Pada tahun 1895, di kamar studinya, seorang Inggeris selesai menulis prakata manuskrip tulisannya mengenai orang Melayu. Ia tulisan orang asing setelah meneliti satu bangsa selama puluhan tahun dengan persepsi kapitalisme. Sebagai orang kulit putih dia mempunyai beban maha besar menjangkaui tugasnya sebagai wakil empayar.

Lelaki Inggeris itu merasa puas dengan apa yang dikerjakan sepanjang 20 tahun ini. Maka, selesai menulis dia membaca kembali ayat-ayat pertama daripada manuskripnya. Dia menulis;

“Untuk memahami Melayu, kau harus hidup di negerinya, bercakap bahasanya, hormat akidahnya, meminati apa yang dia suka, merasa suka prejudis-prejudisnya, bersimpati dan membantu jika dia ada masalah dan berkongsi kegembiraaan dan bahkan risiko yang dihadapinya. Dengan itu kau ada harapan memenangi hatinya. Hanya dengan memenangi hatinya, barulah kau akan memahami apa yang tersirat dalam sanubarinya, ilmu ini hanya akan hadir kepada orang yang punya peluang dan pandai pula menggunakannya.”

Dia sekali lagi merasa puas sambil memandang ke luar jendela. Di luar jendela ada beberapa gadis sedang bercanda sopan. Dan beberapa anak muda sedang siap berlaga ayam.

Dia terlupa. Ada satu lagi yang belum dibuatnya. Lantas jemarinya mengambil pena dan menulis di akhir prakata, 

‘Frank Athelstane Swettenham’. 19 Mac 1895 dan noktah.

***

Sukar memahami Melayu. Melayu bukan sekadar puisi Usman Awang mahu pun seperti apa yang dicadangkan Syed Naquib Al-Attas. Melayu, untuk memahaminya menjangkaui apa-apa fahaman dan penelitian- kerana orang Melayu itu bukan seorang dua. Tetapi sebilangan manusia yang bertutur bahasa Melayu dan berbudaya, bahkan terpencar di seluruh dunia.

Melayu juga sukar difahami menerusi Perlembagaan, kalaupun boleh mentakrifnya dari kaca mata Perlembagaan, Melayu tetaplah rumit nak difaham.

Jikapun seseorang bersetuju dengan rangka kaedah Syed Naquib yang melihat naratif besar sejarah- dan meninggalkan apa yang disebut runcit-runcitan sebagai satu lagi keabsahan mentakrif Melayu. Ia tetap tak dapat menghasilkan kesimpulan tepat tentang orang Melayu. Sejarah orang Melayu saya fikir hanya mampu menceritakan Melayu sekurang-kurangnya 1/6 daripada identitinya saja.

Kerana manusia Melayu itu tetaplah manusia. Ia bukan seperti leluhur mistiknya yang lahir di Langit Indera Kayangan . Kerana Melayu itu manusia. Dia semestinya berubah-ubah dan berevolusi.

Walaupun rumit. Saya fikir tidaklah salah untuk memberi sifat dan karakter untuk orang Melayu. Seperti apa yang dilakukan Usman Awang, Syed Naquib dan bahkan Frank Swettenham itu. Semua orang yang mahu memahami susur galur bangsanya, dan bahkan menelitinya. Boleh saja menyimpulkan secara bebas watak Melayu.

Dengan mengenali ratusan (atau lebih) orang Melayu, boleh saja seseorang membuat kesimpulan sendiri tentang ‘apa atau siapa’ Melayu- mengikut neraca peribadi si pemerhati. 

Syukur saya sempat mengenal orang Melayu dari segala macam jenisnya. Maka saya fikir boleh saja (walaupun mungkin berspekulasi) memberi karakter dan sifatnya dari pengamatan saya sendiri. Dan boleh saja apa yang saya katakan sebagai telahan semberono.

Dalam penilaian semberono itu, ada satu karakter yang saya rai dan suka.

Orang Melayu itu adalah manusia yang sukar menjadi sekular atau agamis yang sebenar-benarnya. Mereka seakan hanya mahu menjadi separuh sekular atau separuh agamis.

Jikapun dia mengaku sekular, sekularnya masih percaya Tuhan. Tuhan mungkin selalu dimarahinya, tetapi di akhir malam- dia bercakap dan berbahas dengan Tuhan di dalam hati. 

Ada juga Melayu sekular tetapi masih senang beribadah, tidak makan babi, tidak minum arak, tidak main perempuan. Mereka sensitif melihat agama digunakan dalam hal kekuasaan. Atau menggunakan agama untuk habuan wang ringgit. 

Golongan ini, tidak gemar melihat agama menjadi justifikasi dalam segala hal. Mereka bukan ateis, tetapi melihat agama lebih tinggi daripada menjadi alat gunaan, atau pun kad poker ahli politik.

Ada juga yang mengaku sekular bahkan mengaku ateis, minum minuman keras, melanggan pelacur- tetapi masih takut hantu dan setan. Dan yang sedikit kelakar, selalu berharap Tuhan itu ada- barangkali mereka masih mencari Tuhan tetapi belum ketemu.

