Ayah saya, Ai Qing, banyak mempengaruhi saya dari awal. Beliau adalah seorang penyair yang sebenar, melihat semua perkara melalui kaca mata yang naif dan jujur. Disebabkan itu, beliau sangat menderita. Dibuang ke kawasan padang pasir terpencil di Xinjiang, beliau telah dilarang untuk menulis. Semasa Revolusi Kebudayaan, beliau telah diperintah untuk membersih tandas awam. Pada masa itu, tandas-tandas luar bandar adalah di luar imaginasi seseorang, diabaikan oleh seluruh kampung. Itu adalah keadaan yang paling rendah untuk seseorang. Namun, sebagai seorang anak saya melihat dia berusaha sedaya untuk membuatkan setiap tandas sebersih dan seselesa yang mungkin, membersihkan segala kotoran dengan seikhlas mungkin. Bagi saya, ini adalah tindakan puitis yang terbaik, dan suatu yang saya tidak akan lupa.

Bapa saya telah dihukum kerana menjadi penyair, dan saya membesar dengan segala sebab-akibatnya. Tetapi dalam keadaan yang paling sukar mana pun, saya melihat hatinya dilindungi oleh pemahaman yang murni tentang dunia ini. Kerana puisi melawan graviti. Membaca Walt Whitman, Pablo Neruda, Federico García Lorca, dan Vladimir Mayakovsky pada usia muda, saya menemui bahawa semua puisi mempunyai kualiti yang sama. Ia mengangkut kita ke tempat lain, jauh dari masa ini, jauh dari keadaan kita.

Dalam kerja-kerja saya sendiri, proses penciptaan sentiasa memerlukan pemahaman estetika yang berhubung kait dengan moral, dengan ketulenan bentuk, atau dengan bahasa diri, suatu yang merentangkan diri kita dengan jelas kepada orang lain. Banyak projek saya mempunyai unsur-unsur puitis. Pada tahun 2007, saya membawa 1,001 warga China ke Kassel, Jerman, untuk documenta 12. Bagi kebanyakan orang, itu adalah pertama kali mereka keluar dari China. Ini adalah dongeng indah. Pada tahun 2008, kami membuat kajian, di bawah keadaan yang sangat keras dan ketat, kesan Gempa Bumi Besar Sichuan dan menemui nama dan tarikh kelahiran 5,196 pelajar yang menjadi mangsa, yang jika tidak akan tertanam selamanya.

Saya pernah berkata bahawa Twitter adalah bentuk yang sempurna untuk puisi. Ia adalah puisi masyarakat di zaman moden. Dalam media sosial dan bentuk komunikasi yang dimungkinkannya, berulang kali kita mendapati diri kita amat tersentuh dengan emosi. Oleh kemarahan, kegembiraan, bahkan perasaan yang baru dan tidak dapat dijelaskan. Ini adalah puitis. Hal ini menjadikan hari ini zaman yang unik.

Untuk mengalami puisi adalah untuk melihat melampaui realiti. Ia adalah untuk meneroka apa yang ada di luar fizikal, untuk mengalami kehidupan yang lain dan tahap perasaan yang lain. Ia adalah untuk bertanya tentang dunia ini, untuk memahami sifat manusia dan yang paling penting, untuk dikongsi dengan orang lain, tua atau muda, yang diketahui atau tidak diketahui.

Ai Wei Wei, seniman terkemuka China.

Tulisan ini terbit di laman web Poetry Foundation dan diterjemahkan dari bahasa Inggeris oleh Ammar Gazali