Aku panggil dia hanya dengan nama Kim, rakan sekelas aku di Bangkok yang datang dari Korea Utara. Itu bukan nama sebenarnya. Itu hanya nama keluarganya. Kim tidak secantik artis K-Pop pujaan ramai itu, tapi comel juga, dengan berambut pendek. Nama sebenarnya tak perlulah aku dedahkan, demi menjaga kerahsiaannya, maklumlah negaranya penuh rahsia. Fotonya bersama rakan sekelas yang aku muat di laman sosial milik aku pun, aku conteng wajahnya agar tak dikenali.



Kim dikirim kerajaannya ke Bangkok untuk mendalami bahasa dan sastera Thai dengan tujuan untuk menjadi penterjemah yang baik. Begitu juga dengan aku, walaupun aku warga Thai, tapi aku membesar di Malaysia, datang ke Bangkok untuk menguasai bahasa Thai dengan lebih baik lagi, sebab aku juga bercita-cita mahu menjadi penterjemah. Tak sangka pula kawan-kawan sekelas dengan aku ada pelbagai negara-bangsa, dengan tahap pendidikan yang berbeza-beza. Dan aku satu-satu pelajar berkulit gelap. 

Mulanya aku anggap aku paling rendah tahap pencapaian pendidikan berbanding yang lain, tetapi bila aku dengar penguasaan bahasa Inggeris gadis dari Pyongyang itu, aku rasa, aku pandai. Ukuran ini aku buat kerana pada masa tu aku terbawa-bawa ukuran pandai menurut sesetengah orang Malaysia adalah berdasarkan kepada tahap penguasaan bahasa Inggeris!

Rupanya tidak, jika guru-guru kami buat kuiz, Kim paling banyak menjawab dengan betul berbanding rakan dari negara maju seperti Jepun dan Eropah. Sejak itu aku jadi tertarik dengannya. Aku lihat Kim terbawa-bawa budaya tentera Korea Utara, datang kelas sangat awal, aku selalu berlumba dengannya siapa datang dulu, selalunya aku kalah, kawan-kawan dari Jepun pun kalah. 

Aku tertarik kepada Kim bukan hanya kerana disiplin tenteranya tetapi aku jadi kesihan padanya, dia seolah-olah tiada kawan di tempat kami belajar.

Aku lihat Kim banyak menyendiri, tak banyak cakap, dan makan pisang rebus. Sedangkan yang lain rancak berbual dan bertukar pandangan dalam banyak hal. Aku jadi kasihan kepadanya, mungkin yang lain tak mahu berkawan dengannya, dan ia membuatkan gadis Korea itu begitu misteri. Ini yang membuatkan aku ingin rapat, ingin tahu tapi aku jenis penakut dengan perempuan.

Aku terfikir juga masa itu, mengapa Kim tak ambil peluang lari ke Korea Selatan? Pertanyaan aku dijawab oleh kawan dari Jepun. “Mu tak tahu ke? Sebelum mereka datang sini, keluarganya akan dijadikan cagaran. Jika Kim contohnya lari ke Seoul, mungkin keluarganya di sana akan dihukum.”

Suatu hari cikgu kelas membahagi tugasan, aku digandingkan dengan Kim. Dalam hati, bukan main gembiranya aku. Selama menyiapkan tugasan itu, aku jadi rapat dengannya. Bermula saat itulah aku mendengar sendiri tentang Korea Utara dari penduduknya sendiri. Kim memuji negaranya dengan bangga. Kim juga menyoal aku. “Khun phud phasa akrai kab mae—Kamu cakap bahasa apa dengan mak? Phasa yawi—Bahasa Jawi?”

Aku menggelengkan kepala. Aku beritahu Kim aku cakap bahasa Melayu, dan jawi tu bukan bahasa, itu nama aksara. “Entahlah siapa yang buat silap mengatakan jawi adalah ada bahasa, kesilapan ini diamin oleh orang Thai hingga kini.”

“Begitu juga dakwaan mengatakan pemimpin kami adalah diktator oleh orang luar, dakwaan itu mengarut!” balas Kim.

Aku pun berseloroh, “Kalau begitu, saya nak sangat ke Korea Utara, nak tengok pemimpin negara awak jenis diktator atau tidak. Boleh tak bawa saya pulang ke sana?” Kim tak segera menjawab pertanyaan aku. Sebelum itu dia ada beritahu aku bahawa dia akan pulang ke negaranya kerana ada urusan negara bila musim cuti menjelang.



Esoknya, pagi-pagi lagi dia beritahu aku dengan gembira. “Awak boleh ikut saya pulang, sebagai tetamu negara.” Katanya, negaranya ada menyediakan tempat untuk orang asing melawat ketika sambutan ulang tahun presiden. “Dan percuma, semuanya ditanggung.”

Bukan main gembiranya aku. Setelah semua urusan dokumentasi selesai di pejabat kedutaan Korea Utara, yang begitu mudah diurus dengan bantuan Kim, aku menghebah pemergian aku ke Korea Utara kepada kawan-kawan. “Jangan pergi sana, bahaya,” nasihat kawan bernama Mao dari Jepun. Ia disokong oleh kawan-kawan dari negara matahari terbit yang lain bernama Eri, Eriko, dan Molly. “Aku risau kamu tak boleh balik ke sini,” kata Molly.

Namun kawan dari Itali bernama Caterina menyokong aku. “Baik mu pergi, negara Thai ada hubungan baik dengan Korea Utara. Saya rasa tak ada masalah.”

