[…] semangat Periklis telah menang. Setengah kurun selepas demokrasi dipulihkan, para demokrat moderat Athens melambungkan pujian kepada Periklis dan pencapaiannya: Beliau salah seorang daripada tokoh agung … yang telah membawa demokrasi dan keagungan kepada Athens.

(petikan ‘Periklis: Athens dan Kelahiran Demokrasi’, halaman 336)

Mungkin berlebihan jika kejayaan Pakatan Harapan pada 9 Mei lalu dikatakan bermula di Athens, daerah yang jauh dalam ruang dan masa. Namun tidaklah terlalu ganjil jika kita amati-amati perjalanan manusia mencari kebebasan mereka.

Demokrasi negara kita ini memanglah warisan model yang diperkenalkan dalam abad ke-20, yang berkembang daripada proses politik Eropah zaman Pencerahan, sekitar abad ke-18. Zaman ini pula mengambil inspirasi daripada kejayaan Athens, kira-kira 500 tahun Sebelum Masihi, yang memuncak zaman Periklis.

Justeru itu, sering kita melihat demokrasi itu pengalaman yang asing daripada kita, yang dipaksakan ke atas kita dan tidak sebati dengan jiwa kita. Ia seolah-olah projek import dari Barat melalui kuasa-kuasa penjajahan. Seolah-olahnya ia hanya wujud dan muncul dari pengalaman luaran sama sekali.

Senarai lima buku ini, selepas kita membacanya perlahan-lahan, boleh membuka sisi pandang baru tentang demokrasi, yang rencam, ruwet dan tidak lurus. Lima karya ini pasti dapat mengikat kesedaran pembaca dengan pelbagai pengalaman demokrasi rentas zaman dan rentas geografi.

Lima buku asas ini, atau pilih sahaja tiga daripadanya, sungguh sesuai untuk aktivis muda dalam bidang politik, NGO atau mahasiswa yang sesuai dibaca sendirian tetapi sangat elok jika dibincangkan bersama-sama.

Saya mencadangkan buku yang paling santai dahulu, kisah kegemilangan demokrasi bawah kepemimpinan Periklis, kepada karya yang lebih tebal dan banyak analisis sejarahnya sebagai teladan untuk kita memahami apa yang sedang terjadi di negara kita sendiri.

Lima buku itu seperti berikut:

  1. Periklis: Athens dan Kelahiran Demokrasi (Donald Kagan)
  2. Intelektual Masyarakat Membangun (Syed Hussein Alatas)
  3. Islam dalam Politik dan Pendemokrasian di Indonesia (Robert W Hefner)
  4. Api dan Cahaya: Bagaimana Pencerahan Telah Mengubah Dunia Kita (James MacGregor Burns)
  5. The Origins of Political Order (Francis Fukuyama).

Oleh kerana ia mengupas persoalan demokrasi, pentadbiran, politik, kepemimpinan dan kelompok intelektual, senarai buku ini elok untuk rujukan asas semua aktivis daripada pelbagai aliran, sama ada anda Islamis, sosialis, liberal atau anarki.

Malah, jika kita hanya meminati politik tanpa ideologi khusus dan tanpa pengalaman aktivisme politik, kelima-lima buku ini masih lagi sangat relevan untuk bacaan kita. Buku-buku ini akan mencerahkan kesedaran kita tentang politik negara dan suasana demokrasi negara saat ini.

Kelima-lima karya ini mengenai demokrasi, jalannya yang tidak lurus dan malah bersimpang siur, pergolakannya dan apa peranan yang sewajarnya aktivis muda atau ahli politik muda mainkan. Teladan yang kita timba daripada buku-buku ini nanti diharapkan dapat membantu proses politik.

Tidaklah nanti aktivis hanya bergelumang dalam intrig persengketaan merebut kuasa dan berpuak-puak dalam parti sahaja tanpa kesedaran atau wawasan luas untuk mengisi pentas demokrasi di negara kita.

Ringkasan kelima-kelima karya ini akan dihurai di bawah nanti. Buku 2 mungkin sukar dicari kecuali di ejen-ejen Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan perpustakaan. Ia diterbitkan sejak 1990 lagi. DBP pernah mengulang cetak buku 2 beberapa tahun lalu. Daripada lima judul ini, buku 2 yang paling dekat dengan pengalaman Malaysia, khususnya sehingga 1970-an.

