Kemerdekaan adalah nasi
dimakan jadi tahi

~Wiji Thukul

 

Dua minggu lalu, ketika berbual singkat dengan Yosep Anggi Noen di kampus Universiti Nottingham, Semenyih, saya sempat bertanyakan bagaimana penerimaan Ibu Sipon terhadap filem yang dihasilkannya. Dia, yang lebih senang disapa dengan nama Anggi, merupakan sutradara filem Istirahatlah Kata-Kata yang menyelak kembali rentang waktu pelarian Wiji Thukul ke Kalimantan sekitar tahun 1996. Dan, sebahagian besar filem itu juga turut menampilkan watak Ibu Sipon, isteri Wiji.

“Saya kira dia sangat senang dengan filem ini,” kurang lebih begitu jawapan Anggi. Mengambil kira keperihan hidup yang serba menghimpit di Solo, dengan keadaan kesihatan yang tidak menentu — oleh Anggi saya difahamkan bahawa Ibu Sipon juga menghidap bipolar — menerima maklum balas sedemikian cukup melegakan; manakan tidak, subjek yang cuba dipotretkan kembali itu adalah orang nyata yang menjadi sebahagian nyawa Ibu Sipon dan anak-anaknya sehingga hari ini, dan mungkin saja sampai akhir waktu nanti.

Telahan saya tentang sosok yang membangunkan filem ini rupa-rupanya meleset jauh sejak awal lagi. Saya membayangkan pengarah yang mahu menggalas tanggungjawab sebagai sutradara filem seperti ini akan lebih berusia. “Lebih tua, maksud kamu?” Saya menjawab ya; dan kami sama-sama ketawa. Anggi baru berusia 34 tahun. Lalu, saya terfikir, apa yang menarik perhatiannya terhadap sosok Wiji, sampai kemudian membuatnya ingin menyorot kembali tempoh waktu Reformasi ’98 di Indonesia dan berkehendak membikin filem dari peristiwa itu.

“Soalnya, generasi muda Indonesia tidak lagi mengenal Wiji Thukul, dan berada jauh sekali dari detak gemuruh peristiwa yang penting dalam sejarah terdekat bangsa Indonesia ini. Saya sendiri bahkan terlalu muda untuk faham apa yang berlaku waktu itu,” jelas Anggi. Jadi, dia mengambil peran untuk meneruskan pembikinan filem ini agar menjadikannya kenyataan; tentunya membawa sekali isu orang hilang yang menjadi satu hal yang masih lagi dituntut hingga kini.

Lebih penting dari itu, Anggi mahu belajar sejarah negerinya sendiri sepanjang proses mempersiapkan filem berkenaan. “Filem ini adalah hasil daripada keinginan saya untuk belajar tentang sejarah negeri sendiri. Kebetulan medium yang sangat dekat dengan saya yang dimanfaatkan terus ialah filem,” tambahnya.

Ada dua sisi yang meniupkan nyawa kepada filem bebas ini; pertama, dari segenap sudut yang terkesan, kelihatan yang menghidupkan filem ini ialah puisi-puisi Wiji Thukul sendiri. Kedua, potret biografi Wiji ketika menjadi buruan atau pelarian politik, ketika bahang kemelut itu semakin panas, terpaksa melarikan diri kerana tak mahu ditangkap oleh penguasa, di hujung-hujung pemerintahan Jenderal Soeharto.

Dua sisi ini sudah cukup untuk menghamparkan kisah dan kesan yang berbekas ketika sesiapa saja ingin mengenali Wiji Thukul melalui filem berkenaan — seperti yang diinginkan Anggi agar filemnya mampu memperkenalkan sosok berkenaan kepada orang-orang muda.

Istirahatlah Kata-Kata sebetulnya merupakan judul sepotong sajak yang ditulis Wiji, lama dulu pada tahun 1988:

istirahatlah kata-kata
jangan menyembur-nyembur
orang-orang bisu

kembalilah ke dalam rahim
segala tangis dan kebusukan
dalam sunyi yang mengiris
tempat orang-orang mengingkari
menahan ucapannya sendiri

tidurlah kata-kata
kita bangkit nanti
menghimpun tuntutan-tuntutan
yang miskin papa dan dihancurkan

nanti kita akan mengucapkan
bersama tindakan
bikin perhitungan

tak bisa lagi ditahan-tahan

Sajak ini sendiri seperti merampungkan semangat dan cara pandang yang ingin dibawa oleh filem berkenaan, entah secara sengaja atau tidak. Filem ini merakam detik-detik yang saya umpamakan seperti tempoh ketika seurat sumbu yang hampir selesai menyala, yang kemudian akan membiarkan dunianya kembali ke dalam kegelapan yang sunyi.

Walaupun dari kelantangan sajak-sajaknya Wiji akan dibayangkan sebagai seorang yang bengkeng dan keras — memang dalam perlawanannya dengan kekuasaan itulah semangat yang dibawa — tetapi di dalam filem ini yang menyorot waktu-waktu pinggiran sebelum beliau sudahnya hilang, paling banyak ia memaparkan Wiji dalam detik-detiknya yang sangat personal. Sang Wiji di dalam filem ini sempat digambarkan sebagai watak yang agak fragile, gemuruh dan resah; sebuah keadaan yang saya fikir cukup adil untuk ditampilkan, walaupun menurut Anggi, perkara itu menjadi antara hal yang paling keras menerima kritikan di Indonesia.

“Wiji ketika melarikan diri ke Pontianak, Kalimantan, berada di dalam suasana yang sangat goyah. Dia tidak ramai kenalan di sana, selalu mencurigai segala macam hal dan suasana juga sangat asing buat dia,” jelas Anggi, yang antara lain di dalam tempoh melakukan reset untuk filem ini, turun ke Kalimantan dan bertemu beberapa orang yang sempat membantu menyembunyikan Wiji di sana.

Beberapa babak dibikin untuk menjelaskan situasi seperti ini. Sebagai contoh, ketika watak Wiji — yang diperankan dengan sangat berkesan oleh Gunawan Maryanto — bersama seorang teman yang melindunginya, pergi ke kedai kampung untuk membeli tuak. Pulang mereka dari sana, motosikal yang dinaiki diberhentikan dan Wiji diminta mengemukakan pengenalan diri oleh seorang warga dalam pakaian separa tentera. Wiji gugup, dan hanya membiarkan temannya itu— yang sudah pun tahu bahawa itu orang gila kerana tidak diterima masuk tentera — untuk lebih banyak bercakap.

Babak lainnya ketika Wiji ke kedai gunting rambut. Seorang askar kemudian masuk sebelum tukang gunting meminta Wiji memberikan laluan agar dia melayani si askar terlebih dahulu. Detik intrigue menyusul; dengan soal jawab rawak yang berlangsung, dengan ketakutan yang ada dalam kepala dan seribu satu kemungkinan yang berlegar, sesiapapun ternyata tidak akan selesa dalam keadaan itu. Semua ini ditangkap di dalam filem berkenaan.

Sebuah lagi sajak, dengan judul Baju Loak Sobek Pundaknya turut diterjemahkan oleh Anggi ke dalam satu babak lain. Di dalamnya, Wiji hadir ke sebuah kedai baju terpakai dan membeli sehelai skirt/seluar mini merah yang kemudiannya dibasuh dan dijahit. Dalam dialog yang ada, Wiji memaklumkan ingin membelinya untuk sang isteri. Anggi menjelaskan yang babak berkenaan dimunculkan memang dari puisi itu dan ditambah ke dalam cerita; walaupun sekali lagi menerima kritikan keras dari sebahagian khalayak di sana.

“Menurut mereka, mana mungkin aktivis rakyat, dengan segala keterbatasannya, mampu bersenang-senang (bermewah-mewah) membeli pakaian dari kedai. Walhal, orang-orang seperti itu juga berhak menemui kebahagiaan kecil dari kedai baju terpakai. Apa itu salah?” Anggi hanya ketawa dengan perihal seperti itu.

Jangkaan orang memang selalu meliar dan aneh-aneh. Perihal seluar mini itu awalnya datang dari sebuah gambar hitam-putih dalam simpanan keluarga Wiji yang sempat ditemukan, dengan kelihatan Wiji ketika itu bersama Ibu Sipon yang mengenakan sehelai skirt, yang dibayangkan oleh Anggi dalam warna merah. Ia kemudian disusup ke dalam filem seperti apa yang dapat dilihat kini.

Lagi tentang sajak; sederetan potongan sajak juga kedengaran dibacakan dengan suara serak kasar oleh watak Wiji dengan getar yang ketara. Dalam sela-sela kejadian yang ditampilkan itu, tetap ada sisi keras dan lantang, selayaknya latar dan gesaan yang mendorong kepada terhasilnya sajak-sajak itu yang turut diketengahkan. Mungkin kerana hal ini juga saya merasakan puitika hadir ke dalam filem ini dalam pelbagai jelmaan, bukan sekadar terbangun dari perlambangan di dalam bahasa filem semata-mata — ia menguatkan sekaligus menggugah tanggapan di bawah sedar.

Dari filem ini juga kita tahu bahawa Wiji Thukul sempat pulang ke rumah untuk bertemu keluarganya sebelum hilang terus. Dari sebuah kesenjangan yang panjang, sebuah babak kemudiannya mencadangkan bahawa dua jiwa yang saling merindu itu beradu diranjang di sebuah hotel, sebelum Wiji kemudiannya memberanikan diri untuk balik ke rumah melalui jalan-jalan tersorok.

Di sini satu lagi kisah kecil yang sangat peribadi dihadirkan; ketika itu, Wiji mengelak untuk dilihat oleh tetangga, kerana memang rumah mereka selalu diperhatikan oleh mata-mata. Pada malam hari, ketika Wiji sakit perut dan perlu melepas hajat, dia tidak boleh ke tandas luar yang dikongsi bersama tetangga. Jadi, Ibu Sipon-lah yang membantu membawakan besen dan air untuk urusannya — Wiji hanya melepas di dalam rumah.

Ini cerita betul yang disampaikan oleh Ibu Sipon sendiri dari sembang-sembang ketika awal Anggi ingin menulis semula naratif Wiji (tulisan awalnya merangkum tempoh waktu yang terlalu luas, sejak masa kecil Wiji, sebelum ditumpukan hanya kepada rentang waktu dia sebagai pelarian sahaja). Setelah itu, Wiji kembali berpergian ke Jakarta untuk ikut rapat umum menentang rejim Soeharto. Bermula dari episod itu, nasibnya tidak lagi diketahui, dan menjadi orang hilang hingga kini. Trauma psikologi dan emosi kemudian menghurung keluarganya.

Ada juga simbol-simbol lain yang turut dimainkan dengan pintar oleh Anggi, dan bukan dimasukkan ke dalam filem secara sembarangan. Antaranya, iringan visual poster jahit The Last Supper Isa Al-Masih yang terkenal, ketika Wiji dan dua lagi rakannya sedang makan di meja kecil ruang tamu.

“Itu dimasukkan sebagai mengingat masa kanak-kanak Wiji yang mana keluarganya alim Katolik,” jelas Anggi. Juga, ia memberi isyarat kepada keadaannya yang sukar mendapatkan makanan-makanan yang enak sepanjang tempoh itu; di dalam pelarian, Wiji menyuap apa saja yang terlintas di depan mata hasil dari belas ehsan teman-teman yang tidak melindunginya, yang tidak pula berada dalam situasi ekonomi yang melapangkan.

Istirahatlah Kata-Kata merupakan sebuah filem yang mengambil jalan ceritanya dari sebahagian kisah hidup sebenar Wiji Thukul, tetapi dengan garapan bersama unsur-unsur yang berada di luar konteks itu. Di sinilah imej dari sajak-sajaknya diguna pakai. Penggambaran yang dilakukan pula tidak langsung melibatkan rumah sebenar keluarganya di Solo; latar atau reset filem ini dibangunkan sepenuhnya mengikut keperluan yang ingin dicapai serta dari apa yang bermain dalam fikiran sutradaranya.

Lebih penting dari filem ini adalah kesanggupan yang ditunjukkan untuk melihat dan menilai kembali sejarah, dan mempelajari lebih mendalam tentangnya dalam proses itu. Dari usaha ini, orang yang tidak pernah mengenal Wiji saja merasa begitu dekat dengannya. Dari bual-bual kecil bersama beberapa orang pelajar Indonesia yang turut menonton malam itu, saya terkesan dengan pengakuan bahawa terlalu banyak yang tidak dipedulikan oleh generasi mereka terhadap sejarahnya sendiri. Istirahatlah Kata-Kata menjadi pembuka denai buat mereka untuk tujuan itu, yang baru saja disedari.

Selipatan sejarah apabila dihamparkan seperti mana yang dilakukan oleh filem ini akan menggugat kesedaran di bawah sedar khalayak yang menontonya, tambahan bagi mereka yang merasa berhutang dengan sejarah, untuk kembali dan menilik semula apa yang pernah dilalui oleh orang-orang lain dalam perjalanan membangun bangsa sehingga ke peringkat yang ada kini.

Perjuangan yang ikhlas dan jujur agaknya tidak pernah menjadi sia-sia, walaupun mungkin disambut puluhan, bahkan ratusan tahun setelah ia berlangsung. Sejarah memang telah mengajar kita tentang perihal itu semua — hanya tinggal untuk kita memilih sama ada mahu menjadi celik atau buta.

 

Hafiz Hamzah, penulis dan penerbit buku, Obscura yang pernah menerbitkan antalogi penuh puisi-puisi Wiji Thukul, Aku Ingin Jadi Peluru.