Dua ribu tiga, Julai layu, Mustaqeem dan aku tiba di pintu masuk Carcosa. Tidak seperti hari lain, petang itu sedikit hangat. Bayangkan apa yang aku rasa. Namun tuhan Maha Adil, dihantarnya angin. Tipis cuma cukup mendamaikan. Carcosa ini masih dikelilingi hutan-hutan kota terpelihara.

U-Wei sudah menunggu. Nasib hanya baru beberapa minit. Ada senyum pada wajahnya ketika melihat kami. Kelewatan yang sedikit itu disebabkan jalan raya agak sesak. Sebelumnya kami lambat bergerak kerana mengerjakan tugasan-tugasan lain yang terpaksa ditangguh. Aku datang ke sini pun dengan pakaianku yang belum berganti sejak kelmarin. Jeansku lusuh dan rabak bersama baju kurta nipis warna jingga yang jarang dipakai. Rambut kusut dan kulit mukaku jelas berminyak. Malam sebelumnya, aku tak balik ke rumah, aku terpaksa bermalam di IKD kerana hambatan dateline.

Dalam keadaan begitu, hampir-hampir aku dilihat lebih berseni dari U-Wei. Kalau tidak kerana rambut ikal panjangnya yang semakin memutih sampai ke janggut, tentulah aku yang lebih disangka seorang direktor (hanya sekadar perasaan yang perasan). Kami bersalaman, aku memberinya majalah Siasah edisi keenam kalau tak salah.

Aku nampak sebaik menerima Siasah, U-Wei segera menyelak ke halaman dalam. Matanya mencari apa yang mahu dibaca, lantas mungkin berhenti pada tulisan aku (atau mungkin aku hanya perasan), lalu membacanya sampai tamam. Ia tulisanku tentang filem pertama dari trilogi Koker arahan Abbas Kiarostami bertajuk Where Is The Friend’s Home yang ketika itu masih mentah/kasar atau langsung/direct. Beberapa tahun kemudian, telah beberapa kali aku cuba menulis semula dan akhirnya menjadilah seperti sekarang, seperti apa yang aku fikirkan ianya masak/matang. Pierre Rissient barangkali masih berada di biliknya.

Suara garau lelaki mat salleh marah-marah segera terdengar, U-Wei lekas terganggu. Dengan tegas dan tanpa selindung, Pierre merungut tentang masalah kemudahan di bilik air hotel tempat tamu negara beradu. Pierre barangkali sedang mengalami mimpi ngeri aku fikir. Entah menyumpah-nyumpah mengutuk kelemahan kemajuan di negara dunia ketiga. Kedengarannya suara itu sudah semakin hampir. Sesudah batang tubuhnya kelihatan, aku semakin yakin lelaki Perancis berbadan bulat dan berkaca mata besar itu adalah Pierre Rissient. Akhirnya, beruntunglah aku dapat bersemuka.

Beberapa minit kemudian, Christine Hakim juga turun menuju ke lobi, di ruang aku berdiri. Segera aku menyambutnya ketika dia masih di kaki tangga. Mbak Christine miliki aura yang jelas berbeza. Dia hadir bagaikan air. Segera mendinginkan api yang marah di litar gema sumpahan Pierre. Petang itu aku sepatutnya menemuramah Mbak. Sayang ia tidak berlaku kerana perubahan jadual penggambarannya berubah di saat akhir.

Jujur sekali tutur katanya memohon maaf kerana terlebih awal Mbak sudah menyatakan persetujuannya untuk ditemuramah aku. Aku mengerti saja. Begitulah sulitnya pembikinan filem. Perubahan akan sering terjadi biar sekemas mana direncana. Filem berbelanja besar seperti produksi Puteri Gunung Ledang itu dibuat cukup teliti dengan keterlibatan orang orang penting dan nama nama besar industri.

Kami difahamkan tujuan kehadiran Pierre Rissient ke Malaysia sebenarnya berkaitan dengan pembikinan filem tersebut. Pierre dijemput ke Malaysia atas undangan khas Mbak Christine bagi melihat hasil daripada beberapa screenshot yang diambil dari penggambaran filem Puteri Gunung Ledang untuk dinilai, sebelum dilobi penyertaannya ke mana-mana festival filem antarabangsa termasuk ke Cannes atau pun dipikat Academy. Sama ada ianya mimpi ataupun khayal, baguslah kalau kerja seni dibakar-bakar begitu.

