Antara prinsip demokrasi yang diperjuangkan oleh parti-parti anggota Pakatan Harapan adalah kebebasan akhbar. Ia juga adalah nilai yang pendokong-pendokongnya hendak terapkan dalam Malaysia Baharu ini.

Kini akhbar sudah kurang relevan kerana teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) telah melahirkan pelbagai pelantar media. Paling berpengaruh ialah media sosial. Maka kini istilah kebebasan akhbar sudah menjadi sebahagian daripada kebebasan media.

Dalam Malaysia Lama tidak ada kebebasan media. Tetapi ada seorang sosok wartawan yang wajar dikenang telah meninggalkan legasi hidupnya sebagai pejuang mempertahankan kebebasan akhbar di negara ini.

Ironinya beliau adalah seorang warganegara Singapura yang menghabiskan hayat puncaknya sebagai tahanan politik kerajaan Parti Tindakan Rakyat (PAP) pimpinan Lee Kuan Yew. Beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama 17 tahun ketika usia 35 hingga umur 52 tahun perbicaraan. Iaitu dari tahun 1963 hingga 1980.

Beliau ditahan bukan kerana aktivisme kewartawanannya tetapi disebabkan aliran politiknya. Partinya, Parti Rakyat Singapura (PRS) menentang penubuhan Malaysia.

Namun Singapura dalam Malaysia hanya bertahan selama tiga tahun apabila ia dikeluarkan pada tahun 1965. Ini bermakna Said seperti Kuan Yew yang lahir di Singapura menjadi warganegara Malaysia selama tiga tahun. 

Apabila projek Singapura berada di Malaysia gagal, sebab beliau terus ditahan sudah tidak relevan. Itu bermakna penahanan beliau adalah suatu penganiayaan. Selain beliau, terdapat banyak lagi yang menjadi tahanan politik. Maka di sebalik kemajuan Singapura dan kehebatan kepimpinan Kuan Yew, terdapat penganiayaan terhadap golongan yang berprinsip dan mereka dinafikan daripada menyumbang jasa kepada Singapura dan dunia.

Baru-baru ini ada orang bertanya pada saya melalui komen facebook yang berupa sindiran. Adakah Said mampu menjadi perdana menteri sehebat Kuan Yew?

Jawapan saya ialah Kuan Yew tentunya adalah jauh lebih mampu tetapi saya percaya Said tidak akan menganiaya warganegaranya sendiri sedemikian rupa. Said Zahari adalah lebih manusiawi.

Maka legasi Said bukannya sebagai ahli politik kiri dari tahun 1961 hingga 1963. Tetapi sebagai wartawan yang diceburi dari 1951 hingga 1961, tahun kemuncak kerjayanya dalam persuratkhabaran dengan melancarkan Mogok Utusan kerana mempertahankan kebebasan akhbar.

Pada 14 April 2018 lalu, satu forum mengenai sejarah awal gerakan pekerja diadakan di Gerakbudaya, Petaling Jaya. Salah seorang pembicara ialah Jomo Kwame Sundram. Beliau menyatakan bahawa tindakan pekerja Utusan pada tahun 1961 itu merupakan pertama kalinya suatu mogok dibuat bukan atas isu gaji atau kebajikan kakitangan tetapi prinsip politik.

Ia dilancarkan oleh Said yang memegang jawatan Pengarang. Ketika itu Pengarang adalah jawatan tertinggi dalam sidang redaksi yang mempunyai kuasa penuh untuk menentukan kandungan akhbar. Beliau dilantik oleh Pengarah Urusan syarikat Utusan Melayu Pte Ltd, Yusof Ishak. 

Jadi Said berjuang atas fahaman kebebasan akhbar dalam sistem demokrasi. Fahaman ini adalah sebahagian daripada nilai nasionalisme kiri yang dianutinya. Tetapi di peringkat negara pula, Tunku Abdul Rahman menegaskan bahawa Malaya komited untuk mengamalkan demokrasi seperti apa yang termaktub dalam perlembagaannya.

Ini penting kerana amalan demokrasi di negara ini menjadi hujah bagi menentang komunisme yang pada masa itu menjadi ancaman kepada dunia.

