I.

Hari itu hari Selasa. Tidak ramai pelanggan sedang matahari tegak meninggi. Angin hangat bersepuh debu berpuput kasar menerjah kulit. Abas hanya duduk santai di atas kerusi plastik yang hampir patah kakinya. Matanya meliar ke sana ke mari. Sesekali dia membetulkan duduknya. Punggungnya terasa kebas kerana seharian duduk. Lebih mengecewakan tiada pelanggan hari itu. Kaki lima hotel bajet itu sesekali dilalui pekerja Indonesia yang mengangkat guni-guni besar berisi barangan ciplak. Dua orang makcik berumur 50an menolak troli berisi barangan murah yang dibeli di pusat borong terkenal berjarak 100 meter dari bangunan kedai hotel bajetnya. Ada juga dua tiga orang pemuda yang sekejap-sekejap mundar-mandir bersama kamera yang tergantung talinya di leher.

“Hoi Abas! Mau ka?” Terjengul muka Kuna betul-betul di depan matanya yang kuyu dan Abas terkejut lantas matanya terbuka luas. Kuna mengambil kerusi plastik dan duduk di sebelahnya. Sebotol arak murah Thai Song diunjuk pada Abas.

“Gila ke?” Kata Abas menolak unjukan Kuna.Kuna tersengih kemudian meneguk habis arak itu. Matanya kemerahan dan peluh mengalir di balik bulu-bulu dadanya, berbekas pada baju kemeja putihnya yang lusuh.

“Macam mana trafik ini hari?” tanya Kuna. Abas menegak badannya dan mengeluh.

“Tak ada orang lah.” kata Abas kecewa. Kuna meraup rambutnya yang tebal dan kusut ke belakang. Dia memandang Abas dengan matanya yang merah, barangkali kecewa kerana belum seorang pun pelanggan yang singgah. Ketika Abas mula-mula bekerja di hotel bajet itu dulu, Kuna pernah bercerita yang dia adalah bekas tentera. Kata Kuna, kerana masalah disiplin dia pernah dipenjara di penjara tentera (PTAT) selama tiga tahun. Kemudian setelah bebas dia memilih untuk bersara awal. Tidak diberitahu pula dia dipenjara atas kesalahan apa dan Abas yakin Kuna bukannya bersara, tetapi diberhentikan.

“Apa nak jadi dengan orang ni? Sekarang hujung bulan, gaji sudah masuk dan tak ada orang mau main?” ucap Kuna tidak puas hati. Abas mengangkat bahunya. Dia pun kurang pasti mengapa. Mungkin kerana faktor ekonomi. Mungkin, tapi servis yang mereka tawarkan tidaklah terlalu mahal. Kuna mencarut-carut melepaskan kemarahan. Abas tahu yang Kuna mempunyai seorang isteri yang bebel dan dua orang anak lelaki. Kuna selalu merungut tentang mereka. Tentang isterinya yang suka kompelin itu ini dan perangai anak-anaknya yang liar.

Bila mabuk Kuna suka marah-marah dan bercerita perihal keluarganya. Kuna bagaikan mahu melepaskan seluruh kemarahannya yang tersembunyi sebelum ini, kesumat yang bagaikan dipendam lama. Apa yang nyata penjara yang mengurungnya bukan menginsafkannya tetapi hanya membarakan semacam perasaan kecewa, dendam, sakit hati dan benci yang sebelum ini bersarang di balik jeriji besi penjara.

Setelah penat mencarut Kuna terlelap, kepalanya tersandar pada dinding dengan mulut terlopong serta dengkuran yang menyesakkan gegendang telinga Abas. Abas terus duduk dan sesekali berdiri menggeliatkan badannya. Sehinggalah jam 6.00 petang, dia fikir memang tidak akan ada orang yang singgah di hotel bajet itu. Dia menyimpan kerusi plastiknya ke tepi dan melangkah pulang, meninggalkan Kuna yang asyik dibuai mimpi.

Sebelum sampai ke biliknya Abas sempat singgah ke kedai nombor ramalan 4 digit. Kedai itu benar-benar mencerminkan komposisi kaum di Malaysia. Ianya sesak dengan pelbagai bangsa, saling bercakap sesama sendiri, memberikan tip-tip mengenai nombor mana yang akan keluar, nombor mana yang akan kena Jackpot. Yang tua, yang muda, lelaki dan perempuan semuanya ada. Dia membeli dua keping tiket nombor berharga RM10 tiap satu dengan harapan yang dia akan menang sekurang-kurangnya RM100. Itu sudahpun cukup.

