Berjuta-juta rakyat Amerika memberikan undi protes pada hari Selasa lalu, meluahkan bantahan keras mereka terhadap sistem ekonomi dan politik yang meletakkan kepentingan orang kaya dan korporat melebihi kepentingan rakyat. Saya menyokong kuat Hillary Clinton, berkempen bagi pihak beliau, dan percaya dia adalah pilihan yang tepat pada Hari Pilihanraya. Tetapi Donald J. Trump memenangi Rumah Putih kerana retorik kempen beliau berjaya menembus masuk ke dalam kemarahan yang munasabah dan nyata, sejenis kemarahan yang juga dirasai oleh ramai Demokrat tradisional.

Saya berasa sedih, tetapi tidak terkejut dengan keputusan ini. Tidak mengejutkan kepada saya bahawa berjuta-juta orang yang mengundi Mr. Trump berbuat demikian kerana mereka meluat dan lelah dengan status quo ekonomi, politik dan media.

Keluarga golongan pekerja melihat dari jauh para politikus menerima dana kewangan untuk kempen mereka dari jutawan dan kumpulan yang mempunyai kepentingan perniagaan–kemudian mereka ini yang akan mengabaikan keperluan rakyat biasa Amerika. Sejak 30 tahun yang lalu, terlalu ramai rakyat Amerika telah dikhianti oleh bos-bos korporat mereka. Mereka bekerja lebih masa untuk gaji yang lebih rendah kerana mereka melihat banyak pekerjaan yang setimpal bayarannya telah berpindah ke China, Mexico atau beberapa negara bergaji rendah lain. Mereka merasa letih apabila mengetahui CEO mereka mendapat gaji 300 kali lebih tinggi daripada mereka, manakala 52 peratus daripada keseluruhan pendapatan yang baru dijana pergi ke kelompok 1 peratus teratas. Banyak pekan-pekan di luar bandar yang indah menjadi kosong dan ditinggalkan, kedai-kedai di pusat bandar mereka ditutup, dan anak-anak mereka meninggalkan rumah kerana tidak ada pekerjaan– dalam masa yang sama syarikat-syarikat korporat menghisap kekayaan daripada komuniti mereka dan menyimpannya ke dalam akaun luar pesisir.

Golongan pekerja Amerika tidak mampu untuk memberikan penjagaan kanak-kanak berkualiti kepada anak-anak mereka. Mereka tidak mampu untuk menghantar anak-anak mereka ke universiti, dan mereka tidak mempunyai apa-apa dalam bank di saat mereka akan bersara. Dalam banyak tempat di negara ini, mereka tidak dapat mencari rumah yang mampu untuk dimiliki, dan mereka mendapati kos insurans kesihatan terlalu tinggi. Terlalu banyak keluarga wujud tanpa ada harapan lagi kerana dadah, alkohol dan kes bunuh diri yang menyebabkan ramai yang mati lebih awal.

Trump benar: Rakyat Amerika mahukan perubahan. Tetapi apa jenis perubahan akan ditawarkan kepada mereka? Adakah dia mempunyai keberanian untuk berhadapan dengan golongan yang paling berkuasa di negara ini yang bertanggungjawab terhadap keperitan ekonomi yang dirasai begitu banyak keluarga golongan pekerja, atau dia akan mengalihkan kemarahan majoriti itu terhadap minoriti, pendatang, golongan miskin dan tidak berdaya?

Adakah dia akan mempunyai keberanian untuk berhadapan dengan Wall Street, berusaha untuk memecahkan institusi-institusi kewangan yang “terlalu besar untuk gagal” dan menuntut bank-bank besar ini untuk melabur dalam perniagaan kecil dan mewujudkan peluang pekerjaan di luar bandar dan bandar-bandar dalaman Amerika? Atau, adakah dia akan melantik seorang lagi saudagar bank Wall Street untuk menjalankan Jabatan Perbendaharaan dan meneruskan seperti sedia kala? Adakah dia, seperti yang dijanjikan semasa kempen, benar-benar akan berdepan dengan industri farmaseutikal dan menurunkan harga ubat preskripsi?

Saya amat sedih mendengar cerita rakyat Amerika yang takut dan merasa terganggu dengan kemenangan Mr. Trump, dan saya dapat mendengar tangisan keluarga yang takut bahawa mereka akan terpisah. Kita telah melalui perjalanan yang panjang sebagai sebuah negara dalam melawan diskriminasi. Kita tidak akan berpatah balik. Yakinlah, tidak ada kompromi dalam soal perkauman, ketaksuban, xenofobia dan seksisme. Kita akan berjuang melawannya dalam semua bentuk, bila-bila masa dan di mana sahaja ia muncul.

Saya akan sentiasa membuka minda saya untuk melihat apa sahaja idea Mr. Trump tawarkan dan juga bila dan bagaimana kita boleh bekerja bersama-sama. Setelah kehilangan undi popular di seluruh negara, maka dia perlu dengan baik mendengar pandangan progresif. Jika presiden-terpilih ini serius untuk melaksanakan dasar-dasar yang memperbaiki kehidupan keluarga golongan pekerja, saya akan membentangkan beberapa peluang yang nyata kepadanya untuk dia mendapat sokongan saya.

Mari kita bina semula infrastruktur yang rosak dan mewujudkan jutaan pekerjaan dengan gaji setimpal. Mari kita tukarkan gaji minimum kepada gaji naikkan gaji minimum kepada gaji sara hidup, membantu pelajar untuk mampu pergi ke universiti, menyediakan cuti keluarga dan cuti sakit yang dibayar dan meluaskan Keselamatan Sosial. Mari kita memperbaharui sistem ekonomi yang membolehkan jutawan seperti Mr. Trump tidak membayar satu sen pun cukai pendapatan persekutuan. Dan yang paling penting, mari kita menghapuskan keupayaan penyumbang kempen yang kaya raya untuk membeli pilihan raya.

Pada hari-hari berikutnya, saya juga akan menyediakan beberapa siri pembaharuan untuk membangkitkan kembali Parti Demokratik. Saya sangat percaya bahawa parti ini mesti membebaskan diri dari hubungannya dengan institusi-institusi korporat dan, sekali lagi, menjadi parti akar umbi golongan pekerja, orang tua dan miskin. Kita mesti membuka pintu parti ini untuk idealisme dan tenaga orang muda dan semua rakyat Amerika yang berjuang untuk keadilan ekonomi, sosial, kaum dan alam sekitar. Kita mesti mempunyai keberanian untuk menentang ketamakan dan kuasa Wall Street, syarikat-syarikat ubat, syarikat-syarikat insurans dan industri bahan api fosil.

Apabila kempen presiden saya berakhir, saya berjanji kepada penyokong saya bahawa revolusi politik akan berterusan. Dan kini lebih-lebih lagi, ia harus bersama dilakukan. Kita adalah negara terkaya dalam sejarah dunia. Apabila kita berdiri bersama dan jangan kita benarkan para demagog memecah belahkan kita dengan bangsa, jantina atau asal usul, tidak ada yang kita tidak boleh capai. Kita haruslah menuju ke hadapan, bukan ke belakang.

Bernie Sanders, senator Vermont dan salah seorang bekas calon presiden Amerika 2016.