“Revolusi ibarat seutas benang
Senang disimpul, susah diregang.”

Tenalle Chegret (benang panjang)

 

“Mendengar Tinariwen adalah seperti menjatuhkan timba ke dalam perigi tak berpenghujung,” kata Robert Plant, penyanyi Led Zeppelin ketika ditanya tentang kugiran ini. Sementara, Carlos Santana pula menobatkan Tinariwen sebagai “antara kugiran terbaik di dunia.” Jika bukan kerana Pusaka yang membawa mereka ke rantau kita, barangkali aku tidak akan pernah dengar langsung tentang kugiran blues Afrika ini.

Ditubuhkan sekitar hujung 70an, kugiran ini diasaskan oleh petualang-petualang Tuareg dari Mali, Afrika Barat. Kebanyakan ahli mereka jika tidak merantau atau sedang bertarung, akan memetik gitar dan menyanyikan lagu-lagu Afrika yang digabungkan dengan nuansa blues Barat (yang dipengaruhi citra Elvis Presley, Jimi Hendrix, dan Bob Marley). Ahli-ahli awal mereka termasuk Ibrahim Ag Alhabib, Inteyeden Ag Ablil, dan Liya Ag Ablil. Pada asal penubuhan mereka di Tamanrasset, Algeria, mereka hanyalah kugiran yang bermain di pesta-pesta atau majlis keraian. Masyarakat yang mendengar mereka mulai memanggil mereka Kel Tinariwen, yang dalam bahasa Tamashek bermaksud, ‘Anak-Anak Padang Pasir.’ Hari ini, mereka adalah antara kugiran Afrika yang termahsyur di dunia. Kemenangan mereka merangkul Anugerah Grammy pada 2012 bagi album Tassili memastikan takhta itu.

Pada waktu tiketnya mula dijual di Kuala Lumpur, aku berkira-kira untuk membelinya. Aku cuba mendengar lagu-lagu mereka di youtube dan ku fikir, boleh tahan. Sastanàqqàm enak didengar dan Iswegh Attay kedengaran melankoli. Boleh jadi lagi keren kalau didengar secara langsung dan ini juga barangkali satu-satunya acara kedatangan mereka ke bumi bertuah ini sebelum mereka berangkat ke Hong Kong. Peluang ini terlalu baik untuk dilepaskan. Tanpa berfikir panjang, aku terus menempah tiket dengan helaan nafas panjang dan satu klik di skrin telefon. Khalas. Tanggal 13 November ditanda sebagai tarikh hari jadi.

Bertempat di KL Live, acara dibuka dengan persembahan dram Chinna Rasa Urumee Melum Masana Kali. Menurut Eddin Khoo, muzik mereka bernuansa kelas pekerja dan mereka adalah bunyi-bunyi di balik filem Jagat. Mereka menggendang rancak dan sedap dan malam sudah pun mulai terasa hangat. Selang beberapa minit, Tinariwen pula tampil mengambil pentas. Mereka berpakaian tradisional Tuareg, seperti nomad-nomad Sahara, lengkap dengan dram, kalabash, dan gitar-gitar elektrik. Dan apabila mereka mula memetik gitar dan melantun suara, aku tahu mereka tidak datang ke sini untuk bergurau. Mereka bikin lagu sedap dan mereka mahu kita maklum tentang itu. Mereka memainkan beberapa lagu seperti Talyat (perempuan) dan Assawt (suara-suara wanita Tamashek); kedua-duanya daripada album Elwan (gajah-gajah). Lima lagu kemudian, Ibrahim pula tampil dengan pesona yang sederhana mengilhamkan kekaguman.

Sepanjang dua jam seterusnya kami didendangkan dengan suara-suara syahdu Ibrahim merayu-rayu, petikan gitar bernada rancak, gendangan dram Afrika, kalabash, serta tarian padang pasir. Khalayak bersorak dan turut menari dan turut asyik.

Di samping permainan muzik mereka yang handal, lirik-lirik mereka juga turut dikatakan sarat dengan suara-suara murbawan dan pesan-pesan kemanusiaan. Maklumlah, Tuareg kaum yang dipinggirkan di benua yang luas terbentang itu. Pemberontakan mereka di Mali pada 60an habis binasa oleh kekuatan tentera. Aku membuat beberapa bacaan lanjut di internet dan aku dapati hakikat ini tidak jauh dengan kebenaran. Lihat saja bait-baitnya dalam Sastanàqqàm (Aku mempersoalkanmu). Penting untuk dinyatakan di sini bahawa ‘tenere’ adalah istilah tunggal bagi gurun pasir:

Beritahuku Tenere
Bagaimana caranya supaya kau dan aku
Kekal bersekutu
Tanpa benci di kalbu.

Tenere, sekarang boleh kuakui
Telah kukembara satu dunia.

Tenere, kujalinkan ikrarku
Sementara jasad masih bernafas

Ku akan sentiasa pulang ke sini demimu.

Selain itu, dalam Soixante Trois (63), Ibrahim melantunkan semula memori tentang bapanya yang terbunuh dan pemberontakan yang akan kunjung semula:

’63 telah pun berlalu, dan akan kembali
Hari-hari semalam telah meninggalkan jejak
Orang-orang tua disembelih dan lahir seorang bayi
Di tengah-tengah ladang hangus dan bangkai ternakan
’63 telah pun berlalu, dan akan kembali

Kemarahan Ibrahim yang meluap-luap akibat beberapa episod getir mereka di Sahara diterjemahkan ke dalam senandung berjudul ‘Chatma’:

Api telah pun menyala
Dalam mimpi-mimpi kita yang tak berjejak
Demi bangkai-bangkai satwa dan korban jiwa
Di ambang gerbang Kidal kan kita bersatu
Dan melawan
sekeras mungkin
Kau akan hangus dibakari kemarahanmu.

Setelah bertahun-tahun menghadapi revolusi yang gagal, Ibrahim merenung semula ke belakang dan menuliskan lagu Imidiwan Afrik Temdam (sahabat-sahabatku dari Afrika):

Ada pertanyaan yang menyeksa batinku
Sahabatku,
Adakah revolusi seperti pepohon
Yang rerantingnya tumbuh mekar setelah disiram?
Kuhidup dengan obsesi ini sepuluh tahun
Aku telah datang dari kalangan saudara

Sahabatku, apa fikirmu?
Mereka sudah lama hidup dihenyak penindasan
Semenjak hari lahir
Air tidak ada untuk menyiram pepohon ini.

Tentang kekuasaan, Tinariwen melantunkan keradangan mereka menerusi dua muzik di dalam album Elwan yang baru ini. Menurut seorang penulis Anastasia Tsioulcas, album kali ini tampil lebih pahit berbanding album-album di belakang. Perhatikan saja bait Tenere Taqqal (apa sudah jadi dengan tenereku):

Yang gagah akan memancarkan nafsu mereka
Meninggalkan para murbawan di belakang.

Dan lagu ini juga turut menyelitkan rujukan kepada album ini apabila Ibrahim menulis:

Tenere sudah ditumbuhi ranjau
Gajah-gajah bersaingan
Dan memijak rumput hijau
Di bawah tapak kaki

Tetapi bukan semua yang kelam dalam Elwan. Misalnya, Hayati (hidupku) disenandungkan dengan penuh rindu kepada cinta. Lagu tersebut dinyanyikan dalam bahasa Arab. Dalam Ittus (impian) yang hanya berbaris tiga itu Ibrahim menulis:

Kutanya, apa impianmu
Jawabmu perpaduan bangsa kita
Memartabatkan maruahnya.

Aku menulis ini jauh sebagai seorang pengkaji muzik atau peminat jati irama Afrika. Ini cuma tulisan yang dicerminkan oleh rasa keterujaan di persembahan mereka beberapa hari lalu – yang membawa aku membaca banyak esei yang ditulis mengenai mereka dan mendengar muzik-muzik mereka dari album lain. Sayang sekali kedatangan mereka tidak disertakan dengan jualan-jualan album. Hematku, lagu-lagu mereka adalah antara blues yang tersedap aku pernah dengar. Inilah perkongsian rasa itu, serta penghargaan buat lirik-lirik yang begitu puitis.

Pada malam usai menonton, aku pulang ke rumah dengan hati puas. Aku memasang lagu-lagu mereka di Spotify dan memandi air hangat dan memadamkan lampu. Tidak lama selepas itu aku tidur. Dan mimpiku mengirimkanku jauh ke gurun Sahara yang luas terbentang, jauh ke dalam nyanyian-nyanyian Ibrahim yang mendambakan kemenangan.

Johan Radzi, seorang penulis. Kumpulan cerpennya yang pertama Tinju dan Peluru telah diterbitkan oleh Roman Buku dan boleh didapati di pasaran berdekatan anda.