Forum itu diadakan ketika negara sedang menuju ke arah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. Inilah PRU yang mana media yang sudah muncul dalam pelbagai bentuk dikawal supaya pandangan yang bertentangan dengan kerajaan dihalang, untuk memastikan Barisan Nasional (BN) dapat kekal berkuasa.

Penguasaan UMNO ke atas media bermula selepas parti itu menang pilihan raya tahun 1955. Selepas itu, UMNO memulakan usaha membeli saham syarikat Utusan kerana sedar terhadap kepentingan akhbar itu dalam mencorak pemikiran orang Melayu.

Tetapi bukan saja terhadap akhbar, UMNO juga menguasai media lain. Sebagai parti yang menjadi kerajaan persekutuan, UMNO juga menguasai Radio Malaya dan Filem Negara. Melalui Kementerian Dalam Negeri, kerajaan Perikatan boleh tentukan siapa yang patut dapat permit penerbitan.

Penguasaan UMNO terhadap media membolehkannya menang 13 PRU dan menguasai negara selama 61 tahun. Walaupun terdapat banyak faktor yang menyebabkan kekalahan UMNO dalam PRU ke-14, tetapi apa yang jelas, media sosial dan Internet, daripada Fecebook hingga ke YouTube mengakibatkan UMNO tidak boleh mengawal media keseluruhannya, seperti dulu. Walaupun ada usaha mengawal media maya melalui Suruhanjaya Komunikasi Multi Media (SKMM) dan Akta Berita Tidak Benar.

Said meninggal dunia pada 12 April 2016. Saya tidak sempat menziarah beliau di rumah anaknya di Puncak Alam, Shah Alam. 

Pertama kali saya mengetahui mengenai Said ialah pada tahun 1975, ketika itu saya tingkatan empat. Ia bermula ketika saya mengunjungi kedai buku Pustaka Antara di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Saya terjumpa antologi sajak beliau, Puisi dari Penjara yang ditulisnya dalam tahanan di Singapura. Antologi itu diterbitkan pada tahun 1973.

Namun begitu, saya hanya dapat berjumpa beliau pada tahun 2000, ketika itu saya adalah Pengarang Rencana Utusan Malaysia. Saya berjumpa beliau di kediamannya di Subang Jaya bersama pemberita Noor Azam Shairi untuk wawancara  Mingguan Malaysia.

Paling akhir saya berjumpa beliau adalah sekitar 2012, juga di kediamannya di Subang Jaya bersama petugas penerbit buku, UP&D. Kami datang untuk kunjungan hormat sambil bertukar-tukar fikiran mengenai erti kemerdekaan

Konsep kemerdekaan beliau bukanlah sesuatu yang biasa didengar oleh mereka yang tidak hidup serta terlibat dengan perjuangan nasionalisme di zamannya. Ia memetik apa yang Sukarno kata mengenai kemerdekaan Indonesia. Tetapi menurutnya, konsep kemerdekaan itu, adalah juga apa yang diutarakan oleh pemimpin-pemimpin nasionalis pada zaman itu seperti Mahatma Gandhi, Jawaharlal Nehru, Gamal Nasser, Kwame Nkrumah, Ho Chi Minh dan Sun Yat-sen.

Bagi mereka yang hanya memahami erti kemerdekaan seperti mana apa yang diutarakan oleh UMNO tentu tidak dapat merasa apa yang dihayati oleh para nasionalis kiri.

Katanya, kemerdekaan itu bermula daripada kesedaran jiwa. Maknanya, seseorang itu adalah individu bebas yang menjadi warganegara setara dengan orang lain, tanpa mengira warna kulit, kaum, anutan agama, kedudukan sosial dan kemampuan harta. Tidak ada sesiapa yang perlu menjadi hamba atau dinaungi oleh sesiapapun. Itu di peringkat warganegara. Di peringkat dunia, semua negara berdaulat adalah setaraf dan mempunyai hak serupa. Untuk itu, dua nilai yang perlu ada bagi seseorang atau negara yang merdeka ialah kepercayaan pada diri sendiri untuk berdikari dan berbangga terhadap apa yang dimiliki.