Selesai membeli, dia menegur seorang pakcik yang beruban, pipi bergelimbir dan memakai kacamata tebal. Pak Kadim merupakan pelanggan tetap di kedai itu. Abas berborak seketika sekadar mengerat silaturrahim kemudian keluar. Dia tidak tahan berlama-lama dalam kedai itu. Baunya rencah dengan campuran bau peluh dan tengik yang barangkali bau hancing kencing anjing liar.

Abas melintasi sebuah bangunan parti Islam yang gah berdiri dengan logonya besar-besar tertayang pada kepala bangunan itu. Pada kaki bangunan bergelimpangan peminta sedekah dan gelandangan sedang meminta belas ehsan yang lalu lalang. Abas mengeluarkan RM1 dan meletakkannya dalam cawan plastik salah seorang gelandangan.

“Alhamdulillah.” kata gelandangan itu. Namun Abas tidak mendengar ucapan itu. Seperti yang lalu lalang, Abas melajukan langkah. Abas terus hilang di balik ribuan manusia, berhimpit-himpit, melangkah deras dikejar waktu. Semasa dia tiba di pintu biliknya dia ternampak seekor anak kucing berwarna putih bertompok hitam terbaring di depan pintu. Mungkin menyedari kedatangannya anak kucing itu terbangun, memandangnya dengan mata yang bersinar sebelum mengiau manja. Abas menguis dengan kakinya dan membuka pintu. Dia terus masuk dan tanpa menyalin baju terus menghempaskan badannya dia atas tilam nipis. Dari dalam biliknya anak kucing tadi masih mengiau kuat seperti gelandangan yang meminta ehsan. Abas terus terlelap.

Tepat jam 9.00 malam Abas terjaga. Dia membuka lampu dan mengemas ala kadar tilamnya. Tilam nipis itu pada mula dibeli tebal kini telahpun nipis. Baunya hapak dan bantalnya pula penuh dengan kesan air liur basi dan peluh. Dengan ukuran 10×12, bilik yang didiaminya itu memang kecil. Jiran di kiri dan kanannya ialah pekerja Nepal dan Bangladesh. Satu bilik dihuni tiga orang. Abas tidak dapat membayangkan jika dia perlu berkongsi biliknya dengan orang lain. Lebih-lebih lagi pekerja asing.

Abas bangun dan mengambil peralatan mandinya. Dia mengenakan kain tuala dan berlenggang ke bilik mandi yang terletak di luar. Bilik mandi sekali dengan tandas itu sangat sempit. Lantai simennya berlumut dan baunya memualkan. Namun dalam keadaan genting apa pilihan yang ada? Dan kalau waktu pagi semua penghuni tingkat tiga bangunan kedai itu perlu beratur menunggu giliran bagi melepas hajat. Abas menutup pintu, menanggalkan tualanya dan membuka pancuran air. Sambil mandi dengan asyik dia menyanyi dengan perlahan. Agak lama dia membazirkan air sehingga kecut jari-jemarinya barulah dia menutup pili air.

“Meoww!”

Abas terkejut tatkala dia menoleh ke atas birai tingkap kecil anak kucing tadi seperti menyeringai.

“Kau mengintip aku ya?”

“Meow!” Seringai kucing itu lagi. Abas memandang kucing itu dengan geram. Apa yang dia hendak? Apa yang dia marahkan?

“Oo… sebab aku mandi telanjang ye? Kau ni mesti kucing betina.” Abas mengambil tuala dan melakapkannnya di pinggang. Dia mencapai alatan mandi dan berlenggang ke biliknya. Bila pintu bilik dibuka, anak kucing tadi sudah terlentok di atas bantalnya, nyenyak tidur. Timbul pula rasa kasihannya pada anak kucing itu. Abas mendekat dan membelai-belai kucing itu. Kalau dia boleh kasihankan nasib manusia kenapa tidak juga binatang terbuang?

Telefon bimbitnya berbunyi. Satu mesej aplikasi WhatsApp dibukanya. Mesej itu daripada tauke tempatnya bekerja.

