Barangkali ada yang sifatkan Otto von Bismarck secara mudahnya sebagai “haiwan politik” lantaran pendekatan realpolitik yang disandarkan padanya. Pendekatan siasah yang dianggap menuntut pengamalnya untuk sanggup mengorbankan prinsip yang dipegang demi kelangsungan dan cita-cita politik.

Namun ‘realpolitik’ Bismarck bukan sekadar apa yang cuba diterjemahkan oleh kamus Langenscheidt Jerman-Inggeris sebagai politik yang praktikal, atau politik ikut keadaan, bahkan lebih dari itu. Pada hemat Bismarck, politik adalah satu ‘seni yang munasabah’ dan diterjemahkan dalam segenap perencanaan sepanjang kerjaya politiknya. Maka adikarya ini menawarkan satu definisi panjang dalam memaknai realpolitik ala-Bismarck.

Jonathan Steinberg, seorang profesor sejarah Eropah, menganyam kemas riwayat hidup Bismarck berbekalkan narasumber yang berwarna-warni dan beragam. Keperibadian dan perjalanan hidup Bismarck bukan sahaja diterokai berdasarkan apa yang dikongsi Bismarck atau direkodkan dalam dokumen-dokumen rasmi kerajaan, namun juga menerusi pemerhatian yang dibuat oleh individu-individu yang hidup sezaman dengannya. Pandangan dari rakan taulan pastinya berbeza dari seteru dan lawan. Pengamatan ahli keluarga pastinya tidak serupa pandangan ahli dewan Landtag dan Reichstag. Begitulah juga curahan perasan dalam catatan-catatan diari tentunya tidak setulus karangan surat yang diutus buat Bismarck atau kenalan lain.

Acapkali juga, persepsi yang ingin ditonjolkan Bismarck kepada khalayak awam tidak selari dengan perihal sebenar. Misalnya, hakikat di sebalik seragam tentera yang lazim dipakainya. Natijahnya, para pembaca akan menempuhi detik-detik membingungkan seakan-akan sedang menelusuri kisah hidup individu berbeza, lantaran perbezaan persepsi atau perubahan ketara yang dizahirkan Bismarck dari masa ke masa. Sisi gelap Bismarck pula dipersembahkan dengan adil tanpa menghukum secara muktamad. Pengarang tinggalkan kepada pembaca untuk menilai sendiri akan tindak tanduk dan pekerti tokoh itu, di atas gugusan maklumat dan latar belakang yang dihamparkan terlebih dahulu.

Usaha mengumpul catatan, kiriman surat menyurat, dan diari peribadi pastinya bukan kerja enteng. Steinberg kelihatan sedaya upaya cuba menterjemah nukilan catatan-catatan dari bahasa asalnya, Jerman dengan mengekalkan lengok dan emosi. Semua ini pastinya memberi cabaran teramat besar kepada mana-mana penterjemah bagi mengekalkan kehalusan karya agung ini, tanpa mengkhianati bukan sahaja penulis buku hebat ini, tapi juga pemilik nota-nota dan warkah-warkah yang dipetik. Laras bahasa yang diguna dalam buku ini dan petikan-petikan yang dihasilkan pada kurun ke 19 itu sewajibnya dipelihara kerna semua itu mendasari makna karya ini.

Menterjemah karya ini ibarat menelaah kembali sejarah Eropah. Sebab pertama, pengaruh Empayar Jerman atau Kerajaan Prussia amat besar di benua tersebut ketika itu. Pendirian dan tindakan yang diambil negara itu sedikit sebanyak mencorak politik Eropah yang sebahagiannya sedang bergolak. Kedua, Bismarck sendiri merupakan diplomat yang disegani dan pernah diberi kepercayaan sebagai duta dan utusan negara. Beliau telah mengatur rundingan-rundingan damai, juga pernah menegangkan hubungan damai, antara kerajaan-kerajaan Eropah.

Namun, memandangkan perjalanan hidup Bismarck yang dramatik dan beralun, disertai sifat ‘pelik’ padanya, fakta-fakta sejarah yang disajikan dalam biografi ini tidaklah tawar dan kering sebagaimana terdapat dalam buku-buku teks sejarah. Penceritaan fakta sejarah dalam biografi ini turut diwarnai dengan pengkisahan beberapa individu berpengaruh yang hidup sezaman dengan Bismarck berserta peristiwa-peristiwa penting yang telah mendatangkan impak besar terhadap negara Jerman dan benua Eropah dulu, dan hingga ke hari ini. Pastikan di tangan anda ada peta Jerman dan Eropah ketika membaca buku ini.

Steinberg melalui hasil karya ini turut membawa kita ke zaman sebelum wujudnya internet, mahupun komputer, apatah lagi telefon pintar. Masyarakat bergantung sepenuhnya kepada perutusan surat melalui kiriman pos. Dari surat menyurat yang dinukilkan dalam buku ini, pembaca berpeluang menatapi kesopanan sang pengirim, melampiaskan kerinduan dan kasih sayang di atas kertas, berkelahi dengan santun dan berlapik. Semua itu telah sirna pada era Whatsapp dan emel.

Khazanah zaman tanpa konsep ‘paperless’ itu membuka peluang untuk kita terokai kebudayaan dan kesenian generasi terdahulu dari manuskrip-manuskrip yang masih ada, dan juga menerkai sisi romantis Bismarck yang senantiasa kelihatan bengis dalam potret-potretnya. Dalam keadaan kecemasan, hanya telegram yang ada untuk penghantaran pesanan pendek. Kelajuannya pasti tak setara kepantasan ‘SMS’ pada hari ini. Namun buat Bismarck, satu telegram ringkas berbunyi ‘Periculum in mora. Dépêchez-vous’ itulah telah membuka jalan baginya meraih kuasa agung dan menyelamatkan takhta Maharaja Wilhem I.

Bismarck hidup dalam zaman pertembungan; antara kebangkitan arus liberalisme dan perjuangan konservatif mempertahan status quo, antara pemerintahan monarki dan kekuasaan rakyat, antara keangkuhan negara-negara kuasa besar Eropah melebarkan pengaruh, antara pentadbiran negara yang dikuasi penganut Protestan dan kemaraan sebilangan rakyat penganut Katolik. Di celah pertembungan-pertembungan itulah terhimpit golongan minoriti yang diasak untuk memilih pihak yang disebelahi. Jika gagal berbuat demikian, pastinya mereka akan dibakulkan bersama seteru-seteru yang lain. Menyokong nilai-nilai liberalisme disamakan dengan usaha menjadikan Prussia sebagai Judenstaat (Negara Yahudi), lantas ingin merobohkan ‘Negara Kristian’ Prussia. Suasana inilah yang membentuk bukan sahaja keputusan politik Bismack tetapi turut mempengaruhi, atau merumitkan konflik dalaman, dalam dirinya.

Kisah hidup Bismarck yang digarap Steinberg barangkali dapat menarik tangan kita untuk melangkah ke belakang sejenak untuk menziarahi pengalaman yang dilalui oleh suatu bangsa dalam mencari persamaan dan menerima perbezaan. Menerusi buku ini, Bismarck menonjolkan keanjalan manusia dalam berdepan situasi menduga tatkala memimpin kerajaan, mengepalai keluarga, dan menangani pergolakan dalaman diri. Penterjemahan buku ini diharapkan dapat mengilhami generasi muda untuk berfikir dan bertindak menjangkaui sempadan antara garisan kiri dan kanan, antara hitam dan putih.

Bismarck bukan seorang panglima perang yang lazimnya berpengaruh pada zaman itu, bukan juga beliau pemimpin tertinggi mana-mana parti politik besar yang mendominasi dewan Reichstag, dan bahkan Steinberg mendakwa, ‘tiada negarawan abad ke-19 atau ke-20 yang diketahui umum terlalu kerap jatuh sakit, dan juga paling mengada-ngada sebagaimana Otto von Bismarck’. Namun dia muncul sebagai Bapa Penyatuan Negara Jerman dan tokoh politik teragung. Pasti ada sesuatu yang boleh dipelajari dari insan yang digelar ‘genius politik’ ini.

Mukhriz Mat Rus, calon ijazah kedoktoran di Universiti Leeds, United Kingdom dalam jurusan undang-undang jenayah dan terorrisme. Beliau adalah penterjemah buku ini yang diterbitkan oleh Institut Kajian Dasar.

Buku tersebut boleh dipesan di IlhamBooks.com