Buku 1 dan 3 pula terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IDBE) dalam Siri Pencerahan Selangor. Jadi ia boleh diperolehi daripada mereka. Buku 4 terbitan Institut Kajian Dasar (IKD) dan buku 5 boleh dibeli di toko MPH atau Amazon.

Empat buku berbahasa Melayu ini asalnya terjemahan teks Inggeris. Buku 5 belum diterjemah. Untuk pembaca yang serius dan banyak masa, saya selalunya mencadangkan buku 4 dan 5. Kedua-duanya lebih rencam dan asasi tetapi membacanya perlukan sedikit stamina. Namun buat mereka yang mahu membaca lebih santai, buku-buku 1 hingga 3 mudah dihadamkan.

1. Buku ini tentang biografi tokoh demokrat Athens sewaktu demokrasi berkembang di negara kota itu. Ia menceritakan bagaimana demokrasi awal dihidupkan sebagai sistem politik dan bagaimana warga Athens menghayatinya sewaktu negara lain masih belum demokratik dan memeranginya.

Jadi ia bukan sejarah awal demokrasi yang membosankan, malah satu penceritaan yang hidup bagaimana sang tokoh berpolitik di dalam negeri dan bagaimana strategi yang dipakai dalam diplomasinya.

Ia juga menceritakan wawasan pembangunan Periklis, termasuk kegiatan intelek dan budaya, dengan tidak menyembunyikan kesilapan dan kelemahannya. Malah hujung hayatnya sungguh menyayat hati. Pastilah kita yang membaca sampai ke penghujung buku Periklis akan bertemu detik-detik luka tersebut.

Sebab itu kisah menarik ini, jatuh bangun sang tokoh, sesuai dijadikan tauladan dan sekali gus sempadan. Ia begitu mengujakan kerana memberi iktibar buat seorang aktivis berdepan halangan dan juga contoh-contoh gaya kepemimpinan yang kita pelajari.

Buku 1 ini ditulis santai dan padat, sesuai untuk kita yang sibuk tetapi mahu intipati ilmu yang diolah dengan cepat. Bagi saya, buku ini sangat sesuai buat ahli politik yang sibuk atau mahasiswa yang banyak kerja di kampus.

2. Buku kedua ini sangat dekat dengan pengalaman negara kita. Banyak contoh orang “pandir” dan amalan “bebalisme” dalam kritiknya merujuk negara kita, walau ada juga contoh negara-negara lain, khususnya sehingga 1970-an. Walau kelihatan lama, kurang lebih 15 tahun pertama negara merdeka, tetapi gejala-gejala bebalisme dan kepandiran itu masih terus hidup hingg saat ini.

Sebagai ahli sosiologi terkenal, khususnya melalui karyanya “Sosiologi Korupsi” atau “Mitos Peribumi Malas”, Syed Hussein menulis karya ini untuk melihat sosiologi kelompok bijak pandai, termasuk kekecewaan mereka dan kegagalan mereka.

Buku ini mencari “kelompok intelektual yang berguna” di tengah-tengah arus politik yang tidak selalu berpihak kepada mereka, termasuk tekanan politik. Ia mahu mengajak kita berfikir dan memainkan peranan intelek kita, berbeza dengan inteligensia atau manusia teknikal.

Syed Hussein melihat bahaya golongan pandir yang memegang kuasa dan amanah pentadbiran. Buku ini juga menjelaskan gejala bebalisme yang merosakkan. Buku ini sudah lama tetapi contoh-contoh sejarahnya di banyak negara dan intipati kupasannya masih terus relevan.

3. Buku ini khusus menceritakan pergolakan umat Islam dalam demokrasi di Indonesia, sehingga di hujung penguasaan presiden Soeharto pada 1998. Dari sini, kita dapat mengintai, dan mempelajari, jatuh bangun serta tarik-menarik antara kuasa pemerintah dengan aktor-aktor politik, khususnya pelbagai aliran Islam dalam hubungannya dengan Kuasa.

Kupasan teori masyarakat sivil pada bab awal sangat menarik; yang harus kita dalami lagi melalui buku-buku lain. Rober W Hefner percaya masyarakat sivil, dan budaya dalam masyarakat, menjadi batu asas demokrasi. Beliau cukup percaya demokrasi itu bukan khusus untuk Barat dan masih ada potensi luas dalam masyarakat Islam untuk menjayakannya.

