Saya sebetulnya tak tahu bagaimana untuk memulakan tulisan ini. Untuk tidak menulis langsung tentang sosok ini pula bukanlah satu pilihan yang adil. Kerana, orang-orang sepertinya, yang secara tak langsung turut menggerakkan beberapa hal di bawah sedar saya sendiri (dan paling utama, orang yang baik-baik) tak wajar untuk dilupakan setelah dia wafat.

Sebab itulah, di bahagian bawah tulisan ini selitkan sejenis elegi dengan nada berlainan, ditujukan terus kepada Amri — saya menganggapnya sebagai perbualan kami yang tak pernah mengambil tempat. Tetapi, itu juga rasanya sangat kekok. Kerana kisah-kisah yang ada di dalam ingatan saya hanyalah cebisan kecil dari banyak lagi kisah-kisah yang lebih penting dari ahli keluarga dan juga teman-temannya yang lain. Melalui tulisan ini, saya tak bermaksud untuk menyudutkan dia sekadar di satu bucu, tentunya.

Di awal tempoh ketika Amri disahkan menghidap kanser pankreas tahap empat — kalau tak silap mengingat, sekitar Ogos 2016, saya langsung tidak mahu dan mengelak untuk berjumpa dengannya. Bukan di atas sebab lain; saya tidak mampu untuk berdepan dengannya dalam keadaan itu.

Jika khabar itu datang mendadak dan sangat mengejutkan baginya, saya juga meraksakan perkara yang sama dan tak mudah untuk dibuat biasa-biasa. Saya sampai ke tahap tak dapat membayangkan ingin memberi reaksi yang bagaimana sekiranya berjumpa. Saya harap dia faham tentang hal ini, seperti juga banyak lagi hal-hal lain yang pernah kami bincangkan.

Lama selepas itu, saya tetap tak punya kekuatan untuk berjumpa dan bertentang mata dengannya. Memang ada sedikit rasa bersalah, tetapi hal itu bukanlah perkara yang sengaja dibuat-buat, dan bukan juga atas maksud untuk menyisihkan. Saya memang tak sanggup untuk melakukan itu — melihat seorang yang saya kenal dari dekat untuk beberapa tahun kebelakangan ini, dalam keadaan yang mendesak dan luluh emosi begitu bukanlah sesuatu yang mudah.

Sehinggalah November 2016, selepas dia menjalani beberapa sesi kemotrapi. Ketika itu Amri tinggal sementara di rumah sepupunya di Taman Melewar, Gombak. Sangat berat dan perih rasa waktu tiba di perkarangan rumah berkenaan, dengan saya sendiri tak tahu apa yang ingin dijangkakan.

Pertama kali menyelak daun pintu bilik di tingkat atas dan melihat dia terbaring, dengan fizikal yang sangat kurus berbanding kali terakhir saya bersua, serta baju dan seluar yang seperti tiga kali ganda besar dari saiz tubuhnya, saya hampir tak dapat menahan sebak. Mujur ada Nik Adam dan isteri, maka dapatlah saya membuat lawak-lawak bodoh dan merapu tentang hal yang entah apa-apa antara kami, guna untuk melarikan perhatian saya sendiri daripada terus tertumpu kepada perasaan yang berat begitu.

Hilai tawa memecah suasana kekok pagi itu. “Kau tunggu kejap, aku nak recharge.” Itu antara kata-kata awal Amri, sebelum menarik pelipat lutut ke dada beberapa kali, dan cuba bangun dari keadaan baring untuk duduk bertinggung di atas katil yang sama. Ubat-ubat terletak, tapi tak tersusun rapi di penjuru bilik.

Saya bawa sebuah kamera kotak Rolleiflex, dan dia minta untuk membelek dengan penuh minat. Saya tanyakan; “Aku nak ambil gambar kau, boleh?” Dia dengan tenang dan tersenyum menjawab; “Ambillah.” Kebiasaannya, saya tak pernah minta kebenaran siapa-siapa untuk membidik kamera.