Kami sangat bertuah kerana mendapat peluang mewawancara Pierre Rissient secara eksklusif. Waktu itu, kalau tidak kerana idea dan jemputan U-Wei beberapa hari sebelumnya, (beliau turut membantu kami dengan mencadangkan soalan-soalan yang wajar ditanya), tentu kami tidak dapat miliki peluang yang mahal harganya ini. Aku difahamkan belum ada filmmaker dan penulis selain kami yang diberikan peluang sebegini emas, lantaran Pierre sebenarnya adalah seorang lelaki dari Perancis yang bertanggungjawab memperkenalkan sinema Asia kepada dunia. Lagi pula, Pierre bukanlah orang yang mudah ditemui, apatah lagi mesra memberikan perbualannya secara santai. Kami diberinya muka dan dilayannya dengan ramah tentunya kerana U-Wei dan sebab apa?

Soalan demi soalan ditanya dan Pierre mengupas satu persatunya dengan padat dan tersusun. Di dalam kepalanya seperti kamus, yang sarat pengetahuan tentang sinema khusus berkaitan dengan tujuannya ke Asia semenjak tahun tujuh puluhan lagi. Pierre Rissient adalah orang yang menggerakkan usaha menampilkan filem alternatif bagi produk Hollywood. Sekali lagi aku tegaskan, Pierre Rissient – lelaki asli Perancis ini berkeliling seluruh dunia, dan telah empat dekad menumpahkan perhatian kepada sinema Asia, menggali dan menggilap potensi baharu dari rantau ini. Malah, Pierre Rissient disebut sebagai lelaki Barat pertama memperkenalkan filem Asia kepada Cannes di tahun tujuh puluhan itu.

Lino Brocka, Garin Nugroho, U-Wei Haji Saari, Li Han Hsiang dan Eric Khoo hanya antara beberapa nama dalam senarai panjang sutradara yang pernah ditonjolkan Pierre. Selain mereka adalah Im Kwon Taek, sutradara terbaik Korea yang menempa nama di persada filem antarabangsa dalam tahun lapan puluhan menerusi bantuannya. Usaha-usaha Pierre seperti itu menonjolkan lagi ketokohannya dalam mengenengahkan budaya Asia menerusi filem kepada dunia, lalu usaha seperti itulah yang melayakkannya mendapat pengiktirafan Unesco apabila pertubuhan itu menganugerahkan Medal Emas Fellini atas sumbangannya terhadap dunia filem.

Selain sebagai pemilih karya ke Festival Filem Cannes, Pierre Rissient juga merupakan sutradara, penerbit, pengedar dan penasihat kepada beberapa sutradara terbaik dunia, antaranya Jane Campion iaitu sutradara filem unggul bertajuk The Piano. Penglibatan Pierre Rissient selaku pembantu sutradara kepada Jean Luc-Godard, meninggalkan kenangan manis apabila filem Breathless menjadi sensasi box-office dan dianggap sebagai sebuah filem yang memberi tenaga baharu kepada filem Perancis.

Ditanya soalan tentang berapa lama beliau membuat pemerhatian ke atas sinema Asia, Pierre memperlihatkan fikrahnya yang halus dengan mengajak pembaca memperhatikannya dengan cara yang lebih tepat. Bagi Pierre ia bergantung kepada apa yang dimaksudkan dengan ‘pemerhatian’. Awal dahulu, sewaktu usianya masih muda, “kurung lebih enam belas tahun umurku,” katanya, semasa mula berminat dengan arah baharu dalam teater, sajak dan filem, Pierre merupakan antara penonton termuda filem Kenji Mizoguchi dan Akira Kurosawa di tahun enam puluh dua.

Waktu itu lagi Pierre sangat berbeza kerana sudah mula mempunyai minat asas terhadap sinema Jepun, kerana kala itu tidak ada peluang melihat karya-karya negara Asia di Eropah. Kisah Pierre, sebelum karya Satyajit Ray, ada sebuah filem India bertajuk Two Acres of Land karya Bimal Roy ditayangkan di Eropah dan mendapat tanggapan baik. Kemudian datang Satyajit Ray.

Kisah Pierre kemudian, pada tahun enam puluh sembilan, penulis berbangsa Amerika, Henry Miller, menelefonnya dan bertanya jika beliau ingin melihat sebuah filem China bertajuk The Arch, karya seorang wanita muda China, Cecille Tang Shu Shuen, yang mendapat pendidikan filemnya di Amerika. Pierre berpandangan, The Arch sebuah filem yang sangat bagus dan The Arch benar-benar memulakan gelombang baharu sinema China. Waktu itu, kisah Pierre lagi antara yang dikerjakannya ialah mengedar filem The Arch di Perancis dan The Arch mendapat sambutan baik di sana.

Kisahnya makin menarik kerana tiga tahun kemudian, Shu Shuen bikin sebuah filem yang dia sendiri tidak dapat sunting. Shu Shuen meminta Pierre datang ke Hong Kong membantunya. Lalu pada tahun tujuh puluh tiga Pierre ke Hong Kong. Di Hong Kong, Pierre melihat karya beberapa sutradara lain, mereka adalah di kalangan sutradara-sutradara hebat namun langsung tidak dikenali di Barat. Pierre melihat filem karya Li Han Hsiang bertajuk Touch of Zen. Waktu itu Touch of Zen langsung tidak dikenali atau pun dihargai di Hong Kong dan Taiwan. Pierre menyukai filem itu, ia kemudian dipilih ke Cannes dua tahun berikutnya menerusi hasil usahanya.

Di Cannes, Touch of Zen mendapat sambutan hangat. Kemudian ia menjadi terkenal di Perancis dan Eropah, dan hanya selepas itu dikenali pula sangat-sangat di negara asalnya, Hong Kong. Touch of Zen dikira, mungkin, selaku filem terpenting pernah lahir dari Hong Kong. Maka selepas fasa itu, Pierre fikir jika ada filem hebat tetapi tidak dikenali atau pun diketahui seperti Touch of Zen di Hong Kong, ada kemungkinan wujud atau terjadinya hal yang sama di negara lain.

Tahun tujuh puluh tujuh, selepas berada di Australia, Pierre memutuskan untuk berkeliling Asia melihat filem-filem yang belum ada siapa mengetahui kewujudannya. Ternyata lumayan kerana waktu itu di Filifina, Pierre Rissient ketemu Lino Brocka dan karyanya, Insiang. Selayaknya selaku karya hebat, Insiang berjaya ke Cannes pada tahun tujuh puluh lapan. Jalannya tidak berakhir di situ kerana sejak itulah Pierre luaskan jejak langkahnya ke negara lain, di mana selepas itu lahir sinema baharu China dengan sutradara-sutradara seperti Chen Kaige, Zhang Yimou dan beberapa lagi sutradara yang muncul di awal tahun lapan puluhan.

Tidak pun lama selepas itu, Pierre menyedari kewujudan sinema Indonesia, namun tidak menemukan peristiwa penting bagi sinema di republik itu. Padanya, buat masa ini sutradara paling penting di Indonesia masih Garin Nugroho. Selain Indonesia, Pierre turut menemukan karya U-Wei bertajuk Kaki Bakar yang turut berjaya ke Cannes, jua karya Eric Khoo bertajuk Twelve Storeys dari Singapura. Bagi Pierre, tahun dua ribu dua yang lalu, beliau banyak terlibat dengan sinema Korea kerana pada tahun tersebut, baginya sinema Korea adalah paling kreatif.

Dari perbualan kemudian, suka ditanya tentang ciri-ciri istimewa antara sinema Asia berbanding Barat, apakah yang dilihatnya? Sebenarnya Pierre sukar dijangka kerana dia tidak melihatnya atau tidak berfikir dengan cara itu. Bagi Pierre, paling penting padanya adakah filem itu sendiri baik, atau pun tidak? Jelasnya, filem tidak diadili berdasarkan perbezaaan budaya. Diulanginya kemudian, ia sama ada filem itu baik atau pun tidak.