Ada yang ketemu, dan ada yang tidak. Bahkan ada daripada mereka yang mengaku sekular dan ateis, tetapi masih solat dan berpuasa. 

Berkawan rapat dengan mereka membuat alam dan kehidupan menjadi tambah seru dan misteri. 

Anehnya. Kerana kalau pun mereka sekular (yang dikata sebahagian orang sebagai kafir)- mereka masih ditanam di tanah perkuburan Islam. 

Ada semacam template yang terukir dalam diri mereka. Template agama dan Tuhan. Rohnya seakan senang dengan langit. Seakan dipilih-pilih. Baik secara sedar atau tidak.

Sementara manusia agamis pula adalah manusia setia dan mahu membela Tuhan, menjadi hamba yang lurus dan taat. Mereka percaya agama adalah kekuasaan ataupun kerajaan. Agama yang difahami mereka dirujuk dalam setiap perilaku dan keputusan, baik peribadi mahu pun bernegara.

 Namun mereka ini, macam-macam juga.

Ada yang salih dan beragama kerana terpengaruh dengan bentuk keagamaan mazhab. Ada yang jadi salafi kerana merasa tradisi orang lama itu tidak cocok dengan agama sebenar- mereka fikir apa yang dikerjakan orang (selain bukti hadith-hadith mereka) adalah bid’ah, bid’ah itu sesat, dan sesat itu neraka. Dan yang jadi sufi seterusnya melawan yang salafi tadi. Sebahagian mereka ada yang betul-betul mengkaji, dan banyak juga yang mengikut tuan guru dan ustaz.

Ada juga yang salih kerana pengaruh politik agama. Agama mereka difahami dengan acuan organisasi politik kuasa- agama yang mereka ambil adalah daripada acuan parti Islam. Mereka ini mahu tidak mahu terkesan dengan dasar parti dan jamaah mereka.

Dan yang lebih utama, merasakan pimpinan mereka tidak boleh dibantah kerana dilihat maksum. Contohnya, Seorang Tok Guru Al- Ulama Presiden Parti tak boleh dikritik- sebab dia ulama, ulama pula pewaris nabi- kefahaman mereka, pewaris nabi tak boleh dikritik dan dicemuh. Maka setiap yang dikatakan wajib ditaati.

Ada juga yang salih- kuat solat, kuat menyokong parti Islam, kuat puasa, dan suka membaca quran dan bersedekah- tapi masih main perempuan walaupun sudah beristeri ramai.

Ada juga yang tidaklah begitu salih. Solat tidak, puasa tidak, main perempuan tidak. Tetapi apabila mendengar lgbt, liberal, sosialis, dengan serta merta menjadi marah dan mahu berjuang. Agama mereka menjadi penting pada waktu itu.

Ada juga yang salih, elok semuanya, kuat solat dan puasa di samping lemah lembut bicara. Mereka tidak mengecam lgbt, sekularis mahu pun orang yang lain fahaman daripada mereka. Mereka suka berdakwah tanpa menghukum. Namun, apabila ada yang menghina agama mereka- mereka akan marah tetapi marah mereka itu tidaklah sampai hendak menumpahkan darah. 

Meneliti semua ini buat saya terfikir sendiri. Orang Melayu ini sebenarnya apa? Barangkali persoalan itu terlalu besar. Namun, jika melihat kesimpulan awal saya, ada sebabnya kenapa Melayu begitu.

Sebab utama saya fikir kerana ideologi. Orang Melayu tidak begitu memikirkan tentang ideologi dalam kehidupan mereka.  Ia tak begitu penting. Melayu adalah manusia reaksioner. Melayu senang memberi reaksi kepada keadaannya. Reaksi itulah yang mentakrif diri mereka. Mereka tidak fikir di pihak mana hasil reaksi itu bertapak, apa yang penting reaksi mereka boleh memberikan solusi kepada kehidupan mereka sehari-hari.

Prinsip mereka tidak tetap, bahkan, ketidaktetapan itulah prinsip mereka.

Kerana itu, orang Melayu sukar menjadi sekularis dan agamis sempurna dan ini bagi saya adalah satu hal yang baik dan harus disedari. Tidak ada orang yang sempurna. Usaha menuju kesempurnaan adalah sia-sia belaka. Yang sempurna hanya Tuhan. Bolehkah manusia menjadi Tuhan?

Sekularis sempurna adalah sekularis yang meninggalkan apa-apa nilai agama dan supranatural langsung daripada kehidupannya (sehingga menyamakan manusia dengan material). Sementara agamis sempurna adalah lawan kepada  sekularis sempurna, agamis yang seperti ini menganggap semua benda harus menjadi sakral, tidak ada ruang untuk kebendaan itu menjadi apa adanya- ia mesti diagamakan (atau dalam konteks ini diIslamkan).

Kedua-dua golongan ini berada dalam dua kutub ekstrim yang merbahaya. 

Kedua-duanya cenderung mempunyai keyakinan untuk melenyapkan lawan mereka. 