Kunjungan itu membuatkan saya sedar, Amri sangat perlukan kawan-kawan, selain ahli keluarga, untuk ada dan berbual-bual. Saya fikir dia sangat gembira ketika itu; kami diajak turun ke tingkat bawah, nak tukar angin katanya. Kami tak tahu bagaimana caranya untuk membantu meringankan keadaannya. Tetapi, ada satu cara yang sempat saya bayangkan, cuma tak tahu bagaimana seeloknya hendak disampaikan.

Oleh kerana saya sendiri tak pandai untuk berbasa-basi, kami ajukan juga kepada dia secara terus-terang — kami cadangkan untuk menolong jualkan beberapa kamera analog dalam simpanannya, untuk dicairkan dan dijadikan dana tambahan untuk kegunaan perubatannya. Amri memang sayangkan kamera-kamera yang ada, tetapi hujungnya dapat juga kami meyakinkan dia.

Selepas kembali semula ke rumah sewanya di Taman Tun Dr. Ismail — terima kaseh kepada teman-temannya dari Sekolah Alam Shah (SAS) yang bertungkus-lumus membersihkan ruang bawah rumah berkenaan sebelum itu lagi — saya beberapa kali bertandang. Kadang-kadang bersama beberapa teman yang lain, ada waktu hanya bersendirian dengannya, selain jururawat yang datang untuk menguruskan Amri yang ketika itu sudah agak terbatas pergerakannya dan perlu berkerusi roda. Pada kebanyakan waktu kami rancak berbual, sebelum membiarkan dia berehat bila sudah penat. Beberapa kali juga saya yang terlelap di sofa selesai menyiapkan kerja-kerja yang sepatutnya. Untuk sekadar berada di situ dan menemaninya, tanpa perlu berbuat apa-apa, sudah begitu besar kelegaan dia yang dapat dirasakan.

***

© Hafiz Hamzah

Bagi kebanyakan orang, Amri Rohayat dikenali sebagai pendiri Frinjan; asalnya mengusahakan penerbitan-penerbitan mandiri dan kemudiannya menggerakkan acara Pekan Frinjan di Shah Alam. Itu sekitar tahun 2007/2008, jika saya tak salah mengingat. Saya juga memula mengenali Amri menerusi jalan ini, mungkin sedikit awal dari itu.

Dia awal dari itu giat terlibat dalam penerbitan buku-buku yang diterbitkan sendiri, kebanyakannya antologi fiksyen. Antara yang menarik untuk disebutkan ialah Wilayah Kutu (Neohikayat Press, 2005), Elarti 1 & 2 (Stormkitchen, 2008), Kayangan dari siri tiga booklet bersama Sufian Abas (Pasca Manusia) dan Bernice Chauly (Lost In KL) di bawah nama penerbitan Oxygen pada 2008 dan juga Republik Kutu (Federasi Fiksyen, 2011).

Untuk penulisan kreatif, dia kerap menggunakan nama pena Ruhayat X. Dia terlibat secara langsung di belakang semua label penerbitan yang dinyatakan ini. Berkaitan dunia penerbitan mandiri; dalam sesi sembang-sembang kami di meja makan, biasanya di Maulana atau Jasema, saya fikir dia memahami banyak perkara yang saya ngomelkan dari semasa ke semasa.

Misalnya, tentang kualiti visual reka kulit dan tahap tulisan yang diterbitkan beberapa waktu kebelakangan ini, yang menurut saya, sebahagian besarnya tidak pun mencerminkan usaha untuk melanjutkan perkembangan yang lebih positif, atau melakukan yang lebih baik dan tampil lebih mantap berbanding dengan kerja-kerja yang sudah pernah dihasilkan sebelum itu.

