Di pameran Zulkilfi Dahlan tempoh hari. Kalau dia masih ada, aku akan memeluknya. Aku tak kenal dia.

Zulkilfi dipanggil “Jo” oleh ramai yang kenal dia. Kalau dia masih hidup, umurnya 65. Muda sedikit dari orang tua aku di kampung. Kebetulan, Jo juga budak kampung.

Di tahun 70-an ada impian luar biasa. Bertukar menjadi imaginasi.

Tentang anak kampung yang mahu menjengah dunia. Bukan “dunia tempat” macam ke London atau New York, bukan Hong Kong atau mana-mana negara. “Dunia” yang mahu dijengah adalah ke persoalan baharu: seni halus. Selepas merdeka, pandai melukis akan mengantar seseorang itu ke dunia yang disebut seni halus.

Dunia itu tak ada lagi dalam kamus orang Malaysia. Terutama budak Melayu dari kampung. Aku membayangkan, soalan “untuk apa melukis?” pun belum selesai, sudah sampai pula soalan “apa itu seni halus?”

Bagi yang sudah mula belajar melukis, timbul soalan lain pula, “bagaimanakah membaca lukisan?” dan, “bagaimanakah membuat lukisan yang boleh dibaca?”

Jo pun membuktikannya. Paling tidak hari itu, selepas empat dekad dia pergi.

Agaknya, dialah satu-satunya pelukis Melayu yang sampai hari ini melukiskan begitu banyak alat kelamin baik lelaki, baik perempuan.

Bumi Larangan (1977) © Hasmi Hashim

Dia lukiskan dirinya. Dia lukiskan orang-orang yang dia kenal. Dia lukiskan kawan-kawannya. Semua orang dia lukiskan adalah dengan telanjang bulat. Dilukiskan dalam bentuk karikatur.

“Karikatur” itu sendiri satu perkataan yang asing, dan menyemakkan kepala!

Senang cerita, Jo melukiskan “manusia-manusia kerepot” seperti tajuk satu berita di dalam ruangan Nada Minggu, Ahad, 2 Julai, 1978. Berita itu ditulis daripada sebuah pameran mengenang Jo. Ada petikan dari ibu si pelukis, Puan Hasnah Mohamad.

Kata Puan Hasnah, anaknya dari kecil memang suka melukis. Dia menangis.

Jo adalah pelukis yang paling diraikan kawan-kawan. Dia mati muda. Umur 25.

Kata Pakharuddin Sulaiman petang tadi, “Jo adalah ‘Chairil Anwar-nya Malaysia’.” Pakha memang suka lukisan. Dia kumpul banyak benda seni.

Tapi, Chairil mati setahun lebih tua dari Jo. Dan kata Noor Azam Shairi, sang editor, “Chairil meninggalkan begitu banyak pengaruh kepada perkara lain di Indonesia…”

Kata-kata itu terputus. Menuntut aku balik. Mencarinya sendiri.

Jo adalah Anak Alam. Anak Alam adalah sebuah kumpulan seniman di Padang Merbok, KL. Di situ ada rumah. Di rumah itu, mereka melukis. Di tepinya ada pokok mangga. Satu hari, jatuhlah seekor anak burung dari pokok mangga. Jo mengutipnya. Dia hairan. Dia tak tahu sama ada anak burung itu burung merpati, atau, si anak helang. Ia seperti sebuah soalan falsafah.

Semua ini diceritakan oleh Mad Anuar. Mad seorang pengarca. Mad juga melukis. Sekarang studionya di Rumah Pena.
Mad ada di Anak Alam. Ada ketika Jo bertanya soalan-soalan cepu emas. Cerita Mad lagi, tadi, kedua jenis burung itulah yang diambil oleh Jo untuk hasilkan satu arca. Berbentuk burung. Tak pasti, apakah anak merpati, apakah si anak helang.

Pada kepala burung itu, dia bubuhkan kepalanya. Dibentukkan wajahnya. Diperbuat dari simen. Diberi tajuk “Burung Merpalang”. Pakha meng-google. Dia tak temukan apa itu “merpalang”? Bagaimanakah jenis burungnya? Sampai Mad jelaskan, “merpalang” adalah gabungan merpati-dan-helang.

