The Handmaiden filem terbaru arahan pembikin filem Korea Selatan, Park Chan Wook, gagal menandingi karya hebatnya tahun 2003, Oldboy. Itu keyakinan saya sehingga kini. Saya tidak ragu mengakuinya.

Karya masterpiece berunsur balas dendam itu, sehingga hari ini, masih dibicarakan dan dikaji dari pelbagai sudut dalam dunia perfileman. Malah menjadi rujukan kepada pembikin filem yang terkemudian.

Saya cuba membandingkan filem Handmaiden bergenre ‘erotic thriller’ dengan Oldboy kerana filem terbaru itu dihasilkan pasca kerjasama dengan produksi Amerika Syarikat tiga tahun lalu, untuk filem Stoker.

Maka sudah barang tentu, Park Chan Wook mempelajari sesuatu yang baru sejak tempoh itu. Saya yakin ada perkara baru akan diketengahkan dalam filem The Handmaiden.

Sekalipun bukan masterpiece, tidak bermakna filem itu tidak hebat atau mengundang perbahasan menarik. Sejak 2013, saya menanti buah tangan terbaru beliau.

Oleh itu, sudah pasti saya mencari-cari apa lagi perkara/teknik pergerakan kamera/gaya pengarahan/persembahan terbaru dalam filem yang diinspirasikan dari novel jenayah Fingersmith karya novelis feminis British Sarah Waters.

Naratif filem ini terbahagi kepada tiga bahagian atau perspektif. Bahagian pertama babak dari perspektif Sookee (Kim Tae Ri), kedua; dari sudut pandang Lady Izumi Hideko (Kim Min Hee) dan ketiga bahagian balas dendam dan resolusi cerita.

Ia berlatar sewaktu penaklukan Jepun ke atas Korea pada tahun 1930-an. Chan Wook berkata tindakan beliau menukar latar daripada zaman Victorian (Britain) seperti dalam buku itu, kepada zaman era kolonial Jepun adalah “praktikal dan munasabah”.

Katanya, elemen dalam masyarakat Korea yang masih lagi dipisahkan mengikut darjat dan pekerjaan sebagai hamba/orang gaji kepada orang kenamaan masih wujud termasuk pengumpulan barang-barang yang jarang ditemui.

“Zaman itu menunjukkan beberapa elemen tradisional masih lagi kekal dan era kemodenan baru sahaja mula menapak,” kata Chan Wook dalam satu temubual.

The Handmaiden mengisahkan penyeluk saku, Sookee dipilih menjadi orang gaji kepada Hideko atas pujukan ‘Count’ Fujiwara (Ha Jung Woo). Penyangak berlagak aristokrat Jepun itu mempergunakan Sookee agar memujuk Hideko mencintainya dan berjanji membayar wang yang banyak sebagai balasan.

Rancangan jahat Fujiwara tidak berjaya sebaliknya Sookee-Hideko pula yang menjalinkan hubungan intim. Mereka saling mengambil berat dan pada masa yang sama merancang balas dendam terhadap Fujiwara yang tamak harta peninggalan ayah Hideko.

Hideko pula, ketika itu dijaga oleh bapa saudaranya Kouzuki (Cho Jin-Woong). Lelaki itu terlalu obses cerita erotik Jepun, mahu mengahwini Hideko juga kerana harta itu. Hideko yang terperap dalam rumah agam pak ciknya sejak umur 5 tahun, kalau boleh mahu lari dari kongkongan bapa saudaranya.

Jika ulasan dan analisis ramai pengulas memuji gaya pergerakan kamera dan visual yang elegan dan bergaya dalam filem Oldboy, maka sudah barang tentu ia turut ditonjolkan dalam The Handmaiden. Memandangkan kolabrasi pengarah sinematografi Chung Chung Hoon masih dipertaruhkan.

Tinggal lagi, bagaimana Park Chan Wook dan menonjolkan visual sebagai medium komunikasi untuk menyampaikan cerita dalam filem berlatarkan sejarah dan kebudayaan Korea sewaktu pendudukan Jepun ke atas negara pada dekad itu.

Jika anda menonton filem terbaru ini, anda kerap kali akan menyaksikan dinamika pergerakan kamera DOP Chung Hoon yang ‘pan, tilt atau dolly’ kemudiannya bergerak kepada sudut tertentu atau close up untuk menunjukkan emosi pelakon atau ke arah ruang lain untuk memberi perspektif atau mood yang berbeza.

Ia pasti menarik perhatian penonton dan mengingatkan saya kepada gaya pengarahan Alfred Hitchcock dalam filem-filem seperti Notorious dan Marnie.

Bagaimanapun, sepanjang meneliti filem ini , tiada satu pun babak yang betul-betul menyusup jiwa sehingga terngiang-ngiang berfikir mengenainya. Sekurang-kurangnya tidak seperti Oldboy, kita mungkin tidak melupakan babak pergaduhan Dae-su (Choi Min Sik) dengan sekumpulan samseng di koridor penjara yang mengurungnya selama 15 tahun.

Babak sekuen ikonik dan ‘black humor’ itu sentiasa diingati kerana dirakam dengan ‘one take’ sekalipun beberapa kali diulang untuk mencari yang terbaik. Walaupun dibelasah teruk, Dae-su masih lagi bertenaga mengalahkan lebih 20 samseng yang menyerangnya.

“Ia dianggap salah satu sekuen pertarungan paling hebat dalam sejarah filem moden dan ironinya ia tidak dirancang atau dilukis di atas papan cerita dengan lebih awal. Sebaliknya saya mempunyai sekuen pada papan cerita yang berbeza sekali,” kata Park.

