Dalam sejarah kritikan sastera, kita sering menemui contoh-contoh di mana seorang penyair dianggap seperti seorang nabi. Walau bagaimanapun, jarang sekali perkataan “nabi” membawa konotasi luas sebagaimana yang berlaku dalam pemikiran Iqbal. Seorang nabi akan membangunkan peribadi masyarakat di mana dia diutuskan. Begitu juga sang penyair, jika tidak seninya menurut Iqbal, adalah remeh dan tidak bermakna:

Jika seni tiada nilai dalam membina Diri,
Malanglah akan segala Arca,Syair dan Lagu

(Zarb-e-Kalim,m/s 112)

Pada mereka yang tidak punyai keberanian,sang penyair harus tanamkan semangat keazaman dan keberanian:

Mulakan nyanyian bulbul dengan melodimu,
Hati seekor helang dilahirkan dalam tubuh lemah merpati.

(Bang-e-Dara,m/s 300)

Dan jika sang penyair berjaya membentuk peribadi manusia, maka dia menjalankan tugas seorang nabi:

Jika tujuan syair untuk membentu Manusia,
Maka syair itu pewaris kenabian.

(Javid Nama,m/s 46; terj. A.J Arberry)

Seperti Blake dan Shelley, Iqbal juga percaya bahawa sang penyair itu dikurniakan pengetahuan tentang apa yang bakal terjadi – iaitu dia diberi anugerah untuk melihat jauh ke hadapan dan meramal masa depan. Dalam kata-kata Blake:

Dengarlah suara si Pujangga
Yang melihat sekarang, masa lalu dan akan datang.

Teori puisi Shelley mengidentifikasikan puisi dengan ramalan dan untuk beliau, penyair adalah “cermin bayang-bayang gergasi di mana masa hadapan memancar ke masa kini.” (A Defence of Poetry). Untuk Iqbal:

Acara di balik tirai langit,
terlihat bayangnya dalam cermin mindaku,
Tidak di bintang dan tidak jua di pergerakan langit
takdirmu terletak di irama candangku

(Bal-e-Jibril, m/s 54)

Penyair yang sebenar, seperti seorang Nabi, juga adalah pentafsir kepada Alam yang membuka rahsia-rahsia tidak diketahui oleh manusia. “Dunia-spiritual menyembunyikan pelbagai fasa kehidupan dalamannya melalui simbol. Alam semesta merupakan simbol yang teragung. Tetapi ia tidak mentafsirkan simbol-simbol ini untuk kita. Sebaliknya tugas ini tergalas di bahu sang penyair untuk mentafsirkan dan memperlihatkan makna-maknanya kepada manusia seluruhnya.” (Stray Reflections, edit.oleh J.Iqbal)

Untuk Iqbal, sebagaimana untuk Shelley, penyair-nabi ini dianugerahkan dengan pengertian yang tertentu ke dalam hakikat Alam. Penyair ini berwawasan dan puisi ialah kenderaan wawasannya. Seperti Wordsworth, Iqbal percaya dunia wawasan kadangkalanya lebih nyata daripada dunia rasa-deria dan bahawa daya wawasan berhubung erat dengan proses imaginatif dan kreatif. Walau bagaimanapun, bagi Iqbal tidaklah bermaksud dunia zahir ini kurang nyata daripada dunia wawasannya (Studies in Iqbal, oleh S.A Vahid)

Bagi Iqbal, penyair-nabi ini bukan sahaja dapat melihat ke masa hadapan bahkan juga membangkitkan semangat individu-individu lain agar berusaha dengan lebih keras untuk mencapai takdir tertinggi mereka. Kepada penyair Sir Syed telah berkata:

Dengan keajaiban ayat yang membangkitkan mereka yang lena,
Bakarlah benih kepalsuan dengan api suara ini.

(Bang-e-Dara,m/s 41)

Melalui kata-katanya, sang penyair mendorong orang lain untuk mengubah potensi besar Diri mereka kepada tindakan.