Kami gembira. Sesaat lagi, aku perlu putuskan, apakah Jo seorang yang genius? Apakah dia benar-benar pelukis yang genius; yang mendahului zaman?

Titik untuk menemukan Jo sebagai seorang genius bilamana dia melukiskan “manusia-manusia kerepot” kalamana senilukis Malaysia waktu itu masih ‘mentah’. Kalamana pelukis masih mahu melukis sosok tubuh badan manusia dengan penuh sempurna. Realisme-lah senang cerita.

Jo melarikan diri. Menjadi kontemporari. Tak jauh. Hanya di sebelah-menyebelah daripada kesempurnaan itu. Di situ, barangkali ke-genius-annya terkesan olehku.

Bayangkanlah bagaimana dia bisa hidup; bisa berdikari dengan lukisan-lukisan manusia kerepot? Siapakah yang akan menyokongnya? Siapakah yang akan membeli? Kalau pun dibeli, apakah akan dibeli setiap bulan… di saat itu, aku emosi sekejap.

Lebih-lebih lagi di tahun 70-an.

Malaysia belum punya ramai pengumpul barang seni lukis. Kalau pun ada syarikat, belum ada bank-bank yang membeli. Belum ada GLC seperti Khazanah. Belum ada saudagar-magar yang merasakan perlu untuk menjadikan lukisan sebagai gantungan pada dinding pejabat.

Hari ini pun masih susah. Di Amerika dan Eropah pun masih susah. Apatah lagi di Malaysia. Di tahun 70-an.
Dalam lukisan besar hitam putih yang bertajuk “Bumi Larangan” (1977), Mad tunjukkan di situlah perkumpulan Anak Alam, di alam khayalan Jo. Di sana, direkodkan satu persatu. Apa yang ada. Seadanya. Termasuk arca kawan-kawan yang dia kenal, yang telah dia bogelkan seperti Latiff Mohidin. Mungkin.

Kedai-kedai (1973) © Hasmi Hashim

Di sana, di satu sudut agak ke kanan, ada arca yang dibuat Latiff. Ada arca lain-lain. Ada pokok mangga. Di bawah pokok mangga itulah, “merpalang” jatuh dari pokok. Mungkin juga dari kebiruan langit.

Bukankah tajuk lukisan itu sudah cukup menggegarkan? Ada elemen misteri yang hendak dimasukkan. Ada elemen menggemparkan. Seperti sebuah wilayah yang ramah, tapi tak jelas nasib kebahagian manusia-manusia di dalamnya. Termasuk Jo.

Tinggalkan “Bumi Larangan”. Pergi ke catan yang lain. Ada beberapa yang lebih berwarna-warni. Cerita tentang ruang tamu rumah, misalnya. Ada beberapa keping.

Semuanya masih dan masih dilukiskan orang telanjang. Mereka berbual-bual. Mereka dengan urusan mereka. Tanpa baju dan seluar. Dibuatnya biasa-biasa sahaja. Dengan warna yang kemerah-merahan menguasai catan. Warna agak kekuning-kuningan pada tubuh manusia.

Warna itu menjadi lebih terang dalam catan yang satu lagi. Tajuknya “Kedai Kedai”. Sebuah lanskap bandar. 1973.
“Di Pulau Pinang,” aku agak-agak.

Jawab Mad, “tak.”

Tak sempat ada agakkan lain, Mad kata, itu adalah Jalan Tengku Abdul Rahman. Di Kuala Lumpur sahaja.
Semua orang masih telanjang bulat. Berbogel di tengah kota. Mungkin seperti hari tanpa pakaian yang dibuat di beberapa kota di dunia sekarang.

Ada beberapa kenderaan. Lima biji kereta. Sebiji motosikal dengan penunggangnya memakai helmet, tapi tak pakai baju-seluar. Tiga biji kereta ada nampak nombor plat. Semua bermula dengan huruf “B”. Huruf itu adalah untuk pendaftaran kenderaan di Selangor. Adalah munasabah jalan dan kedan-kedai yang dirujuk Jo itu adalah Jalan TAR macam dikatakan oleh Mad.

Kami pun ketawa.

Bukan jenaka. Ketawa bagi meraikan seorang pelukis yang genius. Tiada salahnya.

***

Catatan: Tahniah buat Nur Hanim Khairuddin yang menjadi pengatur bicara pameran ini.