Saya sangat yakin dia memahami buah bicara yang saya sampaikan. Kerana, dia juga merupakan individu yang terlibat sekali di dalam dinamika ini, paling tidak ketika dia dan teman-teman yang seangkatan dengannya ketika itu yang aktif menulis atau membuat kerja-kerja produksi untuk menerbitkan bahan cetak.

Dari sudut kualiti dan pendekatan reka letak buku pula — dalam konteks kontemporari dan pop tentunya — kita tentu belum lupa, atau pernah bertembung dengan kerja-kerja reka kulit dan susun huruf teks yang dibuat oleh Those Amazing Malay Boys, yang sebahagian kerja-kerjanya dapat dilihat menghiasi luaran buku-buku yang diterbitkan antaranya oleh Silverfish satu masa dulu. Amri adalah orangnya yang berada di sebalik samaran itu.

Atas sebab inilah saya fikir Amri benar-benar faham dengan maksud yang cuba saya sampaikan. Bagaimana selepas 10 tahun berlalu, pereka letak huruf, atau pereka kulit buku kini kebanyakannya melakukan kerja yang lebih buruk dan kemudian sampai ingin berbangga dengan hasil yang begitu, terutama sekali dari lingkungan penerbitan mandiri, yang cuba-cuba mengambil jalan yang sama seperti yang pernah dirintisnya dulu.

Sebahagiannya tentulah terpalit juga kepada teman-teman dan kenalan yang giat dan aktif sekarang ini. Sikap kritisnya yang seperti ini antara perkara yang cukup saya senangi dan hargai, kerana orang biasanya akan ambil hati dan bermasam muka selepas itu. Maka mereka akan tinggal bermuka-muka sampai ke sudah.

Kerap juga kami saling mengkritik sesama sendiri, tentang idea-idea yang dirasakan wajar untuk digerakkan, tentang kurangnya pelaksanaan dan gesaan dari dalam diri sendiri serta gerak kerjanya yang kerap beralih-alih tumpuan dan tak sempat dikerjakan sampai jadi, kemudian ditinggalkan. Idea-idea awal atau cakap-cakapnya itu ada di antaranya digunakan oleh kawan-kawan hari ini, bahkan bercambah menjadi benda-benda lain, tak kurang juga yang makin lama makin melingkup.

Idea berkaitan Federasi Fiksyen misalnya. Ia bukan sekadar sebuah label. Ia dibayangkan oleh Amri untuk menjadi semacam payung naungan bagi label-label penerbitan kecil untuk bergerak secara kolektif dan menolak sistem nilai yang dipaksakan dan diterima pakai oleh industri buku sejak lama dulu. Bunyi macam biasa dengar?

Untuk mengkritik, saya selalu jelaskan kepadanya, bukanlah dengan maksud mencemuh atau memperlekeh. Tetapi kerana kita ambil berat dan prihatin tentang hal-hal yang berlaku itu. Tapi, kalau sudah berkali-kali dikritik masih juga buat bangang dengan benda-benda yang sama, maka itu wajarlah diperlekeh dan dijadikan bahan jenaka. Kami akan sama-sama ketawa selepas itu; diiringi agaknya oleh sepinggan maggi goreng Sedap dengan telur mata.

Dia pula tak hanya menulis cereka untuk diterbitkan dalam bentuk buku. Di dalam satu lagi kehidupannya, atau di dalam satu lagi peran yang juga cukup dekat dengannya — yang turut menjadi antara sumber pendapatan utama — ialah kerja-kerja yang melibatkan produksi video. Selaku penulis skrip untuk sekian banyak siri tv, filem, telefilem (atau filem Youtube), dokumentari serta kerja-kerja komersial untuk pihak swasta. Sudah tentu, teman-temannya dalam lingkungan ini lebih berhak untuk bercakap panjang lebar tentang sisi berkenaan. Saya akan biarkan setakat ini sahaja.

