Seorang pencuri yang sudah enam tahun baligh kerana mimpi bersenggama dengan permaisuri raja, baru saja sebentar tadi mencuri seekor ayam di reban besar milik seorang haji. Pencuri itu tidak merasa salah akan perbuatannya. Kerana dia tahu, tuan punya ayam mempunyai seribu ekor ayam lagi. Jika dia mencuri seekor ayam. Pasti tak luak dan tak akan disedari si tuan seribu ekor ayam bernama Haji Kusnan.

Pencuri itu mengamalkan kaedah istimewa ketika mencuri. Layak pencuri mahir. Dia membaca mantera hikmat syumus al-anwar yang sudah ditokok tambah dengan beberapa kalimat Sanskrit dan Turki supaya ayam-ayam lain tidak terjaga daripada tidur dan berkiok riuh. Masa mencurinya juga dipilih. Pencurian harus dijalankan pada tengah malam, tepat pukul dua belas suku. Memang benar, tidak ada apa-apa merintangi niat mencurinya itu- segalanya berjalan lancar dan licin. Seolah-olah semua ayam di reban itu redha dengan si pencuri ketika dia mendakap kemas seekor daripada mereka yang mendiami reban tersebut. Ayam itu terlentok bagai gadis berahi di dada kekasihnya. Tinggallah di dalam kandang itu sembilan ratus sembilan puluh sembilan ayam lagi.

Dia gembira- kerana dia kenyang sekali lagi menyantap seekor ayam panggang. Tak ada baki yang ditinggalkan, habis seluruh tulang temulang termasuk kepalanya dimakan. Dia tidak mahu ada bukti yang tersisa daripada hasil curinya. Ayam malang itu selamat di dalam perut. “Takkanlah berak aku, Haji Kusnan nak kaut, nak cari tulang-tulang ayamnya,” katanya girang dalam hati.

Lain halnya apabila esok matahari terburu-buru keluar setengah galah. Haji Kusnan yang biasa berjalan lenggang dengan pelikatnya tersela di tengah punggung dan ekor serban putihnya terjela, dari masjid setelah kuliah subuh terus menuju ke reban ayamnya yang ada dua tiga buah itu.

“Hai manalah Si Kuning ni. Macam mana boleh hilang pula?”

“Kun-o-Kun!” Dia memanggil-manggil, “Kurrr, kurrrr!”.

Kira-kira sepuluh kali dia pusing-pusing mencari Si Kuning. Dia separuh gila mencari. Hal-hal lain dalam kehidupan ‘hajinya’ terus dilupakan pada hari itu. Solatnya entah ke mana, masjidnya pun dilupakan. Dia betul-betul seperti kematian seorang anak lelaki.

“Kun-o-Kun!” Sampai ke dalam belukar tebuk sawah diredah. Tempat semilai dan haruan berkeluarga di liang nipah juga diselongkar. Demi mencari Si Kuning. Dia juga sanggup terjun ke tali air mati yang busuk bangkai di hujung kampung.

Perihal gilanya Haji Kusnan kehilangan Si Kuning telah heboh di seluruh kampung. Di kedai kopi Pak Ya, Din Kuih, Din Letrik, dan Mat Bom bergosip mengenai keadaan Haji Kusnan. Mereka menyimpulkan Haji Kusnan sudah isim. Iyalah, mana taknya, masuk hari ini sudah tiga hari Haji Kusnan mundar-mandir seluruh kampung mencari Si Kuning.

Sudah berkali-kali Imam Mahad mengatakan pada Haji Kusnan supaya orang tua itu jangan mengingat-ngingat lagi apa yang telah hilang. Takkanlah gara-gara seekor ayam itu Haji Kusnan sanggup meninggalkan anak bini dan kariah masjid. Menjadi isim dan tak terurus lagi. Keluarganya yang tinggal di Parit Dua kampung itu juga tak boleh berbuat apa-apa. Makin dinasihat makin liat orang tua itu. kadang-kadang bila anak sulungnya memanggil pulang makan. Akan merengeklah Haji Kusnan seperti anak berumur setahun dirampas lolipop dari mulutnya.

Berita Haji Kusnan isim telah sampai kepada si pencuri. Khabar itu diberitahu oleh Din Letrik yang masyhur mulut tempayan. Sambil mencucuh rokok, dia memberitahu kepada Si Pencuri yang sedang mengail ikan di tali air depan kedai Beng Kia- anak cina yang suka mengitar semula papan tikam yang sudah lunyai ditikam budak-budak.

“Apai, kau tau dak Haji Kusnan dah isim! Dia hilang Si Kuning. Ketua ayam di rebannya!”

“Hah, biar betul? Takkanlah seekor ayam hilang dia jadi gila?” Apai cuba melakonkan simpatinya.

“Betul, itulah aku dah kata. Kalau duk asyik pi haji puluh-puluh kali ni. Boleh jadi isim!”

