It was He who spread out the earth and placed upon it mountains and rivers… Surely in these there are signs for thinking men.
— Thunder, 3. Koran, translated by NJ Dawood.

Waktu membelah trek yang berkabus, saya dan Herman ambil keputusan berhenti di Deurali (3230m), sebab….

“Aku dah tak boleh pi dah,” kata Herman. Terduduk dengan tongkat aluminiumnya yang terpacak, kepalanya memandang kosong ke tanah. Mukanya kelihatan sangat sangat letih. Peluh boleh bercerau dalam cuaca sebegini.

Sebenarnya, perjalanan kami secara kasarnya tidak didahului dengan latihan fizikal. Itu juga saya fikir satu masalah besar, terutamanya di kawasan yang sebegini.

Namun, dalam kepenatan Herman itu, saya biarkan dia kesorangan, sementara saya jarakkan diri ke tebing trek. Duduk dan cuba melihat dalam celah-celah kabus – cuba-cuba mencari mana-mana gunung putih yang kelihatan.

“Bernafas guna hidung, guna perut, bagi kembung perut. Tahan… kemudian hembus slow slow kot mulut. Ulang…,” kata Muhammad yang tiba-tiba sudah duduk di sebelah Herman.

Rambut Muhammad hitam ikal paras bahu. Dahinya luas dan berpakaian seperti jubah, atau mungkin itu baju hujannya.

Dengan hanya sebotol air, tanpa beg galas, tanpa sebarang kelengkapan wajib pendaki, Muhammad tinggalkan Herman dan datang duduk di sebelah saya.

Lahir di kota Mekah, dia mahu keluar sekejap dari masyarakat, katanya. Sana sudah kelam kelibut. Ketua-ketua puak bergaduh sesama sendiri, sistem air tak dijaga, Mekah dah jadi huru-hara dengan perangai perangai setiap puak. Semua nak bawa kepala masing-masing, nak jadi jagoh bantu rakyat. “Ironi,” katanya lembut.

Di depan kami, kabus yang tadi samar-samar, kini terbuka sedikit. Lalu, kelihatanlah sedikit puncak Machapuchare, antara gunung lagenda yang tak pernah dijejak manusia.

Percubaan mendakinya pernah dibuat oleh seorang British kelahiran India pada tahun 1957 bersama dengan beberapa sahabatnya dan penduduk tempatan, kata Muhammad. Tetapi ketika mereka cuma tinggal 150 kaki sahaja untuk ke puncak itu, mereka terbatal. Ada beberapa sebab, antaranya tentulah untuk menghormati kepercayaan penduduk, dan kedua, kerana mereka rasa ‘sudah cukup’.

“Apa kena mengenanya dengan kedatangan awak ke sini,” saya pintas sebelum ceritanya pergi jauh. Buku karangan Noyce itu, saya sudah beli dan baca selepas pulang ke Kathmandu. Dan ya, ia antara buku yang ‘rare’ untuk dicari di pasaran komersil.

“Too much problems there in my hometown. So I came here,” kata Muhammad. “I’m not mad, it’s just the people too busy submitting to false ‘god’.”

Tuhan adalah subjek paling saya gentar sekali bersembang. Oleh itu,, saya palingkan kepala melihat Herman di belakang. Tapi, Herman masih tertunduk. Matanya terpejam.

Kepalanya dah menerawang jauh saya fikir.

“Drink a lot of water!” kata Muhammad bernada tinggi, mengejutkan Herman. “Altitude changes already now. We’re a bit higher, we’re are about to levitate from now on,” katanya sambil ketawa.

Dia teruskan pendakiannya, saya kembali duduk di sebelah Herman.

“Aku dah nak mati. Teringat anak bini mak tok wan aku semua…”

Kami gagahkan diri untuk sejam supaya sampai di Deurali. Untuk berehat semestinya, dan mengelak dari pakaian basah.

Di Deurali, saya pesankan sup bawang putih buat Herman. Dia tak mahu, tapi saya dendangkan dia dengan pelbagai kisah sampai dia bosan dan sehinggalah dia akur untuk menghirup sup yang mujarab itu.

Saya lihat keletihannya yang dibalut dengan dua atau tiga comforter, sambil saya menghirup susu yang dicampur dengan herba dan bawang hijau pemberian P Ramlee dan Bard.

Paginya, ketika sedang bersiap untuk ke MBC, Bard melintas di depan pintu bilik saya. Dia dalam perjalanan turun untuk mengambil barang untuk dibawa kembali ke atas.

Badan saya sudah cergas ketika kami bersalaman buat kali terakhir. Herman pun sudah pulih dan segar bila dia keluar dari bilik dan bersalam dengan Bard.

