0

Nouvelles de la république des letters yang diasaskan oleh ahli falsafah dan penulis Perancis, Pierre Bayle pada tahun 1684 adalah majalah sastera terawal yang pernah direkodkan dalam sejarah penerbitan majalah sastera antarabangsa. Siri majalah sastera adalah sebuah gelombang bawah permukaan – kerana bentuknya yang menyokong dan mengapung – juga sebuah tangen dalam mengangkat karya fiksyen pelbagai rupa dan genre, termasuk bahan bukan fiksyen yang kreatif.

Di bawah cabang majalah sastera itu sendiri, majalah kecil atau little magazine pula membawa getaran terbaharu dengan penerbitan karya bukan komersil daripada penulis-penulis yang kebanyakannya merahsiakan identiti mereka, contohnya majalah The Dial (1840 – 1844) yang diasaskan oleh sasterawan Amerika terkemuka, Ralph Waldo Emerson dan Margaret Fuller di Boston. Di London, Arthur Symons menjadi peneraju untuk majalah The Savoy (1896) yang bertindak melawan era Materialisma di zaman Victoria.

Kebanjiran besar penerbitan sebegini adalah kompas baharu dalam elemen seni sastera yang rencam, seperti majalah sastera Edinburgh Review (1802), The Southern Review (1828 – 1832) dan Yale Review (1819), sekadar menyebut beberapa contoh. Kebangkitan ini dilihat membuka satu jendela baharu buat pengkarya, pengkritik, penggemar dan pembenci sastera untuk berada dalam sebuah vakum kemungkinan yang membuahkan pendapat kritis tentang sesuatu isu mahupun pendekatan.

Karya sastera harus didampingkan dengan majalah sastera – demi satu sinergi dan jaminan kemampanan seni yang lestari dan progresif. Keindahan sastera, selain terletak pada kata-kata, sebahagian besarnya berdasar pada makna. Pada zaman pemuisi yang masih lagi memuja bulan dan ombak serta penulis lemah imuniti yang selalu ‘menginspirasikan’ idola mereka, majalah sastera adalah sebuah gelanggang santun dan analitik untuk mendampingkan kemajmukan karya, diatur-letak bersama untuk digumpal menjadi gugusan zeitgeist, semangat zaman. Selamat datang ke era seni meta-fizikal.

1

Selesai carian Google tentang sejarah penerbitan majalah sastera kerana tekanan kosmetik, saya memadam kembali apa yang telah saya taip – dan saya catat semula satu-persatu pakai dakwat atas kertas, meninggalkan sejumlah perkataan yang bertegas mahu diabaikan dari seorang penggila kata-kata yang tamak. Ia tragik, seperti abu rokok yang asyik menggauli kertas yang sedang saya guna ini. Dan dunia ini, kalau ikut hukum alam atau biologi, adalah kesan leher botol – makna kata tidak semua dari kita akan lestari – dan ikut kata Darwin lagi, yang mampu bertahan bukanlah yang paling kuat, tetapi yang paling bijak beradaptasi. Dan adaptasi tidak mungkin terbina dalam masa satu hari – perlu ada penggerak dan penyokong – dan seperti karya seni, penggerak dan penyokong tidak hanya sekadar laporan catatan jualan buku di negara yang tidak begitu gemar membaca ini. Penulis harus tukar pembaris, atau buang terus pembaris itu. Seni tidak ada segi, lebih-lebih lagi seni kata-kata. Ia bebas dan liar. Ia mencabar apa pun, terutamanya diri sendiri.

Tamat perenggan pertama, saya ambil Angsana – Essays on Modern Malay Literature oleh Zakaria Ali dan menamatkan bacaan saya yang tertangguh. Teh Halia tidak tersentuh. Jika sastera adalah laut, maka makna adalah mutiara. Dan seorang penyelam, walau sebagaimana bagus dan berbakat sekalipun, tetap memerlukan latihan dan kelengkapan – dan seperti sastera, kelengkapan harus datang dari pelbagai bentuk, rupa dan perwatakan. Kerana setiap watak membawa personaliti dan setiap personaliti membawa kesan estetik, Majalah sastera perlu mempunya satu suara – tidak hanya menjadi sebuah pusat kutipan karya dan data-data estetika, tetapi menjadi sebuah dewan bedah – siap lengkap dengan diagnosis dan prognosis – kalau sihat jangan ubah, kalau sel kanser kita buang. Walaupun saya tidak bersetuju bahawa seni perlu dianalisis dan difahami (kerana seni hanya perlu dirasai), seorang penyelam yang bijak tidak terjun ke laut dalam tanpa tangki oksigen. Kelengkapan ini penting untuk memajukan sastera, seperti tangki oksigen – memberikan nafas baharu setiap kali kita hirup tanpa perlu tersedut air masin yang kita tidak perlu pun.

2018 © MekongReview

2

Langit Georgetown menangis – hujan renyai ketika saya bertemu dengan Minh Bui Jones, sekali lagi dan kali ini tanpa dirancang. Mat saleh kata, serendipity. I’ll take you to some place, dia kata. For diner. Minh adalah tulang belakang Mekong Review, majalah sastera yang perlahan-lahan merayap ke seluruh Asia Tenggara – ia bukan tugas yang mudah, menerbitkan majalah sastera – kerja kreatif dan percetakan adalah kerja melahirkan anak – ada anak yang keguguran, digugurkan ataupun terpaksa melalui pembedahan kerana sakit melahirkan yang tidak terganggung. Ada yang mudah dilahirkan tanpa dadah tahan sakit. Minh saya kita seorang peneliti yang bagus; peneliti yang bagus memerlukan seorang kanak-kanak yang masih aktif di dalam dirinya. Saya simpulkan begitu kerana dia terlalu ingin mengetahui sesuatu, terutamanya tentang budaya saya dari kampung. Fine Minh, let’s not talk about the magazine, saya kata, tetapi akhirnya kami berbual juga tentang majalah, selepas saling bertukar rahsia.

Sebuah majalah sastera yang baik perlu mempunyai suara – ia bukan sebuah koleksi karya-karya yang dikumpulkan tanpa sasaran seperti sebuah meriam gila. Proses menyuarakan makna di dalam sesuatu naskah bergantung kepada ketelitian penulis dan sidang editor – dan ketika menulis serpihan ini, saya menyelak kembali Mekong Review – meneliti artikel politik, sosial, fiksyen dan puisi serta wawancara, dan cara setiap sesuatu diletak dan dipilih. Perlahan-lahan, tidak lain saya fikir kecuali halaman besar itu adalah sebuah pintu. Ia memanggil semua orang untuk mengetuknya. Selamat datang ke dunia Mekong Review, ia kata.

3

Saya bertemu Minh beberapa kali – dan melalui perbualan langsung serta lewat emel, saya mengenal telaga pemikirannya walau tidak mampu mengukur kedalaman itu. Antara tahun 2009 sehingga tahun 2016, saya tinggal di sana – di tebing sungai Mekong, bangun setiap pagi melihat air sungai dan tidur dengan bunyi arusnya yang damai, Minh memulakan perbualan. Saya fikir, Sungai Mekong ini adalah satu bebenang, satu penghubung kepada negara Myanmar, Thailand, Laos, Kemboja dan Vietnam. Itulah inspirasi awal kepada Mekong Review.

Beliau menyambung lagi, – Mekong Review adalah hasil minat saya dalam bidang politik, sejarah, kebudayaan, sastera serta masa depan rantau ini, justeru saya memasukkan kesemua bahagian ini dalamnya. Ia bercampur – antara cita-cita peribadi saya dengan kepentingan sosial serantau. Setiap rantau yang disentuh Sungai Mekong membawa makna yang cukup besar kepada saya: Kemboja adalah negara yang saya pernah tinggal, saya dilahirkan di Vietnam dan saya mendapat tugasan antarabangsa pertama sebagai seorang jurnalis di Thailand. Malaysia, Singapura, Indonesia dan Filipina juga membawa erti yang besar buat saya. Saya seorang perantau di Filipina dan sebelum itu, saya tiba di Malaysia sebagai seorang pelarian pada tahun 1978. Mekong Review sebenarnya telah berada dalam salur darah saya lebih lama sebelum ia dicetak dan diselak tangan sendiri.

Pada tahun 2015, saya melihat peluang untuk mengumpulkan kekayaan Asia Tenggara dalam pelbagai bidang, lalu menggembléng tenaga untuk menghasilkan sebuah majalah sastera – kerana ia sebuah ruang yang luas dan elastik. Kami tidak menerbitkan pendapat seperti yang dilakukan oleh kolumnis di majalah atau laman sesawang – kami biar penyumbang mengambil masa mereka sendiri untuk menghasilkan sebuah karya yang boleh diangkat sebagai sastera.

Saya telah puji Minh sebelum ini – saya kata dia macam seorang anak kecil – dan itu adalah antara pujian terbesar, kerana minda seorang anak kecil amat luas, imaginatif, tak apologetik dan kreatif. Dia senyum. Saya tanya kenapa media cetak? Because I’m a print person.

Mekong Review berbeza, Minh menyambung, kerana ia juga berdiri di atas bangku politik, tidak mengira kepartian apa pun. Ia tidak lain adalah inspirasi dari kata-kata Brecht, bahawa seni bukanlah sebuah cermin untuk memantulkan realiti; tetapi sebuah tukul untuk mengetuk dan membentuk kenyataan. Dan kami mengambil pendekatan yang luas – dari mana-mana penulis sekalipun, untuk berbincang apa-apa topik menarik tanpa kompromi. Suara kami adalah kejujuran.

Dalam dunia serba digital, saya fikir Minh seorang yang romantis, tetapi apa yang beliau kata memang betul pun – bahawa kita, sebenarnya telah mencapai takat tepu dalam pendedahan digital. Kita lemas dalam lautan informasi. Kita terlalu banyak menggunakan masa untuk menatal media sosial sehingga kita membentuk hubungan cinta-benci dengannya. Media cetak adalah ruang eskapisma terbaik.

Ketika saya tergesa-gesa menulis catatan ini kerana telah berjanji dengan Mustaqeem untuk dihantar ke mana-mana portal yang dirasakan sesuai (yang saya kira anda faham maksud saya, kalau tidak pun tak mengapa), saya fikir apa yang akan terjadi nanti – kepada lautan maklumat digital dan lambakan media cetak yang dibiar tidak bersentuh, terlonggok di karnival jualan murah. Harga sebuah buku dilelong lebih murah dari roti canai banjir dua keping dan teh tarik di Ros Mutiara.

Minh kata kepada saya, saya berharap saya akan berkerja selama mungkin – kerana sudah dua tahun setengah kami menukang di Mekong Review dan sentiasa bertungkus lumus untuk memastikan kelestarian momentum kami. Kami mahu berjaya seperti New York Review of Books dan London Review of Books, mewakili Asia suatu hari nanti.
Dan kerja ini mungkin mengambil masa seumur hidup kami.

4

Ketika selesai menulis, saya minum teh halia yang tidak disentuh sejak perenggan pertama. Kita perlukan ruang dan masa. Ditengah entiti itu, kesungguhan dan sokongan menjadi tulang belakang dalam mencipta vakum elastik bernama sastera kepada semua penulis di rantau Asia Tenggara.

Ia normal – kita belajar merayap sebelum pandai terbang. Dalam kepayahan dan semangat untuk terus mencipta, ada sesuatu yang dinamakan Mekong Review.

Ia memanggil nama semua pengkarya untuk bersatu.

 

Fahmi Mustaffa ialah penulis, pelukis dan artis persembahan. Novel terbaru beliau, AMSTERDAM (2017) diterbitkan oleh Buku Fixi.

Minh Bui Jones, editor MekongReview akan hadir ke Kuala Lumpur untuk acara diskusi pada 28 Januari 2018, Ahad jam 3-5 petang di Tintabudi, 80B, Jalan Rotan, Kampung Attap, 50460 KL.

Arthur Symons Filipina Indonesia Kemboja Laos London Review of Books Malaysia Margaret Fuller Mekong Review Minh Bui Jones New York Review of Books Pierre Bayle Ralph Waldo Emerson Singapura Thailand Zakaria Ali