Penutupan The Malaysia Insider dua tahun lalu adalah sebuah tragedi.

Lebih pilu apabila portal berita itu juga menawarkan berita di luar jalur pemerintah. Tidak kiralah sama ada yang pro pemerintah atau tidak, memang bukan senang untuk mendirikan sebuah badan media. Beza antara kedua itu, yakni antara yang pro pemerintah dengan yang tidak ialah, selalunya yang pro pemerintah tetap akan diselamatkan. Wang tetap mencurah, meski tidak dibaca orang.

Begitulah kita lihat, bagaimana surat khabar seperti Malay Mail akhirnya dibeli oleh seorang peniaga yang tidak menjadikan media sebagai perniagaan utamanya. Tauke syarikat berkenaan ada dikaitkan dengan Perdana Menteri Najib Razak.

Pasti tak ramai sedar, “Malay Mail” kalau diterjemah maksudnya ‘Utusan Melayu’. Maknanya, selepas Utusan Melayu yang sebenar yang bertulisan jawi bungkus akibat rugi, ‘Utusan Melayu’ dalam bahasa Inggeris juga hampir-hampir putus nyawa sebelum dibeli oleh tauke tersebut.

Beberapa tahun lalu, The Malaysia Insider dan Malaysiakini adalah dua media atas talian yang paling bebas, lantang dan digeruni pemerintah. Tak perlu disangkal bahawa dua media itu telah menyumbang secara aktif dalam membentuk arus demokrasi di negara ini termasuk ketika dua kali pilihan raya umum (PRU) lalu yang diperkira sangat dramatik.
Hari ini hanya tinggal Malaysiakini sendirian. Ibarat Coca-Cola tanpa Pepsi; iPhone tanpa Samsung. Kembalilah dia seperti awalnya dahulu—seperti mula-mula portal itu diasaskan hampir 18 tahun lalu.

Keterbatasan kewangan dapat dirasakan masih menghambat media berkenaan. Keadaan ditambah sial dengan tekanan kepada media yang ‘liar’ dan tidak pro kepada pemerintah juga tiada noktahnya. Serbuan terus dibuat. Perkakasan seperti komputer asyik kena rampas. Taktik sama sejak belasan tahun lalu masih juga berlaku sehingga masyarakat seakan menjadi lali kerananya.

Saking berpengaruhnya Malaysiakini, istilah “kini” itu sendiri digunakan oleh banyak surat khabar atau portal lain. Tidak satu pun yang jadi sebesar dan setara “kini” oleh Malaysiakini. Sejak penubuhannya, media berkenaan cuba untuk memberikan sisi laporan lain daripada apa yang hanya menyenangkan hati-perut pemerintah. Senang cerita, apa yang mustahil dilaporkan oleh Utusan Malaysia atau Buletin Utama TV3, boleh diperolehi di Malaysiakini.

Saya menduga kekuatan Malaysiakini adalah tradisi untuk kekal menjadi bebas. Bilik berita di sana sudah terbiasa dengan idealisme bahawa wartawan akan hanya menjadi wartawan kalau dia mampu memberitakan apa yang dia lihat dan dengar. Bukan daripada apa yang penguasa minta dia lihat dan dengar.

Keadaan ini dapat kita kesan apabila di lapangan, wartawan Malaysiakini selalu kelihatan lebih agresif. Dia akan bertanyakan soalan demi soalan. Dia akan menjerit jika tidak mahu dilayan.

Di situlah titian runcing dan cabaran sebagai seorang wartawan. Agaknya belum pernah keadaan sesukar itu perlu ditempuh wartawan, dengan dimaki dan diherdik dalam tugasan. Saya tidak pasti, apakah cabaran sedemikian yang kadang-kala terlepas dan boleh ditonton di dalam video yang mereka sendiri muat turun, turut berlaku kepada media lain sebelum ini? Saya tak tahu.

Sedangkan, wartawan juga manusia. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana ada wartawan yang menunggang kapcai di tengah-tengah panas buta hanya semata-mata hendak mendapatkan berita. Semata-mata mahu melaporkan sesuatu yang baginya adalah benar dan perlu dilaporkan. Semangat sedemikian, memang pernah saya lihat di kalangan wartawan Malaysiakini yang saya sendiri kenal. Kapcainya kemudian habis minyak.

Kekentalan begitu menyebabkan tidak mudah juga mana-mana menteri mahu memancing mereka untuk dijadikan sebagai setiausaha akhbar atau pegawai media. Sesiapa yang ‘terbeli’, di saat dia masuk mendaftar diri sebagai pegawai kepada menteri, dia sebenarnya sudah memadam “by line”-nya sendiri. Dia telah membunuh namanya sendiri di dalam sejarah yang pada mulanya konon dia mahu ikut sama. Wartawan sejati tak ada pilihan; sama ada berita atau mati.

Pun begitu, persoalan media bukan cuma persoalan idealisme. Media juga adalah persoalan komersialisme. Media perlu hidup dengan kekuatan kewangan kerana manusia di dalamnya juga adalah manusia yang ada lapar dan haus, ada anak-isteri dan mencari masa depan seperti insan lain.

Dalam perniagaan media, tempoh lima tahun dikatakan tempoh paling singkat untuk membuat keuntungan. Risikonya pula dihadapi setiap bulan di mana dalam sekelip mata sahaja semua keuntungan itu boleh lenyap dan pekerja hilang pekerjaan. Selepas 18 tahun, kita wajar memberikan tunduk hormat kepada Malaysiakini yang telah mengubah persepsi banyak pihak tentang apa itu kebebasan media yang pada suatu masa dahulu sangat ditakuti laksana hantu.

Saya bukan orang terbaik yang boleh menceritakan sejarah Malaysiakini. Jauh sekali dapat gerembong mengenai apa yang terjadi di dalam bilik sidang pengarang. Saya tidak pernah bekerja di sana. Saya tak tahu. Apa yang saya tuliskan ini hanya daripada apa yang saya dengar-dengar sejak sebelum Malaysiakini itu didirikan lagi.

Dan hari bertukar, tahun berganti. Media mempunyai cabaran lebih getir apabila maklumat mikro hari ini menjadi rujukan utama masyarakat. Berita menjadi lebih ringkas dan disalurkan melalui applikasi lebih kecil seperti Twitter dan Facebook. Pembaca kadang tidak sabar untuk menunggu berita yang terpaksa melalui proses penulisan dan suntingan sebelum boleh dimuat naik.

Saya menduga, keajaiban Malaysiakini apabila media itu tidak bermula dengan modal yang besar. Tidak bermula dengan hutang atau pembiayaan bank mahupun daripada syarikat besar. Di Malaysia, perangkap utama yang harus dielak oleh media ialah dibiayai secara besar. Pihak yang membiayai selalunya punya kepentingan.

Di sinilah kekuatan Utusan Melayu satu ketika dahulu, sebelum diambil alih oleh Umno. Selepas Umno membeli saham Utusan, Utusan tidak menjadi Utusan yang memperjuangkan kemerdekaan tanah air.

Media yang bermula dengan gempar dan modal besar akan dengan mudah tunduk kepada ‘panggilan telefon’ daripada Putrajaya. Kita sedar, wartawan di sana juga mahukan kebebasan, tapi kebebasan tidak akan wujud tanpa perjuangan. Tanpa menafikan bahawa wartawan di media besar juga adalah manusia yang ada lapar dan hausnya, anak dan isterinya serta mencari masa depan, namun mereka nampaknya perlu lebih memerah fikiran untuk menerbitkan program yang dengan tanda kutip sebagai “kreatif”.

Maka lahirlah halaman dan program yang entah berapa banyaknya tentang masak-masak, jalan-jalan cari makan, atau lari-larian untuk kesihatan badan. Kalau ditinjau segmen seumpama itu di media mana pun di Barat, ianya wujud hanya selepas adanya kebebasan media. Tanpa kebebasan media, banyak mana pun cerita makanan, sejauh mana pun berjalan atau sesihat mana pun badan, masih tidak dipedulikan masyarakat.

Pun begitu, kita sama-sama tetap faham bahawa tak semua punya kekuatan sama. Tidak semua orang kuat untuk berada di titian getir perjuangan kewartawanan. Menyedari hakikat inilah maka saya sekali lagi memberikan tunduk hormat dan salut kepada media yang bebas seperti Malaysiakini yang tak tunduk barang sejengkal pun dengan ‘panggilan telefon’ pemerintah. Semangat ini belum terlihat lagi kepada mana-mana media lain.

Sekiranya saya jadi calon PRU, menang dan jadi menteri, saya juga sedar bahawa Malaysiakini akan kritis terhadap saya. Tapi itu bukan alasan mengapa saya harus memusuhi media yang mahu bebas dan menjalankan tugasnya. Seperti seorang menteri, Malaysiakini juga mempunyai tanggungjawab kepada bangsa dan negara.

Hari ini saya hanya ingin menuliskan sesuatu yang jauh sebelum sambutan hari lahir Malaysiakini, November nanti—satu-satunya mata media yang tersisa di hujung gelanggang demokrasi.