Bagaimana pula dengan sinema Malaysia, yakni berbanding dengan perkembangan sinema di negara lain, Pierre letakkan sinema Malaysia di tahun berapakah? Menjawab persoalan ini Pierre jujur menyatakan kurang maklumnya dia dengan sinema Malaysia. Ya, dia tahu adanya P. Ramlee, tetapi tidak berasa kagum dengannya. Bagi Pierre, sebagai pelakon memang P. Ramlee menarik, tetapi tidak sebagai sutradara. Pierre ada melihat beberapa filem karya Hussein Haniff dan daripada dua atau pun lebih dari karya Hussein Haniff ada beberapa momen yang sangat menarik perhatian visualnya. Pierre merasakan kesan visual Hussein Haniff magnetik, tetapi hanya dalam beberapa segmen. Pierre turut diberitahu tentang M. Amin. “Kata orang filemnya bagus, tetapi aku belum berpeluang melihat karyanya,” ulasnya. Pierre ada mendengar tentang sebuah filem tempatan di tahun tujuh puluhan, yang kalau tidak salah bertajuk Gerhana, tetapi belum berpeluang melihatnya. Pierre ada melihat dua filem karya Jamil Sulong dan pada fikirnya, sutradara Jamil Sulong berdaya saing.

Lalu apa yang dapat disimpulkan tentang sinema Malaysia ialah Pierre kurang maklum dan arif tentang sinema Melayu dahulu, mungkin kerana tidak wujud salinan atau pun tidak mendapat akses kepada filem-filem tersebut. Pierre menambah dia mengetahui banyak tentang sinema Jepun, Korea dan China kerana filem-filem lamanya tersimpan baik. Apabila Pierre datang ke Malaysia pada tahun tujuh puluh tujuh, dia bertemu seorang lelaki yang mungkin berdarah kacukan Melayu-British di Finas. Dia cuba mendapatkan salinan filem-filem Melayu, tetapi bahan-bahan itu tidak ada waktu itu. Dia ingat ada seorang yang telah menemukannya dengan Jamil Sulong, tetapi salinan filem-filem Jamil Sulong juga tidak ada waktu itu.

Jadi bila Pierre datang lagi kemudiannya dalam tahun sembilan puluh satu, dia bertemu seorang lelaki bernama Zarul. Pierre ditunjukkan beberapa filem yang gagal menarik minatnya. Zarul menyebut, “oh, mungkin ada seorang sutradara yang, mungkin, anda akan berminat dengan karyanya.” Zarul menunjukkan padanya dua buah filem digital karya U-Wei. Pierre fikir itu dua filem pertama yang U-Wei bikin selepas pulang dari Amerika. Pierre katakan, “U-Wei seorang sutradara berbakat, dia memahami apa itu filem.” Dua tahun kemudian, Pierre ke Singapura. Waktu makan malam dengan Philip James, orang kuat festival filem Singapura itu pun berkata kepadanya sungguh-sungguh, “Pierre Rissient, ada sebuah filem Malaysia yang sedang laris di pasaran, sebuah filem dipanggil ‘Jalang’, karya seorang lelaki bernama U-Wei.” Pierre terkejut, “U-Wei? Aku ketemu U-Wei dua ke tiga tahun lalu. Dia langsung tidak memberitahuku tentang apa-apa filem.” Kemudian tegas Pierre, U-Wei seharusnya lebih banyak berhubung dengannya.

Kemudian, Pierre menonton filem U-Wei, filem yang disebut Jalang. Bagi Pierre ia bukanlah sebuah filem yang sepenuhnya bagus. Tetapi, U-Wei telah merakam beberapa momen yang sangat-sangat bagus. Fikirnya, jika momen-momen terbaik itu disunting dan diadun semula akan membuahkan hasil yang mengkagumkan. Selepas itu, U-Wei memberitahu Pierre tentang Kaki Bakar, filem yang U-Wei bikin untuk siaran TV. Ternyata Kaki Bakar sangat bagus. Pierre sungguh-sungguh mendesak U-Wei membuat salinan Kaki Bakar untuk ditayangkan di Cannes. Selain di Cannes, filem itu juga ditayangkan di Festival Filem New York dan mendapat ulasan yang baik dalam akhbar New York Times.

