Seolah-olah seperti satu jenaka kasar, Hari Kopi Seluruh Alam tahun ini jatuh pada tanggal 1 Oktober, yakni hari Isnin. Bagi mereka yang bekerja di pejabat atau gudang, Isnin adalah hari yang paling mencemaskan.

Apabila jarum jam berdetak ke 12, kita tahu bahawa minit-minit rehat kita sudah terkandas. Esok hari bekerja. Sarungkan kemejamu. Minyaki rambutmu dan pakailah topeng senyuman yang paling menawan – kerana majikanmu dan pelangganmu tidak mahukan apa-apa daripadamu kecuali kepatuhanmu yang tak berbelah bahagi. Tapi nanti, jangan tertekan. Jangan sugul. Teguklah secangkir kopi ini. Ya, telah kami bancuhkan dengan susu dan gula secukup rasa. Ahh… bagaimana rasanya, tuan? Sudah bertenagakah untuk membanting tulang di kota raya penuh pancaroba ini? Biji-biji kacang kopi ini kami import dari perbukitan Columbia, ditanam, disuburkan, dipetik, direbus dan dibakar, dipakejkan khas buatmu via globalisasi dagang.

Kopi adalah minuman sarwajagat. Hampir seantero dunia meneguk kopi sehari-hari. Di Britain sahaja dilaporkan hampir sebanyak 95 juta cawan kopi diteguk dari subuh ke senja tetiap hari. Budaya cicip kopi memang boleh didapati dalam beraneka-aneka wajah dan bentuk. Di Perancis pula kafe-kafe menjamu kopi sambil mempelawa penikmatnya mengamati jendela luar – mengamati kota Paris yang rencam dan sibuk.

Sasterawan mereka Albert Camus bersabda: haruskah aku bunuh diri, atau teguk secawan kopi? Di Malaysia, kita sering kaitkan warung kopi sebagai port melepak sambal bertukar-tukar cerita – ini kerana budaya lawat pub dan bar sangat asing bagi kita. Atau dalam lingo kontemporari kita kekadang sebut sembang kedai kopi. Bisanya pelawat-pelawat akan pesan kopi, nyalakan sebatang dua kretek, lalu berinteraksi dengan intim dan akrab membawa kisah masing-masing. Dalam satu lagu Cerita Kedai Kopi gandingan bersama Malique, Salam bersenandung:

Masing-masing ada masalah sendiri

Masalah dunia masalah peribadi

Luahkan jangan simpan dalam hati

Boleh cerita di kedai kopi

Saya sendiri juga seorang penikmat kopi yang tegar. Beberapa saat sebelum hari bermula, saya akan dapatkan secawan kopi buat cetusan tenaga (juga halau kantuk menjengah). Antara kopi kegemaran saya dihidangkan di sebuah kopitiam pra-Kemerdekaan di Klang, tidak jauh dari firma saya bekerja. Biji kopinya dibakar bersama majerin, kemudian diisi dengan susu dan gula bersebati sehingga menjadi kaw-kaw. Bayangkan lemak manisnya yang membilas tekak saat kita mencicipnya perlahan-lahan. Bayangkan aroma wanginya yang menerpa hidung. Enak bila dimakan sekali bersama roti bakar atau cucur udang.

Kecenderungan saya terhadap kopi agak baru. Saya temui kopi setelah habis zaman persekolahan. Mungkin waktu itu juga saya perlu untuk berjaga lewat untuk menghabiskan tugasan-tugasan kuliah. Serentak waktu itu juga kafe-kafe hipster di Shah Alam tumbuh bagaikan cendawan setelah hujan. Pada waktu itu mungkin warga Malaysia baru hendak menghargai kopi sebagai minuman berbudaya.

Meskipun begitu, saya tidak berapa suka kopi-kopi yang dihidangkan di kafe-kafe hipster tersebut– kebanyakannya atas dua sebab. Pertama, ia tidak sedap. Barista-Barista akan tampil dengan seribu satu gaya hidangan dan 99% daripadanya saya hanya habiskan atas desakan ingin dilihat berbudaya. Saya tidak pasti jika bancuhannya tidak kena atau kacang kopinya tidak menangkap. Kedua, yang paling penting, kerana saya seorang mahasiswa yang sengkek.