“Takkanlah dia isim, dia lupa-lupa kut. Nyanyuk tua kut?”

“Hish, takdaklah. Takkanlah nyanyuk duk ke hulu ke hilir. Makan dia mahu, minum pun dia mahu. Bila makan di kedai Pak Ya pun boleh ja elok dia bayar.”

“Oh ya?”

“Fuh-fuh… betul” Din mengiyakan sambil membuat ‘o’ dari asap kereteknya.

“Aku rasa la Apai, Kuning tu bukan ayamnya, tapi belaan dia.”

Apai buat tak berapa dengar kata-kata Din. Dia masih melihat tautnya yang sepuluh batang itu. semuanya berumpan sepat ronggeng. Sepat ronggeng tergedik-gedik di dalam air jernih yang menunggu masuk ke relung sawah kira-kira bulan sepuluh nanti.

Din tak lama di situ. Bosan bersembang dengan Apai. Tujuannya berjumpa pun hanya hendak memberitahu Apai fasal Haji Kusnan sebab dia tahu Apai pernah minta kerja dengan Haji Kusnan. Dan pernah meminang anak dara di rumah Haji itu. Siti Aisyah namanya.

“Nasiblah kau tak jadi kahwin dengan Aisyah. Kalau tidak, mau kau tanggung gila ayahnya.”

“Din, tak elok cakap begitu. Baik doa pada Haji Kusnan. Mana tahu esok dia baik-baik sahaja.”

Dalam hati Apai ada sedikit rasa bingung. Getusan hatinya ternyata silap. Haji Kusnan kenal betul ayamnya. Aduhai, bagaimana dia hendak buat. Takkanlah kerana seekor ayam itu Haji Kusnan sampai disampuk isim.

Mulalah timbul rasa bersalahnya terhadap orang tua tersebut. Tak sangka kerana seekor ayam yang dia curi, boleh riuh sekampung. Apai bukan apa, dia hanya gemar makan ayam. Kalau seminggu tak makan ayam rasa sakit-sakit di badannya. Memang sudah jadi rutinnya setiap minggu mencuri seekor ayam dari reban penduduk kampung dan kemudian dipanggang di tepi belukar buluh.

Bila teringat Haji kusnan dia teringat Siti Aisyah. Memang dulu dia sangat menyintai Siti Aisyah. Gadis itu memang cantik. Mewarisi kecantikan orang Bali dari sebelah ibunya. Cuma Aisyah tidaklah sejinak merpati tua. Aisyah menolak pinangannya kerana dia sudah bercinta dengan pegawai bank dari Kuala Lumpur. Jika hendak dibandingkan Apai dengan pemuda itu, memang tak sanggup orang hendak membanding, kalau dibandingkan dia dengan pemuda itu-orang kampung semuanya akan ketawa. Apai yatim miskin, pemuda itu pegawai bank!

Dia tersenyum mengingat Aisyah. Dan Apai tak berdendam. Kerana dia tahu gadis itu bukan jodohnya. Cuma kadang-kadang sebelum tidur dia akan memikirkan Aisyah. Kerana Aisyah gadis paling cantik di kampung itu. Selain Apai, kira-kira semua lelaki baik yang muda atau yang tua akan memikirkan gadis itu sebelum tidur.

Apai tidak terusik langsung dengan kisah yang dia dengar dari Din Letrik. Namun, dia terkejut juga rupa-rupanya ayam yang dia curi itu satu-satunya ayam yang berwarna kuning di reban Haji Kusnan. Ayam yang lain, semuanya berwarna putih. Patutlah orang tua itu ingat benar dengan ayam yang seekor itu.

Bagaimanapun, khabar Din Letrik itu ada sisi baiknya untuk Apai. Kerana dia sedar, kalau benar Haji Kusnan sudah gila. Lebih senang dia mencuri dari reban orang tua itu. Kerana anak-beranak Haji Kusnan tak berkisah langsung dengan reban ayah mereka. Haji Kusnan seorang sahajalah yang menjaga makan-minum dan telur semua ayamnya.

Maka, dia berencana malam itu dia akan pergi lagi ke reban Haji Kusnan. Sudah seminggu dia tak makan ayam. Ketagihnya datang lagi. Apai kerja kampung. Dia selalu mengeluh kerana tak berduit buat membeli ayam. Makannya hari-hari adalah ikan yang dikail, dan kangkung melata di tepi parit. Dia bernasib baik, orang kampungnya ramai yang membela ayam. Dapatlah dia mencuri, kadang-kadang ayam gajah dan kadang-kadang ayam katik.

Malam pun tiba, serapahnya sudah dibaca dan dihembuskan. Kerana sudah biasa, dia sudah tidak merasa takut lagi-lagi Haji Kusnan pun memang sudah gila. Fikir Apai, pastilah orang tua itu tidak berkisah lagi dengan reban-rebannya.

