Satu-satunya yang gagal dalam lakon menterjemah drama Goenawan Mohamad ke pentas teater tempohari adalah olahan watak Amangkurat. Saya keluar dari dewan lebih terkesan dengan watak-watak selainnya. Pergulatan watak utama (yang seharusnya menata cerita itu) tak begitu dirasakan. Bahkan dilupakan selesai tirai menutup.

Saya sebetulnya telah terlebih dulu membacanya. Justeru selayaknya saya membina agakan dan jangkaan yang tinggi. Mahu saya, ia mengacau tidur, dan membuat kehidupan racau. Atau setidaknya puas dengan lengking tragedi seorang raja tua paranoia, tua rapuh, dan garang. Barangkali, jangkaan saya itu terlalu tinggi- atau memang begitu mereka mahukan, supaya orang yang menonton tak merasa puas.

Saya tak fikir penyusunan dialog-dialog drama itu punya masalah. Tetapi pengucapannya tak begitu mengesankan. Terlalu landai dengan satu tona. Babak-babak awal dengan tona itu telah memerangkap babak-babak seterusnya. Sebagai tua yang perasaannya masih meluap-luap malangnya tak disertai pengucapan yang meluap-luap juga. Kerana itu susur peningkatan karakter Amangkurat yang dikacau ruang masa tak begitu dirasakan.

Tahun 1677, Raja Amangkurat sedang dalam pelarian setelah kalah kepada bala tentera Madura pimpinan Trunajaya. Pelarian Raja Amangkurat itulah yang diperlihatkan Goenawan dari empat belas adegan lakonnnya. Si raja tua yang seakan tahu akan menemui ajalnya itu kemudian didatangi zaman-zaman lampau yang ngeri. Kengerian itu hadir berupa cerita-cerita dari seorang lelaki moksha si Juru Taman yang kurus.

Bukan saja sanggup meneguk air kelapa yang dia anggap racun dari anaknya Pengiran Adipati Anom. Dia juga dibayangi jenayah-jenayah yang dilakukan sedari zaman mudanya. Itu termasuklah, membunuh bapa mertuanya, saudara, dan memaksa anaknya sendiri membunuh Sahoyi- seorang wanita yang direbut mereka berdua.

Babad Raja Amangkurat itu berakhir dengan dia terpaksa meninggalkan Istana Keraton Plered dan cuba berlindung di Tegal Anum. Di Tegal Anum Amangkurat berduka dengan kehidupannya. Saat berduka itu, emosinya kacau, detak pemikirannya sakit, sambil dia menunggu mati-bayangan hidup penuh warna berpusar-pusar. Nadinya kini hanya dapat hidup dari cerita-cerita si Juru Taman. Nadi itulah yang saya tanggap dari membaca lakon karya Goenawan.

Dari naratif dahsyat sebegitu rupa peran lakonan yang landai tak mengesankan akan menghilangkan emosi cerita. Dan di sinilah sedikit kelemahan Slamet Rahardjo Djarot (peran utama Amangkurat I) yang akhirnya memberi kesan besar terhadap keseluruhan pengalaman menyaksikan Amangkurat-Amangkurat tempohari di Damansara Performing Art Center, Petaling Jaya.

Gerakan-gerakan minimal (watak Amangkurat tua-sebagai peran utama) entah-entah memang diarahkan sendiri oleh sutradara Iswadi Pratama. Gerak minimalis dengan pengucapan landai satu tona diburukkan lagi mimik muka yang tak begitu jelas (moga-moga ini dikeranakan lelah dan penat) dan gerak tubuh yang tak menyala. Hal ini saya fikir tak ditebak oleh sutradaranya awal-awal lagi.

Walaupun kerampungan hasil tangan Iswadi Pratama ini dirasakan tidak beres dari hal yang kecil itu. Ia bagaimanapun mempunyai momen yang menarik hati. Koreografi persilatan, tatanan simbolis percintaan Adipati Anom dan Sahoyi serta perubahan emosi si hantu Juru Taman yang perannya dipegang Ahmad Jusmar.

Juru Taman bukan Si Bodoh empunya Lear ketika dia tak mahu Lear menjadi tua; “Kau tak harus jadi tua sehinggalah kau benar-benar menjadi bijaksana”. Juru Taman cukup menyatakan, “Kau tak perlu tahu.”- kerana Juru Taman tahu segalanya tentang Amangkurat. Dia tak perlu menghukum, dan dia tak perlu teruja.

Ahmad Jusmar telah menyelamatkan naskah ini daripada kegagalan yang teruk. Watak yang diperannya berjaya membina keseluruhan naratif dari keaslian, pengetahuan dan mimik sinisme yang sukar dijangka. Ini yang saya maksudkan pengucapan dengan tona. Ia tak perlu landai terus, seperti alir air terjun yang sukar dijangka setelah hujan. Penonton harus merasakan hal ini, lagi-lagi jika ia tragedi malang seorang raja. Supaya, jika penonton memang ada di atas kayak, selamat sampai ke akhir alur yang tenang dan dapat menceritakan segala batu besar mahupun kecil yang mereka lalui tadi.

Pengalaman menonton apa-apa tragedi yang ditulis, selalu berubah-ubah di tangan sutradaranya. Mungkin naskah minimalis ini harus memperkasa peri olahan wataknya di atas pentas, dari tertumpu kepada momen yang saya jelaskan. Kerana seminimal apa pun drama itu (lagi-lagi menanggung beban sejarah), tokoh-tokohnya tak boleh dikesampingkan. Dan naskah ini, malangnya telah mengesampingkan tokoh utamanya.

Jadi, terima kasih kepada Amangkurat-Amangkurat atas momen-nya. Sehingga Sang Agung ngeri- kami lupakan setelah keluar dewan. Benarlah konsensus saya dan teman-teman: “Masuk Amangkurat-Amangkurat tak ingat Amangkurat.” Kami mahu jadi Juru Taman, tak sebatas waktu dan sememangnya bijaksana.

Zahid M. Naser, baru-baru ini telah menerbitkan kumpulan puisi pertama beliau bertajuk Berehat di Sisi Paus.