Harga secawan latte adalah sama dengan harga sepinggan nasi buat makan tengahari saya beserta sirap ais. Jadi saya cuba mencari alternatif lain untuk hilangkan kedahagaan ini dengan kopi-kopi yang saya yakini sedap di rak-rak pasar raya. Kopi Hang Tuah dan Cap Kapal Api adalah dua obor yang menerangi kegelitaan saya sepanjang tahun-tahun kuliah di UiTM Shah Alam.

Selain alasan untuk mendapat kudrat bekerja, kopi juga amat bagus untuk diminum pra-senaman. Kafein-kafein yang menyerap ke pembuluh darah akan menjadikan kita lebih cergas dan berwaspada. Selain itu, ia juga memicu metabolisme – menghasilkan pembakaran lemak yang sangat berkesan jika anda mahu menyusutkan berat badan.

Tetapi kopi yang tersedap saya pernah teguk tidak pernah datang dari anjung-anjung kafe gentrifikasi ini (melainkan Latte Mekdi, yang saya kira agak kaya dengan aroma biji Arabikanya). Misalnya, kopi Vietnam yang bagus boleh didapati di satu gerai makan yang sederhana di Puncak Alam. Lokasi itu telah ditunjukkan kepada saya oleh Sufian Abas – juragan Roman Buku. Satu lagi yang tidak boleh diketepikan adalah satu gerai kopi yang kecil di Jalan Raja Bot, KL. Kopi Vietnam mereka juga boleh tahan menangkap. Saya tahu tempat ini daripada satu twit yang disebut Fazleena Hishamudin.

Tetapi pengalaman kopi saya yang paling inzal hadir di sebuah warung yang kecil di tepi landasan keretapi, di Kota Malioboro yang riuh, Jogjakarta. Sebelum mulakan, saya telah pergi minum Kopi Luwak yang dikumandangkan orang sebagai kopi terbaik di republik nusantara itu terlebih dahulu. Penghidangan kopi ini nyata sedikit berbeza daripada konvensi; gula kelapa tidak dilarutkan sekali di dalam cangkir, sebaliknya diberikan dalam kiub-kiub yang comel dan kecil.

Sekurangnya itulah warung kopi yang dihantarkan oleh supir saya ketika itu. Jadi cara meneguknya: kunyah kiub lalu cicip kopi. Lantas air hangat kopi akan melarutkan bongkah-bongkah gula di dalam mulut mencetuskan suatu rasa yang pahit, manis, wangi, dan hangus di hujung lidah. Asyik. Tapi ia tetap tidak menangkap jiwa. Lagi pula ingatan saya ditujah-tujah wajah sugul luwak-luwak yang terperangkap di dalam sangkar, disumbatkan segala jenis buah dan biji kopi supaya dihasilkan satu fermentasi di usus haiwan tersebut. Hasil itulah kemudian diterbitkan dari lubang dubur luwak dan dipungut bijinya untuk dijadikan sajian minuman. Riwayat kopi ini memang padat eksploitasi.

Kemudian saya dibawa ke warung tepi landasan tersebut dan kopi itu telah mengubah persepsi saya selama-lamanya. Namanya Kopi Joss – dibancuh susu beserta ketulan-ketulan arang yang dipungut dari relau berbara. Saya bersila di atas hamparan permaidani dan meneguk kopi yang hangat dan pekat itu sambal mengamati wisatawan-wisatawan yang berculang-caling. Barangkali pengalaman itulah apa yang disebut-sebut anak-anak Beatnik sebagai ‘it’, kala kopinya bagus, suasananya bagus, moodnya bagus, sehinggakan kita berasa seperti semangat-semangat cakerawala sedang berbicara kepada kita via secawan kopi yang disediakan oleh cowok yang bergigi rongak itu.

Cukup dengan pengalaman peribadi, bagaimanakah kopi awal-awal ditemui? Kita sedia maklum bahawa ia pertama-tama kali dijumpai di Ethiopia, lebih awal dari abad ketujuh-belas. Salasilah terawal berpusat pada seorang penggembala kambing + sufi bernama Kaldi pada abad kesembilan, yang menyedari bahawa kambing-kambing gembalanya meloncat kegirangan setelah mengunyah biji-biji kopi di pinggir kebun.

