita. Takkanlah mereka nak menipu atau dibeli kapitalisme, kan?

Saya masih ingat, ketika Facebook baru dipakai oleh warga-warga Malaysia, salah satu restoran yang memanfaatkan ruang ini adalah Burger Bakar. Seperti cendawan tumbuh selepas hujan, restoran-restoran burger ini muncul di mana-mana. Rata-rata rakyat Malaysia menyukainya. Seterusnya, seperti yang terangkum di dalam lipatan sejarah.

Hari ini, kuasa viral begitu ampuh sekali. Anda sudah pasti boleh meneka kata-kata kunci yang digunapakai peniaga untuk melariskan jualan mereka. Mereka akan muncul dengan istilah VIRAL, FAMOUS, PADU, LELEH, dll di hadapan kedai untuk mengumpan pelanggan melawati premis mereka. Saya melihat ini di Melaka, di Negeri Sembilan, di Kedah, dan di beberapa negeri lain yang mungkin saya lupa. Mutu kulinarinya mungkin boleh diragui, tetapi hantaran medsos dan ucapan-ucapan tersebut tetap menyihir orang untuk membeli dengan mereka. Kata kuncinya tetap sama hatta di mana-mana.

Di Melaka misalnya, sebuah restoran yang menyediakan jamah sarapan telah memanjangkan tempoh perniagaan mereka sehingga ke senja sebagai tuntutan viral medsos. Beberapa gerai lain menjadi maju dan semakin makmur apabila dimuatkan ke dalam video-video makanan enak di jagat Facebook. Di beberapa restoran kegemaran saya di Selangor juga sudah mulai padat dengan pelanggan-pelanggan yang ingin mencuba sajian terbaru – atau terviral.

Jika dahulu gerai sunyi, sekarang bertambah hingar-bingar dengan pelanggan. Bahkan di kopitiam kegemaran saya di Klang, orang berpusu-pusu datang meskipun di hari minggu. Baru bulan lepas saya terpaksa mengalah kerana tak dapat kerusi kosong untuk duduk. Siapalah saya untuk hakimi apa yang mereka mahukan. Suara rakyat tetap suara keramat.

Tetapi dengan viral ini juga menjurus kepada satu lagi masalah. Apabila sajian dihasilkan dalam kadar yang pantas dan pukal untuk konsumsi massa, mutunya seringkali jatuh. Saya tidak pasti sama ada ini akibat ketergesaan chef untuk menyiapkan jamuan, atau mereka sudah tidak peduli dengan mutu kerana aliran wang yang masuk deras, tetapi ia benar-benar merosakkan pengalaman kulinari saya. Sudah pasti bukan semua gerai seperti ini. Ada juga yang berkecuali. Tetapi ini juga adalah kesan bagaimana hal viral mengesani kualiti sesebuah makanan.

Maka dari sinilah dilema moral bagi keviralan: jika kita temui sajian sedap, haruskah kita mewar-warkan kepada umum? Untuk anjuran utilitarian, ya sudah tentu. Bukankah si Christopher Mccandles si wali pertualangan pernah bersabda, kebahagiaan itu hanya nyata pabila dikongsi. Seterusnya, ia juga memicu pertumbuhan bisnes gerai tersebut.

Dengan menyuluhkan cahaya pada perusahaan tersebut, kita sedang membantu restoran-restoran ini untuk mendapatkan tempat yang selayaknya sebagai penyedia kulinari yang bermutu. Ya, dah pasti, kan. 

Tetapi tetap ada sebahagian diri kita yang mementingkan diri menggerhanai hati. Kita tidak mahu syurga kecil kita dijajahi banyak orang. Kita sukakan kesederhanaan gerai tersebut, tanpa dijarah oleh budak-budak hipster dengan seluar ketat mereka dan baju yang berbelang-belang. Dalam era segala perkara diawasi mata-mata hering medsos, menyimpan ruang peribadi milik sendiri adalah satu pemberontakan kecil.

Singkat kata, kita mahu gerai tersebut menjadi milik kita per se. Keakuan. Keindividualan diri. Selain itu, terdapat juga soal mutu yang mahu kita lindungi. Dalam sabda Khalil Gibran yang diberi pengertian baru, santaplah jamuan terenak dan beritahu tiada siapa. Hiduplah berbahagia dan beritahu tiada siapa. Kerana orang-orang sering ingin merosakkan hal-hal terindah.

Saya meletakkan sudu dan garfu dan menuju ke sinki untuk mencuci mulut. Melintasi dapur, saya melihat Mak Teh sedang ralit memanggang daging dan ayam untuk disajikan kepada pelanggan-pelanggan yang baru singgahi di serambi. Tangan beliau berkedut dan saya bayangkan sudah tiga dekad beliau bekerja dan memasak di ruang kecil ini – mengenyangkan perut-perut yang lapar. Di dapur terbatas ini beliau kelihatan seperti seorang permaisuri yang berkuasa di tanah jajahan sendiri. Beliau tampak bahagia menyajikan jamuan-jamuan.

Saloma bersenandung lagi, kali ini saya tahu lagunya. Malam Ku Bermimpi, beregu bersama lelakinya P. Ramlee. Saya memandang kalendar lama dan pinggan-pinggan yang bersusun di para. Saya pasti akan ke sini lagi, bisik hati kecil saya melihat gelagat wanita separuh umur itu. Kami membayar makanan kami sebelum kami beredar dengan perut yang kenyang dan hati yang puas.

Sekarang pertanyaan yang sama berbangkit lagi: adakah saya patut beritahu kalian nama gerai ini, atau terus menyimpannya?

Johan Radzi, peguam dan penulis yang telah menerbitkan kumpulan cerpennya, Tinju dan Peluru.


Previous Next

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan