“Siapa pencuri itu masih belum dapat dikesan lagi. Setakat ini pihak polis masih lagi mencari pencuri itu. Agaknya kau rasa siapa yang mencuri kesemua abjad sehinggakan tidak ada sesiapa pun yang boleh mengarang lagi?” tanya Datuk A.

            Datuk B yang sedang menghirup kopi panas hampir tersedak. Namun, dia lekas-lekas membetulkan keadaan agar Datuk A tidak mengesyaki sesuatu. Dia sekadar berlagak biasa.

            “Hmm…aku tak ada idea. Jadi, kau suspek siapa yang mencurinya?” tanya Datuk B.

            “Aku pun tak tahu. Ada baiknya kalau kita berjumpa dengan ‘orang kita’ agar dia dapat menulis tentang masalah ini dalam surat khabar kita. Barangkali, masalah ini belum lagi diketahui oleh orang di luar sana.” Datuk A memberikan pendapat. Datuk B pula hanya mencebikkan wajahnya seperti endah tak endah.

            Datuk A mengheret Datuk B menuju ke bilik yang dipenuhi dengan ‘orang kita’. Sesampai di pejabat ‘orang kita’, Datuk A duduk bersandar di sebuah sofa sambil menunggu kedatangan ‘orang kita’. Datuk B pula hanya seperti patung cendana membiarkan Datuk A melempiaskan keinginannya untuk berjumpa dengan ‘orang kita’. Beberapa minit kemudian, ‘orang kita’ muncul dengan membawa mug berisi kopi panas. Wajah ‘orang kita’ pucat lesi dan mug yang dipegang hampir terlepas daripada pegangannya.

            “Orang kita, saya nak jumpa dengan kamu sekejap. Ada hal penting untuk kita selesaikan hari ini juga,” Datuk A dengan pantas memberitahu kedatangannya.

            “Hmm…kalau begitu, Datuk A dan Datuk B boleh berbincang di dalam bilik saya. Silakan Datuk,” kata ‘orang kita’ dengan tangan yang sedikit menggeletar.

            “Tak payahlah, kita berbincang di luar sahaja. Semua orang boleh mendengar butir perbincangan. Ini bukan masalah peribadi. Ini masalah sejagat!” Datuk A mula tidak keruan.

            Dengan terketar-ketar ‘orang kita’ duduk di sofa mengadap Datuk A dan Datuk B. Mug berisi kopi panas diletakkan di atas meja kaca. Asap yang berkepul-kepul tadi tiba-tiba sahaja hilang dibawa oleh angin yang tiba-tiba menerjah bilik tersebut. Datuk B menjeling ‘orang kita’ dengan pandangan penuh bermakna. Barangkali cuba untuk memberikan amaran agar tidak menimbulkan sebarang kemusykilan kepada Datuk A. ‘Orang kita’ hanya membalas dengan ekor mata tanpa memberikan sebarang respons. Menunggu arahan seterusnya daripada Datuk A meskipun dadanya berombak-ombak.

            “Sekarang saya nak kamu taipkan satu hebahan penting. Hebahannya begini: Sesiapa yang menjumpai abjad-abjad yang hilang akan diberikan ganjaran sebanyak RM50,000. Saya mahu hebahan itu mesti disiapkan pada hari ini juga!” arah Datuk A dengan nada yang tegas.

            ‘Orang kita’ tersentak. Bagaimana dia hendak menyiapkan hebahan itu sedangkan kesemua abjad di dalam komputer ribanya sudah hilang dicuri orang? Mahu berterus-terang dia berasa takut kalau-kalau alasannya kali ini tidak diterima oleh Datuk A. Jika dia mengambil langkah untuk menyiapkannya pula, itu lagi parah dan berkemungkinan dia akan dipecat dari syarikat itu.

            “Maaf Datuk, saya tidak boleh melakukannya sebab kesemua abjad di dalam komputer riba saya juga turut hilang.”

            Datuk A ternganga. Dia tidak keruan. Dia fikir hanya komputer ribanya sahaja dilanda masalah tetapi dia tidak menyangka bahawa komputer riba ‘orang kita’ juga turut diserang dengan masalah yang sama.

            “Ada cara lain? Datuk B, kenapa diam sahaja? Berilah pendapat. Saya sudah buntu.”