Umumnya, pembikin filem generasi baru Korea Selatan (Generasi 386) seperti Park Chan Wook, beliau lebih cenderung kepada gaya penceritaan “mengekploitasi identiti dan sejarah negara itu untuk mensasarkan khalayak yang lebih besar”.

Park, dianggap sebagai pembikin filem generasi kedua yang membawa gelombang baru dalam dunia perfileman di Korea kerana mereka terdedah dengan perubahan sosial dan politik dan proses modenisasi negara itu bermula tahun 1980-an.

Ahli akademik Jinhee Choi dalam bukunya bertajuk The South Korean Film Renaissance: Local Hitmakers and Global Provocateurs berkata: “Minat terhadap sinema Korea pada mulanya digalakkan oleh nasionalisme penonton, namun kejayaan blokbuster selepas itu tidak mungkin dapat dikekalkan tanpa kejayaan menggabungkan gaya filem yang baik dengan subjek dan tema yang dapat menarik khalayak Korea.”

“Pengarah-pengarah filem Korea mengekploitasi identiti nasional dan sejarahnya untuk mendapat khalayak yang lebih luas. Walaupun setiap daripada mereka mempunyai gambaran yang berbeza tentang sejarah negara ini, adalah sesuatu yang biasa bagi Generasi 386 untuk bukan sahaja membikin filem yang menceritakan tentang akar kebudayaan Korea–strategi yang digunakan oleh Im Kwon Teak dalam filem Chunyang dan Chihwaseon–mereka juga mempinjam gaya dan fesyen filem Hollywood dengan memasukkan pengalaman semasa Korea.”

Selain itu, kita mungkin masih mengingati sistem imej yang kompleks yang dipaparkan dalam Oldboy. Pengulangan imej ‘symmetrical shot’ sebagai komposisi simbolik antara lain menambah lapis makna cerita atau kunci utama menggerakkan plot seterusnya.

Bermaksud, terdapat dua shot yang hampir sama ditonjolkan pada waktu tertentu sebagai usaha memaparkan hubungan antara watak seterusnya mewujudkan elemen dramatik dan emosi kepada tema dan motif jalan cerita. Ia banyak diulang di dalam filem tersebut.

Sebagai contoh, di awal babak Oldboy menunjukkan, Dae-su ada membeli permainan berupa sayap pari-pari untuk harijadi anaknya Mi-Do dan kemudiannya babak lain menunjukkan permainan itu telah dikirim dan dipakai oleh Mi Do selepas 15 tahun.

Bagaimana pula dengan The Handmaiden? Pengulangan babak yang sama tetapi dari sudut atau perspektif berbeza lebih banyak dipaparkan berbanding imej ‘symmetrical shot’.

Pada hemat saya, mungkin subjek seksualiti, lesbianisme, feminisme, seks dan elemen erotik yang dipaparkan dalam filem ini boleh menjadi bahan perdebatan. Perkara tersebut menjadi antara subjek utama yang menggerakkan naratif cerita dan perwatakan Sookee, Hideko, Kouzaki dan Fujiwara.

Babak Hideko membaca karya erotik Jepun yang menggambarkan keindahan tubuh badan dan gambar alat sulit wanita di hadapan aristokrat Jepun dan kemudiannya ditunjukkan Hideko duduk di atas replika patung yang tergantung atau persetubuhan dia atas ranjang bersama Sookee.

Unsur seks berjalan bersama perwatakan dan saling tumpang tindih yang memberi kesinambungan untuk babak cerita seterusnya. Di sinilah menunjukkan kepintaran Park Chan Wook menggambarkan perkara itu. Semuanya dibuat dengan tujuan tertentu dan diletakkan pada waktu tertentu.

Sebagai contoh, babak Hideko mandi bertelanjang sambil menghisap lolipop dalam bath tub dan buah dadanya diperhatikan sewaktu Sookee mengikir giginya. Ia dipaparkan untuk menunjukkan fasa-fasa cinta yang terpupuk antara kedua-dua watak itu.

Seperti yang kita maklum, filem Oldboy termasuk dalam filem ‘trilogy revenge’ Park dan The Handmaiden pula tidak terlepas daripada babak yang mempunyai unsur tersebut. Namun babak membalas dendam “tidak sekejam” dan “tidak seasyik” seperti dalam Oldboy dan dua filem trilogi yang lain.

Dalam bahagian ketiga filem ini, selepas masing-masing meluahkan rasa kasih termasuk penipuan Fujiwara, Sookee dan Hideko berpakat untuk membalas dendam kepadanya.

Di akhir babak pertama menyaksikan Sookee mengambil kesempatan melarikan di atas insiden kebakaran rumah orang gila. Kerelaannya memasuki ke rumah itu, hanyalah rancangan bersama Hideko. Pakatan untuk ‘sailang’ Fujiwara dihurai pada bahagian kedua filem ini. Fujiwara pula tidak mengesyaki apa-apa.

Sementara itu Hideko pula berpura-pura ‘melayani’ Fujiwara dengan memasukkan ubat tidur dalam wain sebelum lelaki itu pengsan. Dia juga melarikan diri bersama wang yang banyak, bertemu Sookee ditempat yang dijanjikan sebelum menyamar dan keluar dari Jepun menuju ke Shanghai.

Abdul Rahim Sabri penulis bebas dan pengarah filem pendek ‘Sedetik Sebelum Nubuwwah’.