Kami senyum dan teruskan niat dan perancangan kami untuk terus mendaki ke ABC, kem tapak untuk mendaki secara serius ke Annapurna I, gunung ke sepuluh tertinggi dunia, atau pun kem tapak terakhir untuk pendaki ringan-ringan.

Jam masih lapan pagi ketika kami bertolak dari Deurali.

Menuju Gunung Haram

Dimulai dengan renyai dan sayup mendung, kami langkah perlahan. Makin jauh dari Deurali, perjalanan semakin gelap, semakin berkabus, semakin tebal dan semakin sejuk.

Ketika langit sedikit cerah (tapi masih berkabus sangat tebal), tiba-tiba muncul papan tanda tulisan kuning tertulis: Machapuchare Base Camp (MBC; 3,700m).

Saya sarankan pada Herman untuk berehat sekejap di MBC. Perjalanan ke ABC sudah tak jauh, cuma lagi dua jam.

Walhal jujur cakap, saya teringin hendak tunggu kabus hilang, supaya boleh lihat puncak gunung haram bernama Machapuchare.

Machapuchare ini muncul seminggu sebelum, waktu sedang membuat kajian kasar mengenai kawasan Annapurna.

Berbanding gunung-gunung lain yang jauh lebih tinggi di kawasan Annapurna, Machapuchare sangat mencengkam hati saya.

Fish Tail’s adalah nama lain untuk Machapuchare, bersesuaian dengan nama tempatannya dan rupa puncaknya yang seperti ekor ikan.

Lebih menarik, kisahnya puncak itu adalah tempat lepak Siva, dewa ranggi dalam pantheon hindu. Tempat dia berehat di sisi isterinya, Annapurna, dewi yang memberikan kasih dan makanan buat alam semesta, dan semestinya menjaga makan pakai dewa Siva.

Jadi, tak hairanlah kenapa Siva suka melepak dekat Annapurna!

Nak makan free! HA HA HA

Batalkan Hajat Asal untuk Gunung Haram

Di MBC, di depan Ganggapurna Lodge, saya pandang Herman. Tergambar wajahnya yang lesu kerana dua sebab. Pertama, letih fizikal yang amat. Kedua, letih mental akibat bebelan saya sepanjang pendakian kami tadi. Hmm, kuat juga susu bawang hijau.

Bila kami masuk ke dining hall, suasana sunyi jadi meriah. Lebih kurang lima belas orang sedang melayan, berehat dan minum secara ‘sendiri-sendiri.’

Laosu, tuan rumah tamu menyambut kami ramah, dengan senyuman yang menghilangkan penat.

Saya dan Herman saling memandang. Selepas beberapa signal anak mata, kami pun mengangguk kepala setuju. Kami ambil pilihan untuk bermalam sahaja di rumah tamu di MBC ini.

Petang itu dining hall meriah dengan pelbagai cerita. Kadang-kadang bila hujan berhenti, langit nampak cerah, kami akan keluar beramai-ramai untuk menikmati pemandangan, namun kerap kecewa kerana kabus yang masih tebal: menutup, dan menguji kesabaran kami, anak-anak kecil yang dahagakan kebahagiaan jiwa.

Paginya, keajaiban muncul. Perlahan-lahan matahari muncul dari belakang Machapuchare. Langit hitam memutihkan puncak Mchapuchare ketika membirukan langit. Dari gelap ke biru gelap, ke biru cerah. Membuka tirai pada gunung Ganggapurna di sebelah timur laut, sebelum Annapurna yang putih melepak itu muncul di sebelah utara; membawa bersama udara yang paling segar pernah saya rasa sepanjang hidup ini, melalui ruang rongga untuk sampai pada Siva yang sedang berehat di timur, di puncak semesta.

“Bangunlah, makanlah dan bekerjalah untuk bahagia,” saya tangkap suara Annapurna pada Shiva.

Saya ceritakan pada Herman apa yang saya dengar. Dia ketawa kecil. Secara spontan, sama-sama kami bersuara:

“Stay sini ja lah!” Sambil ketawa.

Peta, dan nota perancangan kami serta merta di buang Herman di dalam tong sampah.

Tak ikut arus popular pendaki lain yang mahu ‘sampai’ ke ABC, kami ‘stay’ di Machapuchare.

“Stay if you must, go if you can,” kata Herman, mengulang apa yang disebut P Ramlee beberapa hari lepas.

“And don’t forget to smile,” sambung Laosu yang rupa-rupanya berada di sebelah kami.

Zhafir Zakaria, menulis esei dan beberapa sajak.