            Datuk B tersentak. Sebenarnya sejak dari semalam dia mengalami perkara yang sama. Sejak akhir-akhir ini dia mendapat panggilan daripada seseorang yang tidak dikenalinya. Suara itu ada memberitahu tentang kejadian yang bakal berlaku iaitu dunia akan kehilangan semua abjad jika tidak menghargainya. Abjad itu tidak dicuri sebaliknya diculik. Dia juga pernah bermimpi tentang kehilangan abjad ini. Tetapi dia tidak ambil kisah kerana menganggap mimpi itu hanyalah permainan tidur semata-mata. Dan apabila sentiasa diganggu oleh suara-suara yang tidak dikenali, maka dia tidak dapat melelapkan mata. Dia terus sahaja memberitahu tentang masalah itu kepada ‘orang kita’.

            “Beginilah Datuk, apa kata kita panggil pekerja kita yang masih menyimpan mesin taip lama. Barangkali boleh membantu kita menulis hebahan ini. Saya fikir mungkin ada di antara orang kita yang menyimpan mesin taip lama. Inilah gunanya,” ‘orang kita’ memberikan cadangan.

            Setelah mendapat persetujuan daripada Datuk A dan Datuk B, ‘orang kita’ berlari ke aras bawah bangunan. Dia berlari laju menuju ke pintu utama. Tetapi lariannya tiba-tiba terhenti. Dia mendapati pintu utama telah ditutup oleh pengawal di situ. Dari cermin kaca dia melihat ramai manusia yang membanjiri perkarangan bangunan itu dengan membawa sepanduk. ‘Orang kita’ melihat perkataan di sepanduk. Antaranya, ‘Pulangkan Abjad Kami!’, ‘Di mana kamu sembunyikan Abjad kami?’, ‘Mana Abjad Kami?’ dan sebagainya. Suasana hiruk-pikuk di luar bangunan itu menyebabkan ‘orang kita’ berundur setapak ke belakang. Dia berasa takut dan gerun. Nyawanya seolah-olah di hujung pedang ketika itu. Pada bila-bila masa ianya akan melayang.

            “Encik, keadaan sangat genting sekarang. Jadi Encik tak dibenarkan keluar dari bangunan ini.” Kata pengawal itu menghalang pergerakan ‘orang kita’.

            ‘Orang kita’ terkedu. Hatinya gundah-gulana. Sebentar tadi dia sudah menerima arahan daripada Datuk A. Dia harus menyegerakan perintah Datuk A tanpa mempedulikan nyawanya sendiri.

            Sepantas kilat, ‘orang kita’ menyerbu ke muka pintu lalu meloloskan dirinya daripada kawalan pengawal. Hatta keluar sahaja dari bangunan itu, manusia yang memekik-mekik menerpa ke arah ‘orang kita’ dengan ganas. Pengawal melihat ‘orang kita’ ditampar dan ditendang sehingga tersembam di depan pintu utama. ‘Orang kita cuba bangun namun dia terhuyung-hayang dan tidak dapat mempertahankan diri daripada serangan manusia di luar sana. Untuk sekian kalinya dia cuba bangun tetapi tubuh kurusnya ditumbuk sehingga tersandar di depan pintu utama. Bibirnya berdarah dan dia menyeringai kesakitan. Bajunya koyak-rabak ditarik dan disentap dengan rakus oleh tangan-tangan manusia. Sepantas kilas, pengawal menarik masuk ‘orang kita’ melalui pintu yang dibuka sedikit. Dengan bersusah-payah, ‘orang kita’ diselamatkan dan dibaringkan di atas sofa. Dia kehilangan semangat. Badannya calar-balar dan lebam-lebam. Dia sudah cukup dikerjakan oleh manusia di luar sana.

            Tak ada cara lainkah? soalnya di dalam hati.

            Ketika otaknya berputar ligat, dia teringat seorang rakan lama yang mempunyai kedai antik. Kedai yang terletak selang dua buah bangunan itu menjadi penyelamat kepada apa yang cuba dicarinya. Dia menekan nombor telefon pada skrin telefon pintarnya. Mujurlah nombor di skrin tidak diculik hanya abjad sahaja yang telah hilang daripada dada telefon pintar itu. dia melihat berulang kali seperti tidak percaya. Tidak ada huruf a, b atau z. Semuanya sudah hilang ghaib. Hanya di dada skrin telefonnya kini nombor-nombor iaitu 1 sehinggalah berjuta banyaknya.

