Seputar kemarahan antarabangsa yang meningkat berkenaan pembunuhan ganas lagi ngeri wartawan anti-Saudi Jamal Khashoggi,  Menteri Luar Saifuddin Abdullah mengulangi kenyataan bahawa “hubungan dua hala Malaysia dan Arab Saudi kekal teguh”, memetik sebuah liputan yang melaporkan maklum balas Putrajaya atas pembunuhan tersebut. Beliau dilaporkan menyambung komen tersebut dengan menyatakan, “kita negara yang suka berkawan. Kita melihat kepada gambaran besar”. Tidak sedikit pun mengisyaratkan kegelisahan beliau.

Ramai rakyat Malaysia, pastinya, mendapati komen beliau sangat meresahkan.

Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamed, bagaimanapun, memberi kenyataan segera: tanpa bersembunyi, dan menolak kesemua “gambaran besar” yang bukan-bukan, beliau menegaskan bahawa pembunuhan Khashoggi “kezaliman yang melampau dan tak dapat diterima” yang “tidak boleh dibiarkan”. Kerajaan Pakatan Harapan tidak boleh menerima sesuatu seperti itu, tambah beliau.

Menurut pihak berkuasa Turki, pembunuhan Khashoggi dijalankan oleh pasukan professional pegawai-pegawai Saudi yang menunggunya di konsul Saudi di Istanbul. Setelah dilemahkan, beliau dilaporkan telah dipotong badannya hidup-hidup oleh pakar forensik (sebahagian dari pasukan Saudi tadi) dan mayatnya dibuang. 

Naratif rasmi Saudi berkenaan pembunuhan ini langsung tidak berwibawa. Setelah berhari-hari bertegas bahawa Khashoggi meninggalkan konsulat dalam keadaan masih hidup, pihak Saudi, berhadapan dengan bukti yang bertimbun tentang persubahatan mereka, kini mengaku yang Khashoggi memang dibunuh dalam konsulat. Namun, mereka dengan mudah mengatakan bahawa ini merupakan hasil kerja ejen-ejen liar yang bertindak tanpa kebenaran rasmi. 

Pemerhati yang terbiasa dengan cara kerajaan Saudi bekerja tegas menyatakan bahawa operasi seperti ini tidak boleh dijalankan tanpa pengetahuan Putera Mahkota Mohammad Bin Salman (juga dikenali sebagai MBS), kuasa sebenar di sebalik takhta. Putera tersebut, sememangnya, mempunyai sejarah perilaku yang gopoh dan semberono. 

Apapun, pembunuhan Khashoggi mengejutkan dunia. Sesetengah penyokong kuat Jeddah pun terganggu dengan tindakan yang benar-benar gasar dan mendesak penyiasatan penuh dan telus. Dalam masa yang sama, ramai pemimpin perniagaan dan politik sedang memboikot persidangan “Davos di gurun” (inisiatif utama MBS) sementara canselor Jerman dan perdana menteri Kanada telah mencadangkan pengharaman senjata api kepada Arab Saudi.

Dalam keadaan begini, penegasan menteri luar tentang perniagaan seperti biasa dengan kerajaan Saudi sangat tidak sesuai. 

Lebih dari itu, ianya suatu petunjuk betapa kementerian luar masih belum memikirkan dengan tuntas citra Malaysia baharu dan bagaimana cara terbaik untuk menunjukkan nilai-nilai dan harapan masyarakat yang bebas dan demokratik yang berasaskan penghormatan kepada keluhuran undang-undang. 

Ucapan PBB Perdana Menteri dan ikrar beliau untuk memeterai semua konvensyen hak asasi manusia PBB yang masih tertinggal sewajarnya dilihat sebagai petunjuk iltizam baharu Malaysia untuk hak asasi manusia, selain isu-isu lain. Adalah berlainan untuk kementerian luar sekadar mengesyorkan ucapan perdana menteri di Parlimen dan mendakwa ucapan tersebut sebagai dasar; dan suatu perkara lain pula untuk memberi penyataan bermakna pada posisi yang kita ambil dalam isu-isu antarabangsa.

Jelas sekali, salah satu perkara yang perlu diambil kira ialah dimensi hak asasi manusia yang konsisten dalam dasar luar kita untuk masa mendatang. Atas nama perpaduan Islam yang songsang, kita, contohnya, terus membungkam sewaktu para despot Muslim mensasarkan rakyatnya. 

Sehingga kini, kita kebanyakannya kekal acuh tak acuh atas kerosakan yang Arab Saudi (dengan bantuan AS dan UK) lakukan kepada Yaman, salah satu negara termiskin di dunia. Lebih dari 10,000 rakyat Yaman telah terbunuh sementara berjuta lagi bakal menjadi mangsa kepada apa yang disebut oleh PBB sebagai “kebuluran terbesar yang disaksikan dunia setelah berdekad-dekad”. Apa yang diperlakukan Saudi kepada Yaman tidak lain tidak bukan merupakan jenayah kemanusiaan; berdiam bukan lagi pilihan. 

Dengan kerjasama MBS dan helang-helang di Washington dan Tel Aviv yang mahu merancang perubahan rejim di Tehran, keadaan akan menjadi lebih parah. Tidak cukupkah penyembelihan dan kemusnahan di Afghanistan, Irak, Libya dan Syria? Tidakkah kita pelajari apa-apa daripada akibat dahsyat perubahan rejim? Berapa banyak lagi bandar-bandar yang mahu dibom, berapa banyak lagi kematian dan kehancuran harus kita lihat sebelum kita mendesak Saudi dan penyokongnya di Washington untuk menghentikan kegilaan ini?

Sebelum mereka berkuasa, ramai pemimpin PH yang menyatakan kemarahan mereka atas pembunuhan beramai-ramai di Yaman dan mendesak penarikan balik semua anggota sokongan bersenjata Malaysia daripada gabungan yang dipimpin Saudi. Tiada pun cakap-cakap tentang diplomasi “gambaran besar” waktu itu.

Dengan kenyataan beliau berkenaan pembunuhan Khashoggi, Mahathir telah menghantar mesej yang jelas bahawa terdapat had kepada perpaduan Islam, dan dasar luar berprinsip mewajibkan kita untuk melawan kezaliman dan mempromosikan keamanan secara aktif di dunia.

Hari-hari yang mana mata kita tertutup kepada kezaliman hak asasi manusia dan seruan perang kerana kelebihan politik sudah berakhir. Kementerian luar, seperti mana-mana kementerian, haruslah bangkit mendepani cabaran Malaysia Baharu dan member erti kepada nilai-nilai yang diwarwarkan. Rakyat sedang berharap.