Cita-cita saya terlalu besar kali ini sampai saya tergelak menyindir diri sendiri. 

Melepasi suku abad bernafas nyawa, hidup saya seolah titik kecil sahaja di mata seorang tua. Di mata ahli falsafah, barangkali satu titik maha halus. Tetapi di mata seorang pelukis, titik-titik kecil maha halus inilah yang membina satu garis  jika kita pandai susun dekat-dekat. Makna kata semua benda kelihatan bersambung dari jauh. Kalau mendekat, ia kemudiannya menjauh pula. Begitulah sehingga merapati pengakhiran tak berpenghujung. Si Pandai yang mampu meramal kata hujung tidak lain adalah seorang penipu.

Apa sebenarnya hidup ini? – ia soalan timbul tak bersemboyan – kemudian memilih engkar untuk pergi berminggu lamanya. Mencari makna bukan kerja mudah – nabi disalib, ahli falsafah meneguk racun, pakar matematik dibakar dan penyair mabuk-mabuk memikirkan ia – tentang makna dan makna sebuah makna. Memikirkan ia tidak menambah nilai ringgit dalam poket saya, tetapi mengabaikan persoalan ini menjadikan ringgit dalam poket saya sudah tidak bernilai lagi. 

Orang paling miskin selalu sahaja berwirid Dolar Amerika.  

Manusia tidak belajar tentang naluri dan perasaan  dalam ilmu yang keras – cerita selalu sahaja lebih mempesona berbanding jujukan data. Makna menyelinap ketika kita menyelak nilai deria seni – ghaib bersemayam antara baris sepotong puisi, kitab suci atau mentera. Syair-syair dan lipurlara. Seloka mahupun drama. Makna bermain, berlegar dan kemudiannya meminta jalan keluar. Di tangan seorang tukang senilah, ia mohon dilahirkan semula dalam paparan teks, visual, nada, kata-kata dan gerak anggota.

Oleh sebab itu setelah puas menyindir diri sendiri, saya temui kepastian bahawa kita hidup dalam Dunia Simbol – alangkah! Garis-garis membentuk objek menjadi huruf yang membina perkataan, disusun rapat pula menjadi ayat, digabung sehingga membentuk baris perenggan kemudian ditambah dan dicanting-canting untuk menyawakan sebuah teks (perjalanan dari garis menuju baris). Langsung ia dizikirkan dengan taat sehingga otak menaakul sampai suatu hari, yang tinggal bukanlah perenggan itu atau ayat itu atau perkataan itu atau huruf itu atau garis objek itu; melainkan makna. Ia tidak boleh disentuh atas satu sebab; – hikmah tidak terzahir, hanya terpantul.

Resah berfikir tentang makna hidup adalah tindak balas sifat penting diri saya yang selalu mahukan jawapan: bukankah kita diasuh untuk takutkan sesuatu yang kita tidak tahu (dan setelah itu, membencinya)?  Kehidupan saya sebagai seorang manusia yang mencintai seni serasa kiambang – terapung-apung; akar tak jejak bumi, pucuk tak cakar langit. Selagi mana saya tidak memikirkan hal ini dan mendengar rengekan untuk menulis tentang ia, tubuh badan saya dan rasa kantuk tidak boleh bersahabat. Seorang penulis tidak patut memenangkan keselesaan melebihi apapun. Atau setidaknya, itulah yang saya rasa ketika ini.  Boleh jadi, ini tidak lain hanyalah sebuah spekulasi pada jam 4 pagi, ketika catatan ini saya tulis tanpa henti seolah memimik satu hela nafas seorang manusia, ketika keadaan menjadi gelap dan tenteram.

Tugas pertama akan jadi mudah jika saya runtuhkan sains – saya kata bahawa seperti seekor katak, kita juga adalah haiwan amfibia, hidup dalam dua dunia, malah lebih lagi (nah, wujudkah perkataan polifibia?). Ada dunia fizikal, di sini ia disubur politik, undang-undang, matematik, sains dan rekayasa rencam – semuanya membentuk fizikaliti sebuah peradaban. Ia seperti baris-baris indah di dada al-Quran. Kita belajar dan menggunapakai ia seperti kita belajar baris atas a, baris bawah e dan baris depan u. Mencipta sistem seperti di zaman Uthmaniyah meletak baris-baris untuk tujuan pengkelasan. Tetapi dunia fizikal hanyalah sebuah dunia fizikal, ia tak mampu pergi jauh bersendirian. Ayat-ayat al-Quran seperti itu juga, tak mampu ditampil hikmah kalau tak faham makna dan konteksnya (sejarah dan masa ia diturunkan). Dunia Fizikal adalah tempat kita memegang sesuatu, dan pegangan hanyalah sebuah silinder lohong jika tiada isi kandung yang sepatutnya lebih kukuh. Ia direnung Rumi yang mengatakan bahawa bukankah si pembuat kendi itu menghasilkannya untuk menakung air?