            Ah! di sini juga abjad sudah diculik? Mustahil! Getus ‘orang kita’ tidak keruan.

            Mujur juga dia ingat nombor telefon rakannya. Nombor itu tidak pernah padam dari ingatannya. Mujurlah…

            Usai bercakap dengan rakannya, dia mematikan talian telefon. Dalam perbualannya itu dia meminta rakannya membawa mesin taip lama ke bangunan tersebut. Namun, dia tidak memberitahu tentang tujuannya berbuat demikian. Dia juga memberitahu situasi yang berlaku di luar bangunan. Lima minit kemudian, rakannya tiba di perkarangan bangunan. Dia memakai pakaian serba hitam dengan beg sandang juga berwarna hitam.

            “Saudara-saudara sekalian, saya mewakili saudara untuk berunding dengan syarikat ini tentang kehilangan abjad. Justeru, berikanlah saya kepercayaan untuk masuk ke dalam bangunan ini!” laung rakan ‘orang kita’ nyaring.

            Manusia di luar sana terdiam. Mata mereka saling berpandangan, mereka mahu masalah ini segera diselesaikan. ‘Orang kita’ menggosok-gosokkan matanya berulang kali. Seperti tidak percaya dengan kuasa yang ada pada rakannya itu. Dia mengarahkan pengawal membuka pintu utama, usai berbuat demikian rakannya masuk ke dalam sambil tersenyum.

            “Terima kasih.” ‘orang kita’ kembali bersemangat.

            Mereka berlari mendaki anak-anak tangga menuju ke bilik mesyuarat di mana Datuk A dan Datuk B juga sudah sedia menunggu di sana. Dengan tercungap-cungap, ‘orang kita’ menghulurkan mesin taip kepada Datuk A. Datuk A dengan rakus segera mengeluarkan mesin taip dari dalam beg lalu meletakkan kertas kosong A4 pada bahagian kepala mesin taip. Dia mula mematuk-matuk abjad-abjad di permukaan keyboard namun dia terkejut apabila mendapati secara beransur-ansur abjad pada mesin taip itu hilang. Wajahnya bertukar pucat.

            ‘Orang kita’, Datuk B dan rakan ‘orang kita’ tersentak apabila melihat keanehan itu. Mereka saling berpandangan. Nafas mereka tercungap-cungap. Untuk kali ini, usaha mereka gagal. Datuk A dan Datuk B duduk di atas sofa semula sambil menongkat dagu. Tidak tahu apa yang harus dilakukan lagi.

            Sepuluh minit kemudian, telefon bimbit Datuk B berdering. Datuk B melihat ke skrin tetapi tidak terpapar langsung nama pemanggilnya. Jantung Datuk B berombak memikirkan gerangan yang menelefon itu. Datuk A pula kehairanan. Tanpa menunggu penjelasan Datuk B, telefon di tangan Datuk B dirampas dengan kuat oleh Datuk A.

            “Helo, mahu bercakap dengan siapa? Ini siapa?” soal Datuk A sedikit tegang.

            “Datuk A, sayalah yang menculik semua abjad. Saya sudah memberi amaran sejak awal lagi.”

            Datuk A melihat ke arah Datuk B dengan pandangan yang tajam. Datuk B hanya memandang permukaan karpet. Dia kehilangan kata-kata.

            “Kamu ni siapa? Kenapa kamu culik semua abjad? Kenapa??” jerit Datuk A marah. Wajahnya merah padam. Nafasnya kencang seperti seekor kuda.

            “Datuk A, saya sudah beri amaran kepada Datuk B. Jika syarikat Datuk tidak pandai menghargai abjad, maka saya akan menculik mereka kesemuanya. Masyarakat masa kini langsung tidak menghargai buku. Habis semua buku ditulis tidak dapat dijual kerana sudah hilang semangat membaca. Buku-buku dinodai dan dihumban tanpa maruah. Bahkan banyak bahan bacaan yang lainnya sudah dijeruk dan diperam di dalam balang berisi api yang mencengkam. Jadi, apa guna abjad jika kehadirannya tidak dihargai?”

            Datuk A tergumam. Ada kebenaran daripada kata-kata suara itu. Baru semalam dia berbincang dengan beberapa orang pemegang saham untuk memperbaiki kegawatan buku-buku yang tidak laku. Baru semalam dia berbicara tentang masalah bahan bacaan yang tidak lagi menjadi agenda utama negara. Malah, bahan-bahan itu dibuang sesuka hati dan langsung tidak dipedulikan oleh pihak atasan.