Lalu kami pun terbang dari Bangkok ke Beijing, selepas itu terbang ke Pyongyang pula. Salji tebal menyambut aku. Pyongyang tidaklah seteruk gambaran media barat, sistem jalan rayanya sangat baik. Baru aku tahu, Kim sebenarnya mempunyai hubungan kekeluargaan dengan keluarga presiden. 

Di sana, aku dibawa Kim mengelilingi Pyongyang, dan diperkenal kepada kawan-kawannya dari Institut Bahasa Asing. Salah seorang kawannya itu pelajar bahasa Melayu, dapatlah aku bertutur si dalam bahasa ibunda di bumi Korea Utara dengan rasa aneh. Sebelum itu kawan Kim bertanya aku, awak orang Islam dulu atau Melayu dulu?

“Mengapa?”

“Sebab jika awak Islam dulu, saya tak nak berjabat salam. Jika awak orang Melayu dulu, saya akan hulur tangan.”

“Siapa ajar macam ni?”

“Pensyarah kami.”

Aku mengerut dahi. Dan aku makin mengenali Korea Utara bila berbual menggunakan bahasa Melayu yang sedang membuat persiapan menyambut ulang tahun presiden mereka. Malam menjelang sambutan ulang tahun presiden, Kim datang mengetuk bilik aku. Aku jadi risau, takut-takut Kim datang mahu menggoda aku.



Rupanya tidak, Kim dengan cemas, dia mohon aku segera berlindung di kedutaan Thailand! Katanya dengan suara tersekat-sekat, suatu yang buruk aku berlaku! Aku desak Kim, apa yang buruk?



Terkejut aku bila dia berkata, kami telah gagal melakukan kudeta! Kami gagal rampas kuasa! Kami sedang diburu! Kau kena berlindung di kedutaan, sebab kau kawan aku! Semua akan kena!



Keluar sahaja pintu hotel, Kim telah ditangkap sekumpulan lelaki berbaju hitam pekat. Dia berteriak, menyuruh aku lari masuk ke kedutaan Thai yang hanya di seberang jalan sahaja. Tanpa berpaling aku berlari dalam salji tebal, anjing-anjing dilepaskan, sedang mengejar aku. 



Ah, pintu pagar kedutaan Thai terkunci rapat, temboknya pula tinggi, mustahil untuk aku daki. Aku tahu kedudukan kedutaan Malaysia, yang dikelilingi pagar yang rendah ketika aku dibawa jalan-jalan sekitar jalan itu tempohari oleh Kim. Aku boleh melompat pagar serendah itu tapi sial sungguh kedudukan kedutaan Malaysia di seberang jalan, agak sedikit jauh, lagipun anjing-anjing makin mendekat.



Mampus aku! Pagar kedutaan Thai tinggi! Pagar kedutaan Malaysia rendah tapi duduk jauh. Setan! Mampus aku!



Aku tidak ada pilihan, kalau aku berteriak pun, orang dalam kedutaan tak akan buka pintu. Aku tak ada pilihan, aku berlari, anjing-anjing semakin dekat, begitu juga dengan sekumpulan lelaki datang mengejar aku. Ketika itu baru aku menyebut nama mak aku, nama nabi, dan nama Tuhan!



Selang satu blok bangunan, aku nampak kedutaan Swiss, pagarnya rendah. Apa lagi, aku panjat, tapi kaki kiri aku sempat diterkam anjing itu sampai terlucut kasut aku, lalu aku terjatuh gedebuk ke dalam kedutaan Swiss, dan kaki aku seperti patah, aku meraung kesakitan.



Tengah malam itu, pegawai kedutaan Swiss mengesahkan, satu cubaan rampasan kuasa oleh sekumpulan pegawai tentera muda yang kebanyakan tentera kadet dari Institut Bahasa Asing telah gagal. Operasi pemburuan suspek sedang giat dijalankan.



Tengahari esok, lewat tingkap kedutaan Swiss aku melihat para tentera muda yang gagal itu digantung seorang demi seorang sampai mati. Aku lihat Kim dibawa naik ke pentas, lalu aku memejam mata dan aku dengar suara Kim berteriak, pergi mampus presiden!



Aku menangis dan menangis sehingga tersedar dari tidur. Terasa begitu nyata sekali apa yang aku alami ini mungkin kerana keterujaan aku mengenal Kim, si gadis Korea Utara itu

Pagi-pagi lagi aku ke kelas, dan menjadi orang pertama sampai. Kim datang terlewat sedikit dariku, dan diikuti kawan-kawan dari Jepun. Ketika waktu rehat, aku menceritakan balik kisah ini kepadanya dengan wajahnya semakin berkerut dan berubah serius. Selesai sahaja aku menamatkan cerita itu, dia memandang aku dan ketawa terbahak-bahak sehingga keluar air matanya, sudah tentu mengejutkan ramai yang lain.

“Apa yang kamu dah buat dengan Kim sampai dia ketawa begitu sekali?’ tanya kawan dari Jepun.

“Nak tahu, kamu kenalah berkawan dengan Kim. Janganlah bermusuh dengannya.”

Isma Ae Mohamad adalah warga Thai. Zaman kanak-kanak dan remaja beliau membesar di Malaysia. Novel tulisannya adalah Ratu-Ratu Patani(ITBM) dan Republik Sungai Golok(Dubook Press).

Gambar: Tomas Van Houtryve