“Janganlah mainkan lagu saya selama sekurang-kurangnya 30 hari atau sebaik-baiknya 44 hari selepas saya meninggalkan dunia ini, bukan apa, kita yang hidup di atas bumi tidak tahu apa yang berlaku kepada orang yang meninggal dunia, jadi berikan sedikit ruang kepada mereka. Itulah yang saya harapkan.”

Oleh kerana itu adalah satu permintaan, harapan atau wasiat, kita harus menghormati kehendak Allahyarham.

Setelah berakhir tempoh empat puluh empat hari Allahyarham Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al Mahros atau lebih popular dengan nama SM Salim meninggal dunia, maka kini saya lebih merasa selesa menulis tentangnya.

Tulisan ini tidak mampu untuk menunjukkan kehebatan beliau secara menyeluruh, kerana kehebatan SM Salim hanya dapat dinikmati dengan mendengar atau menonton rakaman persembahan nyanyian beliau, bukan menerusi tulisan saya ini. Apatah lagi, saya tidak pernah mengenali beliau secara dekat seperti rakan-rakan seniman lain.

Tulisan ini hanya untuk mencuba, membawa pembaca atau peminat SM Salim memahami sisi-sisi lain tentang bagaimana Allahyarham menjadi hebat dalam genrenya. Dengan maksud lain, bagaimana kita menghargai dirinya dari sudut yang kuat.

Beliau adalah antara penyanyi yang mahir dalam irama Melayu Asli di samping Samsudin Lamin, Ahmad Jais, L. Ramli, Kamariah Noor, Rafeah Buang, Syarifah Aini, Rosiah Chik, Jatt, Andre Goh, Yusni Hamid dan beberapa tokoh lagi. Saya anggap beliau ‘Grand Master’ di kalangan generasi kumpulannya.

Nyanyian beliau masih terus digemari, Seri Siantan, Bunga Tanjung, Joget Kasih Bermula, Mohon Kasih dan Selamat Tinggal Bungaku dan banyak lagi.

Beberapa orang penghayat muzik yang tegar menganggap kelebihan beliau dalam nyanyian aslinya adalah kerana beliau mempunyai kebolehan dalam menyanyi dengan langgam bacaan/nyanyian Al-Quran.

Memang terdapat beberapa laras melodi yang dinyanyikannya seperti dalam lagu, Pantun Budi (rentak Zapin), ‘menyedut’ laras nyanyian bertaranum yang nyata. Not-not nada yang ‘digentel’ bersama rentak zapin menjadikan ton suara yang sangat berbeza dengan nyanyian artis lain, ini menjadikan nyanyiannya sangat berbeza.

Seperti kita semua tahu, syair juga mempunyai unsur lagu bacaan Quran–taranum. Jika kita amati gaya gubahan lagu-lagu nyanyian SM Salim, banyak gubahan lagunya dibentuk dengan gaya syair seperti lagu Cik Siti Lela Sayang, Dulu Lain Sekarang Lain yang berentak joget, juga pada beberapa lagu lain.

Saya tertanya-tanya mengapa gubahan lagu-lagu nyanyian SM Salim digubah sedemikian rupa, bagi saya ini mungkin kerana penggubah muzik yakin dengan kekuatan nyanyian beliau, iaitu ton dan gaya vokal SM Salim. Gubahan itu dibentuk mengikut suara dan gaya nyanyian beliau.

Elemen inilah yang agak kering dan kurang pada penyanyi-penyanyi muda kita, gubahan lagu untuk penyanyi hari ini, kebanyakannya (mungkin rasa saya ini salah) mengikut selera pasaran atau trend semasa, bukan digubah berdasarkan kekuatan nyanyian penyanyi.

Kerana itu juga, hari ini kita semakin kurang dapat menikmati lagu baru yang malar segar, malah amat kurang penyanyi yang boleh bertahan dan hidup dengan kekuatan vokal atau gaya nyanyian, sungguh pun program mencari bintang nyanyian cukup banyak daripada dulu. Telinga sukar menipu kita.