Pierre beritahu kepada orang Amerika bahawa sutradara Malaysia ini boleh bikin filem. Tetapi, sekali lagi U-Wei mengecewakannya, kata Pierre. Peluang ini seharusnya U-Wei gunakan untuk bikin sebuah filem yang benar-benar bagus. Tetapi, galakan yang diberi tidak dimanfaatkannya. Akibatnya, sinema Melayu masih belum dapat dikatakan benar-benar telah bermula. Pierre telah bertemu dengan sutradara dan pelakon di banyak negara, antara mereka ialah Christine Hakim. Pierre berhasil membawa dua filem dari Indonesia, salah satunya Tjoet Nya’ Dhien karya Eros Djarot di mana Christine Hakim berlakon dan merupakan salah seorang penerbit filemnya. Dan juga, Pierre telah membawa sebuah lagi filem Indonesia ke Cannes bertajuk Daun di Atas Bantal karya Garin Nugroho, juga lakonan Christine Hakim.

Pierre beritahu, “baharu-baharu ini, Christine Hakim menelefonku, memberitahu dia dan Slamet Raharjo sedang terlibat dengan sebuah filem di Malaysia dan menjemputku ke sini untuk melihat pembikinan filemnya.” Pierre mengharapkan ia menjadi sebuah filem yang menarik. “Aku sentiasa berharap setiap negara memiliki industri dan filem yang mencerminkan negara itu sendiri.” Bagi Pierre, mana-mana negara wajar mempunyai filem yang identiti tempatannya melampaui integriti artistik. Pierre juga fikir filmmaker perlu bertarung dengan Yankees. Yang dimaksudkannya dengan Yankees bukanlah Amerika tetapi Yankees ialah Bush, Rumsfeld dan apa jua yang seperti mereka. Lalu Pierre selanjutnya ditanya tentang pandangannya yang sedemikian, adakah tidak memberi kesan buruk dari segi komersial?

Ia bukan semata-mata komersial, kata Pierre. Yang lebih penting ialah realiti bahawa mereka ‘menekan’ produk negara lain. Baginya, tindakan itu bukan bermaksud hendak membalasnya dengan tekanan. Baginya yang dimahukan hanyalah adanya produk sendiri yang berjaya. Yankees tidak peduli tentang produk Melayu, misalnya. Mereka hanya mendahulukan filem mereka sendiri, sudah tentu ini ‘membunuh’ produk negara-negara lain. Sebab itu di Korea, mereka menentang MPEA, sebuah agensi Washington, yang bekerja mempromosi filem ke seluruh dunia. Korea negara Asia yang paling gigih menentang mereka. Pierre mengharap setiap negara membuat perkara yang sama, tetapi bukan hanya demi kepentingan komersial.

Pierre pun ditanya lagi tentang persamaan antara sinema Malaysia hari ini dengan sinema di negara-negara lain suatu waktu dahulu, apa dia melihat adanya sebarang persamaan? Baginya tidak mudah untuk menunjukkan persamaan. Kerana, seperti yang dikatakannya tadi, dia tidak berpeluang menonton lebih banyak karya-karya Malaysia. Mungkin Pierre akan cenderung mengatakan fenomena terhampir ialah filem Indonesia. Waktu itu, Christine Hakim dan Slamet Raharjo bekerja dengan sutradara Malaysia (Puteri Gunung Ledang). Pierre juga melihat sebahagian daripada filem terbaharu yang sedang U-Wei usahakan. Di sebalik ‘kegilaannya’, U-Wei sekali lagi membuktikan bakatnya selaku pencerita. Waktu itu, Pierre hanya menyaksikan bahagian pertama filem tersebut (Buai Laju-Laju) dan berharap seluruh filem itu nanti tidak mengecewakannya.