***

© Hafiz Hamzah

Tetapi, hal yang membuatkan saya lebih dekat dengannya bukan penulisan atau penerbitan, tetapi fotografi, atau mungkin juga keghairahannya terhadap kamera. Awal 2010, beberapa waktu sebelum saya ke Miami atas urusan kerja, saya merasa gesaan untuk mendapatkan sebuah kamera digital dengan sensor full-frame. Saya sendiri tak ingat mengapa; kerana perasaan ingin tahu barangkali, atau sudah bosan dengan kamera yang digunakan waktu itu.

Amri tawarkan sebuah Canon 5D Mk1, dengan lens 50 mm murah, kalau saya berminat. Kami berjumpa di PJ State, berbincang tentang harga dan kira jadi. Oleh kerana saya tak punya banyak wang, dia cadangkan untuk saya bayar secara ansuran sahaja. Itu kamera pertama yang bertukar tangan antara kami, yang kemudiannya berterusan banyak kali lagi sehinggalah beberapa waktu terakhir sebelum dia melelapkan mata buat selamanya tempoh hari.

Kamera yang sama sempat bertukar tangan antara saya dan Amri paling tidak sebanyak empat kali, dan kini harapnya selamat dalam jagaan Nik Adam. Dalam lingkungan yang kecil, kami bersetuju untuk mewujudkan satu kesefahaman longgar; semua kamera yang diniagakan sesama sendiri bukanlah bertujuan untuk buat duit, tetapi untuk memberi peluang kepada kawan-kawan yang berminat untuk merasa menggunakannya, jika mereka mahu.

Beberapa kali juga ada kamera yang terlepas ke tangan orang lain dan ke pasaran terbuka, yang kemudiannya dijual semula oleh mereka dengan harga yang jauh lebih tinggi daripada angka asal yang kami jual. Itu agak menjengkelkan lingkungan kecil kami, tentunya.

Dalam tempoh dia dirundung sakit itu pun Amri kerap menghantar pesan di telefon, antaranya tentang hasratnya untuk membeli sebuah lensa manual daripada saya. Ketika ini, perasaan yang kebas terasa singgah lagi dibenak. Saya seperti dapat mengagak apa yang sedang dirasakannya dalam keadaan itu; dia sedang menghidupkan ingatan-ingatan lama ketika dia sihat bersama teman-teman. Ingin meneruskan kebiasaan atau rutin perbualan serta aktiviti yang sama seperti dulu. Cuma bezanya, keadaan fizikal Amri tidak lagi mengizinkan.

Suatu siang, saya datang membawakan lensa yang diminta, dengan perasaan sayu yang dalam menuju ke rumahnya. Saya tunjukkan kepada dia, mencari kunci yang disorokkan untuk membuka pintu bilik kecil bawah tangga tempat dia menyimpan kamera-kamera dan keluarkan sebuah Nikon EM untuk dipadankan dengan lens 50mm f1.8 pancake itu, seperti yang diinginkannya. Sebelum itu saya menunjukkan kepadanya gambar-gambar dirinya yang sempat saya rakam, yang sudah siap dicuci dan diimbas, disimpan dalam telefon.

Amri berseloroh; “Kiranya aku jadi subjek fotografi kau lah ya…” Diikuti dengan gelak yang sederhana dari dia. Untuk saya sendiri, suasana sebegitu sangat pedih untuk dihadap. Jadi, sewaktu menyerahkan kamera yang dia minta itu selepas dipasangkan lensanya, saya ajukan; “Elok kau letak kamera ni dekat meja. Siapa-siapa datang atau bila-bila tergerak hati, kau ambil lah gambar pulak, dari sudut pandang kau.”

Dia agaknya seronok dengan hal-hal begitu, tetapi kita sama-sama tahu satu perkara — kudratnya bukan lagi seperti dahulu. Dan, menyedari hal-hal sebegini memang sangat memedihkan, apa lagi jika ditatap di depan mata. Lebih gila gejolaknya sudah tentu bagi batang tubuh yang menanggung sendiri.

