Aku lelaki, Aku menderita, Aku pernah merasainya.
Walt Whitman

Aku lahir pada 10 May 1976, hari yang sama Travis Bickle mula menulis diari berkenaan pemerhatiannya tentang kota New York yang psikosis. Diari itulah kemudiannya menjadi fokus penceritaaan dalam sebuah filem yang sangat terkenal dan menjadi cult, Taxi Driver, arahan Martin Scorsese dari lakonlayar Paul Schrader.

Dari buku Cinema of Lonelines karya Robert Kolker, Schrader meminjam bentuk narasi ini dari salah satu filem Robert Bresson, Diary of a Country Priest (1951). Schrader sangat menyanjungi Bresson, mahupun Martin Scorsese bukan sutradara yang condong Bressonion. Scorsese yang pernah mengajar di Universiti New York ketika Oliver Stone menjadi mahasiswanya lebih dipengaruhi dengan tasawwurnya yang mandiri terhadap sirah sinema, baginya sangat sarwajagat. Filem-filem seperti The Tomb of Legeia, Point Blank, Double Indemnity, The Big Heat, Contempt, Force of Evil, The Great Train Robbery, The Conformist dan In A Lonely Planet hanya sebahagian kecil dari banyak lagi filem yang pernah mempengaruhinya sejak zaman kanak kanak dan remajanya lagi.

Barangkali penukangan Taxi Driver sedikit menderita dari pemisahan di antara visi penulisan lakonlayarnya dan nawaitu asli sang pengarah. Namun yang penting masih absah untuk mengatakan kekuatan auteur theory bila mana sang sutradara atau pengarahnya sangat berjaya menciptakan sesuatu yang berbeza. Kekuatan filemnya telah mengatasi keunikan skrip itu sendiri. Bagi aku dan mungkin juga sesetengah orang mungkin menganggap Taxi Driver merupakan filem Martin Scorsese yang paling istimewa selain Mean Streets, Boxcar Bertha dan Who’s Knocking On My Door. Filem-filem yang disebutkan mudah saja menzahirkan sebenar-benar Scorsese yang semua orang mahukan. Gila dan berani dengan kesaratan pemikirannya yang terlontar bertali arus, bersulam kebijaksanaan dan keganasan yang panjang tak berkesudahan. Budak-budak baru yang gila hendak jadi sutradara masih mahu menjadikannya contoh dan taklid mengikutinya.

Scorsese tergolong di dalam angkatan ombak kedua yang memecahkan gaya klasikal Hollywood setelah Arthur Penn dan Stanley Kubrick berdiri sebagai generasi pertama filem komersial, wayang kontemporari Amerika (avant garde kecil), yakni satu avant garde yang bikin filem teaterikal untuk pasaran massa. Penn dan Kubrick memulakan karier perfileman dalam tahun lima puluhan, hanya sebelum ombak baru Perancis muncul. Kemudian bersama Steven Speilberg, Brian De Palma, Francis Ford Coppola dan Paul Schrader, Scorsese di antara angkatan kedua yang mencipta nama setelah ombak baru Perancis meninggalkan batu tanda yang menjadi aras baru perfileman moden dunia usai sejarah dan teori klasik filem dunia pecah.

Dari kata hati Travis Bickle dalam catatan diarinya (ternyata cara penceritaan di dalam Taxi Driver sangat berbeza dengan gaya penceritaan di dalam Goodfellas) kita arif bahawa Taxi Driver bukanlah tentang Travis Bickle, tapi adalah tentang apa yang dilihatnya–dia memantau-mantau kegelapan malam dengan pandangannya yang tajam dan marah. Lalu apa yang Travis lihat sangat menyakitkan matanya, bahawa malam itu adalah sebuah dendam yang sesat, ibarat neraka yang panjang sebelum tibanya armageddon.

Ya, Travis melihat dunia ini bagaikan neraka kerana semuanya bermula dari keseksaan hidupnya yang menderita setelah sakitnya tidak mudah menemukan penawar yang paling mujarobat. Seperti Charlie dalam Mean Streets, Travis juga menderita sakit yang sama, pengidap insomnia yang berat. Travis lebih bahaya kerana dia juga psikosisme atau mungkin juga skizofrenia. Aku merasa bahawa apa yang Travis nukilkan di dalam diarinya itu bukanlah satu kenyataan sebaliknya adalah bayangan atau mainan delusional yang melampau. Barangkali dia adalah mantan prajurit yang terlibat dalam angkatan marin sewaktu gelodakan perang di Vietnam berserakan, atau barangkali juga tidak.

