Pertama kali saya temui nama Winston Churchill adalah semasa saya membelek-belek ensiklopedia sejarah di perpustakaan ketika di bangku sekolah. Kali kedua pula ketika saya melayari Myspace dan seorang rakan saya berkongsi petikan kata-kata beliau yang dicuri daripada laman Tumblr: jangan berputus asa dengan perkara yang sering bermain-main di fikiran anda setiap hari. Ia ditulis berhelvetica dengan pemandangan banjaran Alps sebagai latar belakang. Barangkali gadis-gadis New York dan Beverly Hills itu menyangka bahawa ucapan tersebut terbit daripada bibir pria Eropah yang merebut cinta dan bukannya lelaki tua gempal yang mulutnya tengik berbau tembakau curut. Tetapi itulah Winston Churchill dan begitulah sejarah mengenangnya.

Baru-baru ini saya menonton Darkest Hour, filem biografi hasil sutradara Joe Wright yang mengangkat perlantikan beliau sebagai Perdana Menteri UK pada Mei 1940 serta cabaran-cabaran awal yang dihadapi. Ketika itu di pertengahan perang, sewaktu Herr Hitler sedang melanjutkan kekuasaannya dengan menakluki Poland, Belgium, dan Perancis. Eropah sedang runtuh dan jagat Barat seperti yang kita maklum sedang terjerumus ke jurang kemusnahan. Perdana Menteri sebelumnya Neville Chamberlain dilihat terlalu lemah untuk menangani krisis tersebut, lalu Churchill si Laksamana Samudera dipilih sebagai pengganti yang baru.

Pada poster filem tertulis: masyarakat yang belum bersedia, raja yang masih curiga, serta parti sendiri yang cuba menggagalkan beliau. Tetapi tema utama filem ini barangkali jatuh pada persoalan yang sering menggugat sepanjang dua jam ini: 1) sama ada memilih berunding damai dengan Herr Hitler dan menyaksikan panji Swastika berkibaran di bumbung Istana Buckingham; atau 2) terus berlawan dengan menghalakan setiap muncung senapang milik pulau anda kepada tentera-tentera fasis Jerman. Keseluruhan konflik filem berlingkaran di antara dua pertanyaan tadi.

Sebelum kita mula mengulas filem dengan lebih lanjut, saya kira molek sekiranya kita melihat dahulu sosok Winston Churchill daripada sudut sejarah serta latar pembawakannya. Ini dapat membantu kita serba sedikit memahami keperibadian tokoh ini, menilai tali benang perkaitannya dengan konflik filem seperti kita sebutkan di atas. Untuk ini kita menyelak semula biografi beliau yang terkenal karangan John Keegan, sejarawan dua perang hebat yang meletus di benua itu.

Beliau dilahirkan pada tanggal 30 November 1874, di dalam sebuah keluarga bangsawan Victoria. Dalam ucapan beliau kepada Kongres AS pada Disember 1951, “saya telah diasuh di rumah bapa saya untuk mengataskan demokrasi. Yakinilah suara rakyatmu, itulah pesan beliau.” Semasa kecil, beliau telah mempamerkan kepintaran yang luarbiasa – tetapi bukan sebagai pelajar gred A yang cemerlang dalam setiap peperiksaan. Beliau tidak terpilih untuk menyertai Kolej Eton, sebagai mana anak-anak bangsawan sebaya dirinya. Bahkan dia kerap gagal dalam pelajaran Latin dan Yunani.

Dia meminati sejarah, tetapi bukan sebagai mata pelajaran semata-mata. Subjek-subjek lain juga ditanda dengan markah yang tidak membanggakan. Jiwa beliau tidak terletak pada kehidupan awam tetapi ketenteraan, yang akhirnya disertai beliau di Maktab Tentera Diraja Sandhurst (meskipun tanpa restu ibu bapanya yang konservatif). Setelah melalui latihan-latihan yang keras dan mencabar, beliau akhirnya menamatkan pelajaran pada Disember 1894 –sebagai pegawai yang memegang rekod cemerlang dan tubuh yang cergas. Halatuju beliau seterusnya diwarnakan dengan beberapa siri peperangan dan penglibatan ke dalam gelanggang politik di Lebuh Downing. Dia ke Cuba dan ke Afrika Selatan bagi tujuan ketenteraan dan meliput pertempuran-pertempuran yang meletus dengan menghantar tulisannya ke akhbar. Sekembali ke tanahair, dia menyertai Dewan Rakyat pada 1902 dengan asalnya menganggotai Parti Konservatif. Selama enam puluh tahun kerjayanya akan terbina dari titik ini.

Tetapi kepercayaan yang bagaimanakah membina jati diri Churhill? Bagi John Keegan ada beberapa: kerendahan diri pengasuhnya Puan Everest, rukun kesukanan yang dikutip daripada zaman sekolah lelaki, etika budiman yang dipelajari daripada hidup ketenteraan, serta pesan-pesan Perjanjian Lama yang sentiasa mempengaruhi sanubari beliau dalam membuat keputusan. Ini juga barangkali berkait rapat dengan keakraban beliau dengan sejarah bangsa serta kesuasteraan yang lahir dari rahim Inggeris.