Di ruang tamu rumah yang sama juga kami kerap duduk santai, membelek-belek koleksi buku fotografinya yang agak mengkagumkan, dan bersembang kosong tentang perkara selingkar imejan. Antaranya membayangkan untuk menerbitkan kerja-kerja yang ada, walaupun dalam sekala yang kecil kerana jika sekadar untuk consume, ia tidak lagi memberikan kepuasan. “Kita perlu produce,” kata-kata yang kerap terpacul entah dari mulut siapa yang paling banyak.

Agaknya, disebabkan berulang kali bercakap tentang hal yang sama, dia tiba di satu titik; mungkin sekitar dua tahun yang lalu, untuk akhirnya memulakan kerja-kerja penerbitan satu siri fotografi yang sudah pun siap salinan contohnya, yang dibikin oleh Rumah Amok. Satu daripada judul yang ada itu adalah kerja-kerja fotografinya sendiri, tentang sekolah pondok di Perak.

Tetapi, entah kenapa, projek penerbitan itu tidak pernah betul-betul siap untuk dipersembahkan kepada khalayak yang mungkin berminat. Tentang hal ini juga kerap saya membebel kepadanya; “Apa yang kau tunggu lagi? Semua dah ada ni…” Saya tak tahu apa sebenarnya yang sedang dipertimbangkannya ketika itu. Sampai ke sudah saya betul-betul tak tahu apa yang bermain dalam kepalanya bersabit perkara ini.

Bila difikirkan balik, mungkin Amri sengaja mencuri masa untuk menilai semula hasil yang diperoleh, atau bentuk akhir penerbitan itu belum sampai ke tahap yang dia bayangkan, atau mungkin juga dia sudah penat memikirkan hal-hal fotografi dan tak lagi ingin meneruskannya. Jika ada kesempatan dan izin, mungkin teman-teman yang ada boleh selesaikan apa yang sudah pun dimulakan dengan agak baik itu.

***

Pengakhiran, kata orang, adalah sebuah permulaan yang baru. Saya tak pasti boleh meyakini hal itu atau sebaliknya. Mungkin saja sebagai sebuah permulaan untuk mengingati lagi hal-hal yang absurd tentang kehidupan. Untuk mengenangkan bagaimana kita sebenarnya terlalu rapuh di hadapan kehidupan. Tetapi, itu sama sekali tidak pernah bermaksud untuk dinyatakan dalam nada yang pesimistik.

Untuk berada dekat seseorang dalam keadaan sihatnya, kemudian dikejutkan dengan sakit yang mendadak, dari berisi hingga kurus melengking yang teramat, dari sakit perut biasa kepada diabetis sebelum akhirnya mendapat perkhabaran tentang kanser pankreas tahap empat — semua ini berlaku dalam jendela waktu yang agak singkat — bukanlah satu pengalaman yang boleh disimpan tanpa rasa ralat.

Saya lebih selesa mengingati Amri sebagai seorang yang sentiasa sarat dengan semangat, idea dan fikiran tajam serta dengan iltizam untuk sentiasa menghasilkan yang lebih baik, dalam apa pun perkara yang dikerjakan. Di bawah sedar, saya sendiri barangkali banyak sekali berhutang budi terhadapnya, dan menceduk sedikit sebanyak pengalaman dan buah bicara yang mencambahkan idea-idea lain secara tak langsung sepanjang perkenalan ini.

Suatu petang, ketika melawatnya di rumah bersama Aida, saya terasa tak sedap badan seperti baru dihinggap demam selesema. Selepas berbual agak panjang dengannya, tak semena-mena saya nyatakan kepada dia tentang rasa nak demam dan selesema itu.

Sekejap itu juga Amri mendapat tenaga untuk “melenting”, meminta jururawat yang menjaganya untuk ambilkan serkup penutup hidung dan mulut untuk dirinya, dan satu lagi untuk saya. Saya hanya mampu tergelak dengan telatah spontan begitu.

