Filem terbaru Dain Said tampil dengan janji-janji yang hebat. Lihat saja trailernya di youtube; mood kedetektifan yang suram, barisan pelakon yang mantap, serta sinematografi yang cemerlang, langsung tidak terlintas di minda kita bahawa filem ini akan menghampakan penonton-penonton yang berkunjung di pawagam. Lebih-lebih lagi karya Dain sebelumnya – Bunohan – telah mengejutkan tahun 2012 kita dengan dunia tomoi, wayang kulit, dan perkelahian adik-beradik. Malahan secara peribadi, untuk saya itulah filem melayu kegemaran sepanjang zaman pasca Malaysia merdeka. Tidak ada apa-apa yang boleh mengatasi itu. Sudah tentu karya terbaru Dain ini ialah hasil yang ditunggu-tunggukan.

Tetapi apabila melangkah keluar daripada panggung, cuma perasaan kecewa sahaja yang berbekas. Filem ini punya potensi: dengan mood neo-noir, mistisisme, serta latar belakang dunia yang misteri, tetapi dijatuhkan dengan lakonan yang kaku serta babak-babak janggal yang sebenarnya buat kita mencekak kepala seraya bertanya, “Apa yang penulis skrip nak katakan ini?”

Interchange dibuka dengan pengenalan kepada sebuah kelab malam bernama Eden. Di atas pentas, Sheelah sedang menyanyikan lagu melayu dengan kepalanya dilitupi tudung. Kemudian, sekujur bangkai telah ditemui di bilik belakang. Dan seorang Detektif Man yang ditugaskan untuk penyiasatan. Serta kehadiran seorang gadis misteri yang hidup berjiran dengan Adam, jurugambar forensik serta sahabat Man. Dan oh ya, adakah aku lupa untuk memberitahu kalian nama perempuan itu Iva? Ya ya, macam dalam cerita Injil itu. Adam, Iva, dan kelab hiburan bernama Eden. Kemudian muncul lagi Rangga yang kini ialah seekor burung totem bernama Belian, serta pengedar barang-barang antik bernama Sani yang dialeknya seperti seorang awek filem-filem 60an. Jalan empat puluh lima minit, Interchange terus terbabas ke dalam jurang kepoyoan.

Tak, kau tak perlu berkhutbah tentang sub-teks filem ini. Kau tak perlu panjang lebar bercerita kepada tentang tema kemodenan lawan tradisional, rasio lawan mistik, kota lawan desa, dan segala tema-tema berat yang kau boleh baca di Wikipedia, kerana itu semua aku sudah maklum. Ya, filem ini memang sarat dengan tema-tema seperti itu. Itulah kecanggihan Interchange. Tetapi selain itu, tidak ada apa-apa yang ia boleh tawarkan.

Malahan terdapat banyak lubang-lubang plot yang kau boleh kesani sepanjang filem. Sebagai contoh, mengapa Belian harus menyedut darah-darah mangsanya terlebih dahulu? Mengapa pembunuhan-pembunuhan ini dijalankan di kota, jika puak Tinggang ini sebenarnya tidak mahu diganggu oleh pihak berkuasa yakni Detektif Man dan konco-konconya? Mereka boleh saja melakukan upacara aneh mereka di kilang-kilang terabai di Pelabuhan Klang atau banglo sepi di Cameron Highlands, daripada menyusahkan pihak berkuasa dengan memunculkan mayat-mayat grotesque di mana-mana titik di Kota Metropolis? Mengapa Adam sahaja yang boleh terkesan dengan serpihan-serpihan foto kaca ini – mengapa tidak Detektif Man?

Bagaimana hanya Puak Tinggang sahaja yang semangat mereka boleh terperangkap di dalam foto? Tiada sebarang jawapan diberikan di sini. Malahan asbab-asbab Iva serta puaknya yang ingin mati kerana telah hidup seratus tahun juga tidak jelas – adakah mereka tertekan? Adakah mereka dilanda kemiskinan? Atau sudah bosan dengan pancaroba dunia yang memerangkap jiwa? Entah. Ia tak meyakinkan penonton apabila Iva kelihatan seperti seorang awek hipster yang tinggal di apartmen urban dengan pakaian-pakaian cantik yang seperti dibeli di H&M atau Zara ingin mati setelah hidup ‘seratus tahun’. Aduh, kalau aku ada pakaian-pakaian cantik seperti itu aku tak kisah untuk hidup seribu tahun lagi pun.

