Baru-baru ini saya menghadiri forum yang menampilkan ahli akademik dan intelektual Melayu berprofil tinggi di UKM. Forum tersebut tentang bagaimana mengubah minda Melayu dalam Malaysia Baharu. Setakat yang saya tahu tanpa melihat buku pendaftaran, ianya dihadiri oleh orang Melayu sepenuhnya. Ia dianjurkan oleh Institut Alam dan Tamadun Melayu, sebuah institusi penting di UKM bertujuan mendokumenkan dan memperkembangkan cabang-cabang ilmu dalam peradaban Melayu. Seperti yang saya fahami, ia turut merangkumi sumber-sumber bukan Melayu yang berasal dalam sempadan geografi, lingkungan masa dan politik alam Melayu.

Pada mulanya, saya teruja dapat meninjau dunia intelektual Melayu di universiti yang mendapat jolokan pusat kecemerlangan dalam bahasa, kajian dan wacana Melayu ini. Namun setelah dua jam mendengar olahan yang bertumpu kepada isu-isu Islam, perihal kepimpinan universiti dan teka-teki salah-menyalah dan tuding-menuding kepada ahli politik, saya pulang dalam keadaan kecewa dan kerisauan yang amat sangat.

Saya hadir semata-mata untuk mendengar empat perkara penting yang saya fikir mampu mengubah wacana untuk nilai-nilai Melayu yang baharu dan tanggungjawab dalam membangun bangsa, namun perhatian saya sama ada telah ditepis atau tidak dihiraukan.

Perhatian pertama saya adalah pada takrif “kegagalan” dalam masyarakat Melayu. Memandangkan wacana itu tentang mengubah minda Melayu, saya menyangka bahawa bangsa ini telah gagal dalam segenap perkara. Ahli panel ada menyebut tentang “kegagalan Melayu” tetapi tidak menerangkan apa kegagalan tersebut.

Untuk maju, kita mesti tahu apa dan di mana silap kita. Saya mencadangkan wacana Melayu yang mendatang dan yang dianjurkan oleh institusi penting seperti ATMA menyenaraikan secara jelas kegagalan elit Melayu dalam menyediakan naratif, perilaku dan sistem nilai yang sewajarnya untuk sebuah Malaysia yang demokratik dan jamak bangsa.  

Para intelektual Melayu sepatutnya turut sama menyatakan dengan jelas kegagalan kepimpinan Melayu dalam politik, perkhidmatan awam, pendidikan, ekonomi dan toleransi agama. 

Sewaktu Anwar Ibrahim ditelanjangkan kesopanan Melayunya dan kemuliaan seorang rakyat, para intelektual Melayu berdiam. Saat Jamal Yunos dan samseng Baju Merah menjerit carutan kepada bangsa lain, sekali lagi, mereka berdiam sediamnya. Apabila sebilangan pemimpin Melayu kini menghadapi tuduhan rasuah yang merompak negara, mereka masih lagi berdiam. Mereka duduk bersopan di pinggir, walaupun ketika Ibrahim Ali mengancam untuk membakar Bible. 

Apa makna diam ini? Adakah ia bermaksud intelektual Melayu takut kepada pihak berkuasa? Adakah mereka menganggap peristiwa-peristiwa yang melanggar hak-hak dalam perlembagaan, toleransi agama dan kemuliaan asasi manusia sebagai terlalu remeh untuk para professor dan universiti kajian ternama mewacanakannya? Atau lebih parah lagi, adakah mereka “setuju” dengan tindakan-tindakan pelampau di negara ini yang memakai semboyan ketuanan Islam dan Melayu? 

Sekiranya intelektual Melayu tidak mengakui kegagalan institusi-institusi Melayu, pihak berkuasa agama dan pentadbiran, apakah harapannya untuk mengubah rakyat yang kurang berpendidikan mahu pun yang berpendidikan tinggi? Saya berharap intelektual Melayu tidak berada dalam keadaan penafian (denial mode).

Perhatian kedua saya berkenaan keterangkuman bangsa, agama dan sejarah. Sepanjang wacana yang berlangsung selama dua jam, intelektual Melayu hanya berjela-jela bercakap tentang Islam dan kekuasaan politik. Keseluruhan wacana kosong daripada perbincangan tentang tabiat, perilaku serta nilai budaya lain. 

Sewajarnya ada perbincangan serius berkenaan apa yang menyebabkan serta membakar naratif “orang Melayu baik dan yang lain-lain di Malaysia atau di dunia jahat”. Juga berdepan dengan kebencian orang Melayu kepada parti-parti politik seperti DAP.