Barangkali semua itu cuma alasan untuk dia mencari kehidupan barunya di waktu malam setelah dia gagal untuk menguruskan kehidupannya yang sebenar kerana kesunyian dan kejatidirian yang goyah. Travis sendiri memberi istilah kepada keadaan ini dengan ciptaan justifikasi yang tersusun dan tidak tersusun. Ya, dari segi lain Taxi Driver adalah tentang bagaimana kita harus mengurusi kehidupan ini dari sekadar menyusuri jalanan yang bersifat rutin dan membosankan lebih lebih lagi kerana lompong dan ketirisan cinta.

Dia muncul bagaikan bidadari,
Takda seorang pun jantan yang dapat menyentuhnya.

~Travis Bickle

Tiada siapa yang dapat menafikan kewujudan cinta. Benar itukah yang dimaksudkan Travis ketika dia mula mula melihat kehadiran Betsy, dengan pakaiannya yang serba putih, yang tiba tiba lintas di hadapan matanya? Adakah Betsy itu benar atau cuma kiasan atau ianya imaginasinya saja? Semuanya tidak memerlukan jawapan kerana kiasan atau imaginasi ini sangat penting untuk membina motivasinya menjadi hero yang sebenar kerana keiltizaman yakni kemahuan yang terdalam untuk menempelak ketidakadilan dan hipokrasi politikal tuntas.

Baginya itulah jalan yang hakiki yang harus dirintis untuk melunaskan dendamnya terhadap satu satunya oknum yang membunuh cinta. Ia apa yang kita sebut sebagai p-e-l-a-c-u-r-a-n. Baginya pelacuran adalah penyakit paling bahaya bagi sebuah daerah yang malang seperti di New York.

Jika diperhatikan Scorsese menggambarkan kota ini berbeza dengan cara yang digambarkan oleh Woody Allen di dalam filemnya. Scorsese lebih suka memilih sisi lain dari New York yang sebenar. Kota ini pada pandangan Scorsese adalah kotor dan berpenyakit. Ia tidak memiliki idealisme dan keindahan sebagai sebuah kota pujangga yang menjadi pusat perhatian dunia sebagaimana Paris dan London mungkin.

Ia tidak jadi begitu kerana di dalamnya hanyalah terkandung lubuk permusuhan dengan bayang bayang tebal perkauman. Ia seperti kata lelaki yang menyuruhnya memandang ke jendela sewaktu meminta taksinya berhenti di kaki apartemen lusuh, kau pernah tengok apa yang Magnum 44 boleh lakukan pada kemaluan sang wanita? Itu kau kena tengok apa yang Magnum 44 boleh lakukan pada kemaluannya sang wanita!

Pada satu waktu, ketika Travis diberitahu tentang kewujudan wayang porno (yang dia sendiri tahu dan telah pun mencubanya), malangnya itu tidak dapat membantu mengurangkan penyakitnya (kerana menderita insomnia) malah kerana aktiviti sebegitulah yang menjadikan dirinya bertambah kusut, apabila ideanya untuk membawa Betsy menonton filem panduan hubungan rumahtangga pantas disalahmengertikan. Jadi Travis perlu juga lekas mencari jalan keluar dari semua penderitaan ini. Kerjanya membawa taksi di waktu malam pada bila bila masa, dan ke mana pun jua itu cumalah alasan.

Travis mahu bertindak lebih jauh dari segala batasan yang ada. Kepalanya dirusuh dengan banyaknya idea-idea jahat sehingga dia perlu mendapatkan nasihat Wizard (rakan pemandu taksinya yang hikmah seakan akan filasuf) tentang apa yang sepatutnya dia lakukan. Apakah dia harus membunuh Charles Palantine, lelaki bertopeng yang giat berusaha agar tercalon dalam persaingan dan perebutan untuk menjadi calon bagi pilihanraya presiden, bersama slogan yang terlalu klise, we are the people (yang belum jelas apakah rakyat atau siapakah rakyat).