Beliau sendiri mengarang banyak buku. Antaranya ialah The World Crisis, A History of the English-Speaking Peoples, dan The Decline and Fall of the Roman Empire. Pada 1953, beliau menerima Anugerah Kesusasteraan Nobel kerana “mempertahakan nilai-nilai kemanusiaan sejagat.” Winston Churchill si kuasawan juga ialah Winston Churchill si sasterawan. Aksi ketenteraan dan keajaiban bahasa sentiasa menjadi jalan pedoman lelaki berbudaya ini.

Bahkan dari sini juga barangkali, bakatnya seperti yang diungkapkan oleh filasuf Oxford Isaiah Berlin beberapa tahun kemudian, bahawa “beliau berdaya untuk memindahkan wawasan serta imaginasi beliau ke atas rakyat jelata, sehingga mereka menanggapi ideal beliau dan memandang diri mereka sebagaimana yang dikhayalkan oleh beliau kepada mereka.” Churchill menjuarai hal-ehwal demokrasi, kebebasan insan, dan kedaulatan undang-undang, lalu mengadunkannya ke dalam bahasa romantisme Inggeris demi menentang rejim-rejim totalitarian yang tidak disukainya. Kebitaraan Churchill ini dicatit oleh Robert Rhodes James sebagai “dia mengarang sendiri ucapannya dan sebagaimana yang dia karangkan di dalam buku-bukunya sendiri.”

Filem dibuka dengan sangat berpengaruh. Futej-futej pesawat pejuang Lutfwaffe berbaris. Dingin besi; seperti mekanikal. Kemudian Adolf Hitler tampil. Merencana di atas peta bersama para jeneral. Tegang. Sunyi. Tanpa suara. Tetapi kita tahu ancaman penaklukan sudah menanti di horizon. Dan hanya beberapa waktu sahaja yang berbaki sebelum angkatan Jerman mendarat di persisiran Inggeris dan menawan keseluruhan Eropah di bawah jari telunjuknya.

Di Parlimen, kekagetan menyerbu jemaah menteri. Tanggal Mei, mereka sepakat menjatuhkan Neville Chamberlain yang ketika itu mesra Adolf Hitler. Lalu mereka memilih seorang lelaki yang terawal menyebarkan berita ancaman Hitler serta peningkatan persenjataan Jerman; anak bangsawan yang bersarapan dengan wiski serta curut yang tidak pernah lekang dari bibir. Winston Churchill (Gary Oldman) akhirnya membentuk Kerajaan Gabungan, serta Kabinet Perang yang dianggotai wakil daripada setiap parti untuk menasihatinya hal-ehwal persiagaan peperangan. Ketika itu Raja George V tidak berapa meyakini kemampuan beliau. Begitu juga dengan sejumlah besar ahli partinya sendiri pimpinan Chamberlain dan Halifax. Di sini adalah lelaki yang sama membuat kesilapan yang menjurus kepada Penyembelihan Galiopolli kira-kira 30 tahun dahulu. Jengkarung ini akan terus menggentayangi Churchill sampai ke hujung riwayat politiknya.

Krisis demi krisis melanda. Angkatan tentera Inggeris dengan kekuatan sebanyak tiga ratus ribu sedang terkepung di pesisir Dunkirk, dengan sejumlah kecil di pesisir Calais. Ruang udara Selat Inggeris diawasi pesawat-pesawat Messerschimtt Me 262. Semangat para jeneral semakin menyusut. Perancis sedang di ambang keruntuhan. Amerika Syarikat dibelenggu Akta Berkecuali. Churchill melontarkan ucapan terkenalnya di Parlimen dengan “saya tiada apa-apa untuk ditawarkan melainkan darah, usaha, keringat, dan air mata.” Tetapi majoriti parlimen masih bungkam.

Di Kamar Perang Kabinet, Halifax terus menekan dengan rundingan damai dengan Herr Hitler, Itali sebagai negara pengantara. “Berapa banyak pemuda lagikah harus kita kirim ke medan pertempuran untuk memuaskan hatimu?” Churchill menempelak kembali: “sampai bilakah kita akan belajar bahawa kita takkan dapat bersikap munasabah dengan seekor harimau apabila kepala kita sudah tersangkut di celah gerahamnya?” Churchill terus berdegil meskipun beban seluruh dunia telah tertimpa di atas bahunya.