Itulah halnya ketika bersama dengan Amri; saya tak pernah merasakan bahawa keadaan kesihatannya yang makin merosot ketika itu sebagai satu hal yang menjadi jurang yang mampu mengubah cara kami berinteraksi sejak awal dulu — dengan gurau kasar, dengan cakap lepas dan sikap terus-terang.

Sama seperti ketika menulis catatan ini, saya merasakan seperti dia masih ada; sekejap lagi akan keluar rumah menuju ke Taman Tun Dr. Ismail dan mengajaknya lepak di Maulana.

Hafiz Hamzah, penulis, penyair dan penerbit di Obscura Malaysia.

~

Hari-hari terakhir kebelakangan ini rasanya berlalu dengan agak aneh. Bau angin, air hujan, bunyi guruh, bayang-bayang ingatan dari belakang kepala dan mimpi-mimpi semuanya terasa sarat dan sayu, ketika mereka sekali-sekala datang menyergap ke dalam tubuh. Akal masih belum dapat memproses sepenuhnya, bahawa kau sudah tidak lagi bersama kami.


Hanya ada satu detik Isnin lalu untuk aku akhirnya mula menyedari dan menerima bahawa kau telah pergi. Ketika melihat tubuhmu yang tidak lagi bernyawa di atas katil di wad tingkat 11, Pusat Perubatan Universiti Malaya, aku masih tak apa-apa.


Kerana kau masih lagi dapat dilihat dan ada di situ. Ketika aku mencuri-curi lihat wajah kaku dari balik tirai sewaktu misi-misi datang ingin mempersiapkan jasadmu untuk dibawa pergi, aku terus turun ke bawah; tak sanggup walau sekadar untuk berada di situ — tetapi aku masih lagi utuh.


Beberapa hari sebelum itu, ketika baru dimasukkan di wad yang sama, kau tak lagi punya upaya untuk membuka mata ketika aku berdiri di depanmu. Ketika aku memanggil namamu, cuma satu sahutan kecil di halkummu yang terdengar. Mujur kau dapat menggerakkan tangan ketika aku meminta diri untuk pergi sekejap, sebelum datang lagi nanti. Kunjungan selepas itu tidak lagi sama.


Aku masih berada dalam perjalanan ke sana ketika berita itu tiba melalui pesanan di telefon. Menurut Zhafir yang datang awal pagi itu dan sempat menemanimu sebentar sebelum kau menghembus nafas yang terakhir, kau sempat membuka mata, merenung dengan tajam dari matamu yang kekuningan tepat ke arahnya, sebelum setitis air mata jatuh di pinggirnya, sebelum sekejap itu terus meruap kering. Tak ada lagi kata-kata untuk menyatakan selebihnya.


Ketika dalam perjalanan ke Sungai Marong, Bentong bagi mengiringi jenazahmu sebelum dikebumi di sebelah petang, aku masih mampu tersenyum, berseloroh hanya untuk menyembunyikan kesedihan di depan kawan-kawan, di depanmu. Di sebalik zahir yang dinampak orang, aku sebenarnya bercelaru dan tak tahu apa yang patut difikirkan, apa yang sepatutnya dirasakan. Aku ingin mengingati suasana itu sebagai sebuah kebas perasaan.


Tetapi, sewaktu lama menatap tubuhmu yang maha kurus kerana dimakan barah itu di atas pelantar untuk dimandikan, kemudian untuk menatap wajah yang sangat dikenali itu di pembaringan menunggu siap dikafankan — dan kemuncaknya — ketika ahli keluargamu meminta untuk dibuka sekejap ikat kain pada pangkal kepala agar mereka boleh menatap dan menciummu lagi dan untuk yang terakhir kali, ketika itu jugalah semua keyakinan aku roboh, berkecai dan berselerak di lantai surau. Itu perjalanan terakhir kami bersamamu; menghantar tanpa ada kesempatan untuk menjemputmu lagi.