Pada satu hari di bulan Muharam, Pandir yang masih muda terserempak dengan seorang penyair separuh umur. Penyair itu sedang berjalan dengan gaya istimewa dan sedikit aneh. Pandir melihatnya di seberang lorong itu dengan hairan. Kerana penyair itu nampak tegang dan bermuka sedih walaupun dia tampan bergaya. Pandir terus berlari mendapatkan si penyair. Dia merasa teruja dan banyak pertanyaan.

“Selamat sejahtera, wahai penyair yang baik hati dan penuh bergaya.”

“Selamat-selamat, terima kasih dan… Apa yang boleh saya bantu wahai orang muda?”

“Wahai penyair bijaksana. Maaf saya bertanya. Kenapa engkau bersedih sedang engkau cantik dan tampan bergaya?”

“Aku tidak bersedih, sebenarnya aku menanggung sakit.”

“Oh, apa sakitmu wahai penyair yang baik hati? Pelik juga aku melihat hal ini”

“Aku sakit perut, wahai orang muda. Kenapa kau merasa pelik pula?”

“Tahukah kau wahai penyair yang bijaksana. Dulu ada seorang penyair di kampung ini. Kerjanya setiap hari bergurindam. Sampai satu ketika dia jatuh sakit. Yang ganjilnya, dia tidak pernah bersedih. Bahkan asyik ketawa dan tersenyum gembira atas sakitnya itu. Kata orang dia pernah mengajar di masjid dan pasar Anatolia. Aku fikir, semua penyair semacam penyair itu. Bila sakit akan tersenyum saja. Nampaknya andaian aku selama ini sudah salah.”

“Penyair yang kau maksudkan itu memang betul-betul penyair atau seorang warak? Mungkin kau silap dengar. Hanya orang warak saja yang mahu tersenyum bila sakit. Penyair memang sepertiku, bila sakit mengerang, bila gembira ketawa, bila bernikah beranak-pinak”

“Aku tidak pasti wahai penyair yang baik hati. Aku kira dia itu memang terkenal sebagai penyair. Kerana syair-syairnya wajib dibaca dalam majlis haul dan maulid di negeri ini. Bahkan wahai penyair yang baik hati. Syairnya juga digantung di rumah-rumah pelacur di bandar kira-kira dua puluh batu dari sini.”

“Baiklah wahai orang muda, aku rasa berminat sekali dengan ceritamu ini. Boleh engkau membacakan syair-syairnya kepadaku?”

“Oh tidak boleh wahai penyair yang baik hati, orang sepertiku tidak layak membaca syair-syairnya. Kata orang syairnya ada sumpahan. Boleh mati kalau orang sebarangan sepertiku membacanya.”

“Ah, merepek. Takkanlah sehingga mati membaca syair penyair?”

“Jangan begitu penyair yang baik hati. Aku ini hanya mengikut kata orang tuaku. Memang pernah aku mahu membaca sajak dan gurindamnya di hadapan wanita yang aku hendak jadikan kekasih, namun tak semena-mena aku terkena sawan. Bahkan gadis itu marah-marah bila tahu aku hendak membaca syair penyair masyhur itu. Kalau kau hendak, baiklah kau pergi ke rumah pelacuran di bandar. Di sana memang tergantung puisi-puisinya.”

“Engkau jangan sebarangan orang muda. Aku tidak pernah lagi mendengar cerita perihal penyair itu. kalau benar dia itu seperti kau ceritakan. Pastilah aku mengetahuinya.”

“Wahai penyair baik hati. Janganlah begitu kau memarahiku. Aku hanya menukilkan apa yang aku dengar daripada orang sini.”

“Orang muda, kau dengar baik-baik. Aku sudah menulis banyak karangan dan syairan. Bahkan kawan-kawan penyairku juga banyak. Tetapi tak pernah aku mendengar apa yang kau ceritakan.”

“Wahai penyair bijaksana, aku kira engkau ini mesti orangnya hebat dan dahsyat sekali peri perkataanmu. Baiklah, kalau begitu engkau sahaja yang membaca karanganmu kepadaku. Mungkin bisa aku menikmatinya, seperti aku menikmati syair-syair penyair yang aku ceritakan kepada kau.”

“Aku tak mahu melayan orang seperti kau wahai orang muda. Yang hanya omong kosong. Kata-kata kau sedikit pun aku tak percaya!”

“Janganlah begitu wahai penyair yang baik hati. Aku sangat menghormati tuan, dan aku jujur bercerita. Beginilah, biarlah aku yang hina bertanya kepadamu tuan. Kau kira wahai penyair. Apakah aku bisa menjadi penyair sepertimu? Beruntung sekiranya aku bisa menulis karangan-karangan hebat seperti kau wahai penyair bijaksana.”

“Orang muda, hendak jadi seperti aku banyak kerjanya. Kau harus menulis kurang-kurang lapan ribu bait syair. Kemudian kau harus berbicara halus-halus. Dan kau menulis dan terus menulis.”

“Dahsyat sekali kehidupan penyair itu. Agak aku, kerana kehidupan seperti itulah kau jatuh sakit sehingga herot-herot mukamu menanggungnya. Dahsyat sekali.”

“Ya, dahsyat sekali orang muda. Kerana itu, aku tegang dan terlihat sedih. Benarkah kau berazam mahu jadi penyair?”

“Nampaknya begitulah wahai penyair yang handal. Melihat tuan begini dan mendengar perkataan tuan membuat aku tertanya-tanya sampai manakah tersesatnya penyair yang aku ceritakan kepada kau. Penyair itu pastilah bukan orangnya untuk dibuat guru. Kalau orang hebat seperti kau ini pun nampak pelik dan asing benar dengan ulah dan peri sifatnya penyair semacam itu. Kepelikan aku juga bertambah mendengar engkau yang handal juga tak mengenalinya.”

“Ya, begitulah lebih kurang maksudku. Janganlah engkau tersesat mencari pedoman.”

“Benar, begitu benar apa yang kau kata wahai sang guru.”

“Janganlah biasakan memanggil diriku guru. Cukuplah sekadar tuan sahaja…mmmm.”

“Mmmmmm……Orang muda, aku mahu bertanya soalan kepada kau, penyair yang kau katakan tadi itu masih hidup atau sudah mati?”

“Aku kurang pasti wahai tuan guru. Ada yang kata dia sudah mati lima ratus tahun dulu, ada yang kata dia masih hidup dalam pertapaan. Apa yang benar syairnya terus dibaca khalayak kampung ini tanpa memikirkan apa sesat apa benar muluknya dia.”

“Oh.”

“Guru, terima kasih atas pedoman. Jika benar engkau mahu tahu perihal terperinci tentangnya. Nanti setelah asar di masjid, akan aku bawa rakanku Si Kaduk menceritakan kepada kau semuanya.”

Penyair itu terdiam, dan mengerdipkan mata. Sambil mukanya terus tegang dan bersedih menanggung sakit melihat kelibat Pandir muda berlalu sambil meniru cara dan gayanya berjalan. Tertunduk-tunduk dan bermata garang.

Zahid M. Naser, baru-baru ini telah menerbitkan kumpulan puisi pertama beliau bertajuk Berehat di Sisi Paus.