1.

Di atas ranjang itu, Shahrezad yang bijak tahu benar akan nasibnya di tangan si gila Syahriyar jika dia tak waspada. Bayangan hukum bunuh bergentayangan bagi setiap isteri baru Syahriyar- namun tidak Shahrezad. Memakluminya, Syahrezad tak gentar. Dia sudah sedia.

Tanpa perlu menyerahkan kelengkangnya dan apa-apa yang cantik di zahir tubuhnya kepada Syahriyar, kefasihan Shahrezad melantun cerita-cerita jernih cukup menjadi senjata. Ranjang itu menyaksikan, keegoan Syahriyar akhirnya kalah di tangan anak perempuan wazirnya sendiri. Cerita segar tak pernah didengar Syahriyar membuat raja itu tertunduk dan terduduk.

Justeru Syahrezad terlepas daripada hukum pancung kepala.

Hikayat Seribu Satu Malam yang beredar di seluruh dunia tersebut secara halus memperolok keegoan dan kebodohan lelaki. Setiap waktu, di atas ranjang, perempuan sentiasa lebih berkuasa daripada raja.

Seorang lelaki yang sedahsyat apa pun kedudukannya, di atas ranjang – menghadapi perempuan- akan relailah setiap helai kulit, peluh dan baunya. Dia harus mempersembah seluruh tenaga lahir dan batin bagi menguasai ‘kerajaan’ itu. Ranjang dan perempuan di atasnya, adalah neraca timbangan paling jujur untuk ego seorang lelaki.

Dari ranjang hikayat itu, mujur saja kita dapat mencipta alegori kekuasaan- yang saya yakin, wujud sejak awal ranjang diperkenal kepada umat manusia.

2.

Perkataan ranjang menghadirkan beberapa gambaran dalam fikiran. Lukisan, tarian, filem gambar bahkan prosa dan puisi banyak memainkan imaginasi dari kata itu. Ranjang menimbulkan imaginasi kerehatan (baik mati, tidur atau kelelahan) dan tentunya, tempat bermain kelamin. Jarang ranjang mempunyai makna luar dari kedua-dua imaginasi tersebut.

Dari kata ranjang, eloklah kita teliti, tentang hubungannya dengan kelamin.

Orang Malaysia, umumnya tidak bersedia berbahas soal alat kelamin dan apa-apa yang berkenaan dengannya secara terbuka. Diam-diam sebenarnya mereka mengambil berat tentang organ lendik itu. Carian Google membuktikan hal ini. Perkataan ubat menampang sejumlah 400 ribu hasil carian merujuk hal-hal seksual dan alat kelamin. Dan ubat kuat, mati pucuk, dan tahan lama berada di tangga teratas carian mengalahkan ubat diabetes.

Di mana-mana media iklan membesar, memperkuat, mengeras, memperlama ereksi sentiasa menarik perhatian lelaki. Tak hairan jika ramai orang menjadi jutawan menjual ubat pelir. Takut benar orang lelaki kalah di atas ranjang. Seolah-olah seluruh kewujudannya diertikan dengan lendik pelir dan dua kerandut berkedut seribu itu.

Padahal, orang yang mencari ubat itu bukan tak tahu berapa ramai orang yang menjual ubatan palsu, sehingga sempat beredar beberapa kes orang yang tertipu dengan kononnya ubat yang boleh memberi kuasa luar biasa kepada pelirnya.

Walau bagaimana serius pun orang lelaki mengambil berat dengan pelirnya, keegoan mereka tetap mendahului akal. Kelas orang kita (merujuk kes-kes tular), untuk kesihatan kelamin mereka hanya sanggup keluar belanja yang sedikit kerana termakan harga murah ubatan palsu yang memujuk. Sikap hendak melihat hasil tanpa memikirkan kesan yang lebih besar seakan mentakrif psike seksual orang lelaki- biarpun mereka sedar akan bahayanya kepada pelir.

Barangkali mereka merasa cukup bersyukur menjadi satu lagi orang yang sama karakter dengan Ajo Kawir, watak utama novel Rindu Seperti Dendam Harus Dibayar Tuntas.

Eka Kurniawan memperkenal watak lelaki yang tak bisa tegang pelirnya. Kerana tak bisa ngaceng dia berubah jadi lelaki kasar dan tak takut mati. Kerana burungnya tak bisa tegang juga, seluruh hidup Ajo Kawir berantakan. Percintaannya tak kesampaian, dan kebahagiaan tak kunjung datang. Seraya dia memilih jalan sunyi- di sana dia menemukan keseimbangan dalam hidup- walaupun begitu, pelirnya itu tetap menjadi rujukan untuk setiap perkara.