Serapahnya menjadi, semua ayam-ayam di reban itu jadi mabuk seperti terkena candu kelas A1 yang biasa jadi hadiah kepada birokrat negara asing di Pakistan ketika mahu berurusan dengan jabatan-jabatan kerajaan di sana. Sepantas angin ayam-ayam itu bertekur senyap.

Reban itu tidak jauh dan tidaklah dekat dengan rumah Haji Kusnan yang tinggal dengan bininya yang pertama–ibu kepada Siti Aisyah yang rupawan tadi. Kalau dua laki bini itu bercakap-cakap di dalam rumah memang dengar suara mereka di reban ayam itu. Entah kenapa malam senyap tak berangin itu menghantarkan suara percakapan antara Haji Kusnan yang gila dengan bininya.

Suara itu tidak diundang. Ia terus masuk ke dalam liang telinga si Apai. Mendengar suara itu, Apai yang mahir mencuri dengan tenang mendengarnya. Dia memang tidak mahu tergesa-gesa. Melalui pengalamannya, tergesa-gesa ketika mencuri selalu membawa nasib buruk kepada si pencuri. Boleh terkena penyakit sawan babi.

“Hai Abang, tahulah abang risaukan ayam abang yang seekor itu… tapi sampai tak balik dua tiga hari mencari ayam buat apa?”

“Yah, ayam tu penting. Abang kena cari juga.”

“Ayam abang kan banyak, beribu-ribu! Buat apalah nak disibukkan dengan yang seekor itu. Abang tahu tidak orang kampung semua sudah percaya abang gila isim. Janganlah buat Yah begini,” suara Makcik Yah sudah kedengaran sebak.

Pencuri yang memakai serba hitam tadi tertarik dengan dialog antara kedua laki bini itu. Dia terus mendengar sambil tangannya melempar-lempar daun serai yang dihiris kecil-kecil. Dia sibuk, tetapi telinganya tajam mendengar.

“Yah, kau tak tahu Yah. Aku ini bukan apa. Rasa tertekan sangat. Kau tak tahu si Kun tu banyak jasanya kepada kita seluruh keluarga. Tu, gelang emas kau Yah yang sepuluh inci tebal di lengan itu jasa si Kunlah!”

“Apa ni Abang, Yah tak faham.”

“Itulah kau, tahunya dengar cakap orang yang kata aku gila!” Mata Haji Kusnan menahan marah dan sedih. Jarinya mengorek-ngorek hidung, tangan kirinya pula bermain telur zakarnya. Sekejap-sekejap ditamparnya lalat yang menghurung kepalanya seraya disuap ke dalam mulut dan mengunyah lalat mati itu dengan mata terpejam. Tak macam Haji Kusnan. Mungkin kerana itu Makcik Yah percaya cakap orang kampung yang lakinya sudah gila.

“Cuba Abang bagi faham pada Yah. Teruk sangat dah Abang ni. Kita ke hospital ya esok pagi?”

“Buat apa hendak ke hospital. Aku bukan sakit. Apa kau ingat aku dah nak mati?”

“Tidak, bukan begitu. Kita nak pi periksa sajaaa!” bentak Makcik Yah tak mahu beralah. Air matanya sudah mengalir, sesak jantungnya, bahunya terjungkit-jungkit, suaranya menggogoi-gogoi macam Hindu berarak jenazah di Sungai Gedong.

Apai sedikit kaget mendengar dialog itu. Dia tertanya-tanya tentang apa yang dikatakan Haji Kusnan. Apalah istimewanya Si Kuning itu. Seekor ayam yang biasa saja rasa dagingnya.

“Kuning ooo Kuning!” Haji Kusnan memanggil lagi ayamnya itu bila mendengar ada cicit ayam di belakang rumahnya.

“Ikut abanglah..”

“Yah, jangan begini… Mari abang ceritakan kepada Yah, tentang Si Kun. Kalau Yah nak tahu, Si Kun ini tahinya emas. Telurnya pun emas. Dengan Si Kun inilah abang buat duit!”

Terbelalak mata Makcik Yah mendengar rahsia baru itu. Dia tak tahu hendak percaya atau tidak kata-kata lakinya itu. Matanya merah dan terus menangis. Melihat itu, Haji Kusnan merapati tubuh Makcik Yah dan memeluknya. Haji Kusnan pun turut sama menangis dan meraung, ritma tangisan mereka itu macam bunyi polong Pontianak. Sayup-sayup dan mengerikan.

Di luar, di dalam reban ayam. Apai terduduk dan bersandar di dinding. Ayam-ayam tadi dilupakan. Hatinya rawan memandang bulan yang bersih terlihat seperti telur bujur. Kosong, dan tiada lagu, tetapi kuning menyala.


Zahid M Naser, baru-baru ini telah menerbitkan kumpulan puisi pertama beliau bertajuk Berehat di Sisi Paus.