‘Lu gerak sekarang. Ada customer mau angkat barang 1g. Jumpa dia di restoran mamak SS15’

Abas tersenyum lebar. Nampaknya kehadiran anak kucing ini benar-benar membawa tuah. Dia segera menyarungkan baju kemeja putih, tali leher, seluar slek hitam, stoking dan kasut PVC hitam. Oh ya, semua pakaian ini dibelinya di pusat pakaian terpakai. Disemburkan sedikit minyak wangi ke bawah dagu dan dadanya. Dicapainya satu beg jimbit kulit dan sebelum keluar dia mengusap kepala anak kucing tadi. Dia perlu kelihatan segak. Dia tidak mahu menjadi seperti pengedar yang berpakaian selekeh, seluar jean dan berbeg sandang. Setidaknya, dengan berpakaian kemas dia dapat menjauhkan dirinya daripada disyaki orang. Semua itu adalah nasihat daripada taukenya. Dan memang taukenya sengaja memilih tempat terbuka untuk bertemu pelanggannya. Tidak akan ada orang yang mengesyaki modus operandi sebegitu. Dengan pekerjaan sampingannya bolehlah dia menambah pendapatan sedikit.

Pulang daripada menyelesaikan pekerjaannya dan menjengah ke bilik sewa Abas berasa senang hati melihat anak kucing melentok di atas tilam. Dia terus menghempaskan tubuhnya yang kepenatan ke atas tilam. Dia cuba menutup mata namun kepalanya terasa basah. Dia bangkit separuh dan meraba-raba kawasan yang basah itu. Dia cium. Hancing baunya. Sah ini kencing kucing. Dengan itu dia merengus kegeraman.

II.

Brenda mengajaknya makan nasi ayam di Bukit Bintang tetapi Abas tidak mahu.

“Buat apa pergi jauh-jauh? Baik ke Nasi Kandar Yaseen saja. Air-con pun ada.” Kata Abas.

“Ok. Ikut awaklah.”

Mereka berdua akhirnya duduk di bahagian luar restoran kerana mereka boleh merokok.

“Hari ni aku belanja kau.” Kata Brenda tersenyum.

“Kenapa kau ni, tiba-tiba je baik semacam?” Abas hairan. Dia merenung wajah Brenda yang mukanya diselaputi mekap tebal, calitan gincu merah garang. Blaus singkat warna hitam membaluti tubuhnya. Brenda adalah seorang daripada pelacur yang menggunakan bilik di hotel bajet. Secara tepatnya, Abas adalah ejen untuk Brenda. Dia wakil yang akan mencari tempat dan pelanggan untuk Brenda. Abas menggunakan pelbagai cara untuk mempromosi Brenda samada di Twitter, Wechat mahupun Facebook. Brenda tidak boleh melakukannya seorang diri atas sebab keselamatan jadi dia perlukan khidmat broker seperti Abas. Mereka sudah bekerjasama hampir tiga tahun dan Abas senang bekerja dengannya. Seorang yang profesional dan tidak banyak songeh.

“Kau dah lupa? Hari ni kan hari jadi kau.” Brenda tersengih menampakkan barisan giginya yang putih. Abas menepuk dahinya seperti baru mengingati sesuatu.

“Aiseh, aku sendiri pun terlupa. Thanks Brenda, ingatkan.”

Brenda angguk kepala. Roti sardin sampai dan Brenda memesan dua gelas cendol aiskrim pada pelayan.

Selesai makan roti sardin, sambil menyudu perlahan cendol yang lemak manis, Brenda mengeluarkan sesuatu daripada beg tangannya.

“Untuk kau.” Abas merenung kotak merah kecil yang tertulis perkataan Playsafe itu. Dia mengangkat kening hairan.

“Untuk apa?”

“Well…”

“Heh, aku mana ada siapa-siapa. Kau sendiri pun tahu kan.”

“Abas, aku tahu tu. Kau fikir selama ni aku ni apa? Kau tak nampak orang yang di depan mata kau ni?” kata Brenda.

Abas terkejut. Tidak sangka pula Brenda, perempuan Sabah yang berumur 32 tahun itu boleh menganggap tubuhnya sendiri sebagai hadiah. Apa, tidak cukup lagikah selama ini dia menjual diri dan kini dia mahu serah sebagai hadiah hari jadi pula?