Konsep Penyair-nabi Iqbal ini mempunyai raut Hero as Poet oleh Carlyle. Menurut kata-kata Carlyle, “penyair sebenar selamanya adalah tukang ramal; yang matanya diberi anugerah untuk membezakan misteri alam semesta Tuhan dan mentafsirkan baris-baris baru tulisan samawi. Kita boleh memanggilnya dengan gelaran Vates dan Seer, kerana dia melihat ke dalam rahsia yang paling dalam, ‘rahsia yang terbuka’, yang tersembunyi tampak jelas; bagaimana Masa Depan hanyalah sebuah fasa masa kini; dengan itu kata penyair pada dasarnya adalah ramalan, apa yang telah dituturkan alan berlaku.”
(Collected Works)

Bagi Iqbal penyair mempunyai peranan sosial yang besar untuk dimainkan. Dia merupakan “mata” bagi sebuah bangsa.

Penyair dengan nyanyian yang kaya adalah mata sebuah bangsa,
Jika sakit satu anggota, mata ini yang menangis,
Mata yang memberikan simpati paling hebat untuk tubuh!

(Bang-e-Dara, m/s 51)

Daripada sejarah Iqbal belajar bahawa idea-idea yang menafikan kehidupan dengan pastinya boleh menghancurkan sesebuah negara lebih daripada yang lain.”Inspirasi seorang yang rosak moral, jika seninya dapat menarik rakan-rakannya kepada lagu atau gambarnya, mampu memberikan kerosakan yang lebih buruk kepada masyarakat berbanding keseluruhan batalion Attila atau Genghis.” (Thoughts and Reflections of Iqbal, edit.oleh S.A.Vahid)

Iqbal percaya akan kebenaran kata-kata Tennyson:

Lagu yang menyambung urat jantung sebuanh bangsa adalah sendirinya satu tindakan.

Seni sang penyair harus seperti hentakan Musa– simbol Cinta dan Kuasa – ia mampu membangunkan semangat sesebuah kaum.

Di dunia, tanpa keajaiban bangsa tidak mampu bangkit,
Apa ertinya seni yang tidak memilik kekuatan hentakan Musa?

(Zarb-e-Kalim, m/s 117)

Bagi Iqbal bukan sahaja “bangsa terlahir daripada dalam jiwa-jiwa sang penyair,” tetapi penyair yang seninya lahir dari dalam jiwa membawa mesej kehidupan yang abadi ke dunia:

Kepada dunia ia adalah jalan keabadian,
Seni menulis syair subur dari darah jiwa

(Bang-e-Dara, m/s 230)

Dan jika demikianlah seni sang penyair maka ia mempunyai kekuatan dan kekudusan kata yang tidak dimiliki orang kebanyakan:

Syair yang punya pesan hidup abadi,
Ialah adalah senandung Jibril atau suara Israfil!

(Zarb-e-Kalim,m/s 133)

Menurut Iqbal sang penyair ialah makhluk yang resah, dirasuk imaginasi tidak terbatas yang meletakkan di hadapannya matlamat tidak berkesudahan dan hasrat-hasrat untuk direngkuh. Nyala api ghairah menelan setiap sudut kewujudan penyair akan tetapi impiannya turut terlahir dalam setiap denyut .

Nurani penyair sentiasa menggagar-
Pencipta dan Penyubur kehausan!

(Javid Nama, m/s 45; terj.A.J Arberry)

Kerana kehausan itu adalah pancur Seni, kehausan yang tidak dipuaskan lebih besar nilainya kepada penyair berbanding hilang dalam kepuasan:

Dalam dunia ghairah dan irama, pemisahan itu lebih indah daripada penyatuan,
Dalam penyatuan kehausan itu Mati, dalam pemisahan keseronokan rasa Rindu

(Bal-e-Jibril, m/s 155)

Demikianlah, sang penyair berdoa hikmat kekal sebagai pesisir pantai yang tidak mampu dilabuhi sesiapa:

Setiap detik Sinai yang baharu, lintasan baharu
Pelayaran Semangat dirahmati Tuhan tidak akan pernah berlabuh.

(Zarb-e-Kalim, m/s 126)


Diterjemahkan oleh Maryam Zakiah daripada artikel asal “Iqbal’s Conception of a Poet,” dalam The Pakistan Times, Lahore, Pakistan, April 23,1967.