Pierre berharap sinema Malaysia, dan sinema di mana-mana negara sekalipun akan maju. Tetapi, secepat mungkin, Finas mesti diletakkan dalam tangan orang yang berkemampuan, orang yang tahu tentang sinema, dan orang yang mahukan sinema yang bagus. Di sepanjang perbualan ini, Pierre banyak menyentuh tentang karya-karya filem yang dikesani kekuatannya mengenengahkan keunggulan budaya tempatan, lalu terpilih ke festival filem yang sememangnya dianggap yang terbaik di dunia seperti Cannes. Satu persoalan penting kemudiannya ditanya tentang apakah ada subjek tertentu yang diberi keutamaan oleh festival filem, terutamanya di Cannes?

Sebaliknya, Pierre berpendapat bahawa dia tidak fikir begitu. Katanya, mereka yang memilih filem untuk ke festival tidak menilai karya berdasarkan subject-matter. Selagi subjek itu didekati dengan baik, diolah dengan cantik dan bergaya atau pun mendalam ia akan mendapat tempat. Filem itu boleh saja berbentuk aksi, misalnya Touch of Zen, atau pun melodrama sosial, misalnya Insiang, iaitu yang melampaui konsep melodrama itu sendiri sebenarnya. Bagaimanapun, baginya pembikin filem yang hendak bikin filem tidak sepatutnya berfikir tentang festival. Pembikin filem mesti berfikir cara untuk bikin filem terbaik. Bagi Pierre, adalah salah membikin filem untuk festival. Pierre memberi contoh dengan melihat kepada sinema di Taiwan dan China, di sana ada beberapa pembikin filem yang muda merasa dirinya pandai lalu bikin filem seperti Hou Hsiao Hsien, Zhang Yimou dan Chen Kaige.

Banyak pembikin filem yang bermula sejak sepuluh tahun kebelakangan ini membikin filem seperti ketiga-tiga sutradara tersebut. Bagi Pierre, pembikin filem China yang muda, yang terbaik, membikin filemnya yang lain, yang tidak seperti sesiapa, yang mencerminkan identiti dirinya sendiri sahaja. Tidak semestinya dengan meniru stail atau gaya dan bentuk filem pembikin filem terkenal anda akan berpeluang ke festival. Pierre fikir, sekali lagi, isunya di sini bukan bikin filem untuk ke festival, sebaliknya menggunakan festival untuk bikin filem terbaik. Maka, Pierre pun ditanya lagi tentang apa yang perlu untuk menarik perhatian dunia filem antarabangsa? Jawabnya, sukar bagi negara-negara dunia ketiga seperti Afrika, Amerika Utara dan negara-negara bekas Kesatuan Soviet mendapat perhatian pengedar jika filem anda tidak disebut di dalam festival, kata Pierre dan tegasnya lagi, hampir mustahil.

Malangnya, hanya itu saja caranya untuk filem anda mendapat pasaran lebih luas, kecuali dalam beberapa keadaan, secara tidak sengaja seseorang menonton filem anda dan tertarik dengannya. Situasi seperti itu, sememangnya sesuatu yang malang. “Aku memang berharap ada jalan lain membawa filem ke mata dunia selain festival,” doanya. Menurut Pierre bagi Malaysia, untuk mendapat perhatian antarabangsa masih perlu melalui festival. Ada satu perkara yang mustahak, hanya ada sedikit filem yang berjaya di peringkat antarabangsa. Filem masih perlu bergantung pada pasaran negara asalnya. Jadi, jika anda bikin filem Melayu anda harus cuba bersikap jujur terhadap asal usul anda sendiri, bikin filem yang boleh diterima oleh khalayak di negara anda dan kemungkinan berjaya, sekurang-kurangnya di negara jiran/tetangga.

Modal kecil, apa perlu buat? Sebenarnya belanjawan yang diperuntukkan untuk pembikin filem di Malaysia agak baik, pada fikiran Pierre. Bukan itu soalnya, soalan yang lebih tepat adalah bikin filem apa dan cara mana wang itu digunakan? Masalahnya jika wang itu tidak digunakan untuk meningkatkan kualiti filem, sebaliknya digunakan untuk kepentingan peribadi individu tertentu. Kerana baginya belanjawan yang diperuntukkan bagi sesebuah filem di Malaysia tidak terlalu rendah jika dibandingkan dengan negara-negara jiran. Demikian juga dari segi bilangan. Perbandingan yang dibuat Pierre pada sepuluh tahun lalu menunjukkan Malaysia mengeluarkan dua puluh filem setahun berbanding Singapura, bahkan Indonesia pun hanya mengeluarkan sepuluh filem setahun, sedangkan negaranya lebih besar.

