Sewaktu Zainul menyikat rambut ke belakang, dia baru perasan dahinya sudah berkedut. Dia memicing mata, menyapu dahi dengan telapak tangan sebelum menghembus nafas ke cermin itu. Tanda X dilakar padanya. Pandangannya menjalar pada kalendar kecil tergantung di sisi cermin. Sudah tiga bulan, bisiknya.

Dia mencapai topi jaring dan memerkup ke kepalanya. Tombol pintu bilik dipulas. Keriut engsel memanjat cuping telinganya. Di ruang tamu, Azrai terbongkang di atas sofa. Dengkurnya bergerigi. Pada skrin tv  seorang gadis dan pakcik sedang berbual di studio. Zainul menoleh seketika. Ia seperti filem bisu. Dia menutup tv. Kedinginan terjulai dari tingkap yang terbuka luas. Dua lagi bilik tidur masih terkatup rapat. Dengkur nafas berselang-seli dengan seretan bilah kipas.

Zainul menyarung kasut dan melangkah keluar. Dia menekan butang lif turun ke aras paling bawah. Kasutnya hampir terpijak lecakan air di penjuru lif itu. Baunya hancing persing. Sewaktu dia keluar kelihatan laki-laki dan perempuan dalam aneka seragam, bertopi dan berbut hitam, berjejal-jejal di sisi jalan. Kebanyakannya pekerja asing. Zainul menyeluk kedua belah tangan ke dalam saku. Dia menyeret langkah melepasi beberapa blok rumah pangsa. Kawasan parkirnya sendat. Kereta bersusun berlapis-lapis. Dia memanjat tangga jejantas untuk ke seberang jalan. Laluan itu gelap dan berbau busuk. Pada sebelah siang ada seorang pengemis tua yang setia duduk di hujung jejantas itu, menggoncangkan syiling dalam cawan kertasnya.

Turun dari jejantas itu, ada sederet bangunan kedai. Zainul sudah memasang niat hendak singgah di kedai itu yang beroperasi 24 jam. Teh tarik di situ sangat sedap dan roti canainya rapuh. Tetapi sewaktu dia tiba, kedai itu bertutup. Seorang pengemis tua kurus berbaring di atas kotak buruk berhampiran pintu kedai. Zainul berasa bimbang. Apakah itu bayangan nasib tidak baiknya hari ini? Tangannya yang menggeletar dikepal kemas.

Sesekali sebuah dua motosikal melintas. Sesekali lori menderum enjinnya menenyeh kesepian. Zainul terus melangkah. Tak mengapa, fikirnya. Di Laizia nanti dia boleh minta teh percuma walaupun teh yang dibancuh pekerja Vietnam itu tidak sedap mana. Dia boleh minta burger atau nasi goreng kampung. Semuanya percuma dan servisnya cepat. Jalan yang dilaluinya sunyi sepi. Cahaya samar-samar dari lampu tiang dihurung kelkatu jatuh ke aspal, menghasilkan bintik-bintik.

Laizia tidak jauh. Dalam sepuluh minit dia akan sampai. Zainul boleh saja memandu kereta tetapi dia lebih suka berjalan kaki. Tika mengatur langkah begini, sesekali kegusaran bercambah di kepalanya dan turun ke dada. Sudah tiga bulan dia menganggur sejak syarikat tempat dia bekerja mengecilkan operasi. Zainul termasuk dalam pelan pengecilan operasi itu. Dia ditawarkan berhenti secara sukarela dengan pampasan kecil. Sehingga hari ini dia masih belum berjumpa pekerjaan baru. Duit pampasan sudah habis digunakan. Wang simpanan makin menyusut. Entah tinggal berapa hari saja lagi dia boleh bertahan. Dia sudah mencatu segala perbelanjaan. Tapi semakin hari semakin mengusutkan fikirannya.

Hanya Laizia tempat dia menaruh harapan. Dia ke situ semula setelah kali terakhir melakukannya tiga tahun lalu. Mengingati pertaruhannya ketika itu, dia cuma bermodalkan tiga puluh ringgit dan setelah empat jam bertarung dengan nasib, dia berjaya membawa pulang lima ratus ringgit. Azrai yang mengenalkannya dengan permainan slot mesin, menggesanya supaya bertaruh lagi dan menang lebih besar. Tapi Zainul tidak mahu. Baginya nasib yang baik tidak memanjang. Putaran kenangan itu membuatkan Zainul bersemangat semula. Kalau dia kalah… ah, dia tidak memikirkan tentang kekalahan pun. Aku akan menang, bisiknya.

Zainul mendengus nafas berat ketika melalui jalan berbukit. Dia membelok ke kiri dan sampai ke tempat tujuannya. Di Jalan Syed Maarof, ada tiga blok bangunan kedai. Laizia terletak di tingkat atas blok tengah. Di bawahnya adalah salon rambut. Salon itu dihimpit kedai ramalan nombor ekor dan kedai serbaneka. Resit dan tiket bersepah di bibir pintu kedai itu. Zainul ke kedai serbaneka untuk membeli rokok. Pintu utamanya berkunci.  Zainul melihat jam di telefon bimbitnya. Baru lima pagi. Seorang pekerja membuka pintunya.

“Lama tak nampak?” sapa pekerja itu yang masih mengenali wajahnya. Zainul berpura-pura tidak terkejut walaupun dalam hatinya berasa hairan.

“Busy”

“Kelmarin ada rush.”

“Iya? Laizia kena?”

“Ha’ah. Tapi cam biasa, mamat Bangladesh tu dan ada dua orang budak bawah umur kena,”

“Kau rasa selamat tak?”

“Apa? Kau nak naik pagi-pagi buta ni?” tanya pekerja itu terkejut. Zainul mengangguk.

