Faysal al-Tafriqah Baina al-Islam wa al-Zandaqah adalah buku ketiga karangan Imam Al-Ghazali yang diterjemah dan diterbitkan oleh Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) di samping terjemahan corpus tokoh-tokoh dunia yang lain. Bagi mereka yang mendalami pemikiran yang berlegar dalam agama, buku ini adalah antara buku utama yang harus ditelaah.

Sebagai seorang tokoh yang berpengaruh di nusantara, Al-Ghazali selalu dikaitkan dengan iktikad-iktikad tasawwuf yang menjadi mazhab umum masyarakat lewat Ihya’ Ulumiddin. Jarang sekali pemikiran teologi dan usuluddin Al-Ghazali dibahas, antara lain disebabkan sumber-sumber mengenainya sukar dicapai.

Terjemahan Faysal ini memberi peluang dan ruang kepada pembaca untuk meneliti satu perbahasan yang penting, lebih-lebih lagi di zaman munculnya beberapa kelompok Islam baru yang mendakwa kebenaran hanya milik mereka dan lebih melampau ada di antara mereka yang menghalalkan darah orang Islam.

Kendati demikian, perbahasan dalam buku ini bukanlah satu-satunya perbahasan yang harus ditelaah pembaca. Ia bagus sebagai pengenalan untuk mengikuti perbahasan-perbahasan yang melibatkan aqidah dan pokok-pokok agama. Antara yang menarik untuk diperhatikan dalam buku ini ialah bagaimana Imam Al-Ghazali di dalam buku ini berdepan dengan mazhab Syiah.

Setelah itu, perhatikan pula beberapa bahagian dalam buku ini, terutamanya bab-bab awal, yang menceritakan fenomena mazhab-mazhab yang menyebarkan doktrin “kebenaran itu milik kami”. Hal ini diterangkan oleh Al-Ghazali dengan tuntas dan tidak meleret-leret. Semestinya, bab mengenai takwil dan bagaimana takwil itu menjadi benar dan boleh dipakai tidak boleh dilangkau oleh pembaca. Al-Ghazali menerangkan beberapa wujud  (existence) yang menjadi ukuran takwilan seseorang terhadap sesuatu nas agama itu dapat diterima atau tidak. 

Sikap toleransi yang ditunjukkan Al-Ghazali dalam buku ini wajar dijadikan tauladan kepada kita ketika berhadapan pelbagai jenis aliran. Dan sikap ini boleh menyelamatkan masyarakat daripada kecamuk di dalam kancah budaya takfir (mengkafirkan) yang leluasa.

Dalam proses penterjemahan dan penyuntingan ini, penterjemah dan penyunting memilih pendekatan terjemahan yang dinamik. Kami yakin pendekatan ini lebih sesuai bagi melancarkan pembacaan.

Penterjemahan secara tegas dan rigid, dengan terlalu mengikut tata letak harfiah dan “ayat penyata” sukar diikuti oleh pembaca kerana Bahasa Arab mempunyai lenggok berlainan daripada Bahasa Melayu. Ini tentunya akan menyukarkan para pembaca yang tidak terdedah kepada Bahasa Arab untuk memahami gagasan utama buku ini.

Terjemahan ini tentunya mempunyai kelemahan, justeru itu kami mengajak para pengkaji dan pembaca untuk menyumbangkan ulasan dan kritikan jika ada kelemahan pada terjemahan dan suntingan buku ini, khususnya yang berkaitan dengan terjemahan istilah.

Akhir kalam, terimalah Faysal al-Tafriqah Baina Islam wa al-Zandawah! Selamat membaca!

Tulisan ini diambil daripada kata pengantar buku tersebut yang baru sahaja terbit. Zahid M. Naser adalah penyunting kepada buku itu.