Jika ada kelompok yang sebegini. Saya fikir mereka diwakili kumpulan-kumpulan kecil dalam masyarakat. Mereka dengan sendirinya menjadi anarki dan subversif dan dengan mudah menjadi golongan yang putus asa dengan realiti di depan mata.

Telahan semberono saya tentang orang Melayu yang sukar menjadi sekular  atau agamis sempurna ini sebenarnya bukanlah perkara baru.

Ia pernah ditulis pemimpin gerakan Kefayah di Mesir, almarhum Abdel Wahhab El-Messiri menulis tentang sekularisme dengan membawa data-data falsafah, budaya, sejarah dan bahasa dalam membahaskan epistemologi sekularisme. Menurut Messiri, sekularisme itu ada dua.

Pertama,sekularisme sempurna (‘ilmaniyyah el syamilah) yang bermaksud memisahkan nilai-nilai kemanusiaan, akhlak, agama daripada kehidupan umum dan khusus, dan merobek kesakralan dari manusia dan alam semulajadi dengan mengubah alam ini menjadi hanya sekadar material kebendaan yang boleh dimanipulasi mereka yang paling berkuasa bagi kepentingannya.

Sementara sekularisme separa (‘ilmaniyyah el juziyyah) pula bermaksud memisahkan agama daripada negara dengan sikap berdiam khusus terhadap isu-isu yang dianggap sudah selesai.

Barangkali orang Melayu sekular mahu pun Melayu teokrat berada dalam daerah sekularisme separa itu. kalaupun mereka tidak menyedarinya. Namun, realiti mengiyakan apa yang saya katakan. 

PAS boleh bekerjasama dengan Umno yang dikatakan sekular. Sementara Umno pula tidak terang-terangan mengaku mereka sekular.

Melayu PKR dan Amanah pula senang sekali bekerjasama dengan Melayu DAP-parti berideologi sosial demokrat dengan paksi sekular.

Maksudnya, jika kita melihat juzuk-juzuk kecil masyarakat Melayu dicerminkan dalam aliran perdana masyarakat sivil dalam  negara. Kita akan melihat tindanan idealisme yang saya cuba ungkap. Ideal-ideal sekularisme sudah jadi kelabu, begitu juga yang berlaku terhadap islamisme – turut jadi kelabu. Tidak terlihat hitam putihnya (setakat ini).

Perihal ideologi yang tidak begitu mahu diambil berat oleh orang Melayu ini bersebab. Ini kerana ada ruang peribadi individu atau unit keluarga yang meninggalkan ruang kelabu dalam akal budi yang dimiliki mereka. Ia dibiar tanpa disentuh (mungkin kerana latar belakang keluarga), tak mempertanya mahu pun mempersoalkannya. Mereka adalah satu rumpun yang simple (baca: sederhana). Ruang kelabu peribadi yang berupa wasangka dan kejahilan selalu ditinggalkan agar mereka aman dan selesa. Kehidupan simple mereka harus dijaga- mereka tidak memerlukan persoalan besar dalam hidup (dalam hal ini apa-apa persoalan pemikiran yang bersimpul-simpul).

Kerana itu persoalan kompleks tentang sekularisme, islamisme, liberalisme, pluralisme, LGBT-isme, sosialisme, kapitalisme, rasisme, misoginisme, patriarkisme atau apa-apa isme yang lain tidak begitu mahu difahami dengan teliti oleh orang Melayu.

Bagi orang Melayu, selagi isme-isme itu tidak mengganggu kehidupan mereka, mereka tidak perlu ambil peduli. Namun, apabila ia mengganggu kehidupan secara terus barulah mereka ambil kisah.

Bagi yang cerdik sedikit akan mengkaji secara mendalam- sementara yang kurang cerdik mengambil kata-kata orang.

Sikap begitu ada bagusnya, ada jeliknya. Bagus kerana bahagian besar orang Melayu akan menjadi bangsa paling bertolak-ansur dalam dunia. Sementara jeliknya, mereka senang dimanipulasi orang lain.

Kerana itu, orang yang tegar ideologi mereka, akan selalu mengapi-apikan sikap Melayu yang membiarkan ruang kelabu dalam diri mereka yang berupa kejahilan dan wasangka itu.  

Mereka menjadi patron dan akhirnya menjadi pemimpin kepada kelompok Melayu yang simple tadi.

***

Begitulah orang Melayu. Sekurang-kurangnya daripada kaca mata peribadi semberono saya. 

Dan kalaulah ada kebenaran daripada fikiran semberono saya itu. Saya fikir, eloklah Melayu terus begitu. Menjadi Melayu yang tidak sempurna tidak salah, dan kita tidak perlu dibebankan. Dan sebagai Melayu kita berhak untuk menjadi seorang manusia Melayu yang tidak sempurna. Walaupun kita mengaku sekular ataupun pejuang agama. 

Sekular tidak akan selalu salah, dan yang tidak sekular tidak selalunya betul.

***

Frank Swettenham tahu, tulisannya tadi akan berguna. Apa yang dia tidak tahu, seorang Melayu seribu tahun kemudian, akan mentertawakan tulisannya walaupun setuju sebahagian daripada tulisannya itu.

Zahid M. Nasser, penyair dan penulis.