Selama enam dekad kehidupannya sebagai penulis, V.S. Naipaul memaparkan dua personaliti yang berbeza— sang penulis yang sangat penyendiri yang telah menghasilkan antara prosa terbaik di zaman ini, dan juga satu lagi Watak—Sir Vidia— yang berbolak-balik antara menjadi seorang yang endah tak endah, tidak punya tolak ansur dan penyungut yang selalu buat hal. Nampaknya, setiap orang yang mengenalinya mempunyai cerita tentang perangainya itu—boleh jadi tidak benar dan boleh jadi juga tidak.

Di satu majlis makan malam pada pertengahan 1990-an ketika Naipaul mengunjungi Kuala Lumpur dengan tujuan untuk menyiapkan bukunya Beyond Belief adalah salah satu daripada cerita itu. Di tengah euforia kemenangan Blair di UK, yang menjanjikan masyarakat yang lebih “terbuka dan penyayang” yang terkandung dalam slogan Britain Baru yang dipimpin oleh New Labour dan konsep “Multikulturalisme”, Sir Vidia memberikan ulasannya terhadap idea itu dengan menjulang genggamannya sambil berteriak “barbarisme, barbarisme!”

Di zaman yang penuh dengan komen berbanding pandangan yang mendalam, kematian V. S. Naipaul disambut dengan kecaman (kecuali belasungkawa dan penghormatan yang lebih bertimbang rasa) —“bigot, rasis, misoginis”. Tuduhan sebegitu yang sudah dijangka dan amat membosankan, penuh dengan kesombongan akademik, menunjukkan sejenis ketidakmampuan (atau keengganan) untuk menanggapi kualiti Naipaul sebagai seorang penulis yang rumit—punya nuansa, rencam, bercanggahan. Kecaman itu juga tidak terbanding dengan penolakan puitis oleh kawan-kawannya. Pemenang Hadiah Nobel yang juga dari Caribbean, Derek Walcott mengatakan “V. S. Naipaul, bukan V. S. Nightfall.” Tetapi hanya teman-temannya yang dapat menangani paradoks Naipaulian dengan baik, dan tinggallah Walcott untuk menegaskan bahawa Naipaul adalah “penulis kalimat terbaik dalam bahasa Inggeris”.

Reaksi sebegitu mungkin dapat menggembirakan “setan kecil” yang diakui Naipaul ada dalam dirinya itu. Penulisannya (dan kejayaan sasteranya, yang bermula dan diikuti dengan tempoh keterasingan dan keterpinggiran yang amat sangat, mengikuti satu prinsip tunggal yang dinyatakan di dalam sebuah wawancara beberapa tahun lalu, “Jika seorang penulis tidak dapat menghasilkan perseteruan, maka dia mati”.

“Pengembaraan” Vidiadhar Surajpasad Naipaul—anak kepada Seerprasad Naipaul, wartawan Trinidad Times yang berpendapatan sederhana dan novelis yang tak menjadi, waris kepada kuli kontrak—daripada Chaguanas di kepulauan Caribbean di Trinidad ke Universiti Oxford, ke anugerah darjah Ratu dan Hadiah Nobel Sastera, menjadi kisah klasik pascakolonial. Ketika mengalami tempoh hidup yang miskin dan tanpa tujuan, beliau mencipta watak yang sangat menarik dan diingati dalam cereka moden—Mohun Biswas, “lelaki berjari enam dan salah lahir”—di dalam novel yang sangat lucu dan juga sedih, A House for Mister Biswas.

Bagaimanapun, di tahun-tahun mendatang, dan bertentangan dengan pandangan ramai, dia mungkin menganggap novel-novelnya kurang penting berbanding tulisan kembaranya, catatan kewartawanan dan laporannya. Beliau memulakan perbalahan tamadun yang besar dan panjang tempohnya, buku-buku yang muncul dari pertembungan itu menentukan kedudukan beliau dalam pandangan popular. Kepulangannya ke tanah air—India—menghasilkan buku yang tajam dan panas, India: A Wounded Civilisation. Kemudian diikuti dengan banyak pengembaraan lain di benua Afrika, Amerika Latin dan Amerika Syarikat.

Perbalahan tamadunnya yang panjang sudah tentu dengan Islam politik. Beliau yakin bahawa agama itu mengandungi cita-cita penjajahan seperti mana dalam sejarahnya. Selepas Revolusi Iran, dia mengembara mengumpulkan kesan-kesan daripada kebangkitan itu terhadap masyarakat Muslim di dunia bukan Arab. Among The Believers: An Islamic Journey adalah sindiran dan pada masa yang sama juga berpandangan jauh, dan penuh dengan cara tipikal Naipaul yang mengalihkan hujah daripada kritik secara umum kepada tetek bengek yang tersendiri. Satu-satunya tokoh yang nampaknya terselamat dari semua itu di dalam Among The Believers adalah Anwar Ibrahim, seorang pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia yang “muda dan bertenaga”. Katanya “Aku berharap dapat meluangkan masa yang lebih lama dengan Anwar…”

Namun, jauh daripada karikatur semasa tentang Naipaul sebagai seorang “lelaki kulit putih dalam tubuh berkulit perang,” kecanggungan di antara menerima idea-idea Pencerahan tetapi lahir dalam budaya yang terjajah jelas tertumpah di dalam semua buku-bukunya. Berkenan tempat lahirnya beliau berkata “Saya dilahirkan di situ, saya fikir itu adalah kesalahan yang besar,” tetapi apa yang menyusul selepas kenyataan itu adalah mungkin sebuah karyanya yang terhebat, The Middle Passage, sebuah sejarah Caribbean yang sangat peribadi sifatnya dan menceritakan tentang penghinaan dan keterasingan disebabkan oleh pengalaman penjajahan itu. “Dunia adalah sebegitu; manusia yang bukan siapa-siapa, yang membiarkan dirinya menjadi bukan siapa-siapa, tidak mempunyai tempat di sini,” tulisnya.

Kritikus sastera, Terry Eagleton, merumuskan dengan tepat kontradiksi Naipaul itu: “Seni yang hebat, politik yang teruk.” Kenyataan yang paling tepat tentang paradoks Naipaulian. Tahun-tahun seterusnya, paradoks itu dirungkaikan satu demi satu sebagai novel dan esei yang meneroka kesengsaraan sejarah dan yang lebih peribadi sifatnya di mana hanya “buku” yang dapat menyembuhkan. “Apa sahaja yang bernilai dari aku ada di dalam buku-bukuku,” katanya di dalam syarahan Nobel, Two Worlds. “Apa sahaja yang kelebihan yang ada dalam diriku tidak lah sepenuhnya terbentuk… ianya menanti sebuah buku. Ia akan datang—jika bernasib baik—kepadaku ketika menulis, dan akan mengejutkanku . Kejutan seperti itu adalah apa yang aku cari ketika menulis; itu cara aku menilai tentang apa yang aku lakukan—yang mana bukanlah mudah untuk dilakukan.”

Eddin Khoo, pengarah dan pendiri PUSAKA.

Tulisan ini telah terbit di majalah The Edge Weekly dan diterjemahkan daripada bahasa Inggeris oleh Ammar Gazali.