Dalam kegawatan Perang Dunia ini Churchill menemui kekuatan daripada dua wanita yang dekat dengan hidupnya: isterinya Puan Clementine (Kristin Scott James) dan jurutaipnya Cik Layton (Lily James). Kehangatan isterinya, serta sikapnya yang selalu bercanda sering dilihat sebagai suaka daripada perselisihan-perselisihan gagasan di gelanggang kuasa. “Suatu saat nanti kamu akan jadi Perdana Menteri, belajarlah untuk melayani orang dengan baik.” Jurutaipnya pula berkongsi kisah si adik yang gugur sebagai bunga bangsa ketika menyekat kemaraan angkatan Jerman di kota Paris. Meskipun dalam tekanan dia tetap meyakini keupayaan Churchill. Dari sini agak menarik untuk kita renungi bahawa dalam dunia laki-laki yang sarat pertelingkahan, kaum wanita tampil dari sisi sebagai suara kewarasan nurani.

Di penghujung, Raja George V juga tampil di bilik PM yang semakin tersudut itu. Baginda meluahkan dukungan beliau, memilih untuk berjuang di tanahair berbanding memerintah dari negeri jajahan di seberang Samudera Atlantik. Akhirnya Churchill mengutip semangatnya kembali dan berarak ke Parlimen.

(Dari sini ada babak Churchill mengenderai keretapi bawah tanah dan ‘bermesyuawarah’ dengan rakyat jelata tentang nasib United Kingdom. Meskipun begitu, babak ini cerekaan semata dan saya tidak pasti asbab-asbab Joe Wright menyelitkan babak ini – barangkali ingin mempamerkan sisi demokrat Churchill).

Winston Churchill melangkah masuk ke Parlimen. Di depan ratusan jemaah menteri beliau memberikan ucapan termahsyurnya: “kita akan mempertahankan pulau kita, walau apa pun harganya. Kita akan bertempur di pantai, kita akan bertempur di darat. Kita akan bertempur di lapangan dan kita akan bertempur di jalanan. Kita akan bertempur di perbukitan, kita tidak akan sesekali menyerah kalah.” Tenaga yang terbit daripada kata-katanya berjaya memukau pendengar beliau dan disambut dengan sorakan gemuruh daripada para seteru dan sahabat handai. Akhirnya kata putus pun diberikan sebulat suara. United Kingdom akan bersiaga untuk menghadapi pencerobohan Jerman bagi Pertempuran Britain 1940. Buat pertama kali mereka sudah bersedia untuk bersemuka dengan Angkatan Jerman dari tanah seberang.

Filem diakhiri dengan si PM yang melangkah keluar daripada Dewan Parlimen dengan wajah serba yakin. Kami melangkah keluar daripada panggung dan bergurau tentang bagaimana ucapan itu nanti bakal mengiringi tentera-tentera yang pulang ke pangkuan ibu pertiwi sebagaimana digambarkan dalam Dunkirk oleh Christopher Nolan. Lengkap sebagai satu trilogi jika ditambah sekali dengan The King’s Speech karya Tom Hooper. Jika Gary Oldman masih belum dianugerahi pingat demi lakonan ini di Golden Globe nanti aku tidak tahu apa lagi yang boleh.

Sahabat saya bercanda tentang perasaan keluar panggung: selepas mendengar ucapan Winston Churchill aku berasa seperti terbit perasaan kekitaan. Semacam ada satu kebanggaan menjadi rakyat Komanwel (memang dalam ucapan itu Churchill menyebut “dan jika warga pulau kita tertawan dan kebulur lantaran peperangan ini, saya percaya empayar-empayar kita di seberang samudera, yang dilengkapi persenjataan Armada Inggeris, akan belayar bagi meneruskan perjuangan ini untuk melengahkan masa, sehinggalah dalam waktu yang diredhai Tuhan, Dunia Baru akan tampil untuk menyelamat dan memerdekakan Dunia Lama”).

Menonton Darkest Hour banyak menyorong saya untuk menyelak kembali catatan-catatan yang tertulis mengenai Winston Churchill. Barangkali kekaguman ini terbit daripada latar belakang yang kami kongsi: Churchill seorang graduat Maktab Tentera Diraja seprti saya juga meskipun alma mater saya di KL itu dibangunkan atas teladan institusi beliau di Sandhurst. Selain itu, saya juga meyakini romantisme bahasa sebagaimana yang didukung Churchill. Kata-kata, jika diungkap dengan wajar, boleh jadi senjata ampuh bagi mereka yang menguasai keajaiban bahasa.

Dalam era kegawatan politik, keupayaan memilih keputusan kritikal dan menghimpunkan seluruh masyarakat sehati sejiwa mengharungi kemenangan adalah bakat yang sangat diperlukan. Bakat ini memerlukan si kuasawan untuk sentiasa mengakrabi sasteranya, budayanya, sejarahnya, nilai-nilai yang didukung dan paling penting sukma masyarakat yang diwakili mereka. Winston Churchill ialah antara sebilangan tokoh di dunia ini yang bisa berbuat demikian.

 

Johan Radzi ialah seorang pembela kucing yang disegani di Seri Kembangan, Selangor DE.