Hampir genap dua tahun selepas beliau tiada, pada 7 April 2018, Parlimen dibubarkan. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan sidang media pada 10 April dan mengumumkan bahawa PRU ke-14 akan diadakan pada 9 Mei.

Beliau tidak dapat menyaksikan Malaysia Baharu dan kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU. Ketika beliau meninggal dunia Parti Pribumi Bersatu Malaysia belum menyertai Pakatan Harapan. Bersatu hanya menyertai gabungan itu pada 14 Mac 2017.

Maknanya pada tahun 2016, Pakatan Harapan masih terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara. Tetapi penulis percaya Said menyokong Pakatan Harapan.

Ini kerana sepanjang hidupnya beliau mendokong kuat prinsip kemerdekaan, kerakyatan dan kebebasan. Fahaman kemerdekaan itu tampil melalui nasionalisme, kerakyatan itu berupa sosialisme dan kebebasan adalah dalam bentuk demokrasi. Sudut tumpuan perjuangannya yang berkaitan dengan kerjayanya ialah kebebasan akhbar. Tetapi kewartawanan bagi Said Zahari adalah lebih besar daripada kerjaya. Ia merupakan perjuangan. Baginya kebebasan akhbar adalah syarat penting dalam demokrasi. 

Tetapi kewartawanan yang diperjuangkannya bukan setakat peranan akhbar bebas dalam demokrasi. Kewartawanan demokratik hendaklah untuk rakyat. Kalau dalam budaya, ada fahaman seni untuk masyarakat yang diperjuangkan oleh golongan kiri pada zaman itu, maka begitu juga dengan bidang kewartawanan. Maka baginya, kewartawanan adalah untuk rakyat. Untuk itu pula, kewartawanan hendaklah berjiwa merdeka. Semangat nasionalisme wajar ada pada wartawan dan karyanya. Nasionalisme dala erti kata menjunjung kepentingan negara sendiri, dan bukannya tunduk pada pihak imperialis dan penjajah.

Beliau mendokong fahaman ini ketika memimpin akhbar Utusan Melayu dari tahun 1959 hingga 1961. Ketika itu beliau berusia 31 tahun. Pada tahun itu juga, ibu pejabat Utusan berpindah dari Singapura ke Kuala Lumpur. Namun pemahaman ini tersemai dari awal lagi ketika mula menjadi pemberita Utusan sejak tahun 1951 hingga tahun 1959 di Singapura. Akhbar Utusan Melayu pimpinan A. Samad Ismail dari tahun 1953 hingga 1957 selaku Penolong Pengarang mendokong nasionalisme, sosialisme dan deokrasi seperti yang diperjuangkan oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang bergerak dari tahun 1945 hingga 1948. Perjuangan PKMM kemudian disambung oleh Parti Rakyat Malaya (PRM) yang ditubuhkan pada tahun 1955.

Walaupun Said dirasakan  mempunyai kecenderongan terhadap fahaman ini tetapi selaku wartawan, beliau tidak menyertai mana-mana parti supaya kerjanya di Utusan Melayu tetap mendokong amalan kebebasan akhbar yang tidak berkecuali dalam politik kepartian.

Kemuncak perjuangan beliau ialah Mogok Utusan pada tahun 1961 sebagai membantah usaha UMNO untuk menguasai sidang redaksi Utusan Melayu dan sekaligus menamatkan kebebasan kewartawanan di akhbar itu.

Sebenarnya UMNO telah mula menguasai syarikat Utusan Melayu Pte Ltd yang berdaftar di Singapura pada lebih awal lagi, iaitu pada sekitar tahun 1955, selepas memenangi majoriti kawasan di Malaya dalam pilihan raya pertama itu. UMNO membeli saham dari orang perseorangan yang kebanyakannya ahli Persatuan Melayu Singapura. Ketika itu saham terbesar dipegang oleh keluarga Yusof Ishak, pengasas syarikat dan akhbar Utusan. Yusof menubuhkan akhbar Utusan Melayu dan komited untuk menjadikannya sebagai Penyambung Lidah Melayu. 

Pada tahun 1961, Yusof menerima tekanan daripada UMNO supaya melepaskan sahamnya. Pada mulanya beliau enggan. Maka berlakulah krisis antara beliau dengan UMNO. Akhirnya beliau mengalah dan menjualkan semua sahamnya pada UMNO.