“Benar, setakat yang aku faham, filem-filem yang dibuat di sini (Malaysia) terlalu bermatlamat komersial,” akui Pierre tapi selanjutnya bicara, “sinema di tahun tiga puluhan dan empat puluhan di Amerika juga bermatlamat keuntungan, tetapi tugas bikin filem diberikan kepada pembikin filem seperti John Ford dan Howard Hawks.” Menambahkan kata-katanya yang mencerahkan lagi persoalan ini, Pierre menyebut, “filem-filem mereka (Ford dan Hawks) popular di kalangan khalayak dan dalam masa yang sama merupakan filem yang bagus.”

Sepetang bersama Pierre Rissient di Carcosa, aku mengakhiri perbualan kami dengan persoalan yang menyentuh perasaannya tentang sinema di Asia Tenggara, apa ada dia menonton karya-karya yang bagus dihasilkan? Pierre menyebut dalam jawapannya dengan mengatakan bahawa di Singapura, festival filemnya sangat bagus. Jika bercakap tentang Korea Selatan, dan ketika dia ke sana kurang lebih sepuluh tahun lalu, negara itu paling menarik.

Nampaknya Pierre terus mengambil contoh yang lebih besar iaitu dengan merujuk kepada sinema Asia secara keseluruhan. Katanya, sutradara lama seperti Im Kwon Taek, yang bikin filem klasik sekitar enam puluhan, masih mengarah filem, dan filem-filemnya masih sangat bagus. Dan ada sutradara baharu dan sangat berbakat seperti Wang Tsai Hsiang dan Lee Chang Dong (yang pada waktu itu dilantik menjadi menteri kebudayaan negaranya).

Pierre juga tertarik dengan filem Sri Lanka. Salah satu filem negara itu yang sedang diperjuangkannya waktu itu ialah sebuah filem yang dibikin oleh sutradara berusia lapan puluh empat tahun. Sutradara itu yang memulakan sinema di Sri Lanka, semasa umurnya telah menjangkau lebih kurang lima puluh enam tahun. Sehingga waktu itu pun sutradara tersebut masih bikin filem yang mengkagumkan. Waktu itu, Pierre merasakan beberapa bulan terakhir di masa tersebut, barangkali penonton dapat menyaksikan filem-filem yang amat mengkagumkan dari Asia Tenggara.

Setelah berlalu sepuluh tahun

Setelah berlalu sepuluh tahun, perasaan Pierre tentang Sinema di Asia Tenggara ternyata betul. Maknanya, kini dunia melihat sinema di Asia Tenggarlah yang paling mengkagumkan, termasuk lahirnya karya yang bertaraf dunia dari sini seperti Uncle Boonme Who Can Recall His Past Lives karya Apichatpong Weerasethakul yang dianugerahi Palme D’Or, anugerah tertinggi di Festival Filem Cannes tahun dua ribu sepuluh lalu. Dalam ulasan jurinya bagi kemenangan Uncle Boonme, Tim Burton menyifatkan kini sinema baharu keluar dari bentuk Hollywood dan Uncle Boonme Who Can Recall His Past Lives menjadi bukti yang paling ketara.


Abror Rivai, dilahirkan pada 10 Mei 1976 di Institut Harapan Taiping. Menurut hitungan fictional pada tarikh tersebut Travis Bickle menulis diari sunyinya dalam Taxi Driver – sebuah filem cult yang menerima Palme D’Or tahun 1976. Dia sangat terpengaruh untuk mencuba sesuatu yang baru seperti menghasilkan naratif yang berkaitan noir,new cinema dan artsy fartsy menerusi lakonlayar yang sedang digarap: Cinta, Islamique & Filem Digital. Dia juga adalah sutradara kepada filem Le Diable.