In Enlightenment salons the philosophes fashioned a collective identity through debate and the exchange of ideas and news. Aspiring writers found a forum for their work, and, if they were fortunate, financial patronage and literary fame. The salon was also a place where foreign visitors like David Hume, Edward Gibbon, or Benjamin Franklin won entry into Parisian intellectual circles.~James Van Horn Melton

 

Masalah kebanyakan kedai buku di Malaysia adalah kerana ianya tidak dijadikan tempat pertemuan para ‘literati’ (literati merujuk kepada golongan intelektual dan seniman). Malah, kegiatan di kedai buku hambar. Tidak ada interaksi, senyap dan membosankan.

Tidak ada pertengkaran pendapat, polemik dan saling bertukar cerita. Kedai buku sentiasa suram dan konon-kononnya tempat orang bijak pandai bukan milik masyarakat awam. Jadi, tidak hairan lah kedai buku sentiasa sunyi dan senyap.

Kedua, tidak semua kedai buku menawarkan bacaan ‘fiksi, non-fiksi, sejarah, seni dan sastera’ tapi sekadar menjual pensil dan servis fotokopi. Kita sering mengeluh bahawa buku-buku yang bagus hanya terdapat di Kinokuniya, MPH dan Borders dengan harga mahal. Itu pun eksklusif untuk mereka yang berduit. Kalau ‘student’ hanya mampu tengok sebab tidak mampu nak beli.

Masalah ketiga adalah jumlah pembaca yang sedikit. Ini masalah umum yang sedia diketahui. Baru-baru ini ada pihak yang mengupas tentang ‘sakitnya’ industri buku dengan memberi penyelesaian supaya kita perlu mencipta kelompok pembaca sebelum menerbitkan buku.

Barangkali ada penyelesaiannya. Tulisan ini cuba menjelaskan bagaimana industri buku dapat dikembangkan menerusi konsep kedai buku era baru.

Rumah penerbitan buku popular di dunia, Penguin House bermula dengan sebuah cita-cita naif untuk menjual harga buku murah supaya rakyat Britain mula membaca.

Maka, idea untuk menerbitkan buku versi ‘paperback’ diperkenalkan oleh Sir Allen Lane, pemilik rumah penerbitan Penguin. Menjual buku dengan harga murah tidak semestinya baik tetapi persoalannya apakah mutu kualiti penerbitan buku-buku di Malaysia?

Saya melihat tugas mencipta kelompok pembaca yang berkualiti lebih penting daripada meningkatkan jumlah pembaca. Kelompok pembaca yang baik akan terus-menerus membaca.

Mereka memilih untuk membaca buku-buku yang baru. Sekaligus dapat mencipta ‘ripple effect’ yang berterusan dan sihat untuk industri buku. Kelompok pembaca yang banyak belum tentu akan menjadi pembaca yang serius tetapi sekadar mengikut trend dan akhirnya mula bosan dengan karya-karya yang tak menepati selera mereka.

Kedai buku patut dijadikan satu konsep ‘gaya hidup’ yang menghargai budaya berfikir, keindahan dan intelektualisme. Projek ini dikenali sebagai ‘the conceptual bookspace’ Ia bermaksud kelompok penulis, budayawan dan pembaca buku harus bertemu dan membincangkan masalah seni, budaya dan intelektual di sebuah hub, event-space dan acara-acara diskusi.

Kesempatan penulis baru-baru ini untuk berwisata ke kota London dan Paris mengunjungi kedai-kedai buku ‘rare, antiquarian and used’ melihat bagaimana potensi ‘conceptual bookspace’ dapat dikembangkan dan membantu menjana gerakan kebudayaan. Russell  Square, London dan Latin Du Quartier, Paris adalah contoh bagaimana kedai buku berfungsi sebagai tempat pertemuan, jual-beli dan diskusi tentang idea dan budaya.

Di sekitar Bloomsbury berdekatan SOAS London dan Russell Square merupakan daerah ‘kebudayaan’-nya kota London itu. Skoob Books, Judds, Camden Lock BookMarket, Notting Hill Book exchange’ pula hub perbukuan yang menjadi bekalan ‘intelektual’ para penulis yang suka melepak di Bloomsbury.

Latin Dur Quartiet (Latin Quarter) berdekatan Sorbonne pula syurga bagi penggemar buku-buku langka. Salah satunya adalah Shakespeare & Co, kedai buku antiquarian yang pernah dimiliki oleh Ernest Hemingway. Ia menjadi tempat ‘pertemuan’ pembaca, bibliophile dan kolektor buku yang akhirnya merancakkan dunia kesusasteraan dan kebudayaan di kota Paris.

Perkembangan yang menarik juga sedang berlaku di Malaysia dengan munculnya lebih ramai peminat buku dan mereka yang menghargai buku-buku langka dan berharga. Tidak dapat tidak kemunculan kedai buku seperti Tinta Budi misalnya memberikan kesegaran baru kepada dunia buku Malaysia.

Dari segi aspek yang lebih komersial sifatnya, Big Bad Wolf dan portal Bookurve merupakan projek contoh yang menonjolkan ciri kreatif dalam dunia perbukuan di Malaysia. Mereka menawarkan sesuatu yang baharu ketika berdepan dengan gelombang ‘Fourth Industrial Revolution (4IR)’.

Big Bad Wolf misalnya memperkenalkan konsep ‘expo’ buku terbesar di dunia dengan menawarkan harga murah dengan pilihan buku-buku yang baik. Bookurve pula enjin carian internet yang menawarkan servis ‘mencari buku untuk anda’.

Kelab Kolektor Buku SeMalaysia di Facebook pula mempunyai pengikut seramai lebih 19 ribu orang pengguna menjadi medan aktif aktiviti perbukuan di Malaysia. Konsep ‘perniagaan atas talian’ ini banyak membantu penerbit-penerbit baru untuk menonjolkan produk mereka.

Pada masa yang sama, media sosial juga memainkan peranan menghimpunkan peminat buku yang rencam dan pelbagai sehingga terbentuk banyak komuniti seperti Buku Jalanan, Pasar Buku Bangi dan banyak lagi kelompok diskusi.

Sudah tiba masanya kedai buku harus merombak dan memulakan gerak langkah kreatif ke arah aktiviti perbukuan terutamanya apabila berhadapan dengan kepesatan dunia teknologi pintar; kini memudahkan para pembaca untuk mendapatkan akses mudah terhadap bahan bacaan yang baik.

Kedai buku dan industri buku harus melakukan ‘revolusi’ pemikiran dan strategi pasaran yang baharu. Usaha untuk merebut peluang kek ekonomi ‘online’ di Malaysia perlu digerakkan menerusi  idea ‘conceptual bookspace’ di mana kedai buku bukan sekadar tempat berjual beli tetapi ruang yang perlu dikongsi untuk mengadakan aktiviti dan acara persuratan.

Dengan itu idea ‘conceptual bookspace’ cuba meneroka pengertian kedai buku era baru. Kedai buku konseptual yang mempunyai aktiviti dan kegiatan. Kita harus melihat kedai buku dengan perspektif yang baharu. Ianya wajar dijadikan pusat pertemuan para penulis, pembaca serius dan kolektor untuk bersosial, berbincang dan bercerita tentang idea dan kebebasan.

Sehubungan dengan itu, Bukuku Press, Baca The Reading Room, Taman Pustaka, Buku Semalam, Bookshop at a Word Affair dan Kawah Buku merupakan sebahagian kecil kedai buku kontemporari yang memulakan pendekatan kreatif terhadap aktiviti dunia perbukuan. The Conceptual Bookspace ini adalah acara perbukuan eksperimental yang bakal diadakan di Blackbox, SACC Mall Shah Alam pada 30 September dan 1 Oktober 2017. Ianya bakal menghimpunkan sejumlah penjual buku yang mempunyai identiti dan visi tersendiri terhadap dunia perbukuan.

Muhammad Nazreen adalah Pengurus sebuah kedai buku online, Bukuku Press.