Tetapi pemikiran akhbar Utusan Melayu  dibentuk oleh Rahim Kajai, bapa kewartawanan melayu yang menjadi pengarang akhbar itu hingga tahun 1943. Beliau mewariskan pemikiran dan kemahirannya pada wartawan yang bekerja dengannya khususnya Samad Ismail yang menyertai akhbar itu pada tahun 1940. Samad Ismail memimpin akhbar Utusan sebagai penolong pengarang sehingga tahun 1951. Semasa pendudukan Jepun antara yahun 1943 hingga 1945, Utusan Melayu digabungkan dengan pesaingnya, Warta Melayu untuk menjadi Warta Malai. Samad menjadi Pengarang bagi akhbar itu.

Samad juga berpegang kepada fahaman nasionalisme dan sosialisme. Tetapi pihak British percaya beliau adalah seorang komunis. Sebelum Perang Dunia Kedua, beliau membantu Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang juga berfahaman nasionalisme dan sosialisme. Pada tahun 1945, beliau menubuhkan dan mengetuai Gerakan Rakyat muda (Geram) yang turut bergabung di bawah Pusat Tenaga Rakyat (Putera) pimpinan PKMM.

Darurat diisytiharkan pada tahun 1948 dan beliau ditahan di bawah ISA atas dakwaan bahawa beliau adalah seorang komunis. Beliau dibebaskan pada tahun 1953. Pada tahun berikutnya, Samad bersama Kuan Yew serta tokoh Singapura yang lain menubuhkan PAP. 

Apabila Malaya merdeka, PRM cawangan Singapura menjadi Parti Rakyat Singapura (PRS).

Namun politik rantau ini sedang bergolak. Di Indonesia, Parti Komunis Indonesia (PKI) mempunyai pengaruh kuat dalam pemerintahan pimpinan Sukarno yang memperkenalkan dasar Nasakom iaitu kerjasama antara nasionalis, agama dan komunis. 

Di Malaya, Parti Komunis Malaya (PKM) dapat dikalahkan dan mereka berundur ke Thailand Selatan. Tetapi pihak British percaya anasir komunis adalah kuat di Singapura dan mampu mengambil alih pulau itu, baik secara pilihan raya mahupun revolusi. Mereka dipercayai menyusup ke dalam PAP melalui sayap kiri mereka.

Untuk menyelamatkan Singapura daripada jatuh kepada PKM, maka dicadangkan supaya Singapura bergabung dengan Malaya. UMNO menolak cadangan itu kerana bimbang bilangan penduduk kaum Cina mengatasi orang Melayu apabila Singapura dan Malaya bergabung. Maka untuk mengatasinya, maka dicadangkan supaya Sarawak, Brunei, Borneo Utara dicantumkan dengan Singapura dan Malaya untuk menjadi Malaysia. UMNO dan PAP menyokong gagasan ini.:

Gagasan Malaysia ditentang oleh PAS dan golongan kiri di wilayah-wilayah yang terlibat.

Dalam keadaan ancaman terhadap gagasan Malaysia itu, pada tahun 1960 UMNO bergerak menguasai sidang akhbar Utusan Melayu bagi mengelak ia digunakan oleh golongan kiri.

Sebagai membantah tindakan UMNO itu, Said mengetuai kakitangan Utusan  termasuk wartawan, antaranya tokoh seperti Usman Awang melancarkan mogok. Tetapi mogok yang berlangsung selama lebih 90 hari itu dapat dipatahkan apabila sebahagian kakitangan mengalah untuk kelangsungan hidup mereka. Said dan mereka yang enggan tunduk telah tersingkir dan hilang pekerjaan.

Beliau kembali ke Singapura dan dilantik sebagai ketua PRS. Tetapi belum sempat berbuat apa-apa, kerajaan PAP dengan persetujuan British sebab Singapura belum merdeka telah melancarkan Operasi Cold Store dan menangkap 115 aktivis kiri di pulau itu, termasuk Said.

Saya bertanya Said, mengapa beliau masuk politik dan tidakkah ia menjejaskan kedudukannya sebagai wartawan yang berkecuali dalam hal politik kepartian.

Menurutnya, beliau bersikap berkecuali selaras dengan etika profesional kewartawanan sepanjang bertugas di Utusan. Sebaik saja beliau tidak lagi menjadi wartawan, maka pilihannya adalah terbuka. Dengan memilih menjadi ahli politik, aktivisme dan perjuangan disalurkan kepada PRS.

Said akan dikenang lebih sebagai wartawan yang memperjuangkan kebebasan akhbar daripada ahli politik pembangkang.

Tetapi perjuangan politiknyalah yang membawa kepada pengorbanan besar beliau dan keluarganya. Ia juga mengesahkan keperibadian beliau dalam memegang prinsip, baik semasa menjadi wartawan yang melancarkan mogok perjuangan mahupun menjadi ahli politik yang ditahan selama 17 tahun. 

Semuanya bermula dengan pengumuman penubuhan Malaysia oleh Tunku pada awal 1961. Penguasaan UMNO ke atas Utusan berlaku pada tahun itu, Mogok Utusan juga berlaku pada tahun itu juga. PAP memecat pemimpin-pemipin sayap kiri pada tahun itu juga. Mereka yang dipecat itu menubuhkan parti  Barisan Sosialis. 

Di Malaya, pemimpin-pemimpin Front Sosialis dan PAS juga ditangkap kerana menentang penubuhan Malaysia dan dilihat sebagai pro-Indonesia. Ini kerana dengan penubuhan Malaysia itu, Sukarno melancarkan Konfrontasi terhadap negara ini.

Selepas penubuhan Malaysia, Singapura mengadakan pilihan raya dengan PAP menang besar mengalahkan Barisan Sosialis. Manakan tidak, kebanyakan pemimpinnya berada dalam tahanan. Pengaruh PKM dan komunis telah berjaya dipatahkan.

Tetapi pada tahun 1965, pemerintahan Sukarno tumbang dan Indonesia di bawah Suharto bukan saja mengharamkan PKI tetapi juga menggerakkan pembunuhan penyokong-penyokong komunis hingga melumpuhkan terus golongan kiri di Indonesia.

Dengan ketiadaan ancaman komunis lagi terhadap Singapura, tidak ada sebab untuk pulau itu berada dalam Malaysia. Maka berlakulah perselisihan antara PAP dan UMNO berhubung isu kaum. 

Akhirnya pada 9 Ogos, Singapura dikeluarkan daripada Malaysia. Sebab mengapa Malaysia ditubuhkan juga sudah berlalu. Malaysia membebaskan ahli-ahli politik kiri yang ditangkap semasa Konfrontasi. Apabila Malaysia dan Indonesia berdamai, tidak ada sebab mereka terus ditahan.

Singapura juga berdamai dengan Indonesia. Said dan aktivis kiri yang lain  tidak lagi menjadi ancaman kerana isu Konfrontasi dan ancaman komunis sudah tidak relevan.

Tetapi Said ditahan selama 17 tahun tanpa bicara. PAP menang besar setiap kali PRU republik itu diadakan. Tidak ada sebab Said perlu ditahan sebegitu lama melainkan ia adalah merupakan penganiayaan.

Ketika beliau dibebaskan pada tahun 1988,: berusia 52 tahun, dunia sudah berubah. Beliau ditangkap pada usia 35 tahun. Untuk beberapa ketika beliau bekerja sebagai penterjemah sebelum berhijrah ke Malaysia untuk bersama anak-anaknya. 

Pada tahun 2009, ketika beliau berusia 80 tahun, saya mengundangnya untuk menghadiri majlis pelancaran wajah baharu Mingguan Malaysia yang saya ketuai  di pejabat lama Utusan di Jalan Chan Sow Lin.

Ketika beliau naik pentas untuk turut diraikan, ada seorang pegawai tinggi pengurusan Utusan bertanya pada saya:

“Siapa orang tua itu?”

Ini kerana beliau adalah satu-satunya warga emas yang berada di atas pentas itu. Hanya segelintir orang yang mengenal beliau.

“Beliau ialah Bapa Kebebasan Akhbar Negara,” kata saya.

Zin Mahmud bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.