Senja itu, kami duduk berbual di Telawi dan Rehman Rashid bertanyakan kepada saya satu soalan yang tidak pernah saya jawab dengan sepenuhnya. Atau barangkali memang sudah saya jawab dengan jujur, sejujur-jujurnya kepada dia.

Di meja itu, kami bertiga — dia, saya dan Jaafar Ismail, penerbit buku terbarunya, Peninsula: A Story of Malaysia. Hanya tidak sampai seminit sebelumnya, ada Jahabar Sadiq di sebelah saya. Jahabar yang mengajak saya untuk ikut duduk dan berbual dengan Rehman. “Sekejap saja. Aku pun nanti ada janji makan malam,” katanya.

Saya lebih banyak mendengar daripada membuka mulut. Di kiri saya Rehman yang asyik menghisap cerutnya, di kanan pula Jahabar yang ketika itu jadi perhatian banyak orang kerana sebulan sebelumnya laman web berita The Malaysian Insider yang dia pimpin, ditutup. Jaafar di sebelah Jahabar, betul-betul setentang di depan Rehman.

Mereka rancak berbual dan saya asyik mendengar. Tiba-tiba telefon Jahabar berbunyi. Dia angkat telefonnya dan saya dengar dia memberitahu tempat kami berkumpul.

Entah berapa minit kemudian, datang jurugambar Hasnoor Hussain dan Jahabar minta diri sekejap. Hasnoor ‘meminjam’ bekas editornya itu untuk diambil potretnya. Hasnoor waktu itu sedang menyiapkan esei foto tentang laman web berita The Malaysian Insider yang tutup 32 hari sebelumnya. Mereka berdua pun menghilang dan entah berapa minit kemudian, datang semula.

Tetapi pada masa itu, di meja hanya kami bertiga — Rehman, saya dan Jaafar.

“Apa kamu buat sekarang?” tanya Rehman kepada saya.

“Umur kamu berapa?” tanyanya lagi.

“Inikah yang kamu cari dalam hidup? Inikah kerja yang kamu nak buat?”

Ada diam yang agak lama.

Saya terasa seperti sedang disoal siasat.

Saya renung matanya — tajam dan menikam dalam. Dia mengangkat keningnya sedikit, mendorong saya untuk menjawab soalannya. Saya diam. Masih diam, sambil bibir mengukir senyum yang kelat. Soalannya itu kemudian saya jawab. Dia angkat bahu, hisap lagi cerut dan jentik abunya ke asbak di atas meja.

“Kamu masih muda. Aku sudah 60 tahun. Bahagian aku sudah selesai. Ini masanya untuk kamu dan generasi yang lain selepas aku menulis cerita,” katanya.

“Pergilah berjalan dan tulis.”

Beberapa jam sebelum itu, Rehman menyebutkan hal yang sama pada sesi bual buku untuk mempromosikan Peninsula: A Story of Malaysia di kedai buku Silverfish.

Di kedai buku kecil itu, di hadapan lebih kurang 50 orang hadirin, dia menggesa semua orang untuk menulis dan berkongsi cerita masing-masing. Itulah juga pesan Rehman dalam semua sesi promosi buku barunya itu. Baginya, setiap potong cerita itu ibaratnya perca-perca yang kalau dicantum-cantumkan jadi sebidang lukisan besar yang dengan segala keindahan dan kejelekannya menggambarkan Malaysia, negara milik kita bersama ini.

Rehman sudah menulis ceritanya. Dia perlu masa 23 tahun untuk melengkapkan ceritanya daripada A Malaysian Journey sampailah kepada Peninsula: A Story of Malaysia. Dua buku ini — yang pertama terbit pada 1993, yang kedua pada 2016 — boleh saja dibaca yang mana dulu.

Kalau bermula dengan membaca A Malaysian Journey, kita akan melihat bagaimana negara ini berubah. Kalau bermula dengan membaca Peninsula: A Story of Malaysia, kita akan mengimbau negara ini pernah bagaimana pada suatu masa yang tidak terlalu lama dahulu.

Rehman menghembuskan nafas terakhir pada subuh Sabtu selepas empat bulan terlantar sakit akibat serangan jantung. Pada kematiannya, saya mengenang lagi senja itu dan perbualan singkat kami. Pesannya masih kuat terngiang: “Pergilah berjalan dan tulis.”

Perjalanan Rehman — a Malaysian journey — sudah berakhir. Tetapi perjalanan kita belum, dan bagi sesetengah orang, barangkali belum pun bermula kerana seperti yang pernah dilaungkan oleh Sukarno dalam pidatonya, memetik Nehru: untuk sebuah negara yang berjuang, tidak ada akhir perjalanan.

Terima kasih, Rehman. Padamu kami berhutang cerita, untuk ibu pertiwi.

Al-Fatihah.

Noor Azam Shairi, wartawan dan editor.