            “Datuk A, selagi ada manusia yang malas membaca maka abjad-abjad ini tidak mungkin dapat diselamatkan lagi. Kalau Datuk A tidak percaya, sekejap lagi saya akan bakar kesemua abjad yang saya culik, biar seluruh dunia ditimpa kebodohan dan buta huruf!”

            “Jangan! Jangan lakukan! Beri kami tempoh. Kalau kamu mahukan pampasan sebanyak RM50,000 saya sanggup membayarnya.”

            Suara di corong telefon itu ketawa. Ketawanya amat menikam jantung Datuk A yang mendengarnya.

            “Datuk A, jangan ingat nilai abjad yang diculik sebanyak itu! Kalau masyarakat dapat menilai sudah tentu mereka tidak akan malas membaca. Ilmu pengetahuna nilainya berpuluh-puluh kali ganda. Jika hilang satu sahaja abjad, maka ianya tidak akan menjelmakan sebarang perkataan. Jika Datuk A beranggapan abjad boleh dibeli, itu adalah tanggapan yang salah!”

            “Jadi, berapa yang kamu mahu?” suara Datuk A semakin meninggi.

            “Tidak banyak. Hanya nilai untuk membayar kesemua abjad itu mesti ditukarkan dengan kanak-kanak yang akan buta huruf dan tidak boleh membaca buat selama-lamanya.”

            Sekali lagi Datuk A tersentak. Permintaan untuk menebus kesemua abjad itu terlalu perit. Kanak-kanak tidak boleh dibiarkan buta huruf dan tidak pandai membaca. Kanak-kanak adalah masa depan sesebuah negara. Justeru jika kanak-kanak itu tidak mengenal angka dan huruf bagaimana mereka akan memajukan dan mentadbir sesebuah negara? Lantas, apakah yang akan berlaku kepada negara yang bakal dibina nanti? Datuk A menggaru-garu kepala walaupun tidak gatal.

            “Beginilah… bagi menebus kesemua abjad yang diculik, saya sanggup kehilangan memori di dalam otak saya. Biarlah saya buta huruf daripada kanak-kanak lain. Saya sudah tua, biarlah generasi masa akan datang dapat menghargai sikap suka membaca. Setuju?” Datuk A memberi cadangan.

            “Baiklah, saya bersetuju. Sekejap lagi saya akan memberikan petunjuk kepada pembebasan kesemua abjad yang telah diculik.”

            Akhirnya, Datuk A menarik nafas kelegaan. Dia mematikan talian telefon sambil mengelap air matanya. Dia terpaksa berkorban demi membebaskan kesemua abjad tanpa mengira kepentingannya. Bagi dirinya, meskipun dia akan buta huruf tetapi ilmu yang diperoleh belum tentu akan hilang daripada ingatannya.

            Beberapa minit kemudian menerusi paparan di televisyen, dia melihat berguni-guni abjad telah dijumpai di sebuah gudang. Orang ramai mula membanjiri gudang tersebut dan mengutip kesemua abjad yang telah diculik untuk dibawa pulang ke rumah.

            Datuk A mencapai telefon pintar dan mula mendail. Tetapi secara tiba-tiba dia tidak dapat mengecam abjad-abjad yang membentuk nama Presiden Syarikat. Benarlah dia kini sudah hilang segala-galanya. Dengan wajah yang pucat dia meminta Datuk B menaip nama  Presiden Syarikat itu dan melalui suara di corong telefon Datuk B dapat mengenal pasti suara itu mirip suara yang didengarinya sebelum ini. Dan kemudian, matanya mula terbeliak.

Idarasul, seorang pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu IPG Kampus Pendidikan Teknik, Bandar Enstek Negeri Sembilan. Pemenang hadiah penghargaan Kategori Cerpen Media Baharu Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2016 dengan cerpen ‘Demi Pengakhiran Itu…’. Cerpen ‘Redha Abah’, “Wadah PajatSong’disiarkan dalam Utusan Malaysia April dan Julai 2018. Cerpen ‘Pintu Mana Lagi?’ disiarkan dalam Selangor Kini Julai 2018. Bergiat cergas dalam pertandingan penulisan seperti sayembara Novel Remaja dan kanak-kanak DBP/BH Pendidikan.