Hutan Keningau masih menyimpan kisah-kisah yang menyeramkan. Kisah-kisah lagenda ini bukan sahaja misteri, bahkan sebahagiannya menjadi kebanggan rakyat Sabah. Kerana banyak yang anehlah, kemisteriannya dicanang sehingga ke hari ini. Dek keanehannya juga, sebahagian dari kisah-kisah tersebut dituliskan walaupun dengan tambahan imaginasi dan fiktif. Keunikan novel Tombiruo karya Ramlee Awang Murshid adalah sebab mengapa ia difilemkan, dengan mengambil premis semangat hutan sebagai bahan dongengan yang boleh dijadikan modal iktibar dan jualan.

Sekadar itu sahajakah nawaitu kisah Penunggu Rimba ini akhirnya bikin filem? Apakah budaya fikir yang hendak diketengahkan sebagai tujuan sebenar yang melengkapi niat sebuah filem itu dibuat? Itu persoalannya, dan bagi merungkai persoalan itu adalah sangat mustahak untuk diperhatikan apakah hakikatnya visi kepengarahan itu dikeronyok? Filem adalah medium sang pengarah dan bagi membicarakan filem Tombiruo secara jujur, memperhatikan perkara ini sepatutnya lebih diutamakan waima terhadap sumber utama ceritanya sekalipun—sama ada novel atau kisah legenda rakyat yang dituturkan sejak zaman berzaman.

Apa yang hendak dikeronyok dari visi kepengarahan Tombiruo? Banyak sekali sebenarnya. Paling asas pengarah tidak meletakkan apa-apa petanda yang dapat dibaca sebagai petunjuk—agar penonton dapat mengikuti satu perjalanan atau kembara pemikiran dan fikrah yang kemudiannya dirasakan, dibincangkan, jauh sekali difikirkan masak-masak. Izinkanlah aku mengkeronyok perkara ini kerana secara sedar aku merasa barangkali terdapat banyak sentuhan yang telah mengusik pembikinan filem yang pada asasnya menjadi ramuan pengarah. Hebat atau besarnya Tombiruo dalam penulisan ini adalah kerana aku tidak dapat membandingkannya dengan mana-mana filem tempatan yang dikelaskan sebagai blockbuster atau kebabom. Tombiruo nyata dalam kelas yang berbeza, Polis Evo atau Abang Long Fadil 2 bukan tandingan sama sekali.

Walaupun tidak bagus untuk bercakap begini, kalau aku hendak membandingkan Tombiro: Penunggu Rimba, seharusnya Batman: The Dark Night adalah perbandingan yang lebih jantan. Kita tidak usah pergi lebih rapat menggali apakah visi pengarahan dalam The Dark Night kerana aku kira semuanya jelas dan terpahat. Tapi apakah sebenarnya yang tidak terlihat di dalam Tombiruo?

Sebuah filem mempunyai tema yang besar untuk mengangkat keseluruhan organ-organnya yang terlibat (seperti kandungan, watak, latar, pemikiran, perasaan, naluri, suara dan banyak lagi) dibawa ke dalam minda setaip orang yang membacanya. Namun apakah sebenarnya tema itu dapat ditolak, apatahlagi dicanai? Kalau tak ada, masak. Apakah Tombiruo tentang kemanusiaan, ketuhanan, falsafah hatta tentang mitos atau lagenda sekalipun tidak nampak. Sebenarnya bukan tidak ada, tapi agak kabur, seolah-olah belantaralah yang sebenarnya telah menyesatkan kita dan bukannya menyantuni.

Kerana itu penonton telah dikaburi tentang apakah kisah yang sebenarnya hendak disampaikan di sebalik keresahan hakiki yang terselindung. Mengapakah ia terselindung, apakah pengarah sebenarnya tidak meperhatikan perkara tersebut. Mustahil. Tugas pengarah yang hakiki adalah memberi pembaca atau penontonnya sepenuh-penuh perhatian. Sebuah filem adalah komunikasi di antara pengarah dengan penonton. Filem adalah kalam pengarah.

Jangan salah faham, aku sekali-kali tidak mengkeronyok pengarah filem ini. Yang aku cerita sekarang adalah tentang visinya. Di manakah hilangnya? Kerana belum ada yang menyentuh tentang perkara ini, sebaiknya aku usiklah agar tidak terpalit atau dilumusi. Aku percaya adanya suara pengarah terdengar dari dunia dan buananya yang sebenar jika semua unsur-unsur bunyi di dalam filem ini dibisukan, atau kita sendiri yang membisukannya kerana mendempakkan. Bukanlah aku ini hebat sangat sampai dapat mengenal makrifat, tapi ini semua perjalanan yang menentukan sama ada perasaan ini marah atau renta.

Sayang pada Tombiruo kerana tuntutan berlebihan kosmetik luarannya yang telah membunuh visi. Aku tak kata itu tidak baik tapi merugikan. Justifikasi atau bacaan aku pada sesebuah filem mendahulukan subjek dari objektif sebuah filem itu dibikin. Ini peraturan asas dalam mana-mana sekolah pemikiran tidak kira underground atau mainstream, box office atau art house, aliran atau genre. Ia peraturan yang asasi sama ada peraturan itu digemari atau dilanggari. Melanggari peraturan itu memang dibenarkan tapi bukan sekonyong-konyong. Kita membicarakan tentang filem sebagai satu seni, di mana visi pengarah akan mengatasi apa jua jukstaposisinya.

Visi pengarah di dalam Tombiruo bukan tidak ada, tapi dibunuh. Maksud aku, filem tidak ditentukan pasaran, sebaliknya menentukan. Filem yang baik tidak didasarkan oleh ke mana ia mahu pergi atau ditayangkan tapi di mana ia pergi dan mempertontonkan diri. Hanya ada sejalur garis halus yang memisahkan antara kehendaknya difahami atau dizalimi. Kasihan kalau akhirnya matlamat itu tidak tercapai, yakni menzahirkan pengucapannya yang sebenar. Jadi apakah sebenarnya yang diucapkan lewat filem Tombiruo yang kian terselubung. Ini, persoalan agung, ia bukan perkara yang boleh dianggap bengkarung.

Pada aku visi utama filem ini adalah kepercayaan atau lebih mudah lagi tentang agama. Misteri keberadaan Ejim di belantara sepi itu yang ingin dirungkai sang pengarah. Sama ada keujudan Tombiruo itu zahir atau ghaib, perkara itulah yang menimbulkan persoalan yang wajib menjadi perhatian ruhaninya. Tapi perhatian itu juga akhirnya menjadi silangan dek kontradiksi yang memutuskan jungkar balik. Manusia yang berugama itu ternyata lebih jahat dari makhluk yang tak berwajah dan menakutkan. Kerana sebaliknya berjuang untuk memelihara hutan dari kerasukan manusia-manusia berugama yang tamak berbanding penunggu atau hantu sepertinya yang dianggap paganan.

Pada aku penekanan kepada pembentukan seorang super hero untuk menyelamatkan hutan sebagai warisan bumi bukan satu visi kerana ia terlalu lemah dan tidak dapat diangkat, bahkan menyasaukan. Sebaliknya tujuan manusia dihantar ke bumi adalah untuk menjadi khalifah dan bukan membuat kerosakan. Amiruddin yang dilakonkan oleh Farid Kamil adalah titik tolak kepada visi Tombiruo yang paling murni. Kepada sesiapa yang sudah menonton Tombiruo pastilah menyedari bagaimana beratnya penyesalan yang ditanggung Amiruddin dek kesilapannya meninggalkan isterinya ketika kehadirannya sangat-sangat diperlukan.

Bukan Amiruddin sahaja, sesiapun yang berada di tempatnya tidak akan dapat memaafkan dirinya terhadap apa yang telah berlaku. Ia bukan sahaja tentang kehilangan jiwa yang amat disayangi dan cinta yang mendalam tapi kesan daripada peristiwa itu yang membawa kepada kekosongan ruhani. Bagi yang telah menonton Tombiruo perhatikan semula babak di mana Amiruddin tidak dapat meneruskan solat, ketika dia cuba betul-betul ingin menenangkan diri dan kembali kembali kepada keagungan Pencipta.

Aku membayangkan keadaan itu adalah rentetan dari detik atau momen yang tersembunyi, lama, sebelum dari itu lagi. Mungkin setelah kehilangan Salina, isterinya, Amiruddin telah mengasingkan dirinya dari orang lain, dia bersendiri kerana tidak dapat memaafkan dirinya. Ada perlakuan-perlakuannya yang ganjil terjadi sehingga Amiruddin merasakan dirinya sudah gila dan hampir membunuh diri. Solat tidak mungkin berhenti secara tiba-tiba jika tidak ada tolakan yang telah memporak perandakan konsentrasi. Beralasan bukan? Namun ia imaginasi aku sahaja.

Aku cuba menulis sebegini kerana Tombiruo merupakan filem yang aku raikan sebagai antara yang terbaik tahun ini. Kunci yang boleh membuka apakah visi atau arah tuju filem ini adalah pada kiasan, iaitu tasbih yang dicapai Amiruddin setelah dia gagal meneruskan solat. Kerana babak inilah aku mula fahami tentang kekuatan zikir sebagai amalan-amalan di luar solat yang dapat memantapkan ruhani selari dengan tanggungjawab manusia sebagai khalifah, agar dapat menerima ujian walaupun seberat mana ia ditimpakan dan tidak menjadi beban. Di dalam belantara yang luas dan tebal ketika lumus ditiup angin, apakah Amiruddin benar-benar bangkit? Macam mana Amiruddin dapat menguruskan pencariannya sedangkan jiwanya belum cukup mantap dan disaluti dendam?

Lihat, tasbih ini dibawa dengan sungguh tertib dan bercahaya agar visi filem ini akhirnya sampai kepada matlamat.

Abror Rivai, dilahirkan pada 10 Mei 1976 di Institut Harapan Taiping. Menurut hitungan fictional pada tarikh tersebut Travis Bickle menulis diari sunyinya dalam Taxi Driver – sebuah filem cult yang menerima Palme D’Or tahun 1976. Dia sangat terpengaruh untuk mencuba sesuatu yang baru seperti menghasilkan naratif yang berkaitan noir,new cinema dan artsy fartsy menerusi lakonlayar yang sedang digarap: Cinta, Islamique & Filem Digital. Dia juga adalah sutradara kepada filem Le Diable.