Untuk kita yang bukan orang Amerika, kadang-kala agak sukar untuk memahami Donald Trump kerana dia bercakap dan menulis dalam apa yang ahli falsafah British, Bertrand Russell sebutkan sebagai “perca-perca kecil berwarna”– fakta-fakta mikro yang perlu digabungkan untuk membentuk satu gambaran penuh yang bermakna.

Bagi saya, seorang ahli ekonomi dari Amerika Selatan yang bekerja di seluruh dunia untuk membuatkan kapitalisme lebih inklusif dan cuba untuk mengguna pakai teknologi rantai bongkah (blockchain) untuk tujuan itu, gambaran yang cuba dibuat oleh Trump adalah seolah-olah rakyat Amerika dan ekonominya sedang ditahan oleh golongan elit yang mendapat keistimewaan daripada kerajaan yang korup yang menyalah urus globalisasi dan imigrasi, pada masa yang sama gagal untuk membendung keganasan. Ini juga adalah masalah yang kita yang berada di luar Amerika Utara dan Eropah Barat–90% daripada penduduk dunia–juga menghadapinya.

Kita semua mempunyai kepentingan dalam memperbaiki usaha murni globalisasi di mana, sejak Perang Dunia Kedua, telah memberikan kemungkinan untuk ramai manusia memahami dan mendapat manfaat melalui pasaran bebas. Tatkala menerima pencalonan daripada parti Republikan bagi pemilihan Presiden, Trump berkata “Amerikanisme, bukan globalisme sebagai prinsip kita.” Mungkin beliau tidak sedar bahawa dunia di luar Amerika Syarikat menghadapi cabaran yang sama. Dan dengan menyalahkan pesaing-pesaing ekonomi Amerika atas cabaran yang dihadapi tu sebenarnya adalah satu bentuk pelarian daripada kepimpinan global Amerika Syarikat.

Namun jika Amerika meninggalkan tampuk kepimpinan dunia, pemimpin lain akan muncul menggantikannya. Presiden China, Xi Jinping sangat gembira tatkala memberitahu peserta mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik di bandar asal saya di Lima, Peru, bulan ini bahawa negaranya akan menyokong semua pihak yang ingin memastikan keterbukaan pasaran global. Perwakilan dari seluruh dunia berdiri dan memberikan tepukan kepadanya.

Ketika saya menggabungkan “perca-perca kecil berwarna” Trump itu, saya menyedari bahawa musuh sebenar beliau bukanlah globalisme tetapi merkantalisme–kapitalisme di peringkat awalnya yang wujud di Eropah dari abad 16 hingga ke-18 juga dikenali sebagai kapitalisme “kroni “atau “non-inklusif”. Adam Smith dan pemikir moden yang menyerang kerajaan merkantilis yang memberikan kepentingan kepada pengeluar dan pengguna elit, hak istimewa melalui pelbagai peraturan yang kompleks, subsidi, bantuan kewangan, cukai, lesen dan perjanjian dua hala yang membolehkan mereka mengakses pasaran global secara besar-besaran dan membawa masuk buruh murah.

Dari masa ke masa merkantilisme telah dikurangkan dengan ketara. Tetapi ia telah membuat kemunculan semula pada abad ke-21. Salah satu cara ialah melalui kemunculan perjanjian perdagangan dua hala yang kompleks– sudah pasti ini lebih baik daripada tidak ada sebarang perdagangan langsung tetapi perjanjian yang penuh dengan labirin itu membuka kepada ruang kepentingan tertentu untuk mengambil nilai surplus dan menyeludup buruh murah.

“Pelan Tindakan 100 Hari untuk Membuatkan Amerika Hebat Kembali” Trump memerlukan “jawatankuasa khas” untuk mengenal pasti dan menutup kelemahan di mana keistimewaan tertentu yang diberikan dalam perjanjian perdagangan yang kompleks itu. Hal ini, jika dilakukan dengan betul, boleh meningkatkan perdagangan dan membawa manfaat yang lebih besar kepada rakyat yang lebih luas.

Hari ini, di negara-negara membangun, perjanjian perdagangan sentiasa menerima tentangan–bukan oleh kerajaan tetapi oleh rakyat yang tidak mendapat keistimewaan daripadanya. Mengapa perkara ini muncul sekarang? Kerana selepas kekalahan komunisme 27 tahun yang lalu, rakyat biasa berharap untuk mendapat manfaat secara langsung daripada perjanjian perdagangan antarabangsa tetapi kebanyakan mereka hanya menerima sejenis dedak yang diberikan oleh merkantilisme.

Apa yang mereka tidak dapat–dan sangat diperlukan bagi mendapat manfaat daripada globalisasi adalah hak untuk menubuhkan syarikat yang boleh menggunakan bakat dan membina hierarki perniagaan di luar aturan keluarga atau perintah kepuakan; untuk mengurangkan risiko tanggungan berhad. Mereka tidak dapat harta dan hak-hak intelektual untuk dibahagikan dan melindungi aset mereka, dan membolehkan mereka meningkatkan modal dan membuatkan pinjaman. Dan mereka juga tidak mendapat sijil pindah milik untuk menggabungkan hak-hak ini untuk menjana nilai lebih yang boleh disimpan dan diniagakan. Sekarang mereka berhijrah ke Amerika Syarikat dan Eropah, memenuhi bandar-bandar, melakukan pelbagai pekerjaan dan menyumbang kepada terrorisme.

Ahli ekonomi Universiti Columbia, Jagdish Bhagwati menyatakan kebimbangannya terhadap perjanjian dua hala, yang memberikan hak kepada rakan kongsi untuk mengecualikan dan menekan negara tidak termasuk dalam perjanjian itu, telah menggantikan perjanjian perdagangan global pelbagai hala di mana manfaatnya boleh dikongsi secara automatik oleh semua negara. Ini, kata Bhagwati, telah mewujudkan “mangkuk spageti” peraturan-peraturan, pasukan peguam dan golongan elit baru yang berusaha menyelesaikan kekusutan ini.

Pada abad ke-18 Perancis, enam jilid peraturan perdagangan tekstil yang berserabut ini telah membawa kepada hukuman mati 16,000 orang ahli perniagaan yang tidak dapat mematuhinya. Sejarah merkantilis Eropah yang pedih itu mengingatkan kepada Arab Spring, yang tercetus pada awal tahun 2011 apabila terdapat 100 orang usahawan di seluruh rantau itu membakar diri sebagai protes kerana tidak dibenarkan untuk menjalankan perniagaan. Yang pertama memulakannya adalah Mohamed Bouazizi, seorang penjual buah-buahan di Tunisia yang meninggal dunia–dengan pakaian gaya Barat kasut, jeans, T-shirt dan jaket berzip–membantah rampasan terhadap barangan jualannya.

Bouazizi, seperti rakyat Amerika yang kecewa lalu mengundi Trump, bukanlah mangsa globalisasi tetapi merkantilisme. Soalnya ialah sama ada pentadbiran Trump boleh mengubah “perca-perca kecil berwarna” itu kepada satu gambar besar yang bermakna–tidak sahaja untuk Amerika tetapi juga dunia.

Hernando de Soto, pengasas Institut Kebebasan dan Demokrasi di Lima, Peru, adalah pengarang “The Mystery of Capital: Why Capitalism Triumphs in the West and Fails Everywhere Else” (Basic Books, 2000).

Diterjemahkan dari tulisan yang bertajuk “The Real Enemy for Trump Is Mercantilism, Not Globalism” yang terbit di Wall Street Journal.