Gaya nyanyian SM Salim juga terdapat pada penyanyi seperti Syarifah Aini dan M.Nasir. Tetapi keduanya lebih cenderung kepada genre muzik pop, bukan asli. Syarifah Aini gemar bermain dengan taranum dalam melodinya, M.Nasir pula gemar bermain dengan sika atau taqsim, ala-ala improvisasi lagu-lagu Timur Tengah yang mempengaruhi muzik tempatan seperti ghazal dan zapin.

Gaya nyanyian lagu asli SM Salim mempunyai unsur-unsur taranum, dari beberapa jenis itu yang lebih menonjol dalam gaya vokalnya adalah sika dan bayyati. Unsur-unsur inilah yang menjadikan nyanyian lagu asli SM Salim lebih unik berbanding gaya nyanyian penyanyi asli yang lain. Kekuatan inilah (mungkin) menjadikan nyanyiannya terus bertahan hingga kini.

Ia juga menjadi ikutan penyanyi muda seperti Siti Nurhaliza, Noraniza Idris, termasuk Haziq AF dan Mawi yang suatu ketika dulu menjadi hangat dengan elemen tradisional, Islam dan Nusantara.

Gaya ini, lama-kelamaan menjadi semacam satu fusion baru kepada irama klasik ini, ramuan gaya SM Salim ini juga meliputi gaya nyanyian lagu-lagu Melayu Deli klasik. Faktor ini juga menjadikan nyanyiannya berupaya mengekalkan keaslian lagu asli. Bagi saya, ini faktor penting yang menjadikan beliau seorang legenda.

Kehebatan beliau juga telah memberi nafas dan kekuatan baru pada lagu-lagu asli apabila bintang-bintang pop turut berduet dengan SM Salim seperti Zainal Abidin (Satu, Putih Tetap Putih), Sheila Majid (Entah Jadi Entah Tidak), M.Nasir (Seloka Cak Kun Cak), Siti Nurhaliza (Pandang-pandang Jeling-jeling), Ramli Sarip (Lagu Zaman< /em>) di samping pasangan duetnya yang paling serasi, Yusni Hamid.

Perkara kedua adalah kualiti beliau sebagai penghibur. Kita mengetahui bahawa beliau pada mulanya adalah juruhebah radio di RTM. Konsert terakhir beliau di Dewan Filharmonik Petronas menggambarkan bagaimana seorang penghibur – menghibur.

Juruhebah radio memerlukan kecekapan berinteraksi dengan pendengar menerusi gaya yang bersahaja atau spontan, tidak rigid mengikut skrip. Pengalaman sebagai juruhebah radio menjadikan beliau sempurna sebagai seorang penghibur.

Jika tidak keterlaluan saya katakan, antara celoteh beliau di atas pentas – baik sebelum atau selepas nyanyian – dengan nyanyiannya, seakan satu bentuk persembahan yang sama menyatu. Bukan terpisah menjadi interlude yang sekadar untuk mengisi masa rehat penyanyi.

Elemen ini tidak mungkin dapat diajar di sekolah seni, sebaliknya perkara ini dibentuk oleh pengalaman dan kesedaran penyanyi itu sendiri. Ini adalah gabungan sensitiviti dan kreativiti penghibur, bukan skrip, bukan arahan penerbit atau pengarah konsert.

Kali terakhir saya menonton SM Salim secara langsung ketika di Shah Alam, dalam satu konsert bersama orkestra MBSA yang dipimpin oleh seniman S.Atan. Ketika itu beliau sudah berkerusi roda. Saya hanya sempat menonton rehersal beliau dengan orkestra dari hujung panggung.

Saya juga pernah menonton rehersal artis seperti Jamal Abdillah dan beberapa ‘sound check’ band-band popular termasuk rehersal pelbagai lagi konsert dan teater muzikal. Tetapi tidak sama dengan rehersal SM Salim, saya rasa cukup puas, cukup menghiburkan, belum lagi konsert sebenar. Bagi saya ini ciri-ciri seorang lagenda dan penghibur.

Takziah buat keluarga allahyarham, kita doakan SM Salim tenang di sana, nyanyian beliau seakan menjadikan sunyi itu sepi, indah itu meriah, lagu itu merdu. Saya sekadar memuji peninggalan bakat dan karyanya. Al-Fatehah.

Mazir Ibrahim, peminat muzik yang bergiat aktif dalam aktivisme seni-budaya dan politik.