Parlimen Malaysia ke-13 mempunyai kira-kira setahun setengah lagi sebelum mandatnya tamat dan sekarang adalah masa yang sesuai untuk pemerhati politik Malaysia mula membuat spekulasi bilakah pilihan raya umum akan datang akan diadakan. Parlimen pada penggal ini akan terbubar secara automatik pada 24 Jun 2018 jika ianya tidak dibubarkan sebelum itu, dan pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran tersebut. Hal ini bagaimana pun adalah sangat tidak mungkin kerana kerajaan sentiasa membubarkan Parlimen lebih awal. Sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan, proses pembubaran selalunya bermula apabila Perdana Menteri mengadap Yang di-Pertuan Agong di mana baginda akan memberikan persetujuan untuk membubarkan Parlimen. Membenarkan berlakunya pembubaran secara automatik akan menamatkan proses simbolik ini yang penting untuk menegaskan peranan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Tulisan ini tidak akan membincangkan soal kerumitan politik seperti itu tetapi hanya ingin melihat beberapa peristiwa penting pada tahun 2017 dan kemungkinan-kemungkinan tempoh yang sesuai untuk diadakan pilihan raya umum ke-14.

Peristiwa politik pertama yang penting pada tahun 2017 adalah dengan bermulanya sesi Parlimen yang baru, kemungkinan besar pada bulan Mac. Persidangan dewan biasanya berlangsung selama tujuh hingga lapan minggu di mana sempadan kawasan pilihan raya baru yang diumumkan pada September lalu mungkin akan diluluskan oleh Parlimen dalam tempoh itu. Jika sempadan baru itu bertujuan untuk membantu parti pemerintah Barisan Nasional memenangi lebih banyak kerusi seperti mana yang dispekulasikan secara meluas, maka adalah sangat tidak mungkin bahawa Parlimen akan dibubarkan sebelum sempadan baru itu menerima kelulusan Parlimen. Setelah kelulusan Parlimen, terdapat satu tempoh yang singkat di akhir April atau awal Mei bagi kerajaan untuk mengadakan pilihan raya sebaik sahaja Dewan Rakyat ditangguhkan dan persidangan Dewan Negara bermula. Persempadanan semula itu bagaimana pun tidak memerlukan kelulusan Senat. Pembubaran serta-merta selepas kelulusan sempadan baru adalah sangat bergantung kepada keupayaan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk membuat persediaan pentadbiran dengan pantas bagi menjalankan pilihan raya berdasarkan sempadan baru.

Bulan puasa akan bermula pada akhir Mei, tidak lama selepas Parlimen ditangguhkan. Manakala hari Raya Aidilfitri akan jatuh pada akhir bulan Jun dan di Malaysia, sambutan selama sebulan itu akan berlangsung sehingga permulaan musim haji pada akhir Julai apabila penerbangan pertama ke Arab Saudi meninggalkan Malaysia. Ini adalah sangat tidak mungkin untuk kerajaan mengadakan pilihan raya umum dalam tempoh ini. Walau bagaimanapun hal ini bukanlah tidak pernah berlaku sebelum ini. Pada pilihan raya umum tahun 1995, pengundian diadakan hanya dua minggu sebelum jemaah mula berkumpul di dataran Arafah, salah satu ritual utama Haji, bermakna kebanyakan jemaah haji Malaysia terlepas peluang untuk mengundi. Keadaan politik semasa bagaimana pun akan membuatkan kerajaan mengelak daripada mengadakan pilihan raya semasa musim haji kerana sekurang-kurangnya 20,000 pengundi Islam berada di luar negara dalam tempoh itu.

Pada masa ini, tempoh yang paling banyak diperkatakan untuk mengadakan pilihanraya umum adalah selepas Sukan SEA Kuala Lumpur dan sambutan Kemerdekaan ke-60 pada 31 Ogos ini. Kejohanan Sukan Asia Tenggara akan bermula pada pertengahan Ogos dan berakhir sebelum sambutan kemerdekaan. Diandaikan bahawa parti pemerintah akan menggunakan sentimen positif yang terhasil daripada sambutan Kemerdekaan ke-60 dan Sukan SEA jika Malaysia menunjukkan prestasi yang baik.

Dengan mengandaikan bahawa kerajaan mahu mengelakkan daripada mengadakan pilihan raya umum sebelum berakhirnya musim haji, pengundian boleh diadakan bila-bila masa selepas minggu pertama bulan Oktober apabila penerbangan terakhir dari Arab Saudi pulang ke Malaysia. Jika pilihan raya diadakan sama ada pada Oktober atau November isunya adalah Parlimen mungkin tidak mempunyai masa yang cukup untuk membahas dan meluluskan Bajet 2018. Kerajaan biasanya membentangkan bajet pada minggu ketiga bulan Oktober dan bajet tersebut hanya akan menerima kelulusan kedua-dua Dewan di Parlimen pada pertengahan bulan Disember. Dengan masa Parlimen yang terhad, kerajaan boleh membentangkan kepada Parlimen yang baru dibentuk, dua Rang Undang-Undang yang berasingan, satu untuk perbelanjaan untuk satu atau dua bulan pertama tahun ini dan satu lagi Rang Undang-Undang yang menyenaraikan keperluan kewangan terperinci untuk tahun tersebut seperti mana yang berlaku ada tahun 1990 dan 1999 apabila pilihan raya diadakan pada bulan Oktober dan November pada tahun-tahun tersebut. Cabaran bagi kerajaan, sekiranya ia memilih untuk mengadakan pilihan raya pada bulan Oktober atau November 2017, adalah untuk memberikan penerangan yang berwibawa tentang kedudukan kewangannya kepada pemiutang dan pelabur asing.

Terdapat satu tempoh yang singkat iaitu pada separuh kedua bulan Disember, selepas bajet telah mendapat kelulusan Parlimen. Ini bagaimanapun sangat tidak mungkin, kerana disebabkan oleh musim tengkujuh di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Banjir tahunan yang datang dengan musim hujan memberikan cabaran logistik yang besar bagi Suruhanjaya Pilihan Raya jika pilihan raya umum diadakan pada bulan Disember.

Dari pelbagai andaian yang dibuat kelihatannya lebih mungkin bahawa pilihan raya umum dapat diadakan pada bulan Oktober atau November jika kerajaan memutuskan untuk membubarkan Parlimen pada tahun 2017. Walau bagaimanapun tiada apa-apa yang menghalang kerajaan untuk membawa mandat semasanya hingga ke tahun 2018. Tambahan pula, terdapat tempoh yang selesa untuk mengadakan pilihanraya sebelum bermulanya bulan puasa pada pertengahan Mei 2018.

Adib Zalkapi, rakan kongsi kanan di Vriens & Partners.

Tulisan diterjemahkan dengan izin penulis daripada tulisan asalnya di sini.