I’m Gods Lonely Man…
~Travis Bickle

Jean Paul Sartre pernah mengatakan Breathless merupakan sebuah filem eksistensial teragung. Manakala Taxi Driver pula menceritakan tentang apa yang dilihat oleh seorang Travis yang Sartrean. Scorsese menukangi Taxi Driver dengan penceritaan atau percakapan (suara latar) di mana Travis membaca dari catatan dalam diarinya, tentang pemerhatian atau pandangan psikosis terhadap kejadian kejadian yang berlaku dalam hidupnya. Catatan diarinya penuh dengan dendam dan marah, jalanan adalah gambaran kepada segala kekotoran yang ada di muka bumi ini.

Pada apa yang dia percaya bahawa segalanya harus diadakan penyelesaian dengan seberapa segera. Dengan segala idea dan cara yang diberi dan diajarkan kepadanya dalam masa yang entah bila-bila dan tiba-tiba. Mungkin pada masa yang sangat terdera, pada wujudnya yang paling banal dalam percakapannya sebagai seorang aku (Travis Bickle). Tentu ia berbeza dengan satu lagi filem Scorsese yang kemudian, Goodfellas. Percakapan di dalam Goodfellas tidak psikosis, ia sama ada percakapan yang lebih lunak—mengomentari kehidupan atau barangkali sebagai sebuah kenangan atau penjustifikasian, yang merefleksi akan kesewenang-wenangan dan betapa hantunya kehidupan gangster yang karut berbalam-balam.

Akhirnya tujuan aku menulis semula ulasan tentang Taxi Driver justeru kerana merayakan ulang tahun ke empat puluh tahun filem ini di layar perak. Sama dengan usiaku yang menyongsong ke empat puluh satu tahun pada 10 haribulan Mei pada tahun ini. Hidup bermula pada usia empat puluh kata orang. Jadi wajarlah kehebatan Taxi Driver juga dinyawai semula dalam jendela seorang pencinta dan pembikin filem baru seperti aku setelah Martin Scorsese sendiri mengatakan beberapa bulan lalu bahawa sinema sudah mati (kerana revolusi digital).

Kerisauannya kepada peradaban sinema baru itu aku sangat mengerti. Aku masih berkarya dalam pengertian yang sama tentang definisi sinema yang tidak ada definisi meskipun terpaksa menggunakan media yang kecil seperti digital kerana keterdesakan atau apakah ia survival? Bukanlah mudah atau easy seperti nama lain yang diucapkan Iris pada Travis ketika mereka bertemu kerana Travis mahu mengeluarkan Iris dari neraka pelacurannya.

Hampir samalah aku fikir analogi ini dengan siatuasi perfileman dunia hari ini. Travis Bickle adalah sinema asli yakni akar umbi medium filem yang paling hakiki, seluloid. Manakala digital ini hanyalah ibarat Iris, budak bawah umur yang terbuang menjadi pelacur. Cuma kita boleh berfikir bahawa pada setiap zaman pasti akan adanya Travis yang akan mengeluarkan Iris dari dunia kekejaman yang gelap dan mengembalikannya ke maqam yang paling murni untuk kembali bersekolah dan semula menjadi manusia yang sebenar. Harapan ini adalah suratku kepada Scorsese.

Abror Rivai, dilahirkan pada 10 Mei 1976 di Institut Harapan Taiping. Menurut hitungan fictional pada tarikh tersebut Travis Bickle menulis diari sunyinya dalam Taxi Driver – sebuah filem cult yang menerima Palme D’Or tahun 1976. Pernah menemuramah Pierre Rissient – lelaki Perancis yang terawal menonton filem-filem agung dari Asia dan merupakan wakil Festival Filem Cannes bagi Asia Pasifik – pada tahun 2004 di Carcosa Seri Negara. Lagi satu, dia sangat terpengaruh untuk mencuba sesuatu yang baru seperti menghasilkan naratif yang berkaitan noir,new cinema dan artsy fartsy menerusi lakonlayar yang sedang digarap: Cinta, Islamique & Filem Digital. Dia juga adalah sutradara kepada filem Le Diable.