“Okey kot. Takkanlah dia nak serbu lagi lepas beberapa hari,”

Zainul membayar harga rokok dan mengucapkan terima kasih. Dia menekan butang loceng penggera di pintu gril bawah Laizia. Selama seminit dia menunggu barulah pintunya dibuka. Seorang pekerja wanita Vietnam yang ramping menyambutnya. Komputer-komputer tersusun elok, bau pewangi bercampur dengan tengik rokok. Ada seorang lelaki India menekan-nekan tetikus dan seorang pemuda Cina sedang ralit dengan permainan Baccarat.

“Minum apa?”

“Bagi teh. Kurang manis ya.”

“Okey. Meja berapa?”

Zainul mengambil komputer nombor 3 bersebelahan pemuda Cina. Itu nombor bertuahnya. Zainul mengeluarkan seratus lima puluh dari dompetnya dan memberikan kepada pekerja itu. Dia melaung nombor 3 dan satu suara dari hujung mengeyakannya. Pekerja itu berlalu ke belakang.

Memilih permainan Paus Biru, Zainul meletakkan pertaruhan besar dengan nilai seringgit untuk satu garis. Ada 20 garis. Dia menekan sekali dan 20 ringgit melayang. Kemudian dia menurunkan nilainya ke separuh. Zainul hanya menunggu slot bonus. Kalau dia dapat tiga ekor tiram sebaris, nilainya akan berpuluh ganda malah pernah ada yang sampai beratus ganda. Setelah satu jam dia berhenti. Duitnya sudah habis.

“Kau bet besar sangat. Kecil cukuplah,” tegur pemuda Cina di sebelahnya.

“Kau pernah menang?”

“Pernah,”

“Banyak?”

“Tiga ribu. Satu bulan sudah habis.”

“Banyak jugak tu. Bila?”

“Empat tahun lepas,”

Pekerja Vietnam datang membawakan teh tambahan berserta burger untuk sarapan. Zainul masih tercatuk di depan komputer. Baki duitnya tinggal seringgit. Dia termangu. Fikirannya kosong.

“Bos, mau top up?” laung suara dari kaunter juruwang.

“Tunggu aku turun jap keluar duit,” balas Zainul. 

“Hoi ini semangat kita mau,” sampuk pemuda Cina itu, tersengih kerang busuk.

“Jangan ambil tempat aku ya. Ini air, jangan usik,” pesan Zainul sebelum tergesa-gesa turun.

Zainul kembali beberapa minit kemudian bersama dua ratus ringgit. Ini kalilah, jeritnya dalam hati. Dalam akaun banknya, duit simpanan hanya tinggal lima puluh ringgit. Zainul memulakan permainan yang sama. Dia membetulkan posisi duduknya dan menegakkan badan. Pertaruhannya kekal besar. Dia menyerah segalanya kepada nasib. 

Setelah setengah jam dia menjerit. Pemuda Cina dan lelaki India terkejut lalu mendekatinya. Zainul berjaya mendapat tiga ekor tiram dalam segaris beku. Dia perlu memilih untuk membuka salah seekor tiram. Yang mana satu dulu dipilih akan menentukan nilai putaran percuma sebanyak 20 kali.

“Yang kanan lah bro,” kata lelaki India.

“Eh, yang tengahlah. Mesti ada ong punya,” kata lelaki Cina pula.

“Aku pilih… tengah!”

Jam sudah menunjukkan angka tujuh pagi. Ada tiga orang lagi pelanggan yang naik ke Laizia untuk bertaruh nasib mereka. Zainul mengetap bibir dan memilih tiram di tengah. Tepat, tiram pertama memberikan nilai lima puluh ringgit untuk satu kali putaran. Tiram kedua nilainya seratus ringgit untuk gandaan nilai dan tiram ketiga bernilai lima ringgit untuk bonus.

“Lu memang nasib besar wo,” tegur lelaki India itu. Dia ikut sama bersemangat.

Ini mesti, ini mesti punya! Pekik Zainul dalam hatinya. Dia menekan tetikus. Semakin galak suara di sisinya apabila nilai kemenangan terkumpul menjangkau seribu. Zainul menyandar pula dan membiarkan autospin membuat pilihan. Ketika kali terakhir slot dalam talian itu berputar, Zainul sudah menang sepuluh ribu ringgit. Dia terdiam seketika. Patutkah dia tunaikan duit kemenangan itu atau terus bertaruh dan menang lebih besar?

“Main lagi bro!” usul pemuda Cina.

“Betul, kasi menang besar punya,” tambah lelaki India.

Tapi Zainul tidak berani lagi. Dia bangun dan ke kaunter untuk mengambil wang kemenangan. Tauke kedai itu tidak senyum. Dia terpaksa memberi sepuluh ribu kepada Zainul. Dia tidak peduli itu. Hatinya terlalu girang. Sewaktu si tauke sibuk mengira wang, ketukan pintu berdentum-dentum.

“Polis! Polis!” jerit seseorang.

Pengunjung yang ada terpontang-panting cuba keluar mengikuti pintu belakang.

“Hei, bagi sini,” Zainul merabus duit yang sudah berikat itu dari tangan si tauke apabila kelihatannya mahu melarikan diri.

“Wei, lari lah! Ada pintu belakang ni,” kata seseorang kepada Zainul. 

Tidak ada gunanya melarikan diri fikir Zainul, polis sudah tentu menunggu di luar. Zainul berdiri, memasukkan wang kemenangan ke dalam poket. Dia melangkah perlahan menuruni tangga, mengusap poket seluarnya yang tebal.

Abdullah Hussain, penulis dari Pahang. Novelnya, Menculik Sensasi diterbitkan oleh Lejen Press pada tahun 2016.