Potensi itu berada dari bawah, daripada amalan-amalan sivil masyarakat Islam itu sendiri yang mahu menjaga jarak dengan Kuasa, tidak bergantung pada Negara dan malah boleh bergerak sendiri, serta akhirnya mengawal pemerintah.

Kita selalu juga melihat Indonesia dengan cetek dan juling; kita menilai sipi-sipi keruwetan politik dan agama di negara jiran kita ini. Namun buku ini, naskhah asalnya diberi nama “Civil Islam”, boleh memperkenalkan liku-liku perjuangan demokrat Muslim di sana.

4. Buku ini sebetulnya sangat-sangat penting, cuma ia tebal dan mungkin malas ditekuni oleh aktivis politik. Sepatutnya ia menjadi teks wajib kajian demokrasi dan negara moden kerana ia mengupas perjalanan awal tiga kuasa besar Barat: Britain, Perancis dan Amerika Syarikat pada hujung abad ke-18 hingga awal ke-19.

Tempoh itu paling genting buat tiga negara ini kerana idea-idea Pencerahan yang bergerak 100 tahun sebelum itu berada di tengah-tengah uji kaji politik ketika mereka merumus asas-asas negara moden yang demokratik.

Selepas kejayaan 9 Mei di Malaysia, buku 1 dan 4 ini boleh dijadikan rujukan kita untuk membangunkan demokrasi dan belajar bersabar atas simpang siur sejarahnya yang pasti menyakitkan hati.

Dalam buku Burns, kesan Revolusi Industri, kapitalisme, idea liberal, hak pekerja, revolusi politik dan semangat Pencerahan umumnya di tiga negara itu dikupas dengan menarik sekali. Walau tebal tetapi idea-ideanya dihurai dengan padat, seolah-olah kita membaca “ringkasan eksekutif” zaman itu.

Saya selalu mencari-cari gaya pengolahan buku seperti ini, gaya “ringkasan eksekutif”, kerana kita boleh mendapat garis-garis utama sejarah dan ideanya. Jadi tidak perlulah kita menelaah empat atau lima buku untuk memahami sesuatu persoalan itu.

Semua buku yang saya cadangkan di sini, kecuali 2, bersifat begini: yakni ia memberi maklumat dengan padat, mudah difahami bersama analisa pengarangnya yang semuanya pakar (sarjana terkenal) dalam kajian masing-masing.

5. Buku ini lebih mendasar dan cakupannya lebih luas, bukan hanya Eropah dan kuasa Barat tetapi juga perkembangan awal negara-negara China, India dan Islam (Turki).

Karya ini ingin menjawab tiga persoalan asas (a) bagaimana negara mula-mula dibentuk dalam masyarakat kuno dan apa jalannya sehingga menjadi moden seperti sekarang, (b) bagaimana membina negara yang bertanggungjawab serta kejahatan rasuah golongan aristokrat, dan (c) sejarah dan budaya yang melahirkan kedaulatan undang-undang.

Karya Fukuyama ini menjelaskan latar budaya dan sejarah yang menjadikan China tidak mungkin demokratik, sementara India pula cenderung demokratik. Ia juga menjelaskan kejahatan kelas bangsawan yang tamak haloba dan tenggelam dalam rasuah sehingga negara porak-peranda.

Saya cukup tertarik dengan kupasan budaya “rente”, atau “rent-seeking”, yang asalnya berkembang pesat di Perancis, Sepanyol dan Hungary tetapi cukup dikenali di negara kita, khususnya sepanjang pentadbiran kerajaan Barisan Nasional sejak 1957.

Buku ini bermula dengan sejarah awal politik masyarakat primitif sehinggalah wujud negara-negara kuat dan bertamadun sebelum Revolusi Perancis pada 1789. Huraian seterusnya, perkembangan demokrasi sehingga hari ini, dimuatkan dalam jilid kedua karyanya, “Political Order and Political Decay”.

Ringkasnya, lima buku kajian demokrasi, negara, politik dan kepemimpinan ini bermula dari awal dengan cakupan pengalaman yang luas, di Barat dan luar Barat, Islam dan bukan Islam, di Indonesia dan juga Malaysia.

Jadi saya cukup yakin lima (atau tiga yang teratas) pasti membuka ufuk pemikiran kita tentang politik. Dan, dengan itu, sudut pandang kita lebih jernih, halus, berkembang dan canggih untuk menilai demokrasi Malaysia saat ini.

Tulisan ini disunting dari kiriman Facebook Fathi Aris Omar.