Dialog-dialog mereka juga janggal, terutama sekali babak ketika Belian dan Sani berbual di tepi jalan. Ya Tuhan, apa yang mereka cakap ini? Aku tak pasti jika ini adalah percubaan untuk membuatkan filem ini kelihatan dalam dan rumit, tapi ia ternyata gagal. Dialognya tidak mengalir lancar, seperti dibuat-buat. Dialek watak-wataknya juga begitu. Adam cakap dalam dialek apa? Sabah? Sarawak? Atau dari mana-mana etnik misteri yang masih tak dapat dikesani oleh Google Map kita? Sani pula – lebih menghairankan – masih bertutur dalam dialek filem-filem Shaw meskipun saudara-maranya yang lain telah lebih menyesuaikan diri dengan dialek bandar tersebut. Okey.

Mungkin ini kerana Dain cuba untuk mengangkat watak-watak ini bukan sebagai manusia, tetapi sebagai simbol. Ya, boleh jadi. Namun, jika penonton tak dapat berempati dengan watak, maka wujudlah tembok antara filem dengan penonton dan kau tak mahu itu berlaku, lagi-lagi jika kau mahu filem kau dimengerti.

Ini seterusnya membawa aku kepada satu lagi hujah. Pasca Bunohan (2012), filem-filem tanahair kita seperti terdorong dengan satu semangat filem yang baru. Kita sudah boleh nampak belokan dalam hala tuju wayang kita. Pengarah-pengarah filem kita sudah tidak termakan lagi dengan resipi-resipi tipikal: romantik-komedi yang tergedik-gedik, gengster melayu cap ayam, serta genre hantu seram gred C. Kita boleh lihat semangat ini terpantul dalam Songlap (2012), Kil (2013), Lelaki Harapan Dunia (2014), serta dua filem baik tahun lalu iaitu Jagat dan Ola Bola.

Sementara kemajuan-kemajuan ini penting untuk pembangunan wayang kita, terdapat juga filem-filem yang cuba membawa tema-tema yang dalam dan rumit. Ini amat nyata dalam Kil (2013) dan Terbaik Dari Langit (2014). Filem-filem sebegini okey, tapi akan kelihatan poyo apabila mereka mula mengabaikan naratif. Akhir nanti, ia akan kelihatan terlalu mencuba, dan gagal untuk menghiburkan penonton. Filem, dalam segala peranannya, harus mengutamakan naratif. Segala falsafah, ideologi, serta pesan-pesan moral jatuh nombor dua. Apabila tunjangnya rapuh, maka ranting-rantingnya juga akan jadi tidak bermaya. Malah, ia boleh roboh jika ia tidak didukung dengan naratif yang meyakinkan. Bukankah Frank Capra sendiri pernah mengingatkan, tidak ada hukum di dalam perfileman, kecuali dosa. Dan dosa terdahsyat ialah kebosanan.

Hujung 2016 disajikan dengan tiga filem yang menarik banyak perhatian di media sosial. Pawagam kita menayangkan Hanyut (U-Wei Hj Shaari), Interchange (Dain Said), serta The Apprentice (Boo Junfeng). Sementara aku masih tak berkesempatan untuk menonton Hanyut, temanku Azrin Fauzi tidak menyukainya. Tetapi aku tonton The Apprentice dan ia pengalaman yang memuaskan sekali. Aku keluar panggung dengan helaan nafas yang lega. The Apprentice mengangkat naratif yang ringkas, sederhana, tetapi begitu memukau. Sub-teksnya juga nyata. Kau akan terpaku selama dua jam di atas kerusi. Beginilah apa yang filem harus jadi. Jujur dan menyampaikan. Juga datang dengan nilai-nilai estetika yang berseni.

Dari sisi lain, Interchange mungkin menampilkan sinematografi yang indah. Benar. Penggambaran yang kemas di lorong-lorong sempit kota, suasana terperangkap di apartmen, dan paling menggugah ialah babak Detektif Man mengejar Belian di atas bumbung Metropolis, berlatarbelakangkan hujan yang turun renyai. Babak ini akan mengingatkan kau terus kepada Blade Runner. Sinematografi-sinematografi ini berjaya menimbulkan mood neo-noir seperti yang dituntut. Juga mengkagumkan. Jordan Chaim telah memainkan peranan yang cantik dalam kerja ini. Tetapi itu sajalah yang Interchange boleh jualkan. Kerana selain daripada itu dan falsafah-falsafahnya yang berat tentang perubahan, kolonialisme, serta dualisme alam, Interchange cumalah filem yang kita tonton untuk dilupakan di pawagam. Tidak lebih dan tidak kurang.

Johan Radzi, mahasiswa jurusan undang-undang UiTM.