Satu lagi hajat bucket list tercapai: berjumpa dengan ahli falsafah sebenar (living philosopher) dan pemikir konservatif tersohor Sir Roger Scruton!

Beliau ini bagi yang biasa baca bukunya, lebih kurang macam Mortimer J. Adler tapi lebih “dalam”.

Sebaik sahaja peluncuran buku terbaru beliau itu Music as an Art dan pihak Waterstones di Gower Street terus mengadakan sesi wacana buku tersebut dengan beliau yang dihadiri oleh para peminat beliau yang menghuni alam filsafat “Scrutopian”.

Sungguh enak perbincangan tadi yang sempat saya hadiri bersama isteri. Memang rasa dhawq falsafah betul dengar Sir Roger mengulas banyak persoalan penting yang melingkari perbahasan muzik dan fenomena kemasyarakatannya.

Buku ini bukan buku pertama beliau tentang muzik tetapi buku yang ketiga dan kata beliau tadi, mengandungi pandangan dan renungan filsafat beliau yang lebih “lucid”. 

Buku ini kata Sir Roger bertujuan untuk memberi satu kerangka falsafah dalam menaakul muzik. Falsafah muzik adalah cabang kepada bidang falsafah estetika–satu cabang falsafah yang baru saya berjinak-jinak sejak menjadi ahli qariah City of London. Kehidupan di tengah kota metropolitan mendedahkan kami kepada segala macam pertunjukan dan pameran kesenian khususnya genre klasik yang merupakan khazanah besar Peradaban Barat.

Sir Roger mengajak kita merenungi dengan lebih mendalam sumbangan pemuzik besar Barat seperti Beethoven, Mozart, Bach, dan tidak lupa Wagner dan ramai lagi. Dalam siri-siri artikel yang dimuat dalam buku ini pun beliau banyak mengkritik genre muzik moden, dan popular yang beliau memang kritik secara tegar. Yang paling menarik bagi saya ialah makalah beliau tentang Nietzsche mengkritik Wagner. Siapa yang rajin baca pasal Nazi dan Hitler pasti kenal Wagner yang terkenal dengan pemuzik Hitler. Karya agung “Der Ring des Nibelungen” memang mystique sarat dengan mitos, zeitgeist Idealisme Jerman.

Beliau berseloroh bahawa apa yang beliau kritik ini bukanlah baru kerana pemikir besar Mazhab Frankfurt, Theodor Adorno itu sendiri pernah lakukan hal yang sama ke atas budaya lambak dalam arena seni dan hiburan bourgouise Amerika dalam karya-karya seperti “The Culture Industry” dan “Minima Moralia: Reflections From Damaged Life”. Beza beliau dan Adorno kata Sir Roger ialah: Adorno bebas mengkritik tanpa diherdik oleh massa kerana Adorno adalah sebahagian daripada golongan kiri manakala sosok seperti beliau sebagai sang pemikir konservatif yang kritis dengan budaya kiri, akan cepat-cepat diserang hanya kerana mempertahankan khazanah dan “turath” Peradaban Barat seperti halnya muzik klasik ini.

Ada banyak persoalan menarik daripada hadirin tentang muzik di era di mana penghasilan muzik secara mekanikal oleh mesin yang akan melepasi ujian Turing (Turing’s test); beza mendengar karya agung muzik Barat dalam secara amal jama’i di dewan konsert, gereja vs mendengar secara persendirian di rumah–apa kesan ke atas pembudayaan tinggi masyarakat.

Memang Sir Roger Scruton ini seorang “wordsmith”. Mengajar masyarakat Barat untuk “hidup sebagai manusia” dalam erti kata yang sebenar, bukan seperti baha’im semata-mata. Maklumlah, tradisi mereka juga mengangkat kehidupan kerohanian melewati kehidupan jasadi. Muzik, kata Sir Roger adalah pintu kepada makrifat Ilahi seperti yang ditamsilkan oleh pemuzik agung Barat khususnya Bach yang mengadunkan malah menakrif pengalaman keruhanian estetika ajaran Kristian dalam simfoni-simfoninya.

Wan Ahmad Fayhsal, sekarang ini sedang menyelesaikan pengajian peringkat sarjana di King’s College.