Dunia kedua inilah Dunia Simbol, di/ter-cipta satu darjah lebih rendah dari Ketuhanan Alam supaya manusia bermesra dengan sesuatu yang tidak diketahui tetapi mampu dirasa. Dalam Dunia Simbol imej sepohon pokok tentulah tidak sama dengan sepohon pokok itu sendiri (ini bukan paip, kata RenéMagritte), tetapi antara imej dan objek, yang terpenting tentulah naluri rasa setelah melihat akan sesuatu. Kemudian, dari sisi mana satu harus saya belai-gosok ia supaya dapat merasa, kalaupun tidak dapat memahami sebetulnya. Seorang tukang seni terlebih dahulu mencuri kenikmatan proses menghasilkan sesuatu, yang tinggal untuk kita hanyalah percubaan-percubaan untuk menyelaminya. Dan sehingga kita belum sedar akan kenyataan ini, kita akan selalu sahaja tertinggal jauh dengan memuja kecantikan tetapi mengabaikan keindahan. Di musim penulis dihimpun-himpun untuk dibelit lidah penguasa, kita tercicir tentang naluri seni yang selama ini dipoliskan oleh tradisi agama dan budaya dari Dunia Fizikal. Padahal, kerja si tukang seni adalah untuk mencabar apa pun, terutama dirinya sendiri. Begitulah tentang keindahan!

Kebenaran adalah tanah lapang tak berjalanan. 

Setiap kali membaca wawancara tentang proses seseorang tukang seni berkarya dan ketika mereka berbincang tentang ilham ataupun inspirasi, saya membawa diri ke zaman Yunani yang percaya bahawa tukang-tukang seni ini mendapat bisikan-bisikan dewa-dewi mahupun Tuhan untuk menghasilkan satu kesenian. Barangkali begitu mereka mentakrif bakat. Orang yang terlebih dahulu hidup ribuan tahun dari kita sudah melakar-lakar pada dinding gua, berlipur lara di marak bonfiremahupun bergurindam sebelum mudik ke muara. Mereka terlebih dahulu menggagasart berattanpa perlu diterma seperti hari ini. Selain hiburan, ia berfungsi lebih besar dari itu. Seni mantera merawat penyakit, penulis merekod sosiologi zaman serta pencatan bermain-main dengan cahaya alam. Yang tertinggal untuk kita adalah sulingan kepada apa yang telah mereka cipta, dan dari sulingan itu kita belajar bahawa seni tidak lain adalah peralatan utama untuk memahami diri sendiri, siapa kita apa adanya dan apakah makna semua ini. 

Ia mengajar kita hormat kepada alam dan bersetubuh dengannya. Arwah nenek saya selalu mengajar saya tentang satu hal – semangat, bahawa semua benda di sekeliling kita mempunyai semangat. Saya yang masih kecil gagal memahami makna sebenar semangat, kerana telah diajar di sekolah dalam subjek Bahasa Melayu bahawa semangat itu adalah satu bentuk perasaan (contoh penggunaan: semangat membara). Dari kecil minda saya sudah dipolis penguasa supaya apa yang saya tahu tidak membahayakan. Segala yang berlainan dibilang salah atau dikhabar haram. Seekor burung yang lahir dan membesar dalam sangkar akan menyangka bahawa terbang keluar adalah satu penyakit, kata Jodorowsky. 

Manusia tersombong tentulah yang mengakui bahawa mereka sahaja sebenarnya yang mempunyai roh. Ia dicerita seperti cahaya atau sekian-sekian, dan akan terbang sekejap ketika kita tidur. Dan ketika ia keluar dari tubuh selamanya, kita akan mati. Kemudian, berjalan ke tanah abadi – dihukum nyalaan api atau merasai nikmat bidadari. Tetapi sudah tentu ia tidak semudah itu – dan semangat tidak wajar dihad sepermukaan demikian. Orang Pandai akan selalu bermesra dengan alam sebelum mereka berkarya – sebab alam ini akan selalu lebih besar dari manusia dan objeknya. 