Salasilah lain pula menyatakan cerita tentang Sheikh Omar. Bersumberkan hikayat purba yang dipelihara dalam manuskrip Abd-Al-Kadir, Omar mahsyur di kalangan saudara atas kebolehan beliau untuk merawat penyakit melalui ucapan-ucapan doa. Suatu hari, beliau telah dibuang negeri sehingga ke sebuah gua gurun yang terpinggir di dekat Ousab. Dengan perut yang kebulur, Omar cuba mengunyah biji-biji kacang yang dipetik berhampiran. Tetapi rasanya terlalu pahit. Kemudian beliau cuba memanggang kacang-kacang tersebut untuk menambah perisa, tetapi biji pula menjadi keras. Tak menyerah kalah, kali ini beliau cuba pula untuk merebusnya – sehingga merembes cecair beraroma wangi di dalam teko didihan. Setelah meneguknya, Omar dikatakan telah dipulangkan kudrat dan mampu bertahan berhari-hari. Hikayat ini akhirnya sampai ke Mocha, lalu Omar pun dititahkan pulang dan dijadikan wali oleh pemerintah. Dari Ethiopia, pokok-pokok kopi ditanam dan dibawa ke Semenanjung Arab melintasi Mesir dan Yaman.

Menurut rekod-rekod sejarah, bukti budaya teguk kopi atau pengetahuan tentang pokok kopi timbul dalam tulisan-tulisan Ahmed al-Ghaffar di Yaman, kurun kelima-belas. Di sinilah benih-benih kopi mula-mula sekali disalai dan dididihkan, seperti gaya kita sediakan sekarang. Beberapa rumah sufi turut menggunakan kopi untuk upacara-upacara ibadat mereka untuk kekal berwaspada. Dalam catatan lain, Muhammad Ibn Sa’d yang bawakan minuman tersebut dari Aden ke Teluk Afrika. Di pihak lain pula Ali Ben Omar dari tarikat Shadhili yang mula-mula memperkenalkan di Arabia. Cendekiawan islam Ibn Hajar al-Haytami merekodkan sejenis minuman bernama Qahwa yang dikebunkan di wilayah Zeila.

Dari Timur Tengah, kopi bergulir ke Itali. Perdagangan yang meriah di antara Venice dan Afrika Utara, Mesir, dan Semenanjung Arab menghantarkan pelbagai jenis barang ke pelabuhan Venetian. Dari Venice kemudiannya, ia dikirim ke serata Eropah. Kopi mendapat liputan luas setelah ia dianggap minuman Kristian oleh Paus Clement VIII pada 1600, meskipun terdapat suara-suara sumbang memalitkan ia sebagai ‘minuman orang Islam’. Balai kopi pertama didirikan di Romawi pada 1645.

Selanjutnya, seperti dibilang orang, terangkum dalam sejarah. Melalui perdagangan, kolonialisme, penjarahan, dan eksplorasi-eksplorasi berani, kopi lalu ditebarkan ke serata dunia. Akhirnya ia menjadi minuman ruji seperti yang kita ketahui sekarang dengan ragam dan rasa yang berbagai-bagai. Tanggal 1 Oktober dipilih sebagai hari merayakan keantarabangsaan kopi yang menjadi pilihan rakyat seluruh alam – di samping teh, wain, dan bir.

Tetapi satu perkara yang menggugah tentang kopi, selain aromanya yang membangkitkan selera, dan kafeinnya yang setia menjaga kita di meja tulis sehingga matahari terbit, tersandar pada nama kopi itu sendiri. Kalimat kopi (Melayu) barangkali dipetik dari coffee (Inggeris), yang dipinjam dari koffie (Belanda), yang dipinjam dari kahve (Turki Uthmaniyyah), yang dipinjam dari Qahwah (Arab). Bahkan di sesetengah rekod ada yang memanggilnya Qahwah Al Bunn yang bererti ‘wain kacang’. Bayangkan pertukaran-pertukaran budaya yang turut mengekori saat biji-biji kopi ini berpindah-randah. Americano, latte, Kopi Turki, dan Mocha sebagai misalan.

Jika anda mahukan sesuatu yang mengingatkan anda betapa saling berhubung-kaitnya dunia ini pada satu layar alam yang maha luas, tataplah cangkir kopimu pada pagi hari. Teguklah ia dan helakan nafas lega – seluruh dunia sedang sekarang berada di dalam genggamanmu.

Johan Radzi, peguam dan penulis yang telah menerbitkan kumpulan cerpennya, Tinju dan Peluru.