Tulisan saya sendiri telah takdihiraukan, dikutuk dan dibangkang, semata-mata kerana saya ahli DAP. Rakyat boleh menilai sendiri tulisan-tulisan saya yang sentiasa berhadapan secara akademik dengan isu yang dibincangkan walaupun saya seorang ahli parti itu. Saya tidak pernah terlibat dengan apa yang dianggap sebagai propaganda sama ada dalam tulisan mahu pun ucapan. Saya malah menentang P Ramasamy, Timbalan Menteri Pulau Pinang berkenaan isu Rayani Air dalam bentuk tulisan.

Mengapa ATMA tidak menjemput Liew Chin Tong, Lim Guan Eng, Zairil Khir Johari dan Dr Ariffin or Aziz Bari untuk berdialog secara terbuka di UKM atau UiTM? Perbincangan mengenai nilai, fikiran dan konstruk naratif Melayu baharu sewajarnya mengambil kira amalan terbaik, nilai serta pemikiran kumpulan-kumpulan minoriti yang berbeza-beza di Malaysia. Jika tidak, boleh saya katakan yang wacana Melayu tidak lengkap, tidak inklusif dan tidak terbuka. 

Intelektual Melayu haruslah bergabung dengan masyarakat sivil dan meneroka sendiri isu-isu dan masalah-masalah sebenar dalam kumpulan-kumpulan sosial tertentu. Saya tidak dapat memahami mengapa lebih dari 2,000 tahun dahulu, orang Melayu boleh menulis dalam bahasa Sanskrit, kemungkinannya dalam tulisan dan aksara Palava, dan membincangkan pelbagai isu sosial dan kerohanian dalam kerangka Hindu-Buddha, namun kini hanya mengenal Islam dalam kerangka yang saya anggap cetek, sempit dan terhad. 

Kebijaksanaan, seperti perkembangan perkataan, memerlukan pendedahan kepada pelbagai bentuk pemikiran, tindakan dan kepercayaan. Karya kesusasteraan Melayu klasik seperti Hang Tuah diceritakan dalam sebuah bahasa yang mengaku asal-usulnya daripada lebih dari sepuluh tamadun. Betapa sempitnya orang Melayu hari ini. 

Kepedulian saya yang ketiga berkenaan penglibatan ahli akademik dalam media.  Dalam forum tersebut, saya tonjolkan isu betapa pentingnya ahli akademik mengambil naratif sosial, agama dan politik jauh daripada ahli-ahli politik seperti Tajuddin Abdul Rahman atau lebih teruk lagi, Jamal Yunos, dan merebut semula naratif tersebut dalam kewarasan dan kesantunan Melayu-Islam. Salah seorang ahli panel, dari universiti awam yang sama dengan saya sebelum bersara pada 2015, menolak perhatian saya dengan membayangkan bahawa media hanyalah mengikut rentak pembacanya. 

Saya terpaksa melayan kerenah begini daripada tiga professor lain dari universiti yang sama dua dekad lalu. Masih teringat soalan saya berkenaan menulis pada media bagi mendidik rakyat kepada naib canselor, dan beliau membakulsampahkan idea tersebut dengan mengatakan yang orang Melayu hanya suka mendengar cerita hantu dan puaka. 

Pada kesempatan yang lain, saya terlibat dalam debat yang panas berkenaan penulisan di media sebagai salah satu ukuran mustahak kenaikan pangkat dalam dunia akademik. Professor terbabit mahu membuang kriteria tersebut kerana beliau berpendapat tulisan sebegitu tiada nilainya kerana dibaca oleh orang awam dan bukan dinilai oleh ahli akademik yang serius. Waktu yang lain, professor yang lain, juga dari universiti yang sama, menolak idea saya tentang menulis buku dan artikel di media untuk mendidik orang ramai. Beliau berkata disiplin tertentu, contohnya senibina, mungkin lebih senang dijelaskan dan difahami, tidak seperti fizik atau sains-sains jitu yang lainnya. 

Dalam fikiran saya, para ahli akademik ini pasti tidak tahu berkenaan orang seperti Michio Kaku, Stephen Hawking dan Mario Salvadori yang menulis banyak buku tentang fizik dan kejuruteraan bagi mendidik orang awam. Sebahagian mereka malah menulis buku kanak-kanak. Ahli akademik seperti ini tahu semakin ramai orang awam yang boleh menghargai perhatian mereka, lebih banyak geran dan dana yang mereka boleh dapat dari dermawan dan hartawan seperti Robert Kuok.

Professor universiti awam, pada fikiran saya, terbiasa dengan layanan diraja daripada kementerian dan pembuat dasar yang memberi dana. Mereka langsung tidak peduli apa yang Tok Mat, Ah Lek dan Muthusamy yang menjual goreng pisang, nasi ayam dan putu mayam merasakan penting untuk perkembangan bangsa. Para ahli akademik ini gagal untuk memahami tanggungjawab suci atas demokrasi yang membolehkan rakyat memilih wakil mereka untuk membuat perubahan kepada dasar-dasar negara.  Apa akan jadi sekiranya Tok Mat, Ah Lek dan Muthusamy terpilih di Parlimen? Bagaimana mereka bertindak atas kepedulian sosial, agama, ekonomi dan kelestarian negara ini? Mustahil? Cukuplah saya mendengar kebodohan daripada ahli parlimen UMNO untuk saya terima idea yang mana-mana masyarakat awam boleh dipilih untuk pentadbiran awam atas penguasaan naratif simplistik tentang bangsa, agama dan politik wang. Sekiranya intelektual Melayu tidak merampas pentas utama dalam mereformasi naratif kelestarian sosial, ekonomi dan alam sekitar, maka naratif ini akan dirampas oleh orang-orang seperti Isa Samad atau lebih padah, Saiful Bukhari. Mungkin professor universiti awam akan menerima Saiful sebagai perdana menteri kesembilan! 

Akhir sekali, saya mengharap wacana ini akan menyentuh isu naratif Melayu lwn bukan-Melayu, naratif Islam lwn bukan-Islam dan perspektif sejarah yang berubah. Sampai bila orang Melayu akan disuapkan dengan naratif sama yang basi bahawa Malaysia ialah Tanah Melayu dan orang Melayu mempunyai hak keistimewaan? Hak istimewa sepatutnya diletakkan dalam rangka yang berasaskan keperluan, bukan lagi berasaskan kaum. 

Terdapat juga naratif memalukan bahawa orang Melayu adalah lebih baik daripada bangsa lain kerana Islam dan ciri-ciri unik bangsa ini. Saya fikir setiap bangsa mempunyai naratif yang sama dan sekiranya golongan itu tidak melepaskan diri dari penipuan diri sendiri, bangsa itu tidak akan pergi jauh dalam persaingan dan perkembangan diri global. 

Naratif paling berbahaya antara semua ialah Islam untuk orang Melayu dan yang lain-lain daripada kepercayaan berbeza adalah “musuh” yang tidak dapat dipercayai. Saya dapati naratif ini sangat kuat dalam PAS dan UMNO, dan dalam kalangan pegawai-pegawai majlis agama malahan NGO Muslim. Sekiranya intelektual Melayu tidak berusaha untuk mengubah tiga naratif ini, hubungan kaum akan meruntuh lebih parah daripada apa yang disebutkan Prof Dr Syamsul: bahawa rakyat Malaysia berada dalam keadaan “ketegangan yang stabil”.

Intelektual Melayu juga harus menulis semula perspektif sejarah bagi mencipta sesuatu yang menyalahkan secara saksama setiap kaum dalam tragedi 13 Mei dan juga berkongsi semua kejayaan contohnya dalam mencapai kemerdekaan 1957. Sejarah secara ringkasnya merupakan kumpulan fakta yang boleh disusun bagi mencipta naratif yang dapat menolong kita saat ini. Memandangkan tiada sesuatu yang dipanggil “sejarah mutlak” yang mana apa-apa yang lepas “sebenar-benarnya” difahami, kita boleh dan sepatutnya mencipta kisah yang lebih adil untuk diceritakan kepada anak-anak kita.

Saya ingin menyatakan di sini penghargaan saya kepada ATMA atas usaha dalam membakar semula api minda Melayu. Satu-satunya nasihat saya, sila menjadi lebih terbuka dalam rangka kerja dan ukuran sosial. Tanpa keterbukaan begini, orang Melayu, yang ditakdirkan untuk memimpin negara ini, hanya boleh memimpin sebilangan kecil yang mendapat keistimewaan.

Diterjemahkan daripada tulisan asal dalam bahasa Inggeris, Where Intellectuals Have Failed in Changing Malay Mindset yang terbit di portal FreeMalaysiaToday.