Semangat tidak berlegar minta untuk digesel bahu lantas bertanya khabar. Ia bersembunyi di tempat pencil, seperti di hujung lekuk senyuman, kelopak air mata ibu kita, di alur sungai ketika melanggar batu, atau di bahagian paling akhir warna jingga setiap kali matahari mahu pulang. Semangat hanya mampu dihubungi dengan rasa Percaya dan Rendah Diri. Oleh sebab itu tukang seni pada zaman dahulu memohon semangat alam sebelum melakukan sesuatu upacara. Kita menahyulkan semua ini tetapi percaya habis-habis kepada duit fiat yang khayal. 

Barangkali sudah sampai masa dengan keadaan saya tergesa-gesa menghabiskan catatan ini mengatakan bahawa segala macam seni yang kita buat tidak lain adalah untuk saling berhubungan. Ia sebuah panggilan telefon untuk bertanya – apa khabar nenek moyangku? Apa khabar sang laut dan udara, hujan dan embun, tidur dan jaga? Saudara-mara kita yang merindui manusia tentu sahaja berbisik melalui ilham dan kemudian kita menulis berjela-jela, melukis tak sedar-sedar, menyanyi berlagu-lagu mahupun menari memutar fana’ dan asyik. Setidaknya, begitulah hal yang berlegar di lantai fikir saya ketika menulis hal ini.  

Maka demikian setiap hari selama ribuan tahun akan ada beberapa bilik di setiap pekan bernyala-nyala melanggar malam – sama ada dengan lampu atau semangat – dan seseorang meminjam sebahagian kekayaan Tuhan, yakni semangat mencipta – untuk menghasilkan sesuatu, dan penghasilan itu sebenarnya adalah penemuan, seperti dicerita Picasso bahawa lukisan-lukisan yang dilakar bukanlah sebuah objek seni, tetapi objek pengkajian. Kehalusan yang timbul tidak seliteral ilmu matematik mahupun undang-undang, dan jalan terpayah akan selalu sahaja memberanakkan keindahan berpengetahuan. Tetapi yang lebih penting dari keindahan berpengetahuan adalah keindahan berperasaan.  Lukisan yang tergantung, teks yang dikarang, tarian yang diliuk-lentok, hanya akan digelar seni jika ia membawa sesuatu kepada perasaan. Lebih daripada perlu difahami, ia sebenarnya perlu dirasai. Jika difikir kembali, berapa kerap kita bertanya khabar dan bersemuka dengan perasaan sendiri sambil membuang akal jauh-jauh untuk seketika waktu?

Ketika catatan ini ditulis asalnya saya berniat untuk memperjodoh seni bersama makna hidup dengan harapan akan ada sesuatu yang besar timbul dari perlanggaran kedua ini – tetapi di akhir perjalanan saya memilih langkah juvenil untuk meninggalkan potongan-potongan berselerakan – cubaan untuk melarikan diri dari tanggung jawab memperjelas. Dikhabar Wilde bawa memberi definisi adalah meletakkan had kepada sesuatu, dan oleh sebab demikian saya berharap untuk terus menyumpah diri sendiri supaya tidak menemui segala jawapan dengan terlalu segera atau dalam keegooan tergesa-gesa, sebab misteri selalunya mempertemu sesuatu yang menakjubkan dan ketidaktahuan selalu sahaja dipandang rendah. Sudah tentu tubuh badan manusia tidak hanya di/ter-cipta untuk lahir, hidup dan mati – ia bukan sifir asal kecuali ditangan orang yang cuai menilai. Ada sesuatu yang berada di dalam dalam dalam jiwa kita menunggu untuk ditegur Hello, Apa Khabar? Mungkin dengan seni yang memperkembang jiwa akan menggoncang sedar bahawa kita semua kalau digabung-gabung sebenarnya hanyalah seorang manusia; kadangkala tangan selalu berkelahi dengan kaki dan otak memandang rendah kepada naluri. Mungkin, dan saya tulis mungkin, hanya dengan seni sesuatu menjadi hidup, kerana tanpanya kita hanyalah tubuh yang mati tetapi bergerak-gerak. 

Di Masjid Kapitan Keling bersebelahan tempat saya diam, azan subuh mencengkam awan. Saya renung tubuh saya yang masih tidur di ranjang sebelum berbisik ‘selamat datang’, kemudian langsung pulang menemu Tuan.   

Fahmi Mustaffaadalah penulis, pelukis dan artis persembahan. 

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan