(i)

Sekitar 1995 saya bersama seorang teman sekerja pergi ke Kedah melawat saudara-maranya. Kami sama-sama berkerja di sebuah kantin sebuah sekolah di Subang Jaya.

Teman saya ini (Eddy) berasal dari Indonesia. Keluarganya bersampan ke sini ketika dia masih kecil lagi. Dia Sempat bersekolah sehingga tingkatan 3 namun tidak dibenarkan mengambil peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran kerana tidak memiliki kad pengenalan.

Saya tidak banyak soal. Saya menuruti saja dia ke rumah keluarganya di Kulim, kampung Naga Lilit. Kami sampai di sebuah rumah berlantaikan simen.

Teman saya tadi memanggil seorang lelaki dalam rumah tersebut sebagai “paman”. Apa yang saya faham kata “paman” digunakan sebagai ganti nama kepada bapa saudara. Barulah kemudiannya Eddy menjelaskan bahawa dirinya ada hubungan kekeluargaan dengan orang yang dipanggilnya “paman” tadi.

Kami dijamu makan tengahari dengan lauk ikan goreng. Saya membiarkan saja Eddy berbual-bual dengan pamannya.

Tiba-tiba ada seorang anak kecil dalam usia 6 tahun datang menuju ke arah saya yang baru saja selesai menikmati hidangan. Anak kecil ini duduk di atas riba saya tanpa segan-segan. Entah kenapa saya tidak pula menanyakan namanya. Saya mengusapi kepalanya dengan penuh mesra.

Dalam perjalanan pulang Eddy bercerita tentang keluarga pamannya tadi. Menurutnya isteri paman tadi berasal dari Pontian, Johor. Eddy turut bercerita tentang kanak-kanak perempuan yang menghidangkan nasi. Namanya Juwita. Usianya sekitar 12 atau 15 tahun. Kata Eddy, Juwita cuma makan nasi dengan kicap saja. Tapi kami dijamu dengan ikan goreng dan nasi panas.

Saya terkedu. Betapa keluarga tadi amat meramahi tetamu. Biar pun mereka miskin; hingga cuma ada lauk untuk dimakan oleh mereka saja tapi diberikan kepada tetamu yang datang.

(ii)

Anak kecil yang saya usapi kepalanya itulah Benz Ali.

Kalian pastinya sedang bingung. Kisah ini bagaikan hikayat. Namun inilah riwayat yang sebenarnya.

Saya tak tahu mengapa Tuhan pertemukan saya semula dengannya.

Kemudian dari cerita Benz, barulah saya tahu bahawa ibunya berasal dari Pontian, Johor. Ibunya menetap di Kedah setelah berkahwin.

Kisah di atas telah saya ceritakan kepada Benz. Dia tidak begitu percaya. Ya walaupun dia akui kakaknya bernama Juwita.

Saya tak dapat buktikan cerita ini kerana sudah lama tidak berjumpa Eddy, teman Indonesia itu. Tapi jelas Eddy berasal dari Pontian Johor.

Saya sangat yakin. Yang duduk di atas riba itu adalah Benz Ali.

Saya bertemu Benz semula ketika kami bersembang beramai-ramai (ketika itu termasuk Awie) tentang peristiwa Memali. Bertemunya untuk kali kedua semasa sesi pertama pembentangan saya dalam Lepak Maqashid di Shah Alam. Selepas sesi pembentangan, kami bersembang-sembang tentang banyak topik pengetahuan. Semasa sesi pembentangan kedua Lepak Maqashid pula saya meminjamkan buku Teologi Kiri kepadanya.

Sedikit demi sedikit hubungan kami semakin rapat. Kami sama-sama menggerakkan Kuliah Buku (KuBu) bersama teman-teman lainnya. KuBu adalah sebahagian cita-cita terpendam saya selama ini.

Ada satu kisah yang begitu mengesankan saya tentang Benz Ali. Ketika sesi bergambar selepas acara Puisi Satu Kota, Benz dicekup polis. Kami semua terpinga-pinga. Tiba-tiba Benz datang bersama anggota polis menyerahkan beg berisi buku. Dia meminta saya menjaganya. Saya hairan mengapa saya dipilih olehnya untuk menjaga segala harta bendanya yang ada dalam beg? Pada hal ramai lagi teman rapatnya yang lebih sesuai diserahkan amanah. Saya terharu bercampur bangga. Bangga kerana diberikan satu penghormatan. Terharu kerana terpaksa melepaskan rakan dicekup polis. Teman-teman yang simpati pergi ke balai polis Dang Wangi bagi mendapatkan penjelasan.

(iii)

Ramai orang tidak tahu bahawa saya adalah antara teman-teman yang mengikuti pergolakan hidup dan fikiran Benz Ali secara dekat. Saya selalu setia mendengar percakapannya. Ada masa saya bersetuju dengan pandangan yang dilontarkannya. Ada ketikanya pula saya kurang senang dengan jalan fikirnya. Namun saya diamkan saja.

Secara peribadi, saya melihat Benz Ali seorang yang deras alur fikirnya. Jarang sekali apa yang dilontarkan olehnya tidak menekan dada para pendengar. Idea-idea yang diungkapkan dapat saja menggangu apa yang kita percaya.

Kalau bersembang dengan Benz ia tidak begitu canggung. Apa yang saya bahaskan, tokoh yang saya sebutkan atau tajuk buku yang saya beri rujukan seperti tidak asing dalam pengetahuannya.

Apa yang dapat saya perhatikan – dalam usia sepertinya – teman-teman sebaya umurnya tidak berapa liar kesungguhan membaca buku jika mahu dibandingkan dengan Benz Ali. Ya. Seakan-akan seperti diri saya ketika berusia awal 20-an saja.

Bagi saya Benz sang pencari kebenaran.

Tentu Tuhan tidak begitu mempersoalkan bentuk ‘kebenaran’ apakah yang kita temukan. Tapi Tuhan bertanyakan tentang ikhtiar yang kita berikan kerana-Nya atas segala daya dan upaya yang sudah dibekalkan.

Saya kira inilah antara watak-watak ganjil. Orang hebat perlu melalui suatu kegoncangan hidup yang tak mudah dihadapi. Ada sejuta pergelutan yang telah dan akan diharunginya.

Pembaca buku ini akan melihat sendiri bagaimana seorang “Benz Ali” bergulir dalam hidupnya. Buku ini dapat dikira sebagai “pintu masuk” kepada para khalayak untuk mengenali sosok ini.

Sesebuah teks yang terhasil tidak dapat lari daripada bagaimana sang penulis bergelut dengan pengalaman hidup dan cerapan pengetahuannya. Setiap tulisan tentunya menyubur dari rencam konteks. Sama ada ia konteks peribadi sang penulis mahu pun latar belakang sosial zamannya.

Bayangkan jika satu-satu karya ditelaah 10 atau 15 tahun selepas ianya diterbitkan. Para pembaca perlu memiliki sederetan pengetahuan masa lalu tentang bagaimanakah suasana tertentu yang melahirkan karya tersebut.

Beginilah pentingnya membaca buku ini; Advencer Si Penjual Buku. Benz mengisahkan pergolakan hidup dan zamannya. Bab-bab awal amat penting untuk difahami kerana bermula dari sinilah para pembaca akan memahami mengapakah Benz Ali kemudiannya menjadi cukup kontroversi.

Bagi yang mengenali secara dekat ia tidaklah begitu membingungkan. Tetapi kepada para pembaca yang melihat sosok ini dari jauh tentunya akan melemparkan pelbagai salah faham. Malahan ada yang berbau fitnah. Lalu kita begitu cepat menghakimi satu-satu perkara tanpa memahami apa yang ada di sebalik tabir.

Ya. Ia membuka tabir. Tabir tentang konspirasi Tuhan. Takdir yang selalu ditanggapi secara keliru oleh manusia. Dan kita selalu menyalahkan Tuhan atas ketidakupayaan yang kita lalui. Ketidakupayaan dalam memahami segala hikmah yang tersembunyikan.

(iv)

Menulis pengalaman hidup untuk tatapan umum bukanlah hal yang begitu menggembirakan. Sebagai penulis tentunya tulisan-tulisan tadi mendedahkan banyak perkara terpendam.

Ramai orang mahu membaca kisah hidup ‘orang besar’ saja. Misalnya biografi sang politik, ahli perniagaan berjaya, para motivator terkenal atau artis-artis popular. Kononnya mereka adalah orang-orang yang menyumbang kepada kehidupan masyarakat. Katanya mereka adalah kelompok masyarakat yang perlu diteladani kejayaannya.

Orang tidak mahu membaca kisah ‘orang kecil’.

Bagaimana latar sosialnya? Apa pergelutan dalam kehidupannya?

Kita cuuma mahu mendengar cerita orang-orang ternama. Yang kita label sebagai berjaya. Kerana orang-orang kecil ditanggapi tiada apa-apa.

Kita dipaksa untuk menerima kehidupan mereka yang muluk-muluk saja. Tiada sisi gelap. Seakan-akan tidak pernah merasa kecewa.

Namun setiap insan memiliki keistimewaannya tersendiri. Kegagalan sebagai suatu proses dalam hidup. Inilah yang tidak ada dalam biografi orang besar.

“Orang Kecil” perlu juga menulis kisahnya. Merakam sejarah sosial zamannya.

Menulis tentang kehidupan sendiri di saat masih menjadi “orang kecil” adalah lebih telus dan tulus. Advencer Si Penjual Buku adalah semi autobiografi sosok kecil seorang Benz Ali.

Saya kira banyak lagi kisah-kisah yang mungkin tidak sempat dirakamkan olehnya. Mungkin saja dalam karya-karya yang lain.

Bagi para pembaca yang pernah bersentuhan dengan tulisan-tulisan Benz Ali sebelum ini, buku ini adalah sebahagian lagi pelengkap dalam memahami sosok ini. Saya kira Advencer Si Penjual Buku tentunya membuka ruang pemahaman yan baik untuk memahami aspek-aspek pemikiran Benz Ali.

Rosli Ibrahim
, aktivis OKU dan juga penulis buku Gelap Mata dan OKU Bangkit.

Tulisan ini adalah kata pengantar buku Advencer Si Penjual Buku yang diterbitkan oleh Republik Buku.