Bukan saya seorang penyunting karya sastera mahu pun penyair ternama. Maka, sewaktu tidak semena-mena diminta untuk mengarang satu tulisan buat dimuatkan bersama buku ini, saya sepertinya mahu menolak. Tapi, saya katakan kepada penerbit kesanggupan untuk menulis sebuah catatan pembaca atau catatan seorang penikmat puisi (yang sebetulnya tidak pula telah terlalu banyak membaca puisi). Pada benak saya, saya enggan terlepas peluang memperkenalkan seorang pemuisi yang, secara peribadi saya rasakan, mampu menjadi seorang penyair besar.

Seperti undangan untuk menulis catatan ini, Zahid juga saya ‘temui’ secara tidak semena-mena. Ketika itu, selaku penyunting di Roketkini.com, sebuah portal organ parti DAP yang menerbitkan karya-karya sastera di samping berita politik, saya mencari-cari penulis baru untuk portal berkenaan. Pada suatu kesempatan, saya berbual-bual dengan Zahid lewat Facebook, dunia maya yang menjadi tempat kami pertama kali bertemu. Kata Zahid, dia telah mengarang beberapa karya sastera. Lalu kepadanya saya minta agar dihantarkan beberapa karya untuk saya baca. Dikirimnya “Berehat Di Sisi Paus”. Pertanyaan pertama saya sejurus selepas membacanya; “Selama ini di mana dia bersembunyi?”

Selama ini saya menjangka bahawa Timur Tengah hanya mampu melahirkan Cinta Dari Balik Purdah, Kasihku Tumpah Di Sungai Nil atau Ke Nerakalah Janggut Firaun, selain bait-bait yang direncahi kalimat-kalimat Arab. Sama sekali saya tidak menduga bahawa akan pernah lahir Paus dari sana.

Membaca puisi Zahid, seperti juga kala menikmati puisi-puisi lain yang saya anggap benar-benar puisi, saya tak pernah cuba meneka, apatah lagi bertanya, makna bait-baitnya. Iman saya, puisi bukan ayat panjang yang dipatah-patahkan menjadi baris-baris pendek dan gagap, bukan luapan emosi tak terkendali, bukan alat menyampaikan ‘suara rakyat’ dan bukan pula khutbah penyampai dakwah.

Bukan pula bermakna puisi wajib bersih daripada, misalnya, cerita masyarakat atau politik. Dalam Paus Zahid, ada bahagian yang terkarang dari rusuh politik negeri Mesir; tentang presiden, tentang para sultan yang mewarisi kebodohan. Cuma saya yakin bahawa puisi tidak harus ‘diculik’ oleh peristiwa dan amarah. Jika tidak, puisi terancam menjadi kata-kata semu, atau hanya mampu merakam – sedangkan keupayaannya untuk merakam mungkin tidak lebih baik daripada lensa sebuah kamera.

Sebahagian orang ghairah dengan sajak yang marah-marah. Sebahagian pula kagum dengan puisi yang mampu menggambarkan sesuatu secara terperinci. Tetapi saya percaya bahawa puisi yang terlalu terperinci membentangkan sesuatu gambaran malah boleh dianggap sebagai musuh khayalan, musuh imaginasi, bahkan suatu penindasan – kerana ia menindas pembaca dengan menafikan ruang untuk ia mentafsir, menyalah-tafsir atau tumpang khayal. Puisi sedemikian saya namakan “sajak fotografi”, dan ia mungkin ditulis oleh penyajak yang terlalu cemburu dan sebenar-benarnya tidak mahu berkongsi puisi, atau mahu menjadi merak; “Kalian para penonton cukuplah cuma menyaksikan dengan kagum keindahan ekorku ini…”

Mungkin piawaian saya bagi puisi terlalu tinggi, atau ketat, atau sempit. Bagi saya, bahkan kalimat-kalimat indah atau puitis yang dirapikan serapi-rapinya belum boleh diangkat sebagai puisi yang sesungguh-sungguhnya. Kerana itu saya cukup kagum tetapi kurang meminati beberapa sajak terkenal Latiff Mohidin yang pernah sempat saya baca – kagum dengan kemahiran Pak Latif merapikan kata-kata tetapi kurang terpukau dengan daya puisinya.

Dalam sebuah rencana, saya terbaca bahawa Plato pernah menyebutkan sepotong diktum, iaitu bahawa semua pemuisi yang bagus menggubah puisi indah mereka bukan dengan seni/teknik/kemahiran/kraf, tetapi kerana mereka diilhami dan dirasuk oleh pari-pari pengilham yang berkata-kata lewat kepala dan pena mereka.

Pari-pari itu boleh saja suatu makhluk halus dari kayangan, seorang perempuan (atau sembilan orang dalam kasus WB Yeats), sebuah negeri, seorang anak, atau sudah tentu juga rasa rindu kepada Tuhan (seperti Rumi dan para penyair sufi lain). Dalam ungkapan lain, pemuisi yang hebat tidak lain hanyalah wahana penyalur bagi ilham yang mengalir.

Lalu, lantaran kecewa kerana gagal merebut Maud, terkarang dari pena Yeats kononnya antara puisi paling menyayat hati dalam dunia persuratan. Manakala percintaan Yeats dengan Olivia Shakespear pula telah menyedarkannya bahawa bahasa puisi wajib “halus, rumit, penuh kehidupan bermisteri seperti setangkai bunga atau sekujur tubuh wanita.”

Bagaimanapun, harus saya nyatakan bahawa dalam buku sulungnya ini Zahid tidak pula terlepas sama-sekali daripada nafsu hendak menjadi pujangga atau berkhutbah, misalnya ketika dia membazirkan kata-kata dengan menambah bait, “sultan-sultan yang bongkak memang selalunya begitu bodoh tak hendak diajar,” pada satu bahagian, atau “lelaki haruslah menghayati setiap bait-bait puisi yang menceritakan keindahan alam/keindahan alam itu semuanya terkandung/di wajah seorang perempuan,” pada bahagian lain.

Pasti Zahid punya pertimbangan sendiri untuk menyelit bebelan atau pernyataan klise sebegitu di celah sekian banyak bait lain yang mengghairahkan. Atau mungkin pada ketika itu dia tak mengendahkan pari-parinya.

Bagaimanapun, sedikit kekurangan itu tidak pula banyak mengurangkan rasa kagum dan bahagia saya membaca puisi-puisinya.

Al Mustaqeem M Radhi, penulis dan penterjemah. Pernah terpilih menyertai Iowa International Writing Programme pada tahun 2007.

Tulisan ini terbit sebagai kata pengantar untuk buku puisi Zahid M Naser bertajuk Berehat Di Sisi Paus yang baru diterbitkan oleh Obscura Malaysia.