Sekian lama burung Ajo Kawir tak boleh hidup sehinggalah dia bertemu jembalang perempuan (yang akhirnya merungkai sumpahan) ketika dia berada di jalan sunyi. Rupa-rupanya burung Ajo Kawir tak boleh dipaksa-paksa. Ia tak boleh tergesa-gesa dibangunkan, atau sesuka hati diperlakukan. Burungnya harus meredam ego, harus meredam dendam, dan tenang menjalin yin dan yang.

Kehalusan simbolisme vulgar dalam novel Eka Kurniawan itu dengan mudah menjentik akal fikiran kita yang separuh binatang.

Bahawa manusia harus berusaha mengenali inti teras akal dan jasadnya. Dua-duanya mudah terpengaruh dengan struktur budaya, sosial dan hal-hal lain yang di luar dari dirinya. Semua itu secara langsung dan tidak langsung mempengaruhi gambaran kehidupan yang dilalui sehari-hari.

Dan secara ideal, usaha mengenalnya tidak harus tergesa-gesa walaupun ia sangat mustahak.

Kaedah fekah pernah menyentuh tentang orang yang tergesa-gesa dan mahu segalanya secara terburu-buru- man ta’ajjala syai’an qabla awanihi ‘uuqiba bihurmaanihi– barangsiapa yang tergesa hendakkan sesuatu sebelum waktunya, akan membuat dia tak sempat menggengamnya- makna ini ada dalam peribahasa Melayu; yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Perihal burung alias pelir lelaki yang bersikap sebegitu rupa juga masyhur dalam cara fikir politik, terutamanya politik orang yang belum ada kuasa.

Orang yang sudah lama berkuasa boleh diibarat sebagai pelir tua yang telah lama digunakan- ia berpengalaman luas, dan pandai pula bergumul- tetapi pelir tua, semestinya tak sama seperti pelir teruna atau muda yang belum merasa pertempuran sengit di atas ranjang.

Pelir teruna harus sedar di atas ranjang, perempuan itu juga berpengalaman luas. Barangkali ia adalah Shahrezad yang pandai membawa diri.

Ia harus tahu perempuan di depannya bukan komoditi mentah, ia sebenarnya sedang berhadapan dengan ‘kerajaan’.

Jadi, tergesa-gesa seperti cempera monyet tak patut ada dalam kamus pelir teruna, ia perlu fokus bermain dan berstrategi- ia harus sedar bahawa di depannya itu bukan calang-calang. Ia perempuan bermaruah, merdeka dan beradab. Pelir teruna yang tak betah dengan perempuan seumpama itu, kemudiannya tergesa-gesa seraya lahar pelir dimuntah kerana mahu terburu-buru mengecap nikmat tanpa mempedulikan perasaannya, sudah tentu akan mengecewakan perempuan bijak yang merdeka, dan beradab itu.

Memang benar, pelir boleh memaksa dan menghumban apa saja di depannya- namun apakah benar pelir itu telah menang?

Pelir tua pula tak perlu dihairankan lagi. Ia berpengalaman luas- cuma satu masalahnya, walaupun berpengalaman, keadaannya tidaklah sama seperti pelir muda yang segar bugar dan tenaganya tak habis-habis.

Mengenali kedua-dua pelir ini, saya fikir, si perempuan sangat cocok diibarat sebagai kerajaan (yang altimatumnya adalah rakyat). Dia harus cerdik, dan bebas berimaginasi seperti Shahrezad.

3.

Politik kekuasaan dalam maknanya paling agung adalah seni segala kemungkinan. Apabila seni itu dipersembah, ia layak dimomok, dikritik dan ditertawakan.

Seperti orang yang tak pandai bermain di atas ranjang selalu diketawakan (baik oleh pasangannya- secara diam-diam atau terus terang) atau orang yang tahu hal itu.

Atau cukup kita menari suka dengan nasib diperjudi ketidakcerdikan diri sendiri. Seperti Si Luncai yang merasa dirinya bernasib baik dinikahi tuan puteri, masuk ke peraduan hanya untuk menyaksikan tangisan Puteri Lela Kendi di hujung ranjang meluat melihat wajah sang petualang.

Tak sempat mengecap lega dari kembara epiknya, Si Luncai mati dipenggal Tuan Puteri yang menaruh dendam. Ya, kita barangkali harus berdendam juga!

Begitulah perihal ranjang, di atasnya bisa jadi macam-macam. Antara gelut dan keriutnya. Ia mempersembah perihal si egois dan bengal kuasa. Soalnya, apakah akal kita serius menghimbaunya. Atau ia sekadar berlalu pergi di bucu dengkuran tidur nyenyak saja- yang semestinya seusai bergelut di atas ranjang.

Nah, terpulang saja.

 

Zahid M. Naser, baru-baru ini telah menerbitkan kumpulan puisi pertama beliau bertajuk Berehat di Sisi Paus.