“Bukan itu maksud aku Brenda. Aku selama ni anggap kau sebagai seorang kakak saja. Takkanlah aku sanggup nak…” Terus Brenda memotong “Aku tahu, kau geli sebab aku ni pelacur!”

Brenda terus keluar dari restoran itu, berlari menuju ke bilik hotel bajetnya. Abas mengeluh sendirian.

Di bilik sewanya Abas memaksa dirinya untuk tidur. Memang dia lena sambil anak kucing berada dalam dakapannya.

Brenda merajuk beberapa hari kemudian. Abas tidak mahu layan sangat perangai Brenda. Sampailah satu ketika Brenda bertukar murung dan mengugut untuk membunuh diri. Abas betul-betul risau. Akhirnya dia menggunakan kotak kondom yang diberikan Brenda. Malam itu dia bersama Brenda. Brenda meluahkan isi hatinya. Dia sudah lama jatuh cinta pada Abas, sejak kali pertama mereka bertemu lagi.

Di bilik sewanya dia berbaring. Tatkala dia sedang lena diulit mimpi tiba-tiba naluri bawah sedar mengejutkannya. Mulanya dia bermimpi sedang menaiki unta di padang pasir. Tiba-tiba padang pasir itu bah dengan banjir lumpur. Kakinya terasa basah. Dia tersedar dari mimpi dan menguit-nguit kakinya. Basah, lembap terasa. Dia buka lampu dan rupanya muntah kucing di kakinya. Dia menjerit marah. Dan si anak kucing sedang berdiri di atas belebas merenungnya kosong dari atas.

Abas sering mengunjungi Brenda selepas buat pertama kalinya itu. Sehingga dia sudah jemu dengan Brenda. Maka perlahan-lahan dia mencari perempuan lain. Yang lebih muda, yang lebih cantik, yang lebih ghairah dan yang lebih mudah diumpan. Dan biliknya serta anak kucing menjadi saksi pada setiap aksi dan setiap perempuan yang silih berganti datang.

Abas membuat pengiraan. Sudah 19 orang gadis yang pernah ke biliknya. Menjelang bulan Ramadhan dia mahu membuat hal sumbang itu buat kali penghabisan. Dia bertekad mahu berhenti sementara aktiviti ini semasa Ramadhan. Jadi perempuan yang ke 20 itu perempuan yang bertuah.

Dia membawa pulang Tasya pada waktu malam. Setelah berbasa-basi bercerita hal tidak penting, Abas menutup lampu dan mulai menarik tubuh Tasya ke atas tilam (tilamnya baru ditukar dan tebal). Sedang mereka becumbu, Tasya tiba-tiba menjerit.

“Kenapa?” tanya Abas. Lampu dibuka. Sejelopok tahi kucing bersempelek pada tilam, separuhnya mengenai tubuh Tasya.

Perempuan itu menjerit dan terus keluar bilik sewa dengan pantasnya.

Abas menggertap giginya. Dia mengejar kucing itu (setelah beberapa bulan ia sudah besar) dan merentap lehernya. Abas nekad, dia mahu bunuh kucing itu. Dia mencekik leher kucing itu kuat-kuat. Kucing itu menggeliat-geliut tubuhnya dan suaranya kesakitan.

“Mati kau!” Abas marah.

“Tolong, jangan bunuh aku!” Abas terkejut. Serta merta dia melepaskan kucing itu.

“Kau kah yang bercakap?” tanya Abas. Kucing itu mengangguk.

“Ah, aku tak peduli. Aku nak bunuh kau jugak!”

“Tolonglah jangan bunuh aku. Aku janji aku tak kacau kau lagi lepas ni.” Kata kucing itu merayu.

“Habis tu, apa aku patut buat? Kau nak aku percaya pada kau?”

“Buanglah aku ke Lorong Hitam.” Abas terkejut. Setahunya itu lorong terbiar. Itu lorong yang dikuasai kucing-kucing liar dan kucing kurap.

“Kau pasti nak ke situ?” tanya Abas. Kucing itu angguk kepala.

“Ok, esok kita ke sana.”

Besoknya dia mengendong kucing ke Lorong Hitam. Sampai saja, kucing itu terus berlari laju dan menerkam seekor kucing betina kurap yang birah. Barulah Abas perasan, kucing itu kucing jantan rupanya.

Abdullah Hussain, penulis dari Pahang. Novelnya, Menculik Sensasi diterbitkan oleh Lejen Press pada tahun 2016.