Awang Besar mula memukul gendang menari-nari di tengah gelanggang. Sambil menari, Awang Besar menyanyi dengan suara yang merdu. Suara serak-serak basah dan seni kata lagu yang didendangkan oleh Awang Besar benar-benar menarik perhatian sesiapa jua yang mendengar. Maka, berduyun-duyunlah penduduk Kampung Gajus menghampiri gelanggang yang dibina daripada tali rafia berwarna merah. Mereka duduk mengelilingi gelanggang dengan wajah penuh tanda tanya. Hatta apabila Awang Besar melihat penduduk kampung di tepi gelanggang, semangatnya seakan memuncak. Awang Besar memukul gendangnya berkali-kali agar nyanyiannya pada kali ini diingati oleh penduduk kampung.

            Bunyi gendang Awang Besar itu menyebabkan beberapa orang anak dara segera meninggalkan nasi yang ditanak di dapur. Beberapa orang ibu pula meninggalkan anak-anak yang masih kecil menangis di dalam buaian. Tangisan demi tangisan anak-anak kecil itu langsung tidak dipedulikan oleh ibu-ibu malah mereka hanya memekakkan telinga dan terus tidak berganjak dari tepi gelanggang. Seluruh kampung Gajus juga dicemari oleh bau nasi yang hangit. Bau itu meskipun menerjah hidung penduduk kampung, mereka masih tidak memberikan sebarang respons. Mereka sudah nekad untuk berada di tepi gelanggang. Semua ini kerana aura yang dipamerkan oleh Awang Besar, tukang pukul gendang dan tukang sebar maklumat melalui nyanyiannya.

            Tiba-tiba Awang Besar berhenti daripada memukul gendang. Dia seumpama patung cendana di tengah gelanggang. Semua kehairanan melihat Awang Besar kejung dan pucat.

            “Awang Besar, nyanyilah lagi. Kami mahu dengar nyanyian merdu Awang Besar!” teriak seorang penduduk di belakang orang ramai.

            “Awang Besar, apa yang hendak disampaikan kepada kami? Nyanyilah Awang Besar, biar terhibur duka di hati kami!” Laung seorang perempuan separuh umur.

            Awang Besar terkedu. Dia tidak keruan. Sebentar tadi, dia mendapat maklumat tentang wabak yang akan menyerang Kampung Gajus. Wabak yang diberi nama pilihan raya itu akan menyebabkan penduduk kampung demam. Barang sesiapa yang terkena wabak demam itu pasti akal mereka akan keliru dan kedua-dua belah tangan akan menggeletar. Barangkali, akal dan tangan itu adalah bersaudara. Akal akan mendorong tangan untuk berjuang. Jika ada di antara yang tidak mempunyai akal, sudah tentu tangan akan berperanan untuk menentukan sesuatu keputusan.

            “Awang Besar, kenapa tercegat sahaja? Cepatlah pukul gendang dan menyanyilah sepuas-puasnya!” kata suatu suara dari arah atas pokok di tepi gelanggang.

            Awang Besar meletakkan gendangnya ke tanah. Dia mula bersuara. Suaranya nyaring dan jelas. Menyebut perkataan demi perkataan sebagai tukang penyampai maklumat.

            “Wahai penduduk Kampung Gajus, aku sudah mendapat alamat. Bukan dari mimpi tetapi alamat itu diberikan oleh seseorang yang amat berpengaruh di negeri ini. Akan datang dalam sepurnama lagi, satu kejadian yang aneh akan berlaku di kampung ini. Akan datang banyak jentera yang pelbagai bentuk untuk menarik perhatian seluruh penduduk Kampung Gajus. Waktu itu, gendang perang akan dipalu tanpa henti. Waktu itu, gendang perang akan dipukul meminta kamu segera bersiap sedia.”

            Awang Besar menelan liur. Dia seperti cuba mengingati sesuatu. Sambil membetulkan selempang pemberian seseorang yang amat berpengaruh, dia menyambung percakapannya.

            “Waktu itu suasana akan hiruk-pikuk dengan pelbagai kata. Wajah-wajah yang tidak dikenali akan meminta simpati untuk mengikut mereka. Andai kamu dapat berfikir, berfikirlah dengan waras. Jangan sesekali kamu melakukan sesuatu di luar dugaan. Semuanya untuk kebaikan anak cucu kita pada masa akan datang.”

            Kemudian, Awang Besar terdiam lagi. Kali ini wajahnya lebih serius untuk menyatakan tentang wabak demam pilihan raya yang akan dibawa oleh sejenis virus.

            “Penduduk Kampung Gajus, adapun sejenis wabak akan datang menyerang kita semua. Wabak demam pilihan raya  yang akan menyebabkan otak kita menjadi keliru dan tangan pula menggigil. Sekiranya kamu terkena wabak itu, segeralah kamu kembali ke asalnya iaitu memilih keputusan yang pernah nenek moyang kita lakukan dahulu. Jangan sesekali lupa diri! Jangan sesekali mengingkari peperangan yang masih belum selesai!” ucap Awang Besar.

            Penduduk Kampung Gajus terdiam apabila mendengar kata-kata Awang Besar itu. Lalu, terlintas di fikiran mereka kejadian yang berlaku kira-kira 5 tahun yang lalu. Waktu itu, Awang Besar belum lagi dilantik sebagai tukang pukul gendang dan tukang hebah maklumat. Waktu itu, penduduk kampung masih tidak tahu apa-apa. Beberapa orang yang tidak bersekutu dengan pemerintah negeri datang dan membuat pelbagai provokasi. Menjanjikan sesuatu di luar batasan fikiran. Kata orang yang tidak bersekutu dengan pemerintah negeri,

            “Mintalah apa sahaja, nescaya pihak kami akan lunaskan permintaan itu. Kalau mahu laut, kami akan berikan sebidang laut untuk kamu belayar di atasnya. Kalau mahu udara segar, pihak kami akan berikan sebalang udara segar yang kami petik dari negeri Angin-Anginan untuk kamu hirup dan rasa. Kalau mahu tanah, kami akan sediakan tanah sekepal dari negeri Tanah Benderang untuk kamu bercucuk tanam. Mintalah apa sahaja, nescaya kami akan berikan. Tetapi, kalau kami memberi maka kamu juga haruslah membayarnya dengan cara menerima kami. Kami adalah kumpulan yang tidak bersekutu dengan pemerintah negeri. Kami ini di bawah panji-panji khayalan yang hidup untuk menentang kuasa pemerintah di negeri ini. Justeru, adalah lebih baik jika kamu memilih kami!” kata ketua kumpulan tidak bersekutu itu.

            Beberapa orang penduduk Kampung Gajus tercengang apabila mendengar janji-janji yang diluahkan oleh kumpulan tidak bersekutu itu. Mendengar tentang banyaknya janji ditabur menyebabkan ada sebilangan penduduk Kampung Gajus mula hilang pertimbangan. Mereka benar-benar telah dirantai oleh janji kumpulan itu.

            “Tuan, rumah kami sudah dihanyutkan oleh air bah. Malah, hasil ladang kami juga turut musnah. Kami mahu tuan tolong kami,” pinta salah seorang penduduk kampung.

            Memang benar, beberapa minggu yang lalu, kawasan di Kampung Gajus dilanda banjir. Airnya separas leher menyebabkan banyak rumah yang ditelenggami air. Hasil ternakan mereka juga turut terkorban. Mereka hidup dalam kelaparan dan bergelandangan. Wabak penyakit seperti taun turut menyerang mereka. Mereka hidup dalam kematian dan kesengsaraan.

            “Jangan bimbang! Kami akan segerakan memberi bantuan untuk kamu meneruskan kehidupan. Rumah-rumah kamu kami akan baiki dan pulih. Hasil ternakan kamu akan segera kami berikan yang baharu. Jangan bimbang!” janji ketua kumpulan tidak bersekutu itu.

            Mendengarkan janji-janji itu, sebahagian penduduk Kampung Gajus kembali ceria. Semangat yang hilang tiba-tiba menjelma semula. Berita itu disambut dengan gelak ketawa penduduk kampung namun di sebaliknya ada tersirat senyuman yang sumbing di bibir oleh ketua kumpulan itu.

            “Tetapi ada syaratnya!” potong ketua kumpulan itu secara tiba-tiba.

            “Syarat? Syarat apa Tuan?” soal sebahagian penduduk Kampung Gajus.

            Sambil tersenyum manis, ketua kumpulan tidak bersekutu itu mengenyitkan mata kepada salah seorang pengikutnya untuk mengagihkan beberapa helai borang yang perlu ditandatangani oleh penduduk Kampung Gajus.

            “Tuan-tuan boleh menurunkan tandatangan di borang ini. Ini adalah persetujuan di antara pihak kami dan tuan-tuan. Setelah menandatangani borang ini tuan-tuan tidak boleh berpaling tadah kepada pemerintahan kami. Kami ini adalah pihak yang tidak sukakan pemerintahan kerajaan di negeri ini. Kami akan bantu setelah semua penduduk menyokong pemerintahan kami.” Ketua kumpulan tidak bersekutu memberikan penerangannya.

            Beberapa orang penduduk mula menampakkan riak wajah yang tidak selesa. Sebelum kumpulan itu memberikan bantuan, mereka sudah dipaksa untuk menerima kehadiran mereka. Justeru, apa yang akan berlaku sekiranya Kampung Gajus menjadi hak mutlak pemerintah yang tidak bersekutu dengan pihak pemerintah?

            “Kalau begitu, berikan kami tempoh untuk berbincang. Ini menentukan masa depan kampung kami,” jawab seorang lelaki separuh umur.

            “Ambillah seberapa banyak masa yang tuan-tuan perlu. Ingat, tidak akan ada orang yang sanggup membantu tuan-tuan melainkan kami ahli kumpulan tidak bersekutu ini. Kalau tuan-tuan melambat-lambatkan perkara ini, kami takut anak-anak tuan akan mati kelaparan.”

            Setelah berbincang beberapa hari, penduduk Kampung Gajus memberikan kata sepakat. Buat pertama kalinya mereka membina ikrar untuk sama-sama menyokong pemerintahan kumpulan tidak bersekutu. Mereka menolak untuk menerima pemerintah negeri yang sudah lama bertapak di kampung itu. Usai tandatangan diturunkan pada borang, mereka menunggu bantuan yang telah dijanjikan. Sehari, dua hari, tiga hari dan dua bulan sehingga berbulan-bulan bantuan yang dijanjikan tidak ada malah kumpulan itu lesap begitu sahaja. Anak-anak mula kelaparan. Tubuh mereka kurus kering. Begitu juga hasil ternakan mereka langsung tidak ada. Untuk membajak sawah, mereka pula yang menggantikan kerbau. Tenaga mereka kian habis. Mereka ditimpa kesusahan yang tidak dijangkakan. Air mata mula mengalir deras umpama empangan yang pecah. Mereka menderita atas perbuatan mereka sendiri.

            “Penduduk Kampung Gajus, usah diingat barang yang lama. Ingatlah apa yang telah kita hadapi dulu. Terlalu perit dan deritanya kita. Pilihan raya itu bukan main-main. Apabila gendang perang mula dipalu, kita mesti siap sedia untuk menghadapinya.”

            Kata-kata yang dilontarkan oleh Awang Besar menyebabkan penduduk kampung tersentak dari lamunan. Segera mereka menyedari bahawa kisah pahit itu bakal terbenam seketika nanti. Dalam sepurnama ini, penderitaan mereka akan berakhir. Mereka sudah lelah menagih simpati.

            Awang Besar memukul gendang bertalu-talu. Menyanyi-nyanyi mengingatkan sesuatu kepada seluruh penduduk Kampung Gajus. Dia menari-nari di tengah gelanggang. Lagaknya seperti seekor ayam jantan yang sedang bersabung. Habis sudah nyanyian Awang Besar, maka seluruh penduduk Kampung Gajus beredar meninggalkan Awang Besar dengan gendangnya. Mengerjakan pekerjaan yang telah ditinggalkan. Anak-anak dara kembali menanak nasi. Ibu-ibu kembali mendapatkan anak-anaknya. Yang lelaki pula bertungkus-lumus mengerjakan sawah demi sesuap nasi. Manakala Awang Besar pula duduk tercatuk seperti seekor burung di bawah pokok menanti maklumat yang bakal mendatang.

            “Awang…sudahkah kamu memukul gendang? Sudah kamu memberitahu apa yang telah kusuruh?” soal seorang lelaki tua bertongkat.

            Pertanyaan itu membuatkan Awang Besar tersentak. Dia mendongak melihat gerangan yang sedang berbicara dengannya. Mata Awang Besar terkebil-kebil apabila melihat orang yang berada di hadapannya.

            “Sudah Tok. Saya sudah menjalankan seperti yang dikehendaki oleh Tok. Saya kira sudah pasti apa yang saya sampaikan itu sudah difahami oleh penduduk Kampung Gajus ini. Selebihnya kita berserah kepada Allah, Tok. Saya hanya mampu berdoa agar penduduk kampung ini kembali hidup seperti dahulu.” Jawab Awang Besar dengan mata yang berkaca.

            Orang tua itu tersenyum. Mendengarkan kata-kata Awang Besar hatinya gembira. Dia juga sama seperti Awang Besar yang mahukan kampung itu aman semula. Tidak ada anasir jahat yang cuba memperkotak-katikkan penyatuan penduduk di kampung itu.

            Benarlah kata Awang Besar, usai sepurnama penduduk kampung dikejutkan dengan kehadiran jentera-jentera yang menggamatkan keadaan. Seluruh penduduk kampung keluar melihat kedatangan pemerintah sambil membawa panji-panji kemenangan. Di sana sini ditaburkan segala bantuan yang diperlukan. Tangan-tangan penduduk kampung disumbat dengan pelbagai bantuan. Kali ini, tidak ada janji-janji khayalan. Semuanya adalah realiti.

            Kemudian, Awang Besar diarahkan memukul gendangnya kembali. Kali ini tidak berhenti-henti. Awang Besar tidak menyanyi. Kerjanya hanya memukul gendang. Dua hari dua malam juga Awang Besar tidak tidur kerana memukul gendang. Kata pemerintah, gendangnya berbisa dapat menarik perhatian penduduk kampung. Justeru, tidak ada orang lain yang lebih layak memukul gendang selain Awang Besar.

            Benarlah juga kata Awang Besar, akan datang wabak yang menyerang penduduk Kampung Gajus. Deman pilihan raya semakin menghampiri. Semua penduduk Kampung Gajus mula tidak tidur lena.

            Bermula dari rumah Tok Ketua sehinggalah demam itu menyerang orang dewasa di dalam rumah itu. Kemudian, demam itu merebak di rumah yang berhampiran dengan rumah Tok Ketua, di situ juga demam itu hanya menyerang orang dewasa sahaja. Sehinggalah rumah yang terletak di hujung kampung, semuanya diserang oleh demam pilihan raya. Anehnya kanak-kanak tidak pula diserang dengan wabak demam itu. Kanak-kanak dapat tidur lena dan sihat tanpa sebarang virus yang menjangkitinya. Begitu juga Awang Besar yang langsung kalis daripada terkena virus tersebut. Sedang penduduk kampung mengerang kesakitan, Awang Besar tetap memukul gendangnya bertalu-talu. Benarlah bahawa Awang Besar ini tidak begitu siuman maka dia terhindar daripada menerima serangan virus demam pilihan raya.

            Seluruh penduduk kampung tidak dapat pergi ke sawah. Anak-anak dara yang belum matang diarahkan untuk duduk diam di dalam rumah. Merekalah yang menjaga ibu bapa dan abang-abang yang sudah matang memicit-micit kepala yang sedang berdenyut-denyut. Memikirkan pilihan raya yang semakin dekat yang menghampiri kampung itu.

            Benarlah kata Awang Besar lagi. Kali ini kepala semua penduduk kampung semakin sakit. Otak mereka berdenyut-denyut. Berfikir tentang pemilihan yang harus dibuat. Tangan mereka mula menggeletar. Ada di antaranya terlalu nazak. Awang Besar tidak peduli. Dia terus memukul gendang bertalu-talu. Mengingatkan pesanan Tok Ketua buat penghabisan kalinya. Dia mahu pemerintah negeri mengambil alih. Awang Besar yang tidak siuman itu terus memukul dan memukul gendang tanpa henti.

Amatara,  aktif menulis dalam majalah dan surat khabar. Antara hasil karya yang disiarkan ialah ‘Tengkuk Ayam,’ ‘Amat Dua Puluh’, ‘Air Mata di Bumi Sendiri’. Ketiga-tiga cerpen ini disiarkan dalam Utusan Malaysia bulan Januari, April dan Jun 2018. Kini, mengikuti bengkel sebagai Munsyi Dewan yang dianjurkan oleh pihak DBP 2018.