Barangkali tidak ada sutradara di dalam zaman ini yang lebih mengujakan berbanding Christopher Nolan. Filem-filemnya memukau dan tampil dengan kehebatan yang menggoncangkan perasaan. Naratif-naratifnya yang baik disokong sinematografi luar biasa, skor muzik Hans Zimmer, serta barisan pelakon yang cemerlang di hadapan skrin. Filem-filemnya sentiasa menyentuh tema-tema yang menarik; perbalahan tukang sihir, pencuri maklumat bawah sedar, pengembara angkasa lepas, dan tahun ini beliau memperkenalkan kepada kita sebuah kejadian di tengah-tengah gelora Perang Dunia Kedua – kepulangan dari Dunkirk.

Dalam temubual dengan Associated Press tahun lalu, sutradara itu menerangkan bahawa projek terbarunya ini bukanlah sebuah filem tentang perang. Awalnya aku mencurigai ini kerana bukankah Dunkirk itu sendiri antara episod yang paling diingati dalam sejarah peperangan itu? Sejenak gambaran syot panjang Atonement menjelma-jelma di retina. Tetapi setelah melabuhkan punggung dan mendiamkan telefon dan tenggelam di dalam skrin IMAX selama dua jam dalam ketegangan jam randik Nolan, aku fahami kenapa beliau berkata sedemikian. Kerana Dunkirk, dalam segala kemutlakannya, bukanlah sebuah filem peperangan. Ia filem kepulangan, demi menyahut seruan Winston Churchill dan menyeberangi Selat Inggeris dengan keberanian. Jarak tiga puluh batu itu terasa begitu jauh, meskipun mereka berkata “secara praktikalnya, kau boleh melihatnya dari sini (tanahair).”

Filem ini bergerak dalam waktu non-linear dan bermula dengan tiga premis utama: i) tiga tentera muda yang sedang menanti ‘keajaiban’ di Pantai Dunkirk bersama ratusan ribu tentera lain; ii) seorang bapa dan dua pemuda mengemudi kapal merentasi lautan untuk projek penyelamatan; serta iii) tiga pilot pesawat pejuang Spitfire yang dikirim untuk memastikan perpindahan tentera selamat merentasi selat. Tiga cerita ini bergerak dan akan bertembung pada satu titik ketegangan.

Sepanjang tayangan, kita dihidangkan dengan syot-syot yang indah dan menggerunkan. Pantai tak pernah kelihatan begitu terpinggir, begitu asing. Angin bertiup seolah-olah meniupkan hawa kematian. Lautan luas yang tak bertepi dan ombak laut yang mengganas, serta langit yang terbuka kepada ancaman-ancaman Messerschimtt Me 262.

Dari pantai kita cemas melihat kapal-kapal yang ditenggelamkan bersama Tommy (Fionn Whitehead), Gibson (Aneurin Barnad), Alex (Harry Styles). Kita berkongsi ketakutan mereka dan kita berdoa mereka selamat pulang; kerana orang-orang muda sentiasa berhak untuk sebuah masa depan.

Malah pembukaan dengan kedua-dua watak awal ini yang mengangkat pemasung untuk disertakan ke dalam kapal penyelamat tidak gagal untuk menyentuh hati penonton. Dari seberang Selat Inggeris si tua (Mark Rylance) bersama Collins (Jack Lowden) dan George (Barry Keoghan) menghidupkan kapal dan menyahut seruan si Perdana Menteri. Tak keterlaluan untuk kita katakan bahawa si tua inilah menjadi petunjuk moral bagi keseluruhan filem ini: “peperangan dicetuskan oleh orang-orang tua sebayaku, mengapa kita perlu menghantarkan anak-anak muda sepertimu ke medan tempur?”

Di angkasa, Farrier (Tom Hardy) mengemudi Spitfire bersama dua pejuang dan tekad untuk memastikan laut dan udara selamat dilalui Tentera Perikatan. Syot-syot aerial yang diikuti dengan pesawat ini adalah pengalaman yang menginzalkan; skrin berputar selaras dengan pergerakan pesawat dan di depan kita lautan dan langit terbentang maha luas. Kita diingatkan dengan kekerdilan diri di hapadan strategi peperangan skala raksasa. Nasib bergantung sepenuhnya kepada teknologi persenjataan.

Ada tiga hal utama yang bagi aku perlu diberi perhatian tentang filem Dunkirk. Pertama, kepulangan tentera semasa peperangan. Pasca-tonton, kami berempat melepak di Setiawangsa dan Ainunl Muayainah menyebut bahawa “tentera berperang bukan saja kerana mahu menang, tetapi kerana mereka juga akhirnya mahu pulang.” Dan aku fikir ini bergema dengan kebenaran kerana kita sering melupakan sisi ini dalam cerita-cerita peperangan.

Dalam keretapi pulang, Tommy dan Alex khuatir kepulangan mereka hanya akan mengaibkan London kerana pengunduran mereka dari Perancis. Namun itu bukanlah hakikatnya apabila mereka ditawarkan bir dan sorakan dan itu seperti mencadangkan bahawa akhirnya, setiap orang mahu orang lain selamat. Tidak ada yang lebih mustahak daripada itu. Lebih-lebih lagi di zaman darurat.

Kedua, seteru yang bersembunyi. Sepanjang filem berputar, wajah musuh tidak kelihatan sama sekali. Kehadiran mereka hanya dirasai dengan tembakan penghendap di pekan dan di kapal terabai, kiriman torpedo, serta pesawat-pesawat  Messerschimtt me 262 yang berkeliaran di angkasa. Sudah tentu ini dibuat bersebab. Atau mungkin Nolan berbuat sedemikian kerana dia mahu memberitahu kita bahawa dalam peperangan, tidak timbul wajah kemanusiaan. Segala-galanya dingin dan kejam. Kehadiran mereka hanya meragut nyawa dengan kaedah-kedah yang  menyeramkan. Ini memudahkan kita untuk lebih bersimpati kepada usaha menyelamatkan diri tentera-tentera Perikatan kerana mereka yang diberi ‘wajah’. Kita dalami emosi ketakutan mereka dan keterdesakan untuk melakukan apa sahaja untuk kekal hidup.

Ketiga, pemesinan peperangan. Bunyi pesawat seteru berdengung seperti kepak kematian di dalam filem Dunkirk. Setiap kali pesawat jerman melalui pantai, mereka akan bertempiaran ketakutan. Ini mengingatkan kepada babak dalam For Whom The Bell Tolls karangan Ernest Hemingway. Gerila-gerila Anti-Fasis di Sepanyol juga mengalami ketakutan yang sama apabila berhadapan dengan pesawat-pesawat pejuang di belantara Segovia. Seperti rungutan Fernando: “Kita harus ajari mereka. Kita harus rampas pesawat pejuang, senjata automatik, kereta kebal, dan atrileri mereka dan ajari mereka tentang maruah.”

Barangkali tidak keterlaluan untuk kita memahami akar ketakutan ini. Perang Dunia Kedua adalah perang skala raksasa yang terhebat dalam sejarah peradaban. Kita bercakap tentang umat manusia yang baru meniti Revolusi Industri di Eropah. Maka segala pengetahuan tentang teknologi dimanfaatkan sebulat-bulatnya demi penciptaan senjata yang canggih dan ampuh. Tidak pernah dalam sejarah manusia teknologi dimanfaatkan sejauh ini hanya semata-mata untuk memenangi peperangan.

Dan di sinilah Dunkirk berperanan semula: mengingatkan penonton betapa rapuhnya nyawa manusia di hadapan kecanggihan teknologi senjata. Imej-imej pengguguran bom, kiriman torpedo, dan pesawat pejuang yang menenggelamkan kapal akan sentiasa mengingatkan kita kepada kebinasaan-kebinasaan yang terjelma  dalam peperangan. Ini disokong lagi dengan seteru yang bersembunyi, bahawa manusia boleh bertindak tanpa kemanusiaan semata-mata mahu menang. Roket dan torpedo boleh dilancarkan dengan ketikan butang dan beratus-ratus korban boleh ditelan melalui itu.

Barangkali Dunkirk bukanlah filem terbaik Christopher Nolan. Kita masih ada Inception atau Trilogi Dark Knight buat itu. Namun filem ini tetap berdiri dengan pesanan yang mustahak untuk disampaikan. Apabila mereka selamat menaiki keretapi dan Tommy membaca ucapan Presiden Churchill pada dari akhbar, kita mengutip semangat filem Dunkirk:

We shall go on to the end. We shall fight in France, we shall fight on the seas and oceans, we shall fight with growing confidence and growing strength in the air, we shall defend our island, whatever the cost may be. We shall fight on the beaches, we shall fight on the landing grounds, we shall fight in the fields and in the streets, we shall fight in the hills; we shall never surrender, and if, which I do not for a moment believe, this island or a large part of it were subjugated and starving, then our Empire beyond the seas, armed and guarded by the British Fleet, would carry on the struggle, until, in God’s good time, the New World, with all its power and might, steps forth to the rescue and the liberation of the old.

Dunkirk bukanlah sebuah filem tentang peperangan. Ia filem tentang kelangsungan hidup, keberanian, serta semangat yang tidak pernah mengenal erti ketewasan.

Johan Radzi ialah mahasiswa jurusan undang-undang di UiTM Shah Alam. Selain daripada memasak makanan sihat dan menyelam di kolam air hangat, beliau juga rajin baca buku. Kumpulan cerpen debutnya Tinju dan Peluru terbitan Roman Buku